Friday, August 6, 2010

MALAYSIA NEGARA ISLAM CONTOH

Sudut pandangan politik Islam

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm



ADA pelbagai pendapat mengenai politik Islam. Pertama, kelompok yang berpendapat politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Hujah mereka adalah Islam merupakan agama sempurna dan serba lengkap yang mengatur segala aspek kehidupan. Justeru, ia merangkumi persoalan mengenai politik dan pentadbiran negara. Bagi golongan ini, hukum-hakam Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya kuasa politik.

Kedua, kelompok yang berpandangan bahawa politik bukannya juzuk atau ajaran dalam Islam. Aliran ini berpendapat bahawa al-Quran tidak mengatur masalah politik atau ketatanegaraan. Misalnya, Ali Abdul Raziq (1888-1966), ulama abad ke-20, lulusan Universiti Al-Azhar menyebut bahawa al-Islam al-Siyasi sebagai Islam bentuk baru yang diadakan oleh kaum fundamentalis.

Beliau menulis pandangannya itu di dalam bukunya, Islam wa usul al-hukm. Pandangannya yang kontroversi itu menyebabkan Universiti Al-Azhar menghukumnya sebagai sesat dan menarik kembali ijazah yang diberikan kepadanya.

Kelompok Islam Liberal juga berpendirian tidak ada politik dalam Islam. Negara hanyalah urusan keduniaan yang bergantung sepenuhnya kepada kewujudan masyarakat. Pandangan tersebut pernah disuarakan oleh pelopor Islam Liberal Indonesia, Nurcholish Madjid dalam tulisannya The Necessity of Renewing Islamic Thought and Reinvigorating Religious Understanding. Tulisannya itu terkandung di dalam buku Liberal Islam (Oxford University Press,1998).

Kelompok ketiga pula berpendirian bahawa al-Quran tidak menyebut secara qatie atau tidak ada nas yang jelas tentang politik dan sistem kenegaraan. Al-Quran tidak menetapkan model atau sistem politik tertentu yang harus diikuti.

Namun, kelompok ini tidak menolak urusan politik dalam Islam tetapi lebih menekankan tata nilai dan etika politik serta kehidupan bernegara seperti yang disebut pemikir Islam Mesir, Husain Haikal bahawa negara hanyalah instrumen politik untuk menegakkan etika Islam bersifat universal.

Jelaslah bahawa kelompok terbabit bersifat anjal (fleksibel) dalam menentukan bentuk politik Islam yang harus dipegang oleh umat Islam. Bagi kelompok ini, urusan pentadbiran adalah mengikut kebijaksanaan pemerintah selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan asas-asas syariah. Pendapat ini merupakan pandangan pertengahan yang banyak diterima oleh para sarjana Muslim. Pendapat ketiga ini juga sesuai dengan situasi politik kontemporari hari ini.

Situasi politik hari ini memerlukan kita berfikir secara mendalam, kritis dan rasional tentang hubungan agama dan politik. Fakta utama yang perlu difahami ialah pembentukan pemerintahan dan kenegaraan mengambil kira pertumbuhan dan perkembangan masyarakat itu sendiri.

Dalam konteks ini, fasa-fasa pertumbuhan pemikiran politik Islam harus difahami. Ketika era nubuwah (kenabian), Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah-kaedah pokok Islam dalam membina dan mengatur sebuah negara.

Kemudian muncul pula era di mana kehidupan masyarakat dan negara terus berkembang dengan pesatnya. Pertumbuhan wilayah kekuasaan Islam terus berkembang selepas era khulafah ar-Rasyidin. Ia adalah era di mana muncul dan tertegaknya pelbagai kerajaan Islam di serata pelosok dunia. Dari semasa ke semasa, pergolakan politik berlaku dalam kerajaan-kerajaan Islam itu. Kebanyakannya berlaku hasil daripada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kelompok dan puak yang berkepentingan. Setiap puak itu pula mempunyai dukungan kelompok ulama mereka tersendiri.

Pertelingkahan pelbagai puak dan aliran ini telah melahirkan pelbagai pemikiran politik mengikut kelompok-kelompok terbabit. Kemudian muncul pula era penjajah kuasa Barat ke atas dunia Islam yang membawa masuk pelbagai pembaharuan sama ada dari segi pemikiran, ideologi dan teknologi baru ke dunia Islam. Apabila negara-negara umat Islam itu merdeka, masing-masing muncul sebuah negara bangsa (nation state) dan majoritinya menerima pakai sistem demokrasi dalam politik dan pentadbiran.

Dalam masa yang sama, wujud kelompok ulama dan sarjana Muslim yang memperjuangkan sistem teokrasi. Mereka berupaya menarik sokongan dan ada di kalangan mereka memimpin jemaah atau parti politik yang memperjuangkan negara Islam. Mereka menyeru pemerintah di negara-negara umat Islam supaya menegakkan negara Islam. Situasi ini telah mencetuskan perdebatan mengenai konsep negara Islam yang melahirkan beberapa pandangan tertentu.

Misalnya, tokoh-tokoh seperti Abul A'la al-Maududi dan Sayyid Qutb telah melahirkan gagasan mengenai sistem pemerintahan teokrasi sebagai bentuk pemerintahan Islam. Golongan sederhana seperti Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Fathi Osman pula menerima demokrasi dengan syarat ia disesuaikan dengan syariat Islam.

Bagi Husain Haikal, mereka yang berusaha menegakkan negara berdasarkan syariat Islam melalui instrumen demokrasi dianggap golongan yang berusaha menegakkan negara 'teo-demokratik' iaitu konsep politik yang memberikan kekuasaan kepada rakyat, tetapi kekuasaan itu dibatasi oleh norma-norma daripada Tuhan.

Dalam dunia Islam, hanya wujud beberapa negara Islam yang dianggap mengamalkan sistem pemerintahan Islam seperti Iran dan Arab Saudi. Sungguhpun begitu, sistem pemerintahan republik Islam Iran adalah berasaskan model negara Islam versi Syiah. Arab Saudi pula dikuasai oleh aliran Wahabi.

Bagaimana pula dengan kedudukan negara kita? Apakah ia negara Islam atau sekular? Pada September 2001, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Menurut Dr. Mahathir, Malaysia diakui sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada ahli Sunnah wal Jamaah.

Bagi menyokong kenyataan tersebut, beliau merujuk kepada kenyataan Syeikh al-Azhar Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi yang menyebut Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh (Utusan Malaysia, 11 Julai 2003). Kenyataannya itu telah menyemarakkan kembali ruang perbicaraan tentang negara Islam sehingga parti Pas mengeluarkan buku Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada 12 November 2003.

Meneliti pendapat pelbagai aliran pemikiran politik Islam, maka penulis berpendapat bahawa setakat ini pendekatan politik UMNO berjaya mengambil jalan tengah dan sederhana dengan memberi penekanan kepada nilai dan etika Islam bersifat universal.

Sejak menerajui negara ini, UMNO telah membuktikan keupayaannya menegakkan syiar Islam di samping dapat menerapkan kehidupan bertoleransi bersama masyarakat bukan Islam serta memberikan hak-hak yang sewajarnya kepada mereka selari dengan semangat perlembagaan negara.

Peliknya, Pas yang suatu ketika dahulu beria-ia mahu menegakkan negara Islam dan hukum hudud telah bertukar 'melodi' . Setelah bergabung dalam pakatan yang rapuh bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas kini terpaksa melupakan prinsip perjuangannya. Kerjasama Pas dengan DAP juga bercanggah dengan fatwa yang pernah dikeluarkannya bahawa haram bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Malah, setelah bergabung, parti itu sanggup mempertahankan DAP yang jelas menentang kewujudan negara Islam dan memperlekehkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, Pas gagal memahami atau tidak mahu mengakui bahawa ia telah terperangkap dan sedang diperkudakan oleh kedua-dua parti tersebut sehingga Pas menjadi parti yang tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Justeru, apa lagi alasan Pas untuk memperlekeh dan menolak saranan kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas supaya perpaduan Melayu menjadi lebih kuat?

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa),

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

1 comment:

  1. Umno bahagian Lipis dibawah pimpinan baru hari ini ibarat beruk dapat cincin, begitulah perumpamaan yg di gelar oleh beberapa veteran Umno Pahang.-p

    semoga jadikan iktibar pada semua.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH