Friday, May 6, 2011

BERPEGANG DENGAN "TALI ALLAH"

Ketepikan Ideologi, Kepentingan Peribadi Untuk Perpaduan – Dr Ridhuan

Oleh : Tg Azman Tg Abas

http://umno-online.com/?p=36800

KUALA LUMPUR 5 Mei – Tokoh akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berharap akan ada titik pertemuan dan sinar di hujung terowong berhubung perpaduan Melayu khususnya antara UMNO dengan Pas.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional seterusnya berkata apabila wujud pertembungan yang melibatkan kepentingan nasional, seharusnya ideologi tidak dijadikan penghalang sebaliknya kepentingan bangsa, agama adn negara diutamakan.

“’Saya cukup sedih apabila hari ini jemputan atas nama perpaduan dipandang sinis oleh pihak tertentu yang seolah-olah tidak nampak kepentingan perkara berkenaan untuk negara kerana dibatasi oleh ideologi politik.

“’Apakah mereka sedar dan tahu, orang lain boleh meletakkan kepentingan mereka dihadapan dan kita bangsa Melayu seolah-olah tidak ada titik noktah ke arah itu kerana kepentingan peribadi dan kepentingan politik.

“’Perbezaan ideologi dan politik bukan bermakna tidak boleh bersatu. Dan persoalan terdesak dan mendesak tidak timbul kerana mereka perlu melihat perkara berkenaan secara positif. Apakah selamanya kita akan berpecah?” soalnya.

Ustaz Ridhuan seterusnya menimbulkan kehairanan bagaimana jemputan ikhlas ke arah itu dipandang sinis sedangkan pada masa yang sama mereka boleh berkawan dengan bukan Islam yang secara terang-terangan menentang sebuah negara Islam.

“Duduklah…dan berbincanglah secara elok dan bukannya terus tutup pintu. Kalau dengan bukan Islam seperti yang saya sebutkan tadi mereka boleh berkawan dan bercakap, kenapa jemputan daripada satu bangsa dan satu agama dipandang buruk. Apakah ini boleh menjayakan perpaduan bangsa.

“Kisah silam jadikan sejarah dan kita perlu bergerak ke hadapan kerana kita tidak boleh kembali kepada masa lampau. Kita perlu bergerak ke arah kepentingan yang lebih besar. Apabila kepentingan nasional bertembung dengan peribadi dan parti, kepentingan nasional itu perlu dititikberatkan,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau seterusnya percaya jika kepentingan peribadi dan ideologi menjadi penghalang, sampai kiamat pun perkara tersebut tidak akan menjadi realiti.

“Kita letakkan harapan yang besar dalam soal ini. Ini bukan mahu bina rumah tetapi bina negara yang terdiri daripada 14 buah negeri. Saya amat-amat berharap perkara ini disambut baik tanpa prasangka untuk kepentingan masa depan khususnya untuk anak cucu cicit kita pada masa akan datang.

“Bayangkan 15 atau 20 tahun akan datang, disebabkan tangan-tangan kita hari ini anak cucu cicit menghentam kita…. Lihatlah secara positif untuk kepentingan bersama. Ingat orang lain boleh bersatu kenapa kita tidak mampu menjadikan ianya satu realiti,” katanya.

-MediaUMNO

Thursday, May 5, 2011

PAS LENA DIULIT DAPIGS???

Pas Kena Sedar Diri, Balik Ke Pangkal Jalan – Ramlah Adam

Oleh : Ropikah Ahmad

http://umno-online.com/?p=36756

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam meminta Pas agar sedar diri dan kembali kepada ideologi perjuangan asal sebagaimana penubuhan asalnya demi agama Islam khususnya semasa zaman kepimpinan Dr. Burhanuddin Helmi Al-Helmi.

“Pas perlu tahu dan sedar bahawa hanya orang Melayu sahaja yang akan perjuangkan bangsanya dan agama Islam tetapi jika mereka sendiri tidak bangga berbangsa Melayu bagaimana mungkin mereka mahu mendaulatkan Islam?

Jelasnya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, Pas menjadikan Islam sebagai bahan politik semata-mata dan kemudiannya apabila menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang iaitu PKR dan Dap agenda utama dalam perjuangan mereka terus diketepikan.

“Pas perlu kembali ke jalan asal dan idealogi perjuangan untuk agama Islam melalui bangsa Melayu kerana agama tidak akan berdiri kukuh tanpa perjuangan bangsa. Bangsa adalah teras kenegaraan dan semangat perjuangan kebangsaan.

“Bagaimana Pas boleh menjalinkan kerjasama dengan Dap sedangkan secara jelas Dap yang ditubuhkan pada tahun 1964 adalah serpihan dari idealogi yang dibawa oleh PAP apabila Singapura terpisah dengan Malaysia iaitu masih lagi teguh kepada pendirian Malaysian Malaysia,” jelasnya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau lagi, saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya Dap adalah amat wajar sekiranya benar mereka memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Saya menyokong apa yang disuarakan oleh Perdana Menteri kerana jika benar Pas pentingkan agama Islam maka kenapa mereka tidak peduli apabila perkataan Allah boleh digunakan oleh agama lain?

“Kita melihat Pas yang ada hari ini sudah tidak lagi mempedulikan hal-hal berkaitan etika pemimpin, moral dan integriti dalam kepimpinan itu sendiri sebaliknya mereka hanya mahukan kuasa politik yang bersifat materialisme semata-mata,” terangnya.

Tambah beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajaran Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), jika dilihat dari sudut sejarah pun, Dap tidak pernah menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik malahan berdepan dengan pilihan raya umum secara bersendirian.

“Dalam jalinan kerjasama yang berlaku pada PRU lalu, kita melihat Dap mempergunakan PKR dan Pas untuk kepentingan politik dan idealogi mereka sendiri sehinggakan hari ini Dap dilihat lebih dominan dan terus menjalankan usaha untuk takluk pemikiran anak-anak muda.

“Dap bukan hanya berjaya mempengaruhi oarang-orang Cina yang melihat MCA dan Gerakan bukan parti mereka untuk bergantung malahan Dap juga telah mempengaruhi golongan muda Melayu yang sudah tidak peduli soal pembelaan, hal-hal berkaitan keistimewaan orang Melayu dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, generasi muda hari ini enggan lagi melihat perjuangan masa lalu sebagai agenda masa hadapan tetapi pemikiran mereka telah diubah oleh Dap dengan hal-hal berkaitan liberalisasi, hak asasi manusia dan hal-hal material.

- MediaUMNO

Wednesday, May 4, 2011

PAS ATAU PIS??? ..... SESAT?

Segugus Soalan Untuk Parti Islam Se-Malaysia

Oleh tinjau

http://loluconagama.wordpress.com/2011/03/27/segugus-soalan-untuk-parti-islam-se-malaysia/

Semoga seluruh saudara Islam saya berada dalam keadaan dirahmati Allah. Meneguk nafas kebenaran dari cangkir as Sunnah. Berjuang diatas jejak Nubuwwah. Dan mentancap keyakinan shahihah ke dalam ikatan qalbu.

Moga upaya saya tidak akan dicemuh atau dihina. Hanya yang saya lakukan adalah untuk mendapat penjelasan. Sekiranya saya tersilap dalam menanyakan soalan, tegurlah dan berikanlah cara yang sebenarnya.

Soalan saya ini ditujukan kepada seluruh Ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Bukan hanya kepada Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi, malah kepada ahli-ahli yang sering mengunjungi kuliah dan duduk bersimpuh pada usrah.

Ketika tuan-tuan sedang mengajak umat Islam dan rakyat di Malaysia untuk menegakkan Hudud di bumi ini, apakah tuan-tuan telah melaksanakan hukum islam yang lainnya di negeri yang tuan-tuan telah kuasai?

Malah ingin juga saya tanyakan kepada tuan-tuan, apakah para ustaz dan ulama tuan telah ajarkan kepada tuan akan tanggungjawab Ahlul Zimmah dan larangan kepada mereka? Sekiranya belum pernah dikhabarkan kepada tuan-tuan, saya akan menukilkan sedikit dari kitab Ibn Taimiyyah, iaitu kitab Majmu’ Fatawa dan kitab Iqtidla’ Siratul Mustaqim.

Ibn Taimiyyah berkata bahawa ketika Khalifah Umar memasuki Mesir maka beliau membuat perjanjian dengan Nasrani Qibti, yang kemudiannya hukum tersebut menjadi dasar Negara Islam diseluruh zaman dan tempat. Maka Ibn Taimiyyah menuturkan perjanjian tersebut, antaranya adalah:

1] Ahli Zimmah tidak boleh menampakkan diri mereka seperti Umat Islam dari segi pakaian dan budaya, seperti wanita mereka tidak boleh memakai tudung.

2] Ahlus Zimmah tidak boleh membaca Al Qur’an, tetapi dibolehkan untuk mendengar Kalam Tuhan yang dibacakan kepada mereka.

3] Rumah Ibadat yang telah ada, sekiranya rosak maka tidak boleh diperbaiki.

4] Ahlus Zimmah tidak boleh mendirikan rumah ibadat yang baharu. Wajib menggunakan yang sedia ada.

5] Ahlus Zimmah tidak boleh menunjukkan perbuatan syirik kepada publik

6] Ahlul Zimmah tidak boleh menunjukkan lambang agama mereka ketika keluar ke publik seperti memakai salib, mengenakan pakaian kerahiban dan membawa kitab agama mereka.

7] Ahlus Zimmah tidak boleh menjual arak dan judi

8] Tidak membunyikan loceng dengan kuat sehingga didengar oleh Kaum Muslimin

9] Kaum lelaki Ahlul Zimmah tidak menyikat rambut di tengah-tengah kerana kaum Muslimin ketika itu menggayakan fyesen rambut belah tengah.

10] Ahlul Zimmah wajib bangun dan memberi tempat duduk kepada Umat Islam dalam sebuah manjlis.

Inilah sedikit dari perjanjian yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab yang kemudiannya diteruskan oleh para khalifah dan sultan Umat Islam. Malah ketika Turki Uthmaniyah terbentuk, mereka mengharamkan kaum lelaki dari agama lain untuk mengenakan Tarbus. Namun hukum ini dihapuskan oleh Sultan Sultan Mahmud II yang memerintah pada tahun 1808-1839 mengeluarkan hukum bersifat Sekularisme dengan berkata:

“Beta tidak mahu sekarang untuk membezakan antara umat Islam kecuali berada di dalam Masjid, dan orang-orang Nasrani kecuali apabila berada dalam Gereja, dan orang-orang Yahudi kecuali berada dalam Sinagog. Beta mahukan selagi mereka semua mentaati Beta, mereka semua akan mendapat hak yang sama dan mendapat perlindungan yang serupa” (Bangkit Dan Runtuhnya Khalifah Uthmaniyah ms 658).

Lantas pada saat inilah Kerajaan Turki Uthmaniyah telah menghilangkan sebuah hukum Islam. Tetaplah apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw tentang hukum Islam akan terputus satu demi satu mengikut putaran zaman, sehingga yang hanya tinggal di akhir zaman adalah solat sahaja.

“Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah saw baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat”. (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)

Oleh kerana itu, walaupun sesebuah negara itu telah banyak tidak melaksanakan hokum Islam, namun para ulama’ Ahlus Sunnah tetap menamakan daerah tersebut sebagai Darul Isalam selagi mana kerajaan itu dikuasai oleh orang Islam, wujudnya syiar Islam secara umum iaitu azan, solat eid dan umat islam berasa aman untuk melaksanakan ibadah di dalamnya.

Namun ketika PAS mengatakan bahawa Malaysia bukanlah Negara Islam, tetapi sebuah Negara Kafir atau Negara Umat Islam, bererti tuan-tuan telah menetapkan sebuah hokum yang tidak pernah ditetapkan oleh Ulama’ Ahlus Sunnah sebelum ini.

Kita andaikan saja Negara Malaysia ini merupakan Negara Kafir, maka menjadi sebuah kewajiban untuk tuan-tuan berhijrah ke negeri Islam yang lain. Haram bagi tuan-tuan untuk duduk dan bersenang lenang di sini. Malah menjadi haram jika tuan-tuan berkerja dengan kerajaan kafir. Allah mengatakan tentang hal itu dalam firmannya:

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya:”Dalam keadaan bagaimana kamu ini”. Mereka menjawab:” kami Adalah orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)”. Para malaikat berkata:”Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah dibumi itu”. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruknya tempat kembali, (QS. an-Nisaa`:97)”

Oleh itu mengikut sejarah dan pengamalan sunnah, Nabi dan para sahabat tidak pernah tinggal dalam Negara kafir setelah turunnya ayat hijrah. Mereka membuka dan menukarkan sesebuah wilayah itu dari luar, bukannya dari dalam. Maka wajib bagi tuan-tuan untuk hijrah ke Negara Islam yang lain. Dan kembali menghadap kerajaan ini bagi menukarkannya kepada Islam.

Kemudiannya, setelah tuan-tuan mendapatkan tiga buah negeri dalam pilihanraya sebelum ini, dengan jangka masa paling singkat tuan-tuan memerintah adalah 5 tahun, sedangkan di Kelantan tuan-tuan telah berkuasa selama 15 tahun, maka apakah yang menyebabkan tuan-tuan masih tidak mampu untuk melaksanakan apa yang Umar Al Khattab lakukan kepada penduduk Qibti Mesir?

Tuan-tuan memiliki kuasa dalam hal itu, minimal untuk melarang kaum DAP dari membacakan ayat-ayat Al Qur’an, melarang para wanita PKR dari memakai baju kurung dan berkebaya, tidak meluluskan permohonan pembinaan patung Budha dan menyokong pengharaman perkataan Allah pada Injil Terjemahan.

Tapi mengapa tuan-tuan tidak mampu untuk melaksanakan hal yang berada dalam tangan tuan-tuan, tetapi tuan-tuan meminta pengubahan undang-undang yang sulit dilaksanakan kerana memerlukan undi 2/3 dari anggota parlimen, sedangkan anggota parlimen yang Muslim itu tidak mencapai 2/3.

Label: Ahlul Zimmah, Hudud, PAS

Tuesday, May 3, 2011

DAP YANG RASIS TAHAP KOMUNIS???

Realiti politik perkauman DAP

Ahmad Atory Hussain

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

SEJARAH perjuangan parti ini bermula apabila Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dengan Lee Kuan Yew memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) di negara itu yang berideologi sosialis.

Semasa Malaya mencapai kemerdekaan tidak ada parti perkauman seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang ada parti sosialis yang ditolak sebahagian besar rakyat. Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, DAP menggantikan PAP di negara ini dan sejak itu DAP bertanding dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dengan fahaman yang menolak sistem politik berasaskan pelbagai kaum.

DAP dilihat sebagai parti yang hanya memperjuangkan kaum Cina, walaupun dianggap sebagai partai sosialis. Prestasi DAP mula meningkat pada PRU 1969, dengan memperoleh 13 kerusi Parlimen. Prestasi paling tinggi adalah dalam PRU 1986 (24 kerusi Parlimen) dan kemuncaknya dalam PRU 2008 (28 kerusi).

Dalam PRU selainnya, adalah sekitar 10 atau 11 kerusi sahaja yang diperoleh parti itu dan DAP menjadikan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) MCA dan Gerakan sebagai menguji kekuatan pengaruhnya.

DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar bergerak mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada 1999 dan kemuncaknya pada PRU 2008 dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut serta mewujudkan pakatan pembangkang tunggal yang mencabar Barisan Nasional (BN).

Walaupun DAP di dalam pakatan pembangkang, ideologi mereka masih tidak sama dengan ideologi Pas. Sementara itu, MCA atau Gerakan dilihat bersifat sederhana.

Secara umumnya, MCA mengakui semua bentuk institusi politik negara yang berasaskan Perlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam agama rasmi serta mengakui hak istimewa orang Melayu, walaupun di dalam hati mereka tidak bersetuju, tetapi mereka tidak menunjukkan dalam tindakan dan prinsip parti mereka.

Berbeza dengan DAP, ia terang-terangan menolak yang boleh dikatakan semua yang berasaskan kemelayuan dan keislaman di negara ini. Tentunya slogan Malaysian Malaysia itu masih menjadi ideologi DAP yang didorongi oleh sistem politik Singapura yang berbentuk republik.

Keinginan DAP mewujudkan semacam ‘ala republik’ di Malaysia tentunya menolak sama sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan kemajmukan!

Pendek kata MCA dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa kerjasama dengan UMNO yang ketika merdeka dahulu mewakili sebahagian besar orang Melayu, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin.

Disemarakkan lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin PKR dan pakatan pembangkang, maka DAP berserta dengan Pas berjaya mempengaruhi sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang dikatakan mirip ideologi DAP.

Sementara Pas dilihat dengan sebelah mata atas dasar ingin mengambil kesempatan daripada pengaruh parti itu dan mengaut keuntungan politik, tetapi Pas kurang sedar akan taktik DAP itu!

Kemenangan cemerlang pakatan pembangkang dalam PRU-12 menyemarakkan lagi semangat DAP untuk menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh pakatan pembangkang. Apalagi dengan Anwar berdepan dengan masalah peribadinya manakala MCA atau Gerakan semakin ketinggalan kereta api.

Pakatan pembangkang yang meniupkan anti UMNO dan BN serta bercita-cita hendak menukar sistem politik Malaysia kepada republik dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara jelas berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi Cina dan Melayu yang tidak begitu faham sejarah dan selok-belok politik negara ini. (Besar kemungkinan faktor sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan di kalangan generasi muda!)

Dipendekkan cerita, DAP berjaya mewujudkan suatu persepsi politik bahawa kebangkitan kaum Bumiputera/Melayu dalam pembangunan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh mengancam survival orang Cina, yang mana pada realitinya tidak begitu.

Sebagai pribumi, mereka pun ingin maju seperti bukan Melayu dan ingin duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam pembahagian ekonomi negara dengan kaum Cina. Salahkah? Ini tidak dimengertikan oleh DAP. Parti itu menganggap rendah kebolehan orang Melayu, kerana dimomokkan oleh pemimpin seperti Lee Kuan Yew.

Sedangkan orang Melayu dan rakyat seluruhnya sudah pun terbuka minda mereka dan menginginkan kemajuan, dan tidak selamanya orang Melayu itu bodoh, malas dan tidak kebolehan.

Mereka dikaburkan dengan persepsi bahawa orang Cina didiskriminasi dalam semua bidang, pada hal hakikatnya yang lebih banyak menikmati ekonomi negara adalah bukan Melayu tetapi ini tidak pernah disebut, yang dibangkitkan ialah orang Melayu yang menguasai politik dan pentadbiran akan menindas kaum lain!

DAP juga menerima nasihat-nasihat daripada ahli akademik mereka yang kebanyakannya anti establishment. Semua yang Melayu (terutama pemerintah) buat, ada sahaja yang tidak kena kepada golongan ini!

Politik perkauman anti establishment ini jelas dihamburkan dengan membangkitkan sentimen anti Perlembagaan Malaysia, menganggap Perlembagaan ini akan memusnahkan masa depan mereka.

Pada hal dengan Perlembagaan, selama ini rakyat dapat menikmati erti kehidupan yang lebih baik dari negara tempat asal mereka. Ini semua dianggap sebagai hujah lapuk dan ketinggalan.

Sehingga seorang ahli akademik dari luar negara yang membuat kajian mengenai: Problems Among Minority Groups in Malaysia” mendapati di Malaysia golongan minoriti tidak ada masalah! Sedangkan di negara-negara lain di dunia, semua minoriti ada masalah!

Hebatnya Malaysia dipandang dari luar, tetapi dipandang oleh segolongan rakyatnya sendiri sebagai “hampas”. Ideologi DAP tidak mengakui hakikat masyarakat berbilang kaum dan tidak mengakui politik berasaskan kerjasama antara kaum.

DAP masih mengharapkan kerjasama daripada Pas dan PKR tetapi kedua-dua parti itu juga tidak dapat dibuktikan boleh memberi jaminan kepada semua kaum di negara ini. Peningkatan pengaruh DAP tentunya disebabkan kelemahan MCA dan Gerakan sendiri. Kedua-dua parti itu gagal meyakinkan orang Cina bahawa mereka akan terus terjamin dalam BN.

Sementara itu, UMNO pula mengalami krisis demi krisis, jadi nampak seperti mereka sudah lemah semangat dan akan keluar dari BN jika kalah dalam PRU akan datang.

Soalnya sampai bila majoriti pengundi Cina hendak berteduh di bawah DAP? Jika MCA kecundang dalam PRU-13, tidak mustahil wakil Cina tidak ada di dalam kerajaan.

Sejarah 13 Mei 1969 membuktikan jika pola seperti sekarang ini berlaku, konflik kaum akan berlaku. Ini tidak sihat bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Untuk itu saya berpendapat, mahu tidak mahu, masyarakat Cina akan kembali kepada status quo di mana akan berlaku semula keseimbangan politik.

Pada hemat saya, ini merupakan satu ujian besar bagi parti-parti politik di negara ini yang mana parti yang terlalu kuat sifat perkauman tidak akan ke mana. Ini berdasarkan kepada teori politik di Malaysia, bahawa politik pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.

Selain itu kerjasama antara parti politik pembangkang terlalu bersifat politik dan penuh muslihat juga dilihat tidak kekal lama. Pas semakin hipokrit. PKR, dianggap retorik dan huru-hara kini. Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih ikhlas walaupun dipandang oleh pembangkang sebagai parti yang usang.

Tetapi itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram dan sentimen kaum tak ke mana. Percayalah.

PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

KUALA LIPIS BERSEJARAH