Tuesday, February 22, 2011

PLURALISMA AGAMA VS ISLAM AD-DIN

Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas

Friday, February 18th, 2011 | Posted by AIDC

http://www.anwaraidc.com/?p=6837


Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas[1]

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya. Pegangan seperti ini membawa kita terlintas persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik.

Nukilan bait-bait Rumi rh yang menyebut tentang lampu yang banyak, dan keperluan tidak melihat lampu-lampu tetapi kepada Cahaya, dengan fahaman agama-agama semuanya sah dan menyelamatkan adalah kekeliruan memahami pengalaman musyahadah – spiritual witnessing – sebagai sama dengan akidah kepercayaan dan teologi. Ia kesilapan – dari segi Islam dan ajaran intelektuil-rohaniahnya – yang paling parah. Kalau hakikatnya demikian tentu Rumi rh tidak akan mengkritik agama Kristian,Yahudi, dan musyrikin penyembah berhala dalam ‘Mathnawi’nya, dan ia bukan Ahlissunnah. Tetapi ia memang membuat kritikan itu, dan ia Sunni bukan Syi’i.

Sikap yang menyatakan adanya inti semua agama yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah dan upacara-upacara tidak ada sandaran langsung dalam tamadun Islam dan sejarah rohaninya. Nama-nama yang disebut-sebut untuk menyokong aliran ini, misalnya oleh Schuon, adalah perbuatan ‘menjual nama’ untuk melariskan ‘barangan’. Kenyataan-kenyataan mereka dinukil di luar konteks tulisan-tulisan mereka, ditafsirkan secara tidak sahih, dan lagi di luar daripada konteks dan perihal diri mereka sendiri yang berkenaan itu.

Sebutan tentang Dante yang terkenal dengan ‘Divine Comedy’nya juga tidak berjaya membuktikan beliau (Dante) memandang semua agama ada keabsahannya, menyelamatkan, kalau tidak mengapakah beliau memasukkan Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam dan Ali rd dalam ‘neraka’ dalam bahagian ‘Inferno’ dalam buku agungnya itu, menuduhnya sebagai ‘the chief of those who create schisms’ – ketua mereka yang mengadakan golongan serpihan agama yang sesat? Dante yakin tentang kebenaran ultimate agama Katholiknya. Gubahannya itu bertujuan untuk itu. Bagaimanakah buku demikian boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama? Tentang ‘tranquility and peace’ atau kedamaian rohani dan keamanan tercapai oleh manusia bila ia berhenti daripada kerakusannya, itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam dan mereka yang berpengalaman sahih; ini tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama. Subhana’Llah.

Soal ‘favouring one religion’ dalam erti memilih agama Islam sebagai mengatasi yang lain, itu bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat ‘sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam’; ia dalam Quran, dalam hadith, dalam ijma’. Pemikiran Hicks dan pemikir-pemikir yang sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang dari Tuhan, Rasul (semua para rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), para arifin dan ijma’. Dalam Negara bila para penduduknya dan pemimpin tertingginya Muslim wajib berlaku ‘favouring one religion’, seperti menjadikan Islam sebagai ‘agama Persekutuan’ misalnya, tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama yang diakui – sebagaimana contohnya berlaku dalam kerajaan Othmaniah dengan sistem ‘millet’nya, yang Barat sekarangpun tidak mengamalkannya hingga tudung kepala wanita menjadi masalah besar, menara ,masjid menjadi masalah besar. Maha suci Allah.

Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam.

Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.


[1] Nota untuk perbincangan rakan-rakan ditulis pada 21 Rabiulakhir 1431/6 April 2010 sebagai respons awal kepada teks ucapan DS Anwar Ibrahim di London School of Economics, 18 Mac, 2010

blogtraditionalislam

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH