Thursday, October 20, 2011

ANDA SABOTAJ CALON?

Sabotaj hanya menghancurkan parti

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm



PADA 16 Oktober lalu ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat berkongsi dua kisah yang cukup menarik untuk dijadikan iktibar dan tauladan.

Dengan nada cukup bersahaja serta lenggok bahasa yang amat mudah difahami tetapi penuh dengan sindiran pedas beliau berkongsi kisah seorang Setiausaha UMNO bahagian tidak terpilih sebagai calon BN dalam satu pilihan raya kecil.

Kata Perdana Menteri, tepat pukul 10 malam rumahnya gelap gelita. Dengan kata lain Perdana Menteri mahu memberitahu pemimpin UMNO ini enggan membantu jentera pilihan raya disebabkan dirinya tidak terpilih menjadi calon BN.

Kisah kedua pula kata Najib berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak. Ia juga berpunca daripada tindakan seorang bekas wakil rakyat yang enggan membantu jentera parti kerana tidak terpilih sebagai calon BN.

Di hadapan kira-kira 3,000 pemimpin dan ahli yang hadir pada konvensyen itu Perdana Menteri menyatakan betapa kecewanya wakil rakyat terbabit sehingga melarikan diri ke London.

Di London, bekas wakil rakyat tersebut mematikan telefon bimbitnya kerana tidak mahu dihubungi sesiapa.

''Saya sendiri hubunginya beberapa kali tetapi gagal. Saya sebenarnya hairan mengapa wakil rakyat ini bertindak sehingga melarikan ke London. Mujur BN menang, jika tidak menang saya akan cari wakil rakyat hingga ke lubang cacing," kata Najib.

Dua kisah yang disampaikan oleh Perdana Menteri itu merupakan antara contoh bagaimana sikap sesetengah pemimpin yang sukar menerima hakikat apabila pucuk pimpinan tidak memilih mereka sebagai calon wakil rakyat sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Akhirnya disebabkan kecewa, mereka sanggup mensabotaj parti dengan melakukan pelbagai cara antaranya tidak mahu menolong jentera pilihan raya, melarikan diri, menghasut pengundi, menyebarkan fitnah, memboikot kempen dan lebih hebat lagi membantu calon parti lawan.

Tujuannya, semata-mata mahu melihat calon BN yang bertanding kecundang dan jika itu berlaku hati mereka akan merasa puas walaupun tindakan tersebut sememangnya memberi kesan kepada parti.

Pemimpin seperti ini tidak ubah seperti seorang pengkhianat kerana sanggup melihat parti hancur disebabkan gagal menjadi calon sedangkan ada di kalangan mereka yang pernah menjadi wakil rakyat selama beberapa penggal.

Mereka langsung tidak mempunyai perasaan untuk melihat calon parti yang terpilih mencapai kemenangan. Mereka biarkan nafsu menguasai diri sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun sehingga tahap mengkhianati parti asalkan calon pengganti mengalami kekalahan.

Golongan seperti ini sebenarnya lebih mementingkan diri sendiri daripada parti, lebih mementingkan kemewahan, lebih mementingkan kuasa dan lebih mementingkan pengaruh.

Orang seperti ini sentiasa memburu kemasyhuran meskipun sedar bahawa kepimpinan mereka tidak lagi diterima oleh rakyat setempat.

Mereka tanpa segan silu sanggup melakukan apa sahaja atau separuh pihak menggelarkan 'tayang muka' dengan harapan terpilih lagi pada pilihan raya akan datang, paling ketara jika ada lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri ke negeri atau kawasan masing-masing.

Penulis membangkitkan isu sabotaj kerana perbuatan seperti ini amat merbahaya kepada parti dan ia diumpamakan duri dalam daging atau musuh dalam selimut.

Apatah lagi dalam suasana Pilihan Raya Umum ke-13 dikatakan semakin hampir yang sudah tentu akan berlaku perebutan pemimpin-pemimpin parti pelbagai peringkat termasuk wakil-wakil rakyat sedia ada untuk menjadi calon.

Berdasarkan pengalaman semasa membuat liputan di dalam beberapa siri pilihan raya kecil serta Pilihan Raya Umum ke-12 sabotaj boleh berlaku khususnya waktu kritikal iaitu beberapa jam sebelum hari pembuangan undi.

Dalam tempoh itu pihak yang mahu mensabotaj atau lebih dikenali dengan perkataan 'sabo' boleh melakukan pelbagai langkah dan paling popular menghasut pengundi atau boikot kempen pada saat-saat akhir semata-mata mahu memastikan calon parti bertanding mengalami kekalahan.

Sabotaj pada waktu kritikal merupakan tindakan paling berkesan kerana jentera parti sukar menangani masalah yang ditimbulkan melainkan jika ada satu gerakan luar biasa khususnya bagi meyakinkan semula pengundi.

Cuba renung kembali kisah peperangan Uhud iaitu antara peperangan besar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang berlaku pada tahun ketiga hijrah.

Di dalam peperangan tersebut Rasulullah berjaya mengumpulkan tentera Islam seramai 1,000 orang yang mencari syahid bagi menghadapi tentera kafir musyrikin berjumlah 3,000 orang.

Bagaimanapun ketika di dalam perjalanan menuju ke Bukit Uhud berlaku satu gerakan sabotaj yang begitu keji diketuai oleh bapa munafik, Abdullah bin Ubai.

Abdullah ketika sampai di sebuah kawasan bernama As-Syawt (antara Madinah ke Bukit Uhud) telah berundur bersama 300 tentera dan menyebabkan kekuatan tentera Islam hanya berjumlah 700 orang.

Apa yang dilakukan oleh Abdullah itu adalah untuk melemahkan tentera Islam sekali gus memberi khabar gembira kepada tentera musuh.

Bagaimanapun dengan pertolongan Allah, kehebatan Rasulullah sebagai seorang pemimpin agung serta semangat jihad tentera Islam, sabotaj yang dilakukan oleh Abdullah dan 300 tentera lain tidak memberi kesan sedikit pun kepada tentera Islam untuk berhadapan dengan 3,000 tentera kafir musyrikin.

Inilah strategi seorang munafik yang sengaja melakukan sabotaj pada saat kritikal dengan tujuan untuk mengkucar kacirkan kedudukan tentera Islam dan untuk melihat tentera Islam kalah dalam peperangan tersebut.

Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata, dalam konteks politik semasa tidak dinafikan BN berpeluang memenangi PRU 13 dengan berdasarkan peningkatan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah sejak akhir-akhir ini.

Tambahan pula terdapat beberapa isu berbangkit yang secara langsung memberi kesan negatif kepada pihak pembangkang sama ada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun DAP antaranya tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengiktiraf Mat Indera dan komunis sebagai wira.

Bagaimanapun katanya, BN di bawah teraju Perdana Menteri tetap berhadapan dengan cabaran untuk memastikan kemenangan calon BN khususnya dalam usaha memastikan tiada berlakunya sabotaj.

Apatah lagi pada PRU 13 Najib telah menetapkan hanya calon boleh menang sahaja akan diketengahkan dan sudah tentu ada pemimpin tertentu terpaksa digugurkan.

Mahu tidak mahu beliau serta pucuk pimpinan lain termasuk timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memastikan semua pihak di dalam parti memberi sokongan padu kepada calon yang dipilih terutama di kalangan yang pernah menjadi wakil rakyat atau disebut-sebut menjadi calon.

Kepada mereka yang tidak terpilih diharap menerima keputusan dengan hati terbuka dan dengan jiwa yang tenang. Jadilah pemimpin berjiwa besar serta ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Letakkanlah kedudukan parti dan rakyat melebihi daripada kepentingan diri sendiri.

Namun terfikir juga adakah wakil rakyat yang telah lama berkhidmat atau yang berjawatan menteri rela diketepikan pada PRU 13 sekiranya rakyat enggan menerima kepimpinan mereka lagi.

Harap-harap mereka reda dengan keadaan itu demi kelangsungan BN untuk hari ini dan hari-hari mendatang.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH