Sunday, February 20, 2011

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU : MALAYSIA

Malaysia Tanah Pusaka Orang Melayu

|

http://www.isuhot.com/?p=2952

A Kadir Jasin

[MUKHADIMAH] — DEFINISI Melayu mengikut Artikel 160(2) iaitu “Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan :-

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

MENGIKUT semantik semasa di kalangan sesetengah orang bukan Melayu dan segelintir orang Melayu sesat, tajuk di atas adalah rasis kerana sesiapa pun yang bercakap mempertahankan bangsa Melayu adalah seorang yang rasis.

Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah “hak”. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka.

Sentimen ini diulang sebut oleh bekas Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di wacana ilmu anjuran bersama Mubarak, Yayasan Perikatan dan Arkib Negara di ibu negara semalam.

Tetapi Dr Mahathir “memberanikan” diri mengulangi bahawa bumi ini adalah bumi Melayu. Melayu adalah tuan rumah. Melayu menentang Malayan Union. Melayu menuntut kemerdekaan dan Melayu bersetuju menerima kewarganegaraan kaum pendatang dari China dan India.

Menggunakan landasan jus soli, British berjaya memujuk orang Melayu menerima kewarganegaraan satu juta orang keturunan imigran yang lahir di Tanah Melayu apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957.

Tuan Rumah Terpaksa Berkongsi Rumah

Sekali gus mereka mendapat hak sebagai warganegara dan bagi orang Melayu, daripada “tuan rumah” di Tanah Melayu mereka terpaksa berkongsi rumah itu dengan orang Cina dan India.

Saya hadir wacana ilmu itu, tetapi ingin merujuk kepada laporan portal berita Malaysian Insider yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata, pemimpin negara yang terdahulu memberikan kewarganegaraan kepada orang Cina dan India kerana mereka menjangka orang Cina dan India akan menghormati kedaulatan Melayu.

Jadi adakah Dr Mahathir rasis dan sesiapa yang sependapat dengan beliau rasis apabila beliau mengulang tegas bahawa Malaysia dimiliki oleh orang Melayu dan sesiapa yang menjadi rakyat negara ini wajiblah menerima budaya dan bahasa Melayu sebagai budaya dan bahasa dominan?

Seperti saya tulis berulang kali, orang yang menafikan Melayu sebagai tuan rumah bumi Malaysia ini atau segelintir orang Melayu sendiri yang berkata mereka juga pendatang adalah buta sejarah atau hidup dalam penafian.

Lama sebelum kelompok cauvinis dan penentang sejarah ini mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu (termasuk Bumiputera lain) serta kedudukan mereka sebagai tuan rumah, para sejarawan, pengembara dan pelukis peta Barat sudah mengakui kewujudan Dunia Melayu dalam wilayah geografi (geographical area) yang mereka panggil “Malay Archipelago” (Kepulauan Melayu).

Lama sebelum itu, ahli geografi Greek, Claudius Ptolemy (c.90-168) memberi nama Golden Chersonese atau dalam bahasa Greek, Chersonesus Aurea, kepada Semenanjung Tanah Melayu. Dia memberi label itu kerana Semenanjung Tanah Melayu mempunyai reputasi sebagai sumber penting emas dunia.

Hakikatnya, emas (dan kemudian bijih timah) lah yang membawa ramai perantau Cina ke Tanah Melayu pada kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20. Emas masih dilombong di negara kita hingga ke hari ini.

Manakala orang India umumnya datang ke Tanah Melayu atas tajaan British dan agen-agennya untuk bekerja sebagai “coolie” di ladang-ladang kelapa, getah dan teh, orang Cina dibawa masuk oleh tauke-tauke lombong Cina atau datang sendiri untuk menanam gambir, lada dan sayur-sayuran serta berniaga kecil-kecilan.

(Demi mengelak daripada dituduh rasis dan tidak sensitif, saya ingin menjelaskan yang istilah coolie atau disebut juga cooley, kuli, quli dan koelie berasal daripada perkataan Urdu quli yang bererti pekerja harian atau pekerja bergaji hari.)

Yang dibawa oleh Inggeris adalah candu kerana mereka memonopoli perniagaan candu dan ramai imigran dari China menagih candu. British berperang dua kali dengan China untuk menguasai perdagangan candu (1839-42 dan 1856-60).

Antara bekas penagih candu terkenal dan berjaya di Tanah Melayu adalah Kuok Keng Kang, bapa kepada Raja Gula Robert Kuok Hock Nien. Keng Kang mengatasi penagihan candu apabila “dibawa” melancong ke Eropah oleh kawan-kawan Melayunya pada tahun 1928. Keng Kang menjadi lebih berjaya apabila diberikan kontrak oleh Inggeris untuk membekalkan makanan kepada 50,000 tawanan perang Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Kedai candu (opium den) dan kedai todi adalah antara perniagaan yang paling awal dilesenkan oleh British. Kedai candu dan penagihan candu sudah lama diharamkan, tetapi kedai todi ada lagi.

Saya membaca dalam akhbar bahawa kedai todi terakhir di Kuala Lumpur yang terletak di Brickfields akan ditutup kerana kehadirannya tidak cocok lagi dengan imej moden Brickfields sebagai “Little India” hasil ledakan minda Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.

Kesan Buruk Ekonomi Penjajah

Oleh kerana minat Inggeris di Tanah Melayu adalah ke atas kekayaan bumi dan bukan penaklukan mutakhir maka mereka memberikan “kebebasan” kepada orang Melayu untuk terus miskin dan pada masa yang sama membenarkan kaum imigran mengamalkan cara hidup mereka.

Selain candu dan todi, turut datang dengan kaum-kaum imigran adalah agama dan budaya mereka, termasuklah kasta bagi orang Hindu dan kongsi gelap bagi orang Cina.

Ekonomi dipecah-pecahkan. Melayu dikekalkan di luar bandar dengan ekonomi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang (subsistence economy), Cina dalam sektor perlombongan dan perniagaan manakala India perladangan dan perburuhan.

Sebahagian besar kesan pemisahan ekonomi dan sosial oleh penjajahan Inggeris, seperti Dr Mahathir tegaskan, masih wujud dan inilah yang perlu diatasi sebelum bangsa Malaysia yang sejati boleh diwujudkan.

Katanya, walaupun orang Melayu telah mencatat banyak kejayaan, namun jurang yang memisahkan mereka dengan orang keturunan imigran masih luas dan mungkin menjadi lebih luas jika dasar pembahagian kekayaan negara seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru dihapuskan.

Dr Mahathir tidak melihat tindakan mewujudkan label akan membawa kebaikan kepada negara sekiranya tidak dijelaskan dan dibentuk dengan cara yang boleh difahami umum.

Menjawab pertanyaan mengenai 1Malaysia, Dr Mahathir berkata tinjauan rambang memberi gambaran bahawa kepada orang Melayu 1Malaysia bererti satu aliran sekolah. Jadi mereka mahu sekolah Cina dan Tamil dihapuskan. Kepada orang Cina dan India pula, kekalkan sekolah Cina dan Tamil, tapi hapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Dr Mahathir berkata beliau pernah mengemukakan konsep dan aspirasi Bangsa Malaysia sewaktu memperkenalkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 di mana semua kaum meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan kaum masing-masing.

Dr Mahathir berkata, kalau kaum-kaum di Malaysia terus memperjuangkan hak masing-masing berdasarkan negara asal mereka, maka ini jelas membuktikan bahawa mereka mengaku mereka adalah pendatang.

Sekarang Adalah “Masa Depan”

Beliau mengingatkan orang Melayu, apa yang mereka lalui hari ini adalah “masa depan” yang diperjuangkan oleh orang Melayu sebelum merdeka.

Sama ada “masa depan” yang akan mendatang yang sedang dibahaskan sekarang akan lebih baik dari yang ada pada hari ini atau sebaliknya bergantung kepada kesepakatan orang Melayu dan pemimpin mereka.

Dr Mahathir membuat kesimpulan semasa orang Melayu lemah di segi politik dan ekonomi, mereka menjadi kuat hingga mampu melawan Malayan Union dan akhirnya mencapai kemerdekaan kerana mereka bersatu padu.

Hari ini, orang Melayu mungkin lebih kuat sedikit di segi ekonomi, tetapi mereka lemah di segi politik sehingga terpaksa bergantung kepada kaum-kaum minoriti kerana Melayu berpecah-belah, korup dan mudah diperkotak-katikkan. Penawar kepada maladi (penyakit) bangsa ini, kata Dr Mahathir, adalah perpaduan.

sumber:-

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH