Tuesday, August 14, 2012

MERDEKA 55 : "JANJI DITEPATI" vs "SEBANGSA SENEGARA SEJIWA"







Tema 'Janji Ditepati' lebih bermakna daripada 'Sebangsa Senegara Sejiwa'
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS




TEMA hari kemerdekaan 'Merdeka 55 Tahun Janji Ditepati' jelas menyebabkan pihak pembangkang rasa terpukul pukulan knock-out (KO). Dengan senarai manifesto yakni janji pilihan raya di Selangor masih banyak belum dipenuhi kerana mempolitikkan isu yang boleh selesai dengan sekeping surat, pembangkang ibarat cacing kepanasan.

Perdana Menteri sendiri kelmarin dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) sanggup ditolak oleh rakyat jika gagal menunaikan janji. Satu kenyataan berani yang jarang disebut oleh mana-mana pemimpin di dunia. Bagi parti pembangkang mereka pula lebih selesa mempolitikkan isu yang kadangkala bersifat senjata makan tuan.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said diharap boleh mendeklamasi sajak Tun Dr. Mahathir berjudul Melayu Mudah Lupa kepada 'kawan-kawannya' dalam kalangan ahli parti pembangkang. Masihkah kita semua masih ingat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata, perjuangan UMNO dan BN adalah bersifat kebangsaan bukannya untuk agama Islam. Namun hari ini beliau sendiri dipaksa menerima tema 'Sebangsa, Senegara dan Sejiwa'. Sepatutnya bukan sebangsa tapi seagama.

Jika Pas mendukung tema ini, ia jelas memperlihatkan sikap hipokrit yang melampau dalam kepimpinan parti tersebut. Baru-baru ini semasa debat dengan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya dari Ilmuwan di Shah Alam, Selangor Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan juga 'terkantoi' dengan kenyataan tentang sokongan Pengerusi DAP, Karpal Singh bertoleransi dalam soal pelaksanaan hukum hudud. Sedangkan DAP konsisten dengan pendirian mereka menolak hukum tesebut.

Hari ini parti pembangkang cuba mempolitikkan tema hari merdeka seolah-olah perkataan Janji Ditepati ibarat cahaya lampu limpah menyuluh ke arah mereka. Semasa tema 1Malaysia digunakan pada Hari Kemerdekaan tahun 2009, tidak pula mereka mencipta tema sendiri, sedangkan jika dibaca dan difikirkan tema 'Sebangsa, Senegara dan Sejiwa' sama sahaja maknanya dengan Dasar 1Malaysia kecuali mereka tidak akan mematuhi motto 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Motto mereka adalah 'Politik didahulukan, Polemik diutamakan'.

Tema Senegara dan Sebangsa boleh juga diterima, kerana berbunyi patriotik, namun Sejiwa, ia jelas bercanggah dalam kepimpinan parti pembangkang sendiri. Sehingga hari ini, PKR, Pas dan DAP masih belum mencapai makna sejiwa dalam perjuangan politik mereka.

Adakah mereka pasti mereka mampu sejiwa kerana DAP jelas tidak sebulu dengan Pas dalam soal perlaksanaan hukum hudud, hingga ada yang mengecop hubungan antara mereka lebih bersifat kahwin paksa.

Bagi PKR sendiri masih berkira-kira mencari calon lompat parti dalam kem mereka sebagai calon pilihan raya. Adakah calon dalam DAP dan Pas tidak layak mengisi slot tersebut hingga tawaran dibuat kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dianggap berjiwa lemah dalam perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. Hakikatnya yang berjiwa lemah dan tamakkan kuasa hanya segelintir yang sanggup mencurahkan air di tempayan setelah mendengar guruh di langit, sedangkan ia bunyi kapal terbang yang melintas.

Kepada pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang, cukup-cukuplah mereka ditimpa Tragedi 16 September 2008 hingga pemimpin seperti Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin turut tertipu dengan janji Ketua Pembangkang hendak mengambil alih Putrajaya. Mempolitikkan tema merdeka jelas menunjukkan mereka sudah kehabisan peluru untuk menyerang Dasar 1Malaysia yang hadir dengan pelbagai jenis produk hingga membuatkan mereka tidak lagi ruang untuk mengkritik.

Apa yang boleh disimpulkan ketiga-tiga parti masih bersikap jiwa-jiwa, bak kata orang muda hari ini terlalu sensitif dengan setiap dasar kerajaan hingga tiada satu pun dasar yang dianggap cocok dengan naluri mereka. Contohilah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengotakan segala janji Bajet 2012 yang dibentangkan 7 Oktober tahun lalu.

Justeru, kepada pemimpin pembangkang jika tema Janji Ditepati berbunyi terlalu BN maka terimalah dengan hati dan minda yang terbuka kerana pengertian Janji Ditepati begitu luas. Ia mungkin bermakna saranan kepada diri mereka sendiri untuk segera menunaikan janji-janji manifesto yang masih tertunggak kerana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sudah tidak lama lagi. Mungkin itu yang menyebabkan pemimpin pembangkang berasa tidak puas hati seolah-olah dunia ini tidak adil kepada mereka. Hakikatnya pembangkang adalah rakyat Malaysia juga dan perlulah mereka menghormati pendirian Ulil Amri yang melahirkan tema tersebut.

Pihak pembangkang perlu segera menunaikan janji manifesto mereka sebelum dicop sebagai munafik dan ditolak oleh pengundi. Di Selangor, rakyat sanggup memilih pakatan pembangkang sebagai kerajaan negeri pada PRU-12 dan memberi mereka peluang mentadbir, namun setakat ini tidak banyak yang boleh dibanggakan oleh rakyat negeri ini. Rumah kos rendah pun tidak ada.

Tema Janji Ditepati hendaklah juga dihayati oleh pemimpin Barisan Nasional di seluruh negara supaya jangan terlampau petah membuat janji tapi tidak ditepati. Ingatlah bahawa parti pembangkang seperti PKR dan parti Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform Front - SRF) sedang giat mengintai calon untuk direkrut sebagai skuad penabur janji yang baru. Insya-Allah, kepada pemimpin BN yang menjadi calon PRU-13 dan komited menunaikan janji, pasti meraih undi majoriti.



Sunday, August 5, 2012

MERDEKA 55 : JANJI DITEPATI









Hayati 55 Tahun Merdeka

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.






PERTAMA sekali mari kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi, dengan rahmat-Nya Malaysia hari ini telah mencapai 55 tahun kemerdekaan. Bertapa bertuahnya kita sebagai warganegara yang menikmati keamanan ini hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan? Jika kita bertanya kepada masyarakat umum, pelajar, mahupun mahasiswa, pasti mereka menjelaskan bahawa kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing.

Namun, pada tulisan kali ini penulis ini mengajak sidang pembacaan sekali, untuk menghayati erti kemerdekaan daripada sudut yang lebih luas, bukan sahaja mengenal erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing, namun yang ingin kita lihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu merangkumi kemerdekaan dari sudut mentaliti, sahsiah, dan juga sosial kemasyarakatan.

Adakah kita benar-benar merdeka? Satu persoalan yang bersifat subjektif yang mana jawapannya pelbagai. Ya kita sebenarnya benar-benar merdeka. Buktinya, Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957. Kita mampu mencipta nama di pentas dunia, kita mampu mencipta nama dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi. Namun, kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan berstatus mutlak, kerana, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda masih lagi terjajah.

Mengapa penulis berhujah sedemikian? Contoh kecil yang boleh penulis ketengahkan pada kali ini adalah penggunaan bahasa Inggeris, yang mana kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Niat penulis bukanlah ingin menyentuh mana-mana pihak tetapi, lebih kepada mencetus kesedaran kita dalam soal penggunaan bahasa dalam perspektif kemerdekaan. Adakah kita masih dijajah mahupun bebas?

Ramai yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu turut mampu meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas, jika kita sedar bahawa bahasa itu sebagai warisan bangsa.

Kita cukup bangga apabila anak kita boleh fasih berbahasa Inggeris, namun kita tidak rasa sedikit pun kebimbangan jika kita anak kita tidak betul berbahasa Melayu. Hal ini disebabkan minda kita masih lagi terjajah yang mana bahasa Inggerislah segala-galanya kehidupan kita hari ini.

Tanggap buruk perlu kita ubati dengan segera, kerana menurut Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini.

Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.

Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka adalah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris.

Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009: Bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).

Oleh yang demikian, setelah kita mencapai 55 tahun kemerdekaan yang akan genap 31 Ogos nanti, marilah kita renung kembali, fikirkan sejenak adakah kita pada hari ini masih lagi terjajah mahupun bebas seperti diuar-uarkan.

Merdeka mahupun kemerdekaan itu besar ertinya, hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya, semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur, dan sepakat. 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55.

KUALA LIPIS BERSEJARAH