Thursday, September 16, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE 47

Kukuhkan perpaduan demi sebuah negara berdaulat

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

BUAT pertama kalinya dalam sejarah pembentukan negara Malaysia, tarikh 16 September dijadikan cuti umum bagi seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengisthiyarkan cuti umum itu pada tahun lalu berkata, Hari Malaysia akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Cuti umum itu boleh digunakan untuk saling kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan beragama Islam yang masih menyambut Hari Raya Aidilfitri. Inilah masa paling sesuai dan mengambil keberkatan Syawal, rumah terbuka yang diadakan diharap dapat mengukuhkan perpaduan rakyat. Inilah juga masa paling sesuai untuk memahami perbezaan budaya sesama rakyat dalam menghayati sambutan hari bersejarah ini.

Lebih daripada itu, sambutan Hari Malaysia yang diraikan hari ini oleh seluruh rakyat dari Perlis hingga ke Sabah diharap dapat mengukuhkan perpaduan penduduk berbilang kaum. Uniknya negara Malaysia kerana ia memiliki penduduk yang berbeza warna kulit, keturunan, etnik, budaya, agama, bahasa ibunda dan bangsa yang mana selepas 53 tahun negara ini bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris dan 47 tahun membentuk Malaysia, kita masih hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni.

Tidak ada perbalahan kaum yang berlaku lagi selepas tragedi 13 Mei 1969 dan setiap pemimpin kaum dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedamaian yang dimiliki hari ini, walaupun ada kalanya, keharmonian itu dijentik sedikit oleh pemimpin-pemimpin yang cepat melatah dalam mendepani isu berkaitan perpaduan rakyat.

Apa yang kita harapkan, perhimpunan di bumi Sabah Negeri Di Bawah Bayu pada hari ini akan menjadi titik permulaan kepada semua pemimpin kaum dan setiap rakyat untuk bermuhasabah diri bahawa sebarang kerosakan pada jalinan perpaduan yang wujud sekarang hanya akan memberi kesan paling buruk dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Adakah kita mahu kehidupan aman damai sekarang rosak dek kerana sikap segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh. Memang diakui bahawa suasana dalam negara sekarang agak membahang, bukan kerana perubahan cuaca global yang semakin meningkat, tetapi kerana sikap sesetengah pemimpin kaum yang gemar bermain api.

Justeru, peranan kita sebagai rakyat yang merdeka adalah berusaha dengan penuh bijaksana agar api permusuhan yang dimulakan oleh mereka yang hanya memikirkan diri sendiri sehingga membelakangkan kepentingan negara dapat dipadamkan dan dibenamkan terus ke dalam lumpur laut dalam.

Selain itu, beberapa insiden yang dilihat boleh menjejaskan silaturahim antara kaum yang berlaku sejak kebelakangan ini hendaklah dijadikan iktibar dan biarkanlah biduk berlalu agar kiambang dapat bertaut semula.

Apa yang penting adalah sepakat membawa berkat di mana kesepakatan dan jati diri yang utuh dan padu wajar ada pada diri setiap warga negara ini.

Tanpa toleransi, hormat menghormati dan saling memahami, maka segala apa yang kita miliki termasuk ekonomi yang mantap, pembangunan yang rancak dan keselamatan persekitaran dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini akan runtuh menyembah bumi. Adakah kita mahu ia berlaku di negara bertuah ini? Tepuk dada, tanya selera. Salam 1Malaysia.

1 comment:

  1. Gelombang Rakyat ingin mengucapkan SYABAS atas pengendalian blog anda yang semeamangnya mempengaruhi masyarakat terutamanya pengundi2 baru..

    Di harap dapat memberi tunjuk ajar mengenai pengendalian artikel yg mantap..

    Kami tlh linkkan blog anda di dalam senarai blog pilihan kami..

    Kami memohon jasa baik pihak anda agar dapat linkkan blog kamI di dalam senarai blog anda.

    SEKIAN, SALAM KASIH DARI,

    Melayu CinDia
    Wakil Blogger2 GELOMBANG RAKYAT.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH