Pertemuan serlah isu bahagian, kepemimpinan
Oleh Azhar Abu Samah
bhnews@bharian.com.my
2011/02/14
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pertemuanserlahisubahagian_kepemimpinan/Article
PM guna peluang dengar sendiri perjalanan, pengurusan beri input berguna bela nasib rakyat
BAGI kepemimpinan UMNO, terutama Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, sesi pertemuan khas bersama 118 ketua bahagian UMNO bukan Ahli Parlimen, Sabtu lalu amat penting untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin akar umbi bagi membolehkan beliau menentukan hala tuju dan tindakan seterusnya demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, ada pula pihak yang ‘membaca’ pertemuan itu yang menjadi sebahagian rancangan ‘transformasi politik’ itu berkemungkinan ada kaitan Parlimen akan dibubarkan supaya pilihan raya umum dapat diadakan, apatah lagi pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin itu dilihat seolah-olah memberi tumpuan khusus kepada Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor dan Wilayah Persekutuan – yang dikuasai pakatan pembangkang apabila kepemimpinan UMNO dari negeri berkenaan mendahului pertemuan dengan Najib sebelum wakil negeri lain di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Walau apapun alasan diberikan Najib bagi mengelakkannya dikaitkan dengan pilihan raya umum, hakikatnya pembangkang akan tetap menjuruskannya ke arah itu. Paling penting, beliau sudah mendapat gambaran awal mengenai kelebihan atau kekurangan, mahupun kelemahan di sesuatu bahagian UMNO. Tidak dinafikan, ada ketua bahagian yang mungkin memberikan laporan ‘tidak seperti digambarkan’ kepada beliau, namun Perdana Menteri pastinya sudah pun mendapat laporan awal daripada ‘sumber-sumber’ beliau sendiri mengenai kerenah kepemimpinan di bahagian yang bermasalah.
Seperti kata Presiden UMNO itu, beliau menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk mendengar sendiri perjalanan, pengurusan kepemimpinan peringkat bahagian serta permasalahan dihadapi, sekali gus memberikannya banyak input berguna untuk membela nasib rakyat.
“Sesi ini sangat berguna walaupun ambil masa sangat panjang. Saya duduk di kerusi sejak jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, tak bergerak. Tetapi, ia sangat berfaedah kerana saya dan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dapat dengar pandangan mereka mengenai rintihan dan keperluan rakyat,” katanya pada sidang media ketika sesi itu dihentikan sementara kelmarin.
Sebelum ini, program sama diadakan khas untuk semua Ahli Parlimen BN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak. Dijangkakan, dalam tempoh terdekat, satu lagi sesi pertemuan akan diadakan membabitkan semua ADUN BN.
Ketika pertemuan ini, Najib mengakui banyak isu seperti soal projek kecil, kemudahan asas termasuk ada yang memohon pembangunan hospital dan sekolah di kawasan masing-masing dibangkitkan kepada beliau. Semua maklumat itu, termasuk beberapa memorandum yang diserahkan direkodkan sebelum ditapis untuk diselesaikan dalam jangka pendek, manakala isu memerlukan proses jangka panjang akan diselesaikan berperingkat kerana kerajaan tidak boleh menyelesaikan semua isu secara serentak disebabkan masalah peruntukan kewangan, selain perlu mengutamakan keperluan membabitkan kehendak dan kepuasan rakyat.
Daripada senario yang lebih meluas, kepemimpinan tertinggi UMNO sudah menyelesaikan masalah yang membabitkan kepemimpinan UMNO negeri, berikutan rombakan jawatan Pengerusi Perhubungan negeri yang membabitkan Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu yang pelantikan berkenaan diterima baik oleh pengurusan UMNO negeri.
Bagaimanapun, sehingga kini beberapa masalah kepemimpinan bahagian masih berlarutan tetapi tidak sampai ke tahap kronik sehingga ada ahli yang meninggalkan parti, kecuali tugas pimpinan bahagian diletakkan di bawah Pengerusi Perhubungan negeri, misalnya UMNO bahagian Rantau Panjang di Kelantan atau ‘permusuhan’ berterusan pemimpin bahagian Permatang Pauh di Pulau Pinang dan pada peringkat negeri, ‘perbalahan’ terbuka di antara Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dengan Ketua UMNO bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.
Sebelum ini pun, timbul sedikit ‘permasalahan’ dalam UMNO Terengganu dan sudah diselesaikan Najib dengan melantik Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan negeri menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dari segi lahiriah, sudah tidak nampak masalah yang membabitkan UMNO negeri berikutan perubahan kepemimpinan yang dilaksanakan baru-baru ini. Bagaimanapun, budaya ‘cah keting’ yang begitu sinonim di Kelantan dan Terengganu sedikit masa lalu, kini sudah merebak ke Kedah.
Ia diakui Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa Perdana Menteri mengingatkan beberapa bahagian di Kedah supaya mengurangkan isu dalaman termasuk ‘cantas-mencantas’, antaranya di bahagian Sungai Petani.
Di sebalik ‘kelemahan’ kecil yang dialami UMNO, kesepaduan kepemimpinan pada semua peringkat di seluruh negara kelihatan semakin kukuh. Satu demi satu program dirangka untuk mengukuhkan kedudukan UMNO pada pengundi, selain negeri yang dikuasai pembangkang ketika ini, sudah berani menetapkan sasaran untuk merampas kepemimpinan negeri.
Kejayaan ‘Gelombang Biru’ di Terengganu yang dapat merampas tampuk kepemimpinan pada Pilihan Raya Umum 2004 daripada PAS ternyata memberi inspirasi kepada UMNO Kelantan untuk membuat pendekatan sama. ‘Gelombang Merah Transformasi Kelantan’ yang dilancarkan Mustapa baru-baru ini, bakal menjadi pemangkin kepada UMNO dan BN negeri mencapai matlamat menguasai 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Tidak mustahil ia dapat dicapai jika semua pemimpin ikhlas untuk menjayakannya, selain mengutamakan parti daripada kepentingan diri.
No comments:
Post a Comment