Wednesday, July 20, 2011

MEMBERSIHKAN YANG KOTOR???

Analisis tuntutan Bersih

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


BANYAKNYA orang memilih jalan mudah dalam membuat keputusan penting dalam hidup. Sebagai contoh kecil, kita lihat bagaimana cara pasangan muda hendak membeli keperluan peralatan rumah untuk menghadapi hidup baru.

Mereka biasanya tidak akan membuat rujukan bacaan dahulu, sebaliknya segera bertanya kawan terdekat dan daripada pendapat kawan itulah mereka terus membuat keputusan. Kerap juga mereka kemudian menyesal bertahun-tahun kerana tidak membuat bacaan secukupnya.

Mereka pernah belajar cara membuat keputusan yang bersistematik, terutamanya yang pernah belajar di universiti. Cara membuat keputusan rumah tangga sebegini kemudian diwariskan pula kepada anak-anak. Anak-anak itu kemudian dewasa dan mengulang cara membuat keputusan yang sama. Cara demikian berterusan menjadi budaya.

Dalam hal ini, cita-cita Wawasan 2020 yang mencatatkan matlamat melahirkan masyarakat saintifik nampaknya hanya melahirkan beberapa orang pekerja sains dengan membawa pelbagai gelaran, sedangkan hidup mereka kekal dipenuhi kepercayaan tahyul.

Begitu pun, saya ragu-ragu sama ada golongan ini pernah membaca sendiri dokumen Wawasan 2020 atau hanya mendengar-dengar daripada kawan lalu menghakimi wawasan itu.

Daripada cara membuat keputusan itu, saya ragu-ragu juga sama ada pengikut demonstrasi Bersih baru-baru ini telah membaca dengan teliti memorandum Bersih yang hendak disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya itu.

Saya jangka ribuan daripada mereka itu tidak pernah pun menjeling dokumen itu, jauh sekali daripada membaca jawapan-jawapan oleh SPR atas alasan semua jawapan SPR memihak kepada pemerintah.

Seawal perenggan pertama, apabila membaca dokumen yang dinamakan Memorandum Pertubuhan (haram atau halal pertubuhan ini bukan urusan saya dalam konteks ini) Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, seorang yang waras dan kritikal akan mempersoalkan ketepatan pendirian pertubuhan ini yang mengatakan “...Kami ... memegang kepada pendirian bahawa satu-satunya formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi ‘pelbagai parti’ yang sengit dan sihat.” Kemudian, dokumen itu merujuk pilihan raya Britain 2010.

Selain daripada bahasanya kurang baik (seperti isyarat bahawa dokumen ini tidak dibuat dengan teliti mungkin atas desakan waktu untuk kepentingan tertentu), pembuat dokumen ini menyembunyikan fakta perbandingan bahawa di Britain atau di Amerika Syarikat (AS) hanya dua parti yang kuat bertanding, bukan seperti ‘pelbagai parti’ yang begitu bebas di Malaysia.

Meskipun undang-undang negara-negara itu membenarkan kepelbagaian parti untuk bertanding, hanya dua parti yang saling bertukar kuasa. Liberal Demokrat, parti ketiga di Britain, hanya pada pilihan raya yang lepas menunjukkan sedikit keupayaan, itu pun masih tidak sampai menguasai kerajaan sepenuhnya.

Di AS pula sehingga sekarang hanya dua parti sahaja yang mendapat liputan walaupun ada parti renik lain, seperti Parti Hijau, yang turut serta. Ini semua adalah hasil kerja kapitalis. Mengapa tidak diberitahu kepada orang muda dalam Bersih bahawa kuasa menentukan monopoli kuasa di negara Britain yang Parlimennya jauh lebih tua daripada Parlimen Malaysia itu telah dipindahkan daripada suruhanjaya pilihan raya mereka kepada golongan kapitalis yang menguasai parti-parti di sana – yang menentukan berapa parti sahaja yang boleh hidup.

Jika kerajaan di Malaysia mereka katakan jahat, mereka lupa kerajaan boleh ditukar oleh warganegara melalui sistem undi tetapi jika kapitalis antarabangsa itu yang jahat, warganegara tidak ada kuasa apa-apa untuk menukar mereka. Pemimpin mereka bukan dipilih melalui pilihan raya.

Elok juga jangan dilupakan sejarah Syarikat Hindia Timur, syarikat kapitalis yang diberi ‘charter’ oleh Raja Eropah untuk menjajah Asia termasuk Malaysia beratus-ratus tahun, telah menafikan sama sekali hak kebebasan rakyat negara yang dijajah memilih pemimpin sendiri.

Peserta demonstrasi juga tidak diberitahu oleh ketua Bersih bahawa mereka dipergunakan oleh pemimpin mereka menuntut paha selepas mendapat betis.

Buktinya, pada perenggan dua memorandum itu dicatatkan pernyataan memuji sistem pilihan raya di Malaysia yang berbunyi “menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan gaya di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif.”

Mereka memberi kepujian terhadap perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem politik Malaysia tetapi sejurus perubahan itu diberi, mereka membawa orang ramai yang ‘semi-jahil’ ke jalan raya menuntut sesuatu dengan kekerasan.

Mengapa demikian balasan kepada keterbukaan yang telah diberi dan yang mereka puji itu? Nampaknya, yang mereka minati bukan transformasi tetapi sesuatu yang lain. Hanya orang yang terlalu jahil sahaja yang tidak mengesan maksudnya.

Dokumen itu pula seperti dengan sengaja ditujukan kepada sasaran yang salah iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Antara tuntutan itu termasuk (i). Hak mengundi dan pembuangan undi yang meliputi pendaftaran automatik, menurunkan usia mengundi, tidak hadir membuang undi dan (ii). Persempadanan semula kawasan (iii). Akta Pilihan Raya berkaitan tempoh kempen dan Akses Media, (iv). Demokrasi pelbagai parti dan (v). Pentadbiran pilihan raya. Semua tuntutan itu sepatutnya ditujukan kepada Parlimen.

Mereka tidak menjelaskan bahawa hanya Parlimen yang boleh membuat undang-undang seumpama Akta bagi merealisasikan semua tuntutan itu, bukan SPR.

Dari awal mereka seperti telah merancang bahawa apabila jawapannya ‘tidak dapat’, mereka akan mengeksploitasikan kemarahan peserta demonstrasi bahawa SPR yang tidak adil itu degil, tidak menerima tuntutan majoriti rakyat yang mahukan perubahan.

Pada hal, jika Parlimen menolak cadangan-cadangan Bersih atau SPR, mereka mesti mengiktiraf bahawa penolakan dibuat oleh majoriti ahli Parlimen yang telah diundi oleh jutaan rakyat berbanding beberapa ribu orang, atau kalau sejuta sekali pun, yang menggunakan jalan raya untuk menggantikan kerajaan.

Selagi mereka menerima Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, mereka mesti menerima keputusan-keputusan Parlimen itu. Jika mereka ingin mengubahnya, mereka perlu melalui pilihan raya juga.

Buat masa ini mereka mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak kuat di Parlimen dan apabila kehendak mereka itu diundi, mereka akan kalah.

Seterusnya saya meneliti pula kesahihan pernyataan ketua penganjur yang menggambarkan Bersih diwakili oleh segenap lapisan rakyat.

Daripada senarai 60 badan yang ‘endorsed’ memorandum itu terdapat banyak badan tersenarai yang tidak pernah didengar pun, semata-mata bagi menggambarkan senarai yang panjang.

Daripadanya terdapat 11 badan yang namanya berkaitan ‘India’ (tanpa prejudis kepada kaum Tamil di Malaysia), belum termasuk yang tiada jenama sedemikian tetapi ahlinya sama.

Daripada jumlah besar itu juga hanya 14 badan yang menggunakan bahasa Melayu bagi menjenamakan diri mereka berbanding 46 yang lain menggunakan bahasa Inggeris. Bahkan, badan yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim pun menggunakan bahasa Inggeris iaitu Anwar Ibrahim Club (AIC).

Dalam hal ini mungkin sasterawan dan pejuang bahasa Melayu yang kelihatan ramai menyertai demonstrasi itu tidak sedar atau tidak perlu ambil pusing kerana ‘musuh bahasa’ kepada mereka hanyalah kerajaan.

Peraturan wajib menggunakan bahasa Melayu yang sering dituntut oleh pencinta bahasa Melayu tidak perlu dipakai untuk yang lain, terutamanya untuk kalangan penentang kerajaan.

Demikian secebis pemerhatian saya tentang kandungan tuntutan Bersih. Saya dapat mengesan penganjur tuntutan ini menggunakan pelbagai strategi perang yang tidak mulia. Pelbagai tipu helah digunakan demi mencapai matlamat yang mereka anggap lebih agung.

Bayangkan jika ada nyawa orang yang ikhlas dan tidak berdosa hilang dalam suasana dan keadaan yang tidak menentu itu berlaku, tidakkah mereka merasa berdosa terhadap yang terkorban itu semata-mata melayan cita-cita mereka?

Terhadap soalan saya itu, mereka mungkin sudah bersedia dengan jawapan berbunyi “jika polis tidak mengganggu semuanya akan jadi aman.”

Akur sahaja dengan jawapan itu, para pengikut pula seperti tidak terfikir bahawa polis itu bukan dewa-dewa yang tidak pandai marah jika dicaci, dihina, diperbodohkan dengan perkataan-perkataan yang sangat menyayat hati?

Tidakkah perancang demonstrasi yang beragama Islam pula takut akan ingatan “tidak akan mencium bau syurga orang yang menitiskan darah saudaranya yang lain?”

Mungkin mereka akan menjawabnya pula; “Saya telah berijtihad dan saya juga telah bertahajud pada sepertiga malam tadi untuk mendapat petunjuk, dan petunjuk itu memberitahu, “kamu berada di jalan yang benar.”

Sambil termenung saya berfikir, bolehkah masa hadapan negara diputuskan oleh warganegara yang membuat keputusan seperti hendak membeli peti sejuk atau mesin basuh?

TAN SRI DR. NORDIN KARDI,

Penyandang Kursi Za‘ba,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Monday, July 18, 2011

ANDA WIRAKAH???

Perang istilah dan salah guna gelaran ‘wira’

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


MENIPU dan memfitnah adalah perkara biasa dalam propaganda. Kebiasaan fitnah itu adalah dengan tujuan menterbalikkan persepsi masyarakat mengenai sesuatu perkara, termasuklah cubaan menggambarkan pengurusan negara sudah sampai ke tahap yang memerlukan perubahan.

Biasanya perubahan yang dirancang menerusi pembentukan persepsi adalah menolak bentuk dan sistem sedia ada. Para pengagumnya akan memberikan gambaran buruk dan tidak berpijak kepada realiti serta rasionaliti sesuatu sistem. Apa yang diutamakan adalah sasarannya, termasuk memaksa pemimpin terbabit berundur dan menyerahkan kedudukan itu kepada penganjurnya.

Pengaruh revolusi Asia Barat dan Afrika Utara jelas cuba dijelmakan dalam perarakan menuntut perubahan pengurusan pilihan raya yang diadakan pada 9 Julai 2011, yang dikenali sebagai Bersih 2.0. Bagi menggambarkan kekuatan dan gagahnya perhimpunan tersebut, media dan pemimpin memberikan imej bahawa perarakan itu disertai oleh ratusan ribu daripada pelbagai keturunan dan peringkat umur.

Perjuangan yang dilancarkan bukan atas kepentingan politik, dan dari situlah bermulanya episod buruk dalam sejarah kewartawanan di Malaysia.

Media pro-Bersih 2.0 melebarkan persepsi dengan mengenakan nilai dan hukuman sendiri kepada pihak yang mententeramkan suasana, khususnya mengawal pergerakan tersebut. Dalam beberapa insiden, kerana melanggar arahan polis dan perintah mahkamah agar mereka berkenaan dilarang memasuki Kuala Lumpur, gas pemedih mata dan semburan air terpaksa digunakan.

Media pro-Bersih terus menterbalikkan persepsi umum dan hampir menyamai yang dilaksanakan oleh pihak Israel dalam usahanya mengubah sikap masyarakat antarabangsa terhadap serangan komandonya sehingga menyebabkan lapan sukarelawan Turki terbunuh pada awal pagi 31 Mei 2010.

Tuduhan Israel, pasukan komandonya mempertahankan diri kerana diserang oleh sukarelawan. Begitu juga dengan alasan perusuh jalanan Bersih 2.0, mereka tidak bertindak ganas tetapi pihak polis yang melakukannya.

Menuduh gerakan menghalang dan menangkap perusuh sebagai perbuatan zalim serta kejam. Pelabelan itu sama dengan yang dilakukan oleh sebuah portal pro-Bersih bahawa kesalahan melanggar dan tidak mematuhi undang-undang sebagai “wira”. Istilah-istilah yang mempunyai nilai patriotik dan pengorbanan mempertahankan negara disalahertikan tanpa mengambil kira nilai budaya terkandung dalamnya.

Sebenarnya, pihak yang melanggar peraturan ialah mereka yang biadab dan tidak boleh diberikan gelaran “wira”, mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati bumi bertuah ini.

Perang istilah dan salah guna gelaran menjadi suatu budaya baru. Ia turut menggambarkan bahawa undang-undang hanyalah sebuah dokumen yang perlu ada sebagai hiasan dan bukannya bertujuan mengawal tata kelakuan seseorang. Seorang pemimpin Islam turut memberikan komen, bahawa penahanan perusuh adalah tidak sah dan tidak islamik.

Sekali lagi pemimpin agama itu tersasar kerana dalam Islam tidak ada sanjungan patut diberikan kepada perusuh. Perusuh tetap dianggap musuh, kerana perusuh sentiasa mencari cara untuk memecahkan ketenteraman dan mencelarukan pemikiran orang lain.

Kalaulah perusuh boleh dipanggil “wira” maka dengan sendirinya jelas masyarakat sudah hilang ukuran moral dan tata kehidupan yang beradab.

Tulisan-tulisan menerusi media pro-Bersih membuktikan mereka akan terus mengasak fikiran masyarakat agar percaya walaupun fakta yang dipaparkan adalah bohong dan fitnah.

Fitnah dari segi sejarah telah menyebabkan banyak kemusnahan. Dalam sejarah Melayu, watak Mandaliar disahkan sebagai punca menyebabkan orang Melayu berpecah. Dalam politik Malaysia, kehadiran beberapa parti telah memecahkan perpaduan orang Melayu-Islam setelah parti itu terus mendakwa merekalah yang paling Islamik manakala yang lain adalah kafir.

Bahaya fitnah dan bercakap bohong dalam Islam amat banyak diceritakan. Nabi Muhammad SAW sepanjang dakwahnya sentiasa mengingati pengikutnya agar berwaspada dan menjauhi sebarang fitnah, sama ada mencipta ataupun menyebarkannya.

Antara bohong dan fitnah adalah dua beradik kembar yang tidak boleh dipisahkan. Fitnah bermula dengan fakta bohong. Fakta bohong itu kemudiannya disebarkan kepada seseorang dan berkembang cepat bagaikan virus menjangkiti orang lain.

Daripada fakta bohong, disebarkan sebagai fitnah akan menimbulkan konflik dan krisis keyakinan. Bila konflik dan krisis keyakinan menjadi lebih besar, ia akan meruntuhkan sistem dan seterusnya boleh mengakibatkan pertumpahan darah.

Al-Quran memperihalkan mengenai fitnah sebanyak 34 kali dalam pelbagai situasi. Al-Quran menjelaskan bahawa fitnah itu adalah lebih kejam dan bahaya daripada membunuh .‘‘Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”. (Surah al-Baqarah ayat 191).

Oleh kerana manusia sentiasa mengamalkan sikap adu-domba, fitnah menjadi satu kaedah berkesan memburuk-burukkan lawannya. Dengan menonjolkan kelemahan seseorang secara berterusan, akan menampakkan persepsi buruk kepada orang itu sedangkan kelemahan tersebut asalnya tidaklah boleh menjejaskan peribadinya secara total.

Media hanya sebagai alat dan selagi alat itu boleh dipercayai maka, selagi itulah merasakan dirinya kuat dan berpengaruh. Seharusnya media pro-Bersih sedar bahawa Rupert Murdock terpaksa menamatkan riwayat sebuah akhbar miliknya yang berpengaruh kerana takutkan tindakan undang-undang setelah wartawan akhbar itu melakukan kesalahan memintas perbualan telefon bagi mendapatkan maklumat untuk dijadikan berita sensasi.

Penutupan itu patut menjadi pengajaran kepada media pro-Bersih kerana mereka sebenarnya sedang diadili oleh rakyat secara mutlak. Survivalnya di tangan rakyat kebanyakan, dan tentunya lebih ramai rakyat yang bencikan fitnah dan pembohongan berbanding penulis-penulis yang mengatasnamakan kebebasan akhbar meskipun faktanya bohong, fitnah dan berasaskan persepsi.


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiah Malaysia (Yadim)

Friday, July 15, 2011

DARI REFORMASI LIWAT1 KE REVOLUSI LIWAT2 DAN VIDEO SEKS CINA DOLL


Reformasi Ke Revolusi, Anwar Tak Habis-Habis Meniru!!

Thursday, July 14th, 2011 | Posted by Adamyan

http://www.mykmu.net/?p=11882



Tahun 1998, rakyat Indonesia bangkit menuntut pengunduran pemerintah Suharto yang ketika itu sudah berpuluh tahun memerintah Indonesia. Dalam masa yang hampir sama, pergolakkan politik yang berlaku di Malaysia lanjutan dari pemecatan Anwar Ibrahim berkenaan kes liwat dan salah guna kuasa juga menyebabkan berlaku pergolakkan politik disini yang berlanjutan sehingga tahun 2000.

Ketika itu laungan yang kuat kedengaran di Indonesia ialah reformasi (pembaharuan), dan di Malaysia juga laungan yang sama kedengaran tapi lebih popular lagi.

Tapi sayang, reformasi yang diperjuangkan Anwar tidak bertahan lama, akhirnya reformasi sudah jadi reforbasi. Orang tak nampak apa bentuk reform yang Anwar nak laksanakan sangat tu, dengan dia sendiri ketika itu merengkok dalam penjara kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa pada 1997 (mengarahkan polis turning over Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar).

Sejak dibebaskan pada 2004, laungan reformasi tenggelam timbul tenggelam timbul, dah tak macam zaman kegemilangan tahun 1998 lagi dah.

Sekarang, meniru apa yang berlaku di Mesir dan Tunisa, Anwar melancarkan revolusi pula. Revolusi ni dalam banyak erti bermaksud penentangan dalam bentuk peperangan dan kekerasan. Kalau keluar dari mulut Anwar, mestilah tentang keganasan – dalam hati Anwar mana ada taman!!

Siapa yang kata Anwar ini pemimpin hebat, elok kaji balik pendirian anda. Hebat apa taik kalau asyik meniru apa yang orang lain buat? Malah dalam soal negara berkebajikan Pakatan Rakyat juga, hanya ‘menambah baik’ apa yang telah dilakukan kerajaan BN. Mana datang duit nak ‘menambah baik’ tu entahla tapi yang penting BN dah buat dululah.

Tiru lagi.

Gambarannya 8,000 ke 10,000 atau 15,000 orang yang hadir secara berbayar dalam perhimpunan Bersih 2 Sabtu lepas, dijadikan alasan kukuh Anwar untuk melancarkan revolusi pula. Anwar memberikan bayangan bahawa Malaysia sekarang sudah hampir dengan revolusi.

Penulis nak terangkan pada Anwar, revolusi dicetus oleh orang-orang yang kuat, cekal dan tak takut mati. Kalau pemimpin ‘revelusi’ baru kena tolak sikit pun leher dah berbalut, dah duduk atas kerusi roda, itu revolusi apa nak dilancarkan sangat tu? Belum kira lagi, pengikut yang kena tembak dengan water canon dan gas pemedih mata dah berterabur lari macam anjing.

Cukup syarat ke nak lancar revolusi?

Kemarahan rakyat di masing-masing Tunsia dan Mesir itu bersebab. Hosni dah 40 tahun memerintah dan tidak ada tanda akan berundur, malah nak lantik anak dia pulak sebagai bakal pengganti. Zine El Abidene Ali di Tunisa pula dah memerintah selama 24 tahun, pun sama, tidak ada tanda akan berundur.

Masing-masing tidak punya wibawa dan track record yang baik kenapa perlu terus memerintah negara masing-masing lama-lama. Maka itu kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi dan revolusi yang dilancarkan mendapat sambutan secara sukarela tanpa perlu bayar-bayar semua ni.

Berbeza dengan Malaysia. Perdana Menteri bertukar ganti, paling lama pun Tun Mahathir iaitu selama 22 tahun. Tapi lihat sajalah Malaysia dahulu sehingga beliau bersara pada Oktober 2003. Perubahan ketara sekali dan kalau boleh penulis mahu lihat beliau memerintah lagi tapi apakan daya, usia tidak mengizinkan Tun Mahathir terus berkhidmat.

Yang kita risau kalau Pakatan Rakyat jadi pemerintah, dalam keadaan sekarang pun dah nampak situasi di Mesir dan Tunisia akan berulang kembali di negara kita ini.

Anwar, Nik Aziz dan Kit Siang, kesemuanya memegang jawatan parti masing-masing tanpa dipilih secara demokrasi dan kekal sehingga ke akhir hayat. Kalau dah dalam parti pun kekal sampai mati, apa lagi kalau jadi Perdana Menteri sebab jawatan itu bergantung kepada kedudukkan dalam parti.

Masing-masing juga sudah meletak anak masing-masing di satu kedudukkan yang tinggi dalam parti pimpinan masing-masing, terutama sekali Anwar dan Kit Siang. Anak Nik Aziz baru dapat jadi Timbalan kepada Nasrudin Tantawi.

Situasi ini mengingatkan kita kepada Mesir dan Libya dimana revolusi rakyat telah dan hampir menumpangkan pemerintah masing-masing.

Penulis percaya, kalau Pakatan memerintah negara ini, barulah revolusi rakyat akan berlaku. Selagi BN memerintah, revolusi tidak akan berlaku sama sekali kerana pemimpin kita bertukar pada masa dan ketika yang bersesuaian, ini yang rakyat semua sedia maklum.

Ingat ya, orang yang nak berevolusi mesti kuat dan tahan mati, bukan kena tembak air dah berterabur lari.

Oh ya, cakap pasal berterabur

KUALA LIPIS BERSEJARAH