Thursday, July 5, 2012

BN : RAKYAT DIDAHULUKAN




Impian Perdana Menteri, impian rakyat


 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm



KETIKA berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kadazandusun Murut di Tambunan, Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan empat impiannya untuk Malaysia.

Pertama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, selamat dan harmoni bagi membolehkan segala program dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. 

Kedua, untuk melakukan transformasi bandar dan luar bandar agar rakyat mendapat pendapatan tinggi dan negara dimartabatkan sebagai negara maju.

Yang ketiga, bagaimana Kerajaan Pusat dan negeri dapat mewujudkan peluang yang lebih supaya di bawah langit 1Malaysia semua rakyat mendapat peluang sebaik-baiknya untuk mencapai potensi maksimum sebagai individu manakala yang keempat adalah mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan kuat bagi memastikan masa hadapan generasi muda akan terjamin.

Empat impian ini sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk menjadi kenyataan jika rakyat bersatu memainkan peranan bersama dan memahami erti yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Itu jugalah yang sepatutnya menjadi hasrat dan impian kita semua iaitu ingin melihat negara berdaulat ini menjadi kebanggaan dan tempat tumpah darah yang tiada tolok bandingnya.

Apabila ada pihak yang mengisytihar dan mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan selamat, maka ia sepatutnya bukan hanya untuk dibanggakan tetapi dipertahankan serta sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua yang dilakukan.

Ini juga bermakna rakyat harus menolak apa jua tindakan yang dilakukan untuk mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian yang ada. Apa juga percubaan oleh mana-mana pihak, termasuk melakukan provokasi untuk bergaduh sesama sendiri harus ditentang. Begitu juga demonstrasi jalanan yang mengganggu ketenteraman dan pembangunan ekonomi negara serta menimbulkan persepsi buruk terhadap kita.

Mereka yang cintakan kedamaian dan ingin menjulang kesejahteraan bersama, tidak akan berkompromi dengan usaha-usaha sedemikian, Tidak pedulilah ia dilakukan oleh sesiapa pun, atas landasan apa jua pun yang dianggap akan memulakan masalah yang menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam.

Mereka seperti ini harus merasa malu apatah lagi jika memburuk-burukkan nama baik negara sendiri di negara asing dan hanya mencari segala yang buruk untuk diketengahkan.

Isu-isu perkauman, usaha untuk memusnahkan dan menghancurkan nilai-nilai moral yang dipersetujui bersama terutamanya yang telah sedia ditentukan oleh agama, kebebasan seks, jenayah dan apa jua yang seangkatan dengannya menjadi musuh untuk dihadapi bersama.

Kain-kain rentang yang mengandungi persoalan seperti mempertikaikan nasib sesuatu kaum tanpa fakta yang sah dan rasional tidak wajar dipaparkan secara terbuka. Menghasut 
kebencian, menggunakan isu seperti azan yang dianggap mengganggu ketenteraman awam dan menyekat aktiviti ekonomi yang dilakukan tanpa penyelesaian yang rasional seperti yang pernah berlaku tentunya antara perbuatan yang sangat tidak wajar.

Begitu juga menggunakan blog dan kebebasan dalam media sosial untuk melakukan kritikan terbuka sehingga menyinggung perasaan orang lain, tentunya amat tidak rasional dan boleh mengancam impian yang dibina.

Justeru kita harus lebih matang dalam menilai dan membuat pertimbangan dalam melihat kepada fakta yang dibentangkan oleh pihak yang sentiasa mencari kesalahan. Rakyat yang matang dan berilmu pengetahuan harus lebih realistik, melakukan pertimbangan yang melihat dari semua aspek hidup dan tidak mudah terpengaruh dengan kepentingan peribadi dan politik sesetengah pihak, walau pun atas nama agama apatah lagi apabila api kebencian ditanam dan kilang khabar-khabar angin menjadi sumber maklumat yang diterjemahkan sebagai fakta.

Dengan ilmu pengetahuan dan peluang belajar setinggi-tingginya sepatutnya membuka mata untuk kita berusaha secara bersama membantu dalam impian ini sebagai kenyataan. Kita harus menggembleng kekuatan ilmu dan pengalaman yang ada untuk mengatasi masalah yang banyak terdapat dalam masyarakat kita, daripada masalah jenayah yang kronik sehingga sanggup membakar mangsa sehinggalah kepada isu-isu penderaan, seksual, penyalahgunaan dadah, penyakit berbahaya dan sebagainya yang harus diselesaikan bersama oleh institusi-institusi sosial yang ada termasuk institusi agama.

Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan lebih kefahaman budaya dan toleransi sesama kita untuk saling menghormati dan mempertahankannya dalam apa keadaan jua pun perlu dibuat secara berterusan.

Jika keamanan, keharmonian, keselamatan masyarakat dan kedamaian dapat diwujudkan, yang lain-lainnya akan ikut serta dengan sendiri di samping semua pihak memainkan peranan masing-masing. Ini termasuklah gerak kerja pelbagai agensi dan pihak swasta dalam membangunkan peluang-peluang yang ada.

Bukan sahaja keseimbangan kaum dalam sektor awam, tetapi juga sektor swasta yang harus dilakukan dengan ikhlas dan peluang sama tanpa cuba meletakkan syarat-syarat yang awal-awal lagi sudah menyebabkan orang lain tersingkir.

Bagi generasi muda, pelbagai peluang telah diberi. Anak-anak muda yang kebanyakannya lahir dari generasi yang lebih senang berbanding dengan generasi lama yang hidup dalam kesukaran, sewajarnya tidak lagi merungut yang mereka diketepikan atau suara mereka tidak didengar. Terlalu banyak ruang dan kebebasan yang diberi untuk mereka bereksperimen dan mengambil kesempatan yang sewajarnya dalam membangunkan diri dan masa hadapan yang bermakna.

Mengkritik dan berbeza pendapat tidak salah dalam tertib dan budaya tinggi keilmuan malah amat penting untuk dilakukan penambahbaikan. Mereka yang dikritik perlu menerima secara terbuka dan bersedia untuk berubah apabila terbukti kesilapannya.

Namun terpengaruh dengan ajakan dan tohmahan tertentu, cepat terpaku dengan idealisme yang menjanjikan bulan dan bintang apatah lagi sukar berpijak di bumi nyata tentunya akan mengundang padah dan akan menyebabkan kita terus bertelingkah.

Budi bahasa, budi bicara dan akal budi menjadi teras dalam melakukan tindakan dalam menunaikan impian bersama. Rukun Negara menjadi landasan untuk memastikan keharmonian yang ada tidak diremehkan.

Impian Perdana Menteri perlu dihayati bersama oleh seluruh rakyat yang cintakan negara. Impian itu juga adalah hasrat bersama rakyat marhaen dan mereka yang berjuang sekian lama untuk menegakkan maruah satu bangsa, satu negara.

Tugas kita adalah terus berusaha gigih menunaikan amanah yang ada, bukan hanya mencari kesilapan dan menuding jari. Siapa pun kita, impian ini harus terus dipegang bersama demi negara yang dicintai ini. Biar payah, biar sesekali terluka, kita harus bangun bersama untuk menunai dan mempertahankan impian yang ada.


No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH