Tuesday, May 29, 2012

MELAYU MESTI PIMPIN TANAH MELAYU











Melayu wajar memimpin Malaysia

Oleh TALIB SAMAT
PROF.MADYA DR.TALIB SAMAT
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI Tanjong Malim, Perak.



SAYA sangat tertarik membaca tulisan Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya "Tidak Wajar Bukan Melayu Memimpin Tanah Melayu" (Utusan Malaysia, 26 Mei 2012).

Tulisan itu memperlihatkan kepekaan beliau terhadap kepentingan dan keabsahan orang Melayu sebagai golongan majoriti negara ini sebagai pemimpin Malaysia dan sikap ultra kiasu parti DAP yang semakin menjadi-jadi dewasa ini.

Saya ingin menyarankan juga agar jawatan Perdana Menteri Malaysia sewajarnya dipegang oleh orang Melayu yang beragama lslam daripada kalangan Ahli Sunnah WalJamaah. Hal ini sejajar dengan hujah betapa orang Melayu yang beragama lslam dan golongan majoriti di negara ini adalah golongan paling berhak untuk memimpin negara Malaysia sampai bila-bila.

Saya juga ingin menyarankan agar Perlembagaan Malaysia diperbaiki dan memasukkan ayat hanya orang Melayu yang beragama lslam daripada golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang wajar memegang jawatan Perdana Menteri.

Hal ini sangat berkait rapat dengan realiti politik selama ini sejak negara merdeka hingga kini dan akan datang sewajarnya berperdana menterikan seorang Melayu beragama lslam sejajar dengan kedudukan lslam sebagai agama rasmi negara, ketuanan Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

Golongan ultra kiasu seperti yang disebut oleh Mohd. Ridhuan Tee dalam tulisannya itu sewajarnya tidak buta sejarah dengan perjuangan bangsa Melayu memperjuangkan pembukaan dan kemerdekaan negara ini dengan segala macam pengorbanan yang bukan sedikit.

Bacalah buku-buku sejarah Malaysia dahulu dan sekarang mahupun Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang betapa hebatnya orang Melayu mentadbir negara ini dan usaha-usaha mereka memerangi penjajah barat untuk mempertahankan bumi Tanah Melayu ini.

Malah penentangan hebat terhadap penjajah barat itu memunculkan ramai pahlawan-pahlawan bangsa seumpama Mat Kilau di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor di Perak dan pahlawan-pahlawan lain yang tercatat dalam buku sejarah.

Apakah sumbangan golongan ultra kiasu ini dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu? Kosong dan hampas. Tetapi golongan inilah yang sering menimbulkan kemarahan orang Melayu dan umat lslam dengan mengemukakan tuntutan yang melampau-lampau dan melanggar kontrak sosial dengan penduduk majoriti umat Melayu.

Golongan ultra kiasu yang tidak pernah bersyukur dan berterima kasih kepada bangsa Melayu selaku penduduk asal dan majoriti rakyat negara ini sewajarnya disedarkan selalu dan ditolak oleh rakyat Malaysia kerana sering menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan pelbagai isu dan agenda yang sengaja dirancang untuk memporakperandakan negara ini.

Begitu juga dalam suasana semakin ramai rakyat negara ini yang buta sejarah kerana tidak tahu sejarah asal-usul diri masing-masing, pihak kerajaan sewajarnya mempercepatkan pengajaran subjek Sejarah sebagai subjek wajib di semua peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi.

Akibat tidak tahu asal-usul diri dan bangsa masing-masing inilah golongan ultra kiasu mahupun yang sealiran dengannya sering mengeluarkan kenyataan yang sangat menyinggung hati nurani orang Melayu dan umat lslam selaku golongan majoriti negara ini.

Mala petaka dan bencana yang menimpa bangsa Melayu apabila golongan ultra kiasu memerintah Singapura dan Pulau Pinang dewasa ini sewajarnya membuka mata dan hati orang Melayu dan lslam di Malaysia. Kesusahan dan keperitan yang akan mereka tempuhi sekiranya mereka menguasai dan memerintah Malaysia. Nasib buruk yang menimpa bangsa Melayu di kedua-dua negeri ini wajar menjadi renungan berharga bagi golongan bangsa Melayu yang masih bermimpi di siang hari dan malas berfikir bencana yang mereka akan terima nanti.

Lihat dan hayatilah nasib malang rakyat Palestin yang ditindas oleh regim lsrael yang merampas dan menjajah negara Palestin pada 1948.

Apa yang dialami oleh rakyat Palestin akibat ditindas oleh rejim lsrael hari ini yang sentiasa diburu oleh rejim lsrael hampir sama akan dialami oleh bangsa Melayu atau umat lslam di Malaysia sekiranya golongan ultra kiasu ini memerintah Malaysia atau menjadi PM dengan pelbagai dasar yang merugikan dan meminggirkan bangsa Melayu seperti yang terjadi di Pulau Pinang sekarang mahupun di Singapura.

Bagi golongan yang buta sejarah atau tidak mahu berfikir golongan ultra kiasu yang sudah berkuasa di Singapura dan Pulau Pinang ini dengan segala macam dasarnya yang mencerut bangsa Melayu dan umat lslam sebaiknya sedar segala tipu helah mereka. Mereka wajar sedar akibat tiadanya penyatuan di kalangan bangsa Melayu dan parti-parti politik Melayu yang hanya mengejar kuasa , golongan ultra kiasu semakin berani mengutarakan idea-idea mereka yang menyakitkan hati orang Melayu.

Sekiranya mereka mempelajari sejarah negara Malaysia, konsep perkongsian kuasa, konsep kontrak sosial dan isu-isu yang dipersetujui semasa datuk nenek moyang golongan pendatang ini berhijrah ke Malaysia atau Tanah Melayu ratusan tahun dahulu, mereka tidak akan berani menampilkan isu PM daripada golongan bukan Melayu.

Kontrak sosial dan perkongsian kuasa secara tersiratnya sudah menjelaskan orang Melayu beragama lslam bukan sahaja menjadi pemerintah negara ini termasuk PM apalagi Yang di-Pertuan Agong tentunya daripada golongan orang Melayu yang beragama lslam. Bukan penduduk golongan bukan Melayu yang merupakan golongan minoriti rakyat negara ini.

Secara tersiratnya bererti golongan majoriti tentunya penduduk berbangsa Melayu dan beragama lslam wajar menjadi PM dan pemerintah negara ini.



Thursday, May 17, 2012

MOSSAD TAK MUSUHI YAHUDI









Melayu tiada tempat dalam DAP

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my



SEJARAH penyertaan orang Melayu atau pemimpin Melayu dalam DAP penuh ranjau berduri. Kalau boleh dikaji senarai kepemimpinan Pusat parti itu, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir 67 peratus rakyat hanya mempunyai dua wakil sahaja. Bumiputera Sabah dan Sarawak pula langsung tidak diwakili.

Meskipun dikatakan DAP Melayu sudah bertapak bagi suatu tempoh yang agak lama sejak 1969 di mana dalam catatan sejarah, Melayu DAP pernah memenangi satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri, namun kedudukan Melayu dalam parti pimpinan Lim Kit Siang itu penuh dilema. Tidak terarah.

Barangkali yang masih diingati pemimpin Melayu dalam DAP ialah Allahyarham Ahmad Nor yang memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1990. Itu pun populariti beliau diwarnai penglibatan aktifnya dalam sebuah kesatuan sekerja.

Dan kalau nak dikira pemilihan calon-calon Melayu untuk menggalas cabaran DAP pun hanya sekelumit - yang memang pun boleh dikira dengan jari dalam dekad demi dekad. Antaranya, penyandang kerusi DUN seperti Ibrahim Singgeh (1969), Tapah Road, Perak; Hassan Ahmad (1969) Si Rusa, Perak; Fadzlan Yahya (1982), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1986), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1990), Lahat, Perak dan Mohd Asri (1990), Dermawan, Perak.

Dan selepas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat keputusan keluar dari parti itu baru-baru ini, hampir tidak ada pemimpin Melayu dari DAP yang cukup dikenali. Kalau adapun, seorang yang bernama Zulkifli Mohd. Noor tetapi dia hanya menyandang Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang meskipun merupakan seorang pemimpin Melayu veteran dalam DAP sejak hampir 25 tahun.

Yang menyerlah dalam pandangan rakyat terutama orang Melayu adalah DAP sebagai parti ‘anak-beranak sendirian berhad’ walaupun mereka berkokok dan menjerit kononnya keahlian mereka adalah berbilang kaum.

Pada masa sama, dua perkataan iaitu kronisme dan nepotisme (juga dinasti) jugalah yang menjadi modal besar DAP selain ‘dianuti’ sama sekutu parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana si ayah menjadi ketua umum (PKR), si ibu menjadi presiden dan si anak pula naib presiden.

Secara realiti, DAP sebagai parti politik tidak pernah berubah sejak lima dekad lalu (iaitu 50 tahun). Sejak pembentukan rasminya pada 1966, DAP ialah Kit Siang dan Kit Siang ialah DAP. DAP ialah parti Satu-Orang, yang disokong oleh Dinasti Lim.

Struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966. Supremo parti itu masih Kit Siang dan anaknya, Guan Eng (yang berubah hanya jawatan). Diuar-uarkan DAP parti berbilang kaum, tetapi nampaknya Melayu di dalamnya tidak ada arah. Kaum India juga serupa melainkan mungkin hanya Karpal Singh seorang.

Semasa hampir kesemua parti politik mengalami perubahan dalam barisan kepemimpinan sejak beberapa dekad lalu, tapi apa sudah jadi dengan pihak yang sering bertempik mengenai perubahan, seperti DAP?

Sepanjang riwayat politiknya, Kit Siang sering mendesak para pemimpin BN meletak jawatan kerana ‘kamu sudah terlalu lama’, ‘beri peluang kepada yang lain’, ‘anda sudah tua’, tapi dia sendiri pula macam mana?

Di mana perubahan yang anda laung-laungkan itu Kit Siang? Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - “DAP Sdn. Bhd."

Ini pernah berlaku dalam DAP ketika Kit Siang berkuasa dengan penyingkiran cara halus pemimpin seperti Tan Sri Lee lam Thye, Wee Chee Keong dan ramai lagi untuk menyediakan laluan kepada anaknya Lim Guan Eng dan menantu beliau, Betty Chew.

Anwar juga melakukan perkara yang sama semasa pemilihan PKR yang menyaksikan Zaid Ibrahim dan Gobalakrishnan bertindak keluar parti. Sebelum itu beberapa wakil rakyat juga bertindak demikian seperti Zulkifli Noordin dan Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim yang juga bekas Setiausaha Agung PKR.

Semua ini dilakukan oleh Anwar untuk memudahkan laluan kroninya Azmin Ali dan anaknya Nurul Izzah. Ini juga untuk memastikan edudukan isteri beliau, Wan Azizah sebagai Presiden PKR tidak tergugat. Ini adalah fakta dan peristiwa yang telah berlaku.

Dan kalau dilihat semasa dini hari diumumkan kemenangan pembangkang di Pulau Pinang pada Mac 2008, sebaik sahaja tiba di tempat perisytiharan kemenangan di George Town, tanpa segan silu diumumkan beliau adalah penyandang jawatan Ketua Menteri.

Padahal jika hendak dikira, individu yang paling layak yang juga anak tempatan bukan Guan Eng yang ‘lari’ dari Melaka ke Pulau Pinang. Sebaliknya individu berkenaan adalah Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Dan ketika Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang baru,Teng Chang Yeow supaya berentap dengan Kon Yeow di DUN Padang Kota pada PRU-13, banyak pihak mula mempersoalkan sama ada ia mahu ‘membunuh’ karier politik veteran DAP tersebut.

Ini memandangkan imej dan potensi Chang Yeow semakin terserlah kebelakangan ini dalam kalangan kaum Cina Pulau Pinang dengan kelantangannya memperjuangkan nasib masyarakat itu. Apatah lagi, Padang Kota bukanlah asing buatnya kerana pernah bertapak di situ sebagai wakil rakyat selama tiga penggal iaitu dari tahun 1995 hingga 2008 sebelum tewas kepada Kon Yeow pada PRU-12.

Namun seperti mana nasib Melayu dalam DAP, demikianlah juga persepsi kepemimpinan parti itu terhadap orang Melayu.

Apabila Wei Aik mencabar Chang Yeow, dia mengaitkan cabarannya itu dengan UMNO, sebuah parti yang disertai majoriti umat Melayu.

Kata Wei Aik, Chang Yeow mesti menyahut cabarannya itu untuk membuktikan bahawa dia bukanlah boneka UMNO.

Ketika kempen PRU-12 yang semakin agresif tempoh hari, Guan Eng acap kali memainkan isu-isu perkauman yang banyak menimbulkan kemarahan masyarakat Cina.

Isu yang ‘popular’ dimainkan DAP ialah UMNO. Antaranya, konon jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dirampas oleh UMNO - yang merupakan tonggak harapan orang Melayu.
Hakikatnya Melayu memang tidak ada tempat dalam DAP.






Tuesday, May 15, 2012

UMNO RELEVAN FOR ALL






UMNO dinamik dan tetap relevan

Ku Seman Ku Hussain



APABILA Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun kecundang dalam pilihan raya umum 2009, ada pihak cuba menyamakan LDP dengan UMNO. Ini kerana LDP menerajui Jepun sejak 1955 hingga 2009 walaupun pernah tewas selama 11 bulan pada tahun 1993. UMNO pula ditubuhkan tahun 1946 dan terus berkuasa hingga kini.

LDP bertanggungjawab mengubah Jepun daripada padang jarak padang tekukur akibat bom atom di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua. Tetapi pada 2009 LDP ditolak oleh rakyat dan memilih parti pembangkang, Parti Demokratik. Ada pihak cuba menyamakan Parti Demokrat itu dengan pembangkang di negara ini.

Sebenarnya menyamakan UMNO dengan LDP adalah sudut pandangan yang dangkal. Ini satu provokasi murahan tanpa bertolak dari hujah matang. Seolah-olah apabila sesebuah parti itu melepasi usia setengah abad ia mesti digantikan dengan parti lain. Hujah ini tidak boleh dipakai sama sekali.

LDP menerima nasib malang kerana faktor-faktor yang tidak sama dengan masalah UMNO yang terjejas dalam Pilihan Raya Umum 12 tahun 2008. Salah satunya LDP tidak mendengar suara rakyat meminta perubahan. LDP menjadi begitu elit dan angkuh apabila memegang gergasi-gergasi korporat sebagai peti wangnya.

Tetapi UMNO sentiasa berubah dan menerima kritikan. Buktinya Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah secara terbuka meminta maaf kepada rakyat dan berjanji akan membuat perubahan. Mengakui kesilapan adalah satu kekuatan dan itu tidak ada pada LDP.

Jumaat lalu genaplah usia UMNO 66 tahun. Sambutan ulang tahun itu dibuat dalam suasana meriah dan bersemangat. Dianggarkan lebih 100,000 ahli UMNO telah “memerah-putihkan" Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kemeriahan bukanlah penanda aras kekuatan UMNO. Tetapi ulang tahun UMNO kali ini mempunyai signifikan besar kerana PRU 13 dijangka diadakan tahun ini. Walaupun begitu perhimpunan lebih 100,000 orang itu sebenarnya adalah isyarat UMNO bersedia untuk menghadapi PRU 13.

PRU ini penting kerana menjadi tumpuan untuk melihat pencapaian yang dibuat UMNO selepas menerima isyarat rakyat dalam PRU 12.

Kalau diteliti, perubahan yang dibuat UMNO sangat ketara berbanding sebelum 2008. Perubahan ini bukan sahaja secara fizikal malah semangat dan iltizam untuk kembali kepada teras memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dalam konteks negara pelbagai kaum tanpa menafikan hak kaum lain.

Kerana itu UMNO mesti berjaya dalam PRU 13 untuk terus membangunkan negara. Walaupun teori politik menegaskan pilihan raya dengan membangunkan negara adalah dua perkara berbeza. Tetapi bagi UMNO, parti ini telah berjaya dalam kedua-duanya. Adalah suatu yang sangat malang sekiranya rakyat memilih parti yang hanya mahu berjaya dalam pilihan raya.

Dinamisme

Apabila menginjak usia 66 tahun, ada pula mempersoalkan apakah UMNO masih relevan? Tetapi hakikatnya relevan atau tidak sesebuah parti kepada rakyat dan negara tidak disukat pada usia. Sebuah parti yang dinamik akan terus relevan dengan sosiopolitik semasa biar berapa puluh tahun usianya.

Dinamisme adalah faktor sangat penting untuk UMNO meneruskan kelangsungan. Ciri-ciri dinamiklah yang meletakkan perjuangan parti pada landasan betul dan tepat kepada sasaran. UMNO berada pada kedudukan ini. Buktinya selepas melepasi satu demi satu pilihan raya umum, UMNO terus relevan dengan zaman. Walaupun perpecahan UMNO dikatakan berlaku pada 1999 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi UMNO terus diberi keyakinan untuk berkuasa.

Kita kena terima hakikat bahawa perjuangan UMNO semasa ditubuhkan pada 1946 dulu pada era Dato’ Onn jauh berbeza dengan UMNO pada era Najib. Sosiopolitik berubah dan laras perjuangan UMNO juga turut berubah, dari memperjuangkan kemerdekaan beralih kepada mempertingkatkan ekonomi orang Melayu dan kini memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Sesebuah parti politik tidak menjadi kuat dan relevan hanya dengan sejarah yang panjang. Dalam konteks UMNO, sejarah tidak begitu menyumbang. Sejarah memang penting kerana ia adalah cermin menoleh masa silam dan juga obor menyuluh masa depan. Tetapi hakikat penanda aras UMNO adalah pencapaian semasanya.

UMNO yang terus mempertahankan keutuhan hingga kini bukanlah menumpang sejarahnya yang besar. Sebaliknya UMNO terus mencipta sejarah. Misalnya UMNO pada era Tun Dr. Mahathir mencipta sejarah kebangkitan dan menjadi rujukan. Ibu bukan kerana hampir separuh dari usia UMNO berada pada era kepimpinan Dr. Mahathir tetapi UMNO menonjol dalam perikatan Barisan Nasional (BN). Dr. Mahathir juga berjaya mengekalkan taraf de fecto UMNO dalam BN dan kerajaan. Tidak timbul soal UMNO mahu mengatasi MCA atau MIC.

Walaupun UMNO tidak akan menerima nasib seperti LDP, tetapi dalam beberapa perkara UMNO perlu mengambil iktibar daripadanya. LDP tersingkir kerana ia terlalu berkuasa. Apabila terlalu berkuasa, ia boleh menukarkan parti bersifat rakyat kepada elit. Kerana elit dan kuasa ekonomi yang dipegang itulah LDP tidak menghiraukan rakyat yang tertekan dengan krisis ekonomi.

Tetapi pendekatan UMNO yang realistik dengan perubahan masa mendekati generasi muda sangat menyakinkan UMNO tidak akan menjejaki nasib malang LDP. Perubahan sosiopolitik dalam masyarakat khususnya peningkatan penembusan maklumat perlu diambilkira oleh UMNO untuk terus kukuh. Pembudayaan politik kalangan generasi hari ini jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Pada era perang maklumat dengan wujudnya teknologi maklumat terkini, generasi Y sekarang ini terdedah kepada terlalu banyak maklumat, tidak kira sahih atau palsu. Pembudayaan politik generasi Y dibentuk oleh maklumat yang berada di hujung jari mereka. Mereka berada dalam komuniti maya yang sangat besar pengaruhnya. Sudah tentu keterlibatan mereka tidak boleh diketepikan atau diperkecilkan.

Inilah cara terbaik meremajakan UMNO. Maknanya UMNO mesti menawan generasi muda dan propaganda parti juga perlu menepati jiwa dan alam pemikiran mereka yang diluaskan oleh perang maklumat. Mereka berfikiran kritis dan UMNO juga mesti kreatif untuk terus berjaya.

Seperkara lagi yang mesti diberi keutamaan ialah rasuah. Ini kerana adalah barah paling bahaya kepada parti politik yang berada di tampuk kuasa. Rasuah datang bersama kuasa. Kesungguhan UMNO memerangi rasuah sangat ketara. Tindakan tegas yang dikenakan kepada perasuah politik adalah bukti jelas parti ini memerangi rasuah, sama ada dalam parti mahupun kerajaan. Ketegasan ini menuntut kelangsungan dan pesalah rasuah tidak boleh dilibatkan dengan apa sahaja yang ada kaitan dengan UMNO dan kerajaan. Sebabnya kerajaan pada persepsi rakyat adalah UMNO dan UMNO itu kerajaan.



KUALA LIPIS BERSEJARAH