Monday, May 16, 2011

UMNO : MEMBELA RAKYAT

Hanya UMNO bela Melayu

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

PONTIAN 15 Mei – Tiga parti serpihan yang telah ditubuhkan selepas kelahiran UMNO pada 1946 merupakan parti yang memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dan bukan membela kaum tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hanya UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 telah terbukti mampu membela kaum tersebut kerana ia diasaskan dengan tujuan suci apabila penjajah British memperkenalkan Malayan Union.

Keadaan itu katanya, berbeza dengan Pas, Semangat 46 (S46) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan ekoran kekecewaan segelintir pemimpin mereka demi kepentingan peribadi, bukan untuk menyatukan orang Melayu.

“Pas ditubuhkan pada 1951 apabila Ahmad Fuad kalah kepada Datuk Onn Jaafar, S46 pula ditubuhkan pada 1988 apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala PKR pada 1989 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

“Jadi, tiada sebab ketiga-tiga parti tersebut terutamanya Pas dan PKR mendakwa mereka adalah parti yang mewakili serta membela orang Melayu sedangkan asas penubuhannya lahir daripada perasaan kecewa kerana tidak dapat menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Pontian di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad; timbalannya, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Nasrihat Turiman.

Khairy berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kepada golongan muda yang lahir selepas penubuhan UMNO supaya mereka memahami parti yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Pas yang kononnya memperjuangkan Islam juga tidak ikhlas kerana melabelkan kaum sebangsa dan seagama mereka sebagai kafir dan tidak masuk syurga sekiranya tidak mengundi calon-calon mereka dalam pilihan raya.

“PKR pula kini hanya menjadi kuda tunggangan dan boneka kepada DAP serta telah lari daripada konsep asal penubuhannya apabila ramai pemimpin kanan dan ahli mereka meninggalkan parti tersebut,” katanya.

Justeru, beliau menasihati generasi muda Melayu supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang dan sewajarnya menyedari bahawa UMNO sahaja yang dapat membela nasib dan mempertahankan maruah agama Islam.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH