Sunday, May 29, 2011

DAP PENCETUS RUSUHAN 13 MEI 1969 DAN RUSUHAN SELEPAS PRU13???

Komplot DAP Cetuskan Perselisihan Kaum dan Rusuhan?

Oleh : Ropikah Ahmad

http://umno-online.com/?p=38229

Pembongkaran taktik kotor DAP untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang Melayu dengan meletakkan mereka sebagai calon mewakili DAP pada Pilihan Raya Umum akan datang amat memalukan. Semua pihak menunding jari menyalahkan parti terbabit yang begitu hina ekoran kedangkalannya mempersenda kaum Melayu dan etnik bumiputera tanpa memikirkan sentimen perpaduan yang telah terpasak dalam masyarakat.

Sememangnya, jika diamati dan diimbas dari aspek sejarah dan perjalanan politik tempatan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. DAP ibarat duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang akan mengambil peluang atas kedamaian dan kesejahteraan dalam negara.

Barangkali tentunya para pemimpin DAP ini sedar bahawa perancangan mereka selama ini asyik menghadapi jalan buntu untuk menimbulkan kekacauan termasuklah antaranya mempersendakan agama Islam, menindas golongan bumiputera di negeri yang mereka kuasai dan mempolitikkan Perlembagaan Persekutuan yang terasnya Fasal 152 dan Fasal 153.

Benarlah bahawa ini bukan yang pertama kali dilakukan malah ‘dosa’ paling besar yang tidak mungkin terpadam adalah tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Fakta sejarah tidak pernah menipu malahan secara jelas bahawa tragedi tersebut berlaku ekoran DAP yang lahir daripada serpihan PAP mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu, tanah simpanan orang Melayu, dasar bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan yang secara jelas mendokong dasar “Malaysian Malaysia”.

Pada 29 Julai 1967, DAP telah mengeluarkan “ Setapak Declaration” dan mereka berikrar untuk menuntut: “The ideal of free, democratic and socialist Malaysia, based on the principles of racial equality and social and economic juctice and founded on institutions of parliamentary democracy”

Antara faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa 13 Mei adalah Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969 yang telah disalahguna oleh pembangkang ekoran keterbukaan kerajaan. Ketika ini, parti-parti berkempen dibenarkan berkempen secara terbuka yang kemudiannya dimanipulasi oleh DAP menwujudkan sentimen kebencian dalam masyarakat.

Dalam pilihan raya tersebut, secara teknikal parti pembangkang DAP telah menang besar. Lantaran itu, pada 11 dan 12 Mei 1969 mereka telah meraikan kemenangan dengan berarak di Kuala Lumpur dan Kampung Baru yang didiami lebih 30,000 orang Melayu termasuklah rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris.

Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut rujukan oleh Ramlah Adam (dipetik oleh Ramlah Adam dalam Democartic Action Party,1969, Dap General Elactions Manifesto, Out Triple objektif Toward a Malaysian Malaysia), DAP berarak sambil mengeluarkan kata-kata yang menghina orang Melayu seperti Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur sekarang Cina punya, ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu halau semua Melayu.

Dikatakan DAP telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.

Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan ’menyapu’ (menyingkir) orang-orang Melayu ke laut sementara dalam masyarakat Melayu pula penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Lebih teruk lagi, dilaporkan ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.

Ekoran tragedi tersebut, bukan hanya darurat diisytuharkan malah angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan selain 211 kenderaan musnah.

Justeru, berdasarkan fenomena hari ini dilihat bahawa DAP mahu mempergunakan orang Melayu dan etnik peribumi demi kepentingan mereka maka secara tidak langsung ia adalah komplot untuk mendapatkan kuasa dan mengembalikan idealogi ‘Malaysian Malaysia.’

Lebih dari itu, dilaporkan juga bahawa terdapat penulis-penulis termasuk wartawan akhbar-akbar Cina yang diupah oleh golongan pembangkang untuk terus menanamkan sentimen kebencian dan menyemarakkan api perkauman agar sikap prajudis terus terpahat dalam masyarakat.

Apa yang pasti, permuafakatan dan kesejahteraan berteraskan perpaduan adalah benteng utama dalam memastikan kelestarian dalam negara. Waspadalah tingkah DAP!

Ropikah Ahmad




Monday, May 16, 2011

UMNO : MEMBELA RAKYAT

Hanya UMNO bela Melayu

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

PONTIAN 15 Mei – Tiga parti serpihan yang telah ditubuhkan selepas kelahiran UMNO pada 1946 merupakan parti yang memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dan bukan membela kaum tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hanya UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 telah terbukti mampu membela kaum tersebut kerana ia diasaskan dengan tujuan suci apabila penjajah British memperkenalkan Malayan Union.

Keadaan itu katanya, berbeza dengan Pas, Semangat 46 (S46) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan ekoran kekecewaan segelintir pemimpin mereka demi kepentingan peribadi, bukan untuk menyatukan orang Melayu.

“Pas ditubuhkan pada 1951 apabila Ahmad Fuad kalah kepada Datuk Onn Jaafar, S46 pula ditubuhkan pada 1988 apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala PKR pada 1989 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

“Jadi, tiada sebab ketiga-tiga parti tersebut terutamanya Pas dan PKR mendakwa mereka adalah parti yang mewakili serta membela orang Melayu sedangkan asas penubuhannya lahir daripada perasaan kecewa kerana tidak dapat menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Pontian di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad; timbalannya, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Nasrihat Turiman.

Khairy berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kepada golongan muda yang lahir selepas penubuhan UMNO supaya mereka memahami parti yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Pas yang kononnya memperjuangkan Islam juga tidak ikhlas kerana melabelkan kaum sebangsa dan seagama mereka sebagai kafir dan tidak masuk syurga sekiranya tidak mengundi calon-calon mereka dalam pilihan raya.

“PKR pula kini hanya menjadi kuda tunggangan dan boneka kepada DAP serta telah lari daripada konsep asal penubuhannya apabila ramai pemimpin kanan dan ahli mereka meninggalkan parti tersebut,” katanya.

Justeru, beliau menasihati generasi muda Melayu supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang dan sewajarnya menyedari bahawa UMNO sahaja yang dapat membela nasib dan mempertahankan maruah agama Islam.

Wednesday, May 11, 2011

ULANG TAHUN UMNO KE-65



Cabaran UMNO seterusnya


PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

ABAD ke-18 hingga 20, adalah era Barat menghancurkan negara-negara empayar di Eropah seperti Prussia, Timur Tengah, empayar Otthoman Turki iaitu empayar Islam terakhir. Sebelum itu, dalam abad ke-15, Empayar Melayu Melaka di Nusantara dan Empayar Islam di Andalusia (Eropah) ditumpaskan.

Sejak abad ke-19, lahirlah nation states atau negara bangsa seperti Iraq, Syria, Lebanon, India, Pakistan, Arab Saudi, Malaya, Indonesia, Singapura, Australia, Kanada dan lain-lain. Agenda Barat mewujudkan negara bangsa diteruskan dengan menciptakan teori pemerintahan "demokrasi" daripada falsafah Yunani dan Rom untuk diterapkan di negara-negara bangsa yang baru muncul itu.

Tanah Melayu tidak terkecuali mengalami proses penjajahan dan proses menerima konsep sistem politik demokrasi Barat tersebut.

Di situlah, UMNO yang kini berusia 65 tahun sempena 11 Mei 2011 hari ini, muncul di tengah-tengah perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan British!

UMNO berjuang di tengah-tengah masyarakat majmuk ciptaan British semasa menduduki negara ini lebih 120 tahun lalu.

Apabila konsep negara bangsa itu diperkenalkan, kebanyakan negara di dunia baik Asia, Eropah, Amerika atau Australia, majoriti penduduk negara-negara itu adalah satu bangsa, kaum dan budaya yang sama, malah agama.

Hal ini unik bagi Malaysia, yang mempunyai jumlah penduduk bukan Melayu hampir sama jumlahnya dengan kaum pribumi dan berbeza agama, budaya dan bahasa.

Sistem politik demokrasi Barat itu semacam dipaksa untuk dipraktikkan di semua negara bangsa yang dimerdekakan itu, termasuk Malaysia!

Apabila Perang Dunia Kedua dan Perang Jepun tamat pada 1945, di situlah peranan UMNO yang berjaya menyatukan orang Melayu yang sebelum ini berpuak-puak dan pelbagai fahaman ke dalam satu wadah politik Melayu UMNO, yang mana semua penduduk Melayu yang beragama Islam berada di bawah UMNO ketika menentang Malayan Union 1946.

Ketika itu, UMNO dianggap parti sederhana yang berslogan "untuk bangsa, agama dan negara" berbanding parti-parti politik lain seperti Hisbul Muslimin, Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya yang dianggap British sebagai parti kiri, radikal dan revolusioner dan tentunya dihapuskan daripada bergerak dalam politik.

Dalam keadaan serba kekurangan, menjelang 1957, orang Melayu melalui UMNO mengajak parti-parti kaum Cina (MCA) dan India (MIC) untuk berkongsi kuasa dan seterusnya menuntut kemerdekaan.

British memberikan kemerdekaan atas dasar Perikatan yang dipimpin UMNO yang tentunya banyak mengorbankan hak Melayu sendiri sebagai pribumi negara ini dan menerima perlembagaan baru bagi Tanah Melayu merdeka yang memberi kewarganegaraan dan hak yang sama kepada Cina dan India (kerana British bertanggungjawab membawa Cina dan India ke Tanah Melayu, dan mereka tidak mahu pulang ke negara asal - ini menggusarkan British), dengan beberapa syarat dipersetujui bersama dalam suatu kontrak sosial oleh ketiga-tiga parti tersebut.

Ketika itu, UMNO, MCA dan MIC dianggap mewakili kaum masing-masing berdepan dengan pihak British menuntut kemerdekaan.

Pemimpin Perikatan tidaklah menyangka sama sekali akan wujud parti-parti pembangkang yang agak kuat daripada orang Melayu (Pas), Cina (DAP) dan kini ditambah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggugat Barisan Nasional (BN).

Kerajaan pula ketika itu membenarkan kewujudan parti berlainan ideologi dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara atas dasar "kebebasan bersuara" dan "acuan Barat" tersebut!

Sebenarnya, semacam satu kemujuran sejarah, di mana UMNO berada dalam suasana orang Melayu terpaksa menyokong parti itu, kerana orang Melayu semacam tidak ada banyak pilihan untuk memilih parti yang boleh mewakili dan memperjuangkan kepentingan mereka. Sedangkan di negara-negara lain, rakyat bebas memilih mana parti yang mereka suka kerana penduduknya tidak bersifat majmuk seperti di Malaysia!

Inilah dilema Melayu! Dalam keadaan kemajmukan itu, jika orang Melayu beralih daripada UMNO kepada parti lain, yang terjadi parti itu tidak dapat mempertahankan kekuasaan politik terus berada di tangan orang Melayu. Jika pun berada di tangan Melayu seperti di Perak, ia hanya dianggap "boneka" kepada pembangkang seperti DAP, kerana undi Melayu berpecah! Jika berlaku di peringkat nasional seperti di Perak, sukar diramalkan apa akan berlaku!

Namun, dalam pada orang Melayu tidak banyak pilihan dalam berpolitik, parti UMNO/ BN meneruskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dan rakyat umumnya dan pencapaiannya tidak boleh dinafikan.

Pencapaian ekonomi bukan Melayu juga melonjak naik dari dahulu hingga kini. Itulah Malaysia, politiknya berasaskan kaum, tetapi ekonominya hebat!

UMNO dan Perikatan memenangi kesemua pilihan raya umum (PRU) yang diadakan sejak 1955 hingga PRU 2008.

Dalam meniti era pembangunan, memang terdapat pasang surut dalam perjuangan parti tersebut. Peristiwa paling mengecewakan adalah PRU 1969, di mana UMNO menghadapi kemerosotan undi daripada orang Melayu dan bukan Melayu dengan Perikatan mendapat 76 kerusi Parlimen, pembangkang 37 kerusi; dan berlaku sekali lagi pada PRU 2008 di mana BN hanya mendapat 142 kerusi, pembangkang 80 kerusi.

UMNO yang hampir patah sayap, tetap bertongkatkan paroh, terus menerajui negara sehingga pada 1 Januari 1973, UMNO dan Pas menubuhkan kerajaan campuran.

Saat yang paling manis ini memperlihatkan kedua-dua parti Melayu itu, satu nasionalis (UMNO), dan yang satu lagi Islamis (Pas) bersatu dan membentuk sebuah kerajaan campuran. Perkahwinan Pas -UMNO tidak lama, pada 1977 berakhir dengan perceraian "talak" tiga! Masing-masing mencari haluan sendiri.

Dalam keadaan politik pasang surut, UMNO berjaya mengatasinya dengan pelbagai pendekatan. Misalnya pada 1946, UMNO di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar berjaya menyatukan orang Melayu dengan "Hidup Melayu." Tahun 1957 Tunku membawa wadah "Merdeka." Tahun 1963 Tunku membawa Gagasan Malaysia dan berjaya menghadapi "Konfrontasi Indonesia." Tahun 1969 - UMNO menghadapi pergaduhan kaum tetapi berjaya memulihkan keadaan dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Tahun 1970, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Pada 1973 UMNO dan Pas bergabung mewujudkan kerajaan campuran. Pada 1987, Tengku Razaleigh menentang Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan UMNO diharamkan pada 12 Februari 1988. Pada 14 Februari 1988 UMNO Baru diwujudkan sebagai wadah baru UMNO. Diikuti dengan penubuhan Semangat 46.

Pada 1996 Semangat 46 diserap semula ke dalam UMNO. Pada 1998/1999 sebahagian ahli UMNO keluar mengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO kerana dituduh hendak menjatuhkan kepimpinan Dr. Mahathir dan menubuhkan PKR.

Pada PRU 2008, UMNO mengalami kekalahan yang teruk di mana lima buah negeri ditawan oleh pakatan pembangkang.

Cabaran UMNO kini sangat berat. Yang mendatang belum tahu! Antaranya, DAP tidak hanya menentang UMNO/BN tetapi menentang sebahagian besar kandungan Perlembagaan! Pengundi Cina mula berpaling daripada menyokong MCA dan Gerakan.

Penulis hanya melontarkan persoalan, apakah UMNO sekali lagi terpaksa mengorbankan hak-hak Melayu demi hendak memperoleh sokongan kepada BN dan melayan tuntutan golongan ini?

Ketiga, Pas sukar diajak berunding seperti era kerajaan campuran UMNO-Pas dahulu. UMNO masih menganggap dengan kerjasama Pas, masalah perpecahan sesama Melayu boleh diredakan. Pas memang dikenang banyak memberi sumbangan kepada negara semasa di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda. Antaranya, menyokong gagasan Malaysia, menyokong ISA, menyokong Singapura keluar dari Malaysia dan tentunya semasa Pas berada di dalam kerajaan campuran 1973-1977 dahulu.

Atas dasar itulah UMNO tidak berhenti mengundang Pas untuk berunding ke arah penyatuan Melayu! Masalahnya, Pas dahulu macam benang, sekarang sudah menjadi kain. Dahulu ideologi Islam Pas lain dengan ideologi Islam Pas sekarang. Pas kini mirip fahaman pemerintahan ulama ala-Iran.

Lagi pun Pas sudah mendapat rakan baru iaitu DAP dan PKR. Sebab itu, Pas kini berlainan fahaman dan aspirasinya berbanding semasa era Datuk Asri dahulu.

Dahulu mereka berhasrat hanya mahu menjadi parti pendakwah Islam, soal politik dan menjadi pembangkang adalah soal kedua. Kini Pas mahu "memerintah Malaysia". Tentulah "politik" didahulukan" daripada agenda lain.

Perbezaan fahaman politik UMNO dan Pas kian melebar dan tentunya disebabkan tiada usaha memupuk hubungan antara UMNO dan Pas sejak 1977 hingga kini. Justeru, jarak masa 34 tahun itu tentu sekali membuatkan kedua-dua parti itu mempunyai jurang pendapat yang luas dan haluan berbeza.

Cabaran keempat, adalah bagaimana UMNO hendak memperoleh semula sokongan padu orang Melayu? Dikatakan parti itu sedang melakukan beberapa pendekatan baru. Di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, diyakini akan dapat mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO, begitu juga sokongan bukan Melayu.

Antara langkah-langkah yang sedang diambil adalah memperkenalkan transformasi politik, ekonomi dan sosial. Di bawah transformasi politik, difahamkan agenda untuk mengajak Pas bergabung dengan UMNO masih diteruskan. Ini akan kita analisis kemudian.

UMNO juga telah membuat perubahan drastik berhubung sistem pemilihan pemimpin supaya lebih demokratik. Lebih 160,000 ahli UMNO akan terlibat dalam pemilihan tersebut, berbanding hanya 1,800 ahli sahaja sebelum ini.

Strategi menerapkan beberapa ciri penting untuk dijadikan panduan kepimpinan. Contohnya memilih pemimpin yang amanah, jujur, dedikasi, beragama, berakhlak mulia , mempunyai etika dan sahsiah diri. Semua bakal calon pilihan raya mestilah terdiri daripada mereka yang profesional dalam pelbagai bidang.

Para pemimpin muda yang berkaliber perlu dilatih dari sekarang sebagai persediaan apabila sampai waktunya nanti akan mengambil alih kepimpinan di semua peringkat. Ini mengelakkan parti tidak punya banyak pilihan.

Beberapa tingkah laku yang tidak baik membawa kepada kekalahan BN/UMNO pada PRU-12. Justeru pemimpin-pemimpin UMNO haruslah bersikap tidak mengada-ngada, memahami perasaan dan kehendak rakyat, perlu menerima maklumat dari akar umbi, perlu ada rasa "kekitaan" tidak bersikap angkuh, sombong, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk, bersikap simpati dan "empati" terhadap kesusahan rakyat dan berfikiran terbuka.

Anggapkan kemasukan orang muda dalam parti sebagai "aset, bukan musuh yang mengancam kedudukan; tidak mencantas kepimpinan baru; pemimpin perlu turun padang secara berkala, perlu merapatkan diri dengan masyarakat, jangan terlalu yakin dan selesa dengan prestasi parti."

Budaya politik baru perlu diwujudkan, UMNO sedang dalam proses mengubah mindset daripada budaya politik yang lama kepada budaya politik yang baru; UMNO perlu berwajah baru - wajah yang memberi harapan baru kepada bangsa Melayu ke arah menawan semula hati mereka yang sudah luka, rawan dan tidak keruan sekarang ini.

UMNO sedang dalam proses membuka seluas-luasnya keahlian kepada semua pihak, profesional, pegawai kerajaan, ahli-ahli korporat dan usahawan-usahawan Melayu.

Akhir sekali, UMNO harus menonjolkan budaya politik yang berteraskan kasih sayang dan tolak ansur sesama manusia walaupun berbeza ideologi politik.

Budaya politik baru ini seharusnya berteraskan prinsip agama dan nilai akhlak yang mulia dan tidak terjerat dengan emosi melulu serta fahaman agama yang sempit.

Monday, May 9, 2011

SEJARAH UMNO YANG TERBILANG

UMNO mampu satukan Melayu Muslim di Malaysia! – Tun M

Sunday, May 8th, 2011 | Posted by dukeofmontecristo

http://www.mykmu.net/?p=10313

Pagi tadi saya berpeluang lagi untuk menemui negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir pada majlis perasmian Persidangan Tahunan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras. Bukan senang saya nak berjumpa dengan insan istimewa seperti Tun M, sebulan sekali pun payah!

Meskipun Tun M agak lewat pada hampir pukul 12 tengahari ekoran baru tiba dari Kota Kinabalu dan isterinya, Tun Siti Hasmah, kurang sihat dan terpaksa dihantar untuk menerima rawatan dihospital, saya tetap tidak berganjak walaupun sudah tiba di Dewan tersebut sejak jam 8.30 pagi lagi.

Ternyata ucapan Tun M masih lagi bertenaga, “padat berisi” dan tajam. Ucapannya kali ini lebih berkisar mengenai perpaduan umat Melayu Islam dan hala tuju UMNO sebagai sebuah parti politik. Cukup menarik!

Menurut Tun M, beliau baru pulang dari mesyuarat tahunan MUBARAK di Sabah. Dalam mesyuarat tersebut beliau ditanya apakah sebab Melayu berpecah dan bagaimana mahu menyatukan Melayu semula?

Menurut Tun M, sebelum merdeka, negeri-negeri Melayu belum lagi membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan berpecah. British telah mengambil kesempatan ini untuk mengamalkan sistem “pecah dan perintah” di mana mereka telah menubuhkan Malayan Union yang bakal ditadbir oleh Kerajaan British.

Gagasan itu telah ditentang oleh beberapa tokoh Melayu dari seluruh Malaysia. Ketika itu tokoh-tokoh berkenaan tidaklah kaya dan terlalu tinggi pelajarannya hingga ke peringkat PHD. Namun, atas kesedaran diri, sayangkan Islam, Bangsa dan Tanahair (Alif Ba Ta), maka Melayu berjaya disatukan dan berjuang bersama menentang Malayan Union.

Maka tertubuhlah UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar pada 1946. Di kalangan tokoh-tokoh UMNO ini, ramai yang terpilih untuk menganggotai “legislative coucil” dan mereka ini menerima gelaran “Yang Berhormat” atau “The Honourable”, elaun bulanan, elaun beli kenderaan dan sebagainya.

Namun malangnya, perlantikan dan beberapa keistimewaan yang diterima oleh tokoh-tokoh itu tidak disenangi dan dicemburui oleh segelintir tokoh Melayu lain. Golongan ini tidak terpilih ekoran tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan tidak berpelajaran secara formal. Kebanyakkannya ialah ustaz-ustaz lepasan sekolah pondok dan bekas pelajar dari timur tengah.

Golongan ini telah berpakat untuk bertanding merebut pucuk pimpinan UMNO untuk membolehkan mereka turut dipilih sebagai “legislative council”. Mereka tewas. Akibat gagal mendapat apa yang mereka hajati, mereka bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS. Itulah detik pertama pepecahan Melayu.

Menurut golongan “kecewa” itu, mereka keluar dari UMNO kerana parti itu tidak Islamik dan bersekongkol dengan kafir. Walhal, mereka sedikit pun tidak mengaku bahawa mereka kecewa kerana gagal mendapat kuasa jawatan yang kemudiannya akan memberikan elaun bulanan, gelaran “YB” dan sebagainya.

PAS tidak mendapat sokongan kuat dari orang Melayu Muslim ketika itu. Pada pilihanraya tahun 1955, UMNO dan Perikatan telah berjaya memenangi 51 kerusi dari 52 kerusi yang dipertandingkan. PAS hanya menang 1 kerusi di Gunung Semanggol. Tak ubah seperti PKR di Permatang Pauh sebelum ini.

Jelas Tun M, menurut fakta tersebut, MELAYU BERPECAH KERANA WANG RINGGIT, JAWATAN dan KEBENDAAN. Itu faktanya. Itu yang terjadi pada UMNO dan pepecahan umat Melayu Muslim pada peringkat awalnya.

Dan kini, Melayu semakin berpecah. Mengapa? Menurut Tun M, UMNO mesti bermuhasabah diri kerana amalan parti itulah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada pepecahan umat Islam Melayu.

Kini, menurut Tun M, ada segelintir pemimpin UMNO yang berjuang untuk diri sendiri, anak dan “menantu”! Jika anak muda diajak menyertai UMNO, mereka akan bertanya, “apa yang UMNO akan bagi kalau kami masuk UMNO?”. Pemimpin mengejar AP, projek-projek, dan habuan politik! UMNO dikotorkan oleh golongan ini!!!

Sebab itulah semakin ramai Melayu hilang kepercayaan pada UMNO. Melayu tidak hilang kepercayaan kerana “liwat”, “video seks” dan “Omega”. Melayu hilang kepercayaan kepada UMNO kerana sikap segelintir pemimpinnya yang tak berguna itu!

Justeru itu, Tun M memberikan sedikit formula berguna untuk UMNO memperbaiki keadaannya. Tun M berkata, Melayu mesti kembali kepada perjuangan “Alif Ba Ta”, perjuangan asal UMNO iaitu perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanahair sebagaimana semangat yang diperolehi ketika tahu 1946 dahulu!

“Lupakan dan ketepikan segala kepentingan diri. Tujuan UMNO ditubuhkan ialah menyatukan Melayu, bukannya sebab nak dapatkan AP, projek dan habuan sana sini!” katanya sinis!

Tidak mustahil untuk UMNO berubah dan bertransformasi kembali kepada perjuangan asal parti. UMNO pernah membuktikan dahulu bahawa UMNO berjaya menyatukan semua. Takkanlah di zaman moden teknologi canggih dan maju ini UMNO tak mampu lakukan?

Tun M menggesa agar pihak pucuk pimpinan BN hanya memilih calon yang palin bermutu, tidak korup, tidak mementingkan diri, tidak cari projek, tidak cari AP, bermaruah dan berakhlak sebagai calon pilihanraya BN. Jika BN sudah mempunyai calon-calon sedemikian, rakyat akan kembali yakin, Melayu semakin bersatu, esok pilihanraya pun, sudah gerenti BN akan menang besar..!!!

Demikianlah bunyinya ucapan perasmian Tun M di UMNO Bahagian Cheras. Meskipun Tun M tidak lagi menyampaikan “ucapan dasar Presiden” sebagaimana yang selalu dilakukan sebelum ini, ucapan perasmian persidangan UMNO ini pun cukup membangkitkan semangat saya untuk berjuang demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu!

Justeru itu, saya menyeru kepada semua pemimpin UMNO supaya berubah segera atau mereka bakal menerima nasib seperti Pak Lah! Saya lebih sayangkan perjuangan UMNO berbanding pemimpin UMNO yang tidak berguna!

Saya percaya, Datuk Seri Najib seorang yang “celik” untuk membuat keputusan yang terbaik untuk memilih calon BN kali ini. Dan saya mengajak agar semua jentera UMNO dan blogger pro-kerajaan agar kembali bersemangat membina keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN.

Ayuh semua! Kita bangkit! Gandakan semangat! Double triple effort! Kita hancurkan pakatan pembangkang yang bermaharajalela memfitnah, mengelirukan rakyat dan membuat huru-hara di negara kita ini. Kita bakor ajeee..!!!

KUALA LIPIS BERSEJARAH