Wednesday, June 9, 2010

1MALAYSIA, GTP DAN MEB



Kepemimpinan Najib terus diterima: Kajian

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/06/09

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KepemimpinanNajibterusditerima_Kajian/Article

Pelan, dasar diperkenal kerajaan disambut baik rakyat

KUALA LUMPUR: Kadar penerimaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meningkat kepada 72 peratus berbanding 69 peratus pada April lalu.

Menurut kaji selidik dilakukan Merdeka Centre, kadar penerimaan tertinggi yang dicatatkan adalah di kalangan kaum India (80 peratus) diikuti Melayu (77 peratus) dan Cina (58 peratus).

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian, berkata kadar penerimaan yang tinggi itu didasari usaha dan pelan dirancang Perdana Menteri seperti gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Katanya, walaupun kaji selidik itu tidak menterjemahkan keseluruhan penerimaan kepemimpinan Najib, ia jelas menunjukkan rakyat terus menerima pembaharuan atau dasar yang hendak dibawa Perdana Menteri.

“Kaji selidik mendapati, responden memberi markah tinggi terhadap kepemimpinan Najib kerana mereka meyakini usaha dan rancangan yang hendak dilaksanakan Perdana Menteri.

“Namun, kita juga dapat menilai bahawa rakyat masih menunggu apakah `hadiah’ baru yang akan diumumkan Perdana Menteri lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Seramai 1,028 rakyat Malaysia dipilih secara rawak dalam kaji selidik itu yang dilakukan antara 6 sehingga 16 Mei lalu iaitu 10 hari selepas pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan berakhirnya pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Rekod menunjukkan sokongan rakyat terhadap Najib terus meningkat terutama di kalangan tiga kaum berkenaan sejak Merdeka Centre mengadakan kaji selidik tahap penerimaan Perdana Menteri mulai Mac tahun lalu.

Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh Perdana Menteri di Parlimen esok adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat dan dijangka meningkatkan lagi kadar penerimaan rakyat terhadap beliau.

Ibrahim berkata, hasil kaji selidik itu juga menunjukkan populariti Najib masih menjadi kunci utama kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya.

Namun katanya, kaji selidik itu menunjukkan majoriti rakyat Malaysia masih kurang berpuas hati terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah dan jenayah.

“Kira-kira 61 peratus responden tidak berpuas hati terhadap usaha memerangi rasuah dan 57 peratus terhadap usaha menangani masalah jenayah,” katanya.

Beliau juga berkata, 50 peratus daripada responden yakin Perdana Menteri mampu mencapai sasaran dalam gagasan 1Malaysia, GTP dan MEB dalam tempoh dua tahun.

Katanya, 65 peratus responden India dan 60 peratus Melayu yakin sasaran itu mampu dicapai namun 60 peratus responden Cina tidak yakin ia boleh dicapai.

“Kira-kira 58 peratus responden bersetuju bahawa pentadbiran Najib adalah perancang yang baik namun mempunyai kelemahan dalam aspek pelaksanaan.

“Malah satu pertiga responden Cina atau 74 peratus menyokong kelemahan itu diikuti orang Melayu iaitu 51 peratus dan India, 43 peratus,” katanya.

1 comment:

  1. Salam.Memang ada perbezaan kepimpinan DSN berbanding dengan PM sebelomnya.Namun tidak kelihatan DSN benar benar ingin membersihkan UMNO dari pemimpin pemimpin yang korap.Rakyat menolak UMNO dulu kerana ramainya pemimpin UMNO yang korap yang lebih mementingkan perut mereka sendiri dari rakyat.Jika soal pokok yang rakyat mahu DSN ubah tetapi masih jugak tidak diubah,bagaimana kita ingin rakyat kembali menyokong UMNO?

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH