Friday, September 17, 2010

PERKARA 3(1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Memahami sejarah undang-undang Islam

Oleh Siti Shamsiah Mohd. Sufi

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

MASIH ada lagi yang mentafsir agama Islam dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan tafsiran yang sempit iaitu bersifat upacara dan istiadat sahaja.

Kefahaman ini merujuk kepada penggunaan Islam dalam upacara-upacara rasmi seperti ucapan basmalah dan bacaan doa semasa upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Apabila Islam dijadikan agama Persekutuan dan tanpa menafikan agama-agama lain yang boleh diamalkan dengan aman dan damai, maka ia sewajarnya perlu diterjemahkan sebagai agama negara sekali gus agama Islam wajar menerima keistimewaan-keistimewaan tertentu dalam urusan-urusan kenegaraan dan pemerintahan.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan turut memberi pengukuhan bahawa agama Islam bukan sekadar berfungsi sebagai hiasan untuk upacara-upacara rasmi, malahan juga sebagai teras undang-undang negara.

Kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan realiti hari ini sebagai refleksi atau kesan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah. Ia termasuklah berhubung soal-soal yang berkaitan dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan yang menjadi ketua agama Islam negeri-negeri.

Pelajaran sejarah diajar kepada murid-murid sejak di bangku sekolah rendah lagi bagi melahirkan warganegara yang cintakan negara, berjiwa patriotik dan bersatu hati.

Ia juga bertujuan membentuk individu yang bersyukur terhadap nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang diraih selepas tamatnya fasa perjuangan yang menuntut pengorbanan darah dan air mata.

Namun malangnya selepas 53 tahun kemerdekaan, dan selepas 47 tahun Persekutuan Tanah Melayu diberi nama Malaysia, agama Islam sebagai agama Persekutuan masih tidak menerima pentafsiran sewajarnya.

Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa situasi yang malang ini antaranya adalah disebabkan rakyat Malaysia tidak memahami, malah mungkin juga sebenarnya tidak mengetahui langsung tentang latar belakang atau sejarah Undang-undang Islam di Tanah Melayu/Malaysia.

Selaras dengan perkara ini juga, pada pengamatan penulis, bukanlah tafsiran yang matang sekiranya pentafsiran terhadap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bersumberkan hasil kajian perundangan sekadar dalam tempoh Tanah Melayu menerima campur tangan British dalam soal-soal pemerintahan dan pentadbiran.

Ini kerana agama Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah agama Islam yang dibentuk semula oleh British, bahkan agama Islam tulen yang diterima oleh rakyat tempatan pada awal abad ke-14 di negeri Terengganu. Malah, kalangan sarjana sejarah tidak menolak kemungkinan negara ini menerima agama Islam lebih awal dari masa berkenaan.

Sehubungan itu, apabila kerajaan Melayu Melaka menerima Islam, maka Hukum Kanun Melaka digubal dengan menjadikannya sebagai undang-undang kerajaan Melayu Melaka yang wajib dipatuhi oleh rakyat dan para pendatang pada masa itu.

Hukum Kanun Melaka merupakan undang-undang yang disusun oleh Hang Sidi Ahmad atas perintah Sultan Muhammad Syah dan disempurnakan semasa pemerintahan anakanda baginda, Sultan Muzaffar Syah.

Pengkanunannya berasaskan Undang-undang Islam mengikut pandangan Imam Shafii dan Imam Ahmad yang turut menyertakan adat-adat Melayu. Hukum atau undang-undang bertulis ini kemudiannya dijadikan rujukan dalam penggubalan undang-undang negeri seperti Johor, Perak dan Pahang. Dalam kurun ke-19, Sultan Pahang pada ketika itu memaklumkan kepada pihak British, kes pembunuhan seorang pendatang Cina, Goh Hui akan diadili mengikut Undang-undang Pahang yang memperuntukkan qisas dan diyat.

Undang-undang Islam di Tanah Melayu berkembang dalam bentuk tersendiri apabila British meletakkan pengaruhnya secara dominan dalam sistem pentadbiran, kehakiman dan pemerintahan negara.

Dalam kes Re Omar bin Shaik Salleh lawan Mariambee, Hakim Jobling tanpa ragu-ragu mengumumkan bahawa Undang-undang Islam bukan sebahagian daripada undang-undang Singapura pada ketika itu.

Bagaimanapun, sebaliknya Hakim Gordon Smith menyatakan bahawa Undang-undang Islam adalah sebahagian daripada undang-undang yang berkuat kuasa di Pahang pada awal tahun 1940-an dalam kes The Official Administration FMS lawan Magari Mohihiko. Begitu juga dalam kes Shaik Abdul Latif lawan Shaik Elias Bux, Re-Ismail Rentah dan Siti lawan Mohamed Nor, kanun perwarisan orang Islam telah diterima pakai di negeri-negeri Melayu.

Ini menunjukkan bahawa, walaupun sesetengah hakim Inggeris menolak hukum Islam dalam membuat keputusan, tetapi ia tidak bermakna Undang-undang Islam pada ketika itu telah dimatikan fungsinya. Malah, sebahagian hakim Inggeris telah menjadikan Undang-undang Islam atau adat orang Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum syarak sebagai asas kepada pertimbangan mereka untuk mencapai keputusan tertentu.

Ketidakseragaman yang berlaku ketika mengambil asas pertimbangan dalam penghakiman menunjukkan kebebasan sikap British ketika mencampuri urusan negara kita. Maka menjadi tanggungjawab kita pada hari ini untuk memurnikan semula tafsiran-tafsiran terhadap undang-undang negara.

Pandangan yang mengatakan bahawa Tanah Melayu sebenarnya tidak dijajah tetapi lebih sebagai negara yang dilindungi (protected state) juga sewajarnya menjadi wacana negara yang perlu diberi perhatian kerana ia menyentuh secara langsung kedaulatan agama Islam.

Pemurnian tidak akan berlaku dengan sempurna dan saksama melainkan setiap warganegara mempunyai pengetahuan dan benar-benar memahami sejarah Undang-undang Islam di Malaysia.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat

Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM.


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH