Sunday, August 5, 2012

MERDEKA 55 : JANJI DITEPATI









Hayati 55 Tahun Merdeka

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.






PERTAMA sekali mari kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi, dengan rahmat-Nya Malaysia hari ini telah mencapai 55 tahun kemerdekaan. Bertapa bertuahnya kita sebagai warganegara yang menikmati keamanan ini hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan? Jika kita bertanya kepada masyarakat umum, pelajar, mahupun mahasiswa, pasti mereka menjelaskan bahawa kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing.

Namun, pada tulisan kali ini penulis ini mengajak sidang pembacaan sekali, untuk menghayati erti kemerdekaan daripada sudut yang lebih luas, bukan sahaja mengenal erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing, namun yang ingin kita lihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu merangkumi kemerdekaan dari sudut mentaliti, sahsiah, dan juga sosial kemasyarakatan.

Adakah kita benar-benar merdeka? Satu persoalan yang bersifat subjektif yang mana jawapannya pelbagai. Ya kita sebenarnya benar-benar merdeka. Buktinya, Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957. Kita mampu mencipta nama di pentas dunia, kita mampu mencipta nama dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi. Namun, kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan berstatus mutlak, kerana, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda masih lagi terjajah.

Mengapa penulis berhujah sedemikian? Contoh kecil yang boleh penulis ketengahkan pada kali ini adalah penggunaan bahasa Inggeris, yang mana kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Niat penulis bukanlah ingin menyentuh mana-mana pihak tetapi, lebih kepada mencetus kesedaran kita dalam soal penggunaan bahasa dalam perspektif kemerdekaan. Adakah kita masih dijajah mahupun bebas?

Ramai yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu turut mampu meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas, jika kita sedar bahawa bahasa itu sebagai warisan bangsa.

Kita cukup bangga apabila anak kita boleh fasih berbahasa Inggeris, namun kita tidak rasa sedikit pun kebimbangan jika kita anak kita tidak betul berbahasa Melayu. Hal ini disebabkan minda kita masih lagi terjajah yang mana bahasa Inggerislah segala-galanya kehidupan kita hari ini.

Tanggap buruk perlu kita ubati dengan segera, kerana menurut Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini.

Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.

Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka adalah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris.

Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009: Bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).

Oleh yang demikian, setelah kita mencapai 55 tahun kemerdekaan yang akan genap 31 Ogos nanti, marilah kita renung kembali, fikirkan sejenak adakah kita pada hari ini masih lagi terjajah mahupun bebas seperti diuar-uarkan.

Merdeka mahupun kemerdekaan itu besar ertinya, hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya, semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur, dan sepakat. 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH