Pengisian 55 tahun
kemerdekaan
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.
SETIAP tahun apabila
datangnya bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk
negara-bangsa ini, dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau
Malaya sehingga ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah
dan Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.
Ia bukan sahaja
menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957,
tetapi juga menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan
'nilai' anjakan yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini
terus memacu kecemerlangan perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan
oleh warisan kepimpinan.
Pencapaian 55 tahun
merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara
lain. Jika pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa
Malaysia sering dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah
yang memeta pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang
membolehkan Malaysia gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang
terletak antara Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu
membangun dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak
pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.
Hakikatnya, Malaysia
sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah
Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan
World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan
perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas
dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita
negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi
sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.
Setiap warga harus boleh
mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami
pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya
pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan
diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.
Apakah dalam jangkamasa
63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa
Malaysia yang menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia
dan bangga menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?
Insan yang menghuni
negara ini ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah
boleh bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki
infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan
yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada
perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai
kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik
keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus
mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.
Ia juga amat memerlukan
jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada
bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu
Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan.
Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga
kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang
membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran
lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja
yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur
positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan
pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.
Sepanjang 55 tahun, ada
kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam
proses merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun
kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan
diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan
sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan
negara-bangsa. Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di
bawah garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan
Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan
memelihara kebajikan mereka.
Kita juga menyedari
bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada
keinginan untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang
kemerdekaan sudah membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita
lihat selepas 55 tahun sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di
bawah gabungan besar politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak,
ketawa, berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.
Jangan menumpang simpati
sisipan sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara
kosmetik dalam cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan
mencintai tata merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan
kuasa kepada pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.
Tanpa Kontrak Sosial
tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita
meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa
depan bersama tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza
dalam kehidupan kepelbagaian negara ini.
Pejuang kemerdekaan
tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan
tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak
naik tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian
perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.
Kemerdekaan tidak boleh
ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan
dan dalam keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung
oleh kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik
kemerdekaan.
Persahabatan dengan
penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka
dengan kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara
berterusan jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses
penambahbaikan pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.
Kita bertanggungjawab ke
atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk
melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman
politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata
mahu melihat erti merdeka dari lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian
merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan
sopan sila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan
bersatu.
Mari kongsi kesedihan
dan kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu
mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat
lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama
boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar
di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.
Pengisian kemerdekaan
adalah pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang
memerlukan kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama
dalam demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.
No comments:
Post a Comment