Rakyat Bukan Saja Akan Pilih “Winnable Party” Tetapi “Winnable Prime Minister”
Oleh : Alkam Ab Latif
http://umno-online.com.my/?p=49825
KOTA KINABALU, 18 Nov – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Md Salleh Md Said berkata pilihanraya umum akan datang rakyat bukan sekadar mengundi parti yang layak untuk menjadi pemerintah tetapi turut penting rakyat akan memilih siapa yang sepatutnya layak menjadi Perdana Menteri.
“Jadi pada saya sekarang ini kita bukan hanya ada “winnable party” tetapi kita perlu ada “winnable prime minister”. Pada saya kalau kita tanya ahli-ahli masyarakat di serata tempat umumnya mereka mengatakan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri yang terbaik dan beliau adalah “winnable prime minister”.
“Oleh yang demikian pada kita, kita mesti terjemahkan dasar beliau itu dalam bentuk pelaksanaan dan tanggungjawab pemimpin parti adalah menerangkan kepada masayarakat kerana kalau kita tidak terangkan kadangkala pihak pesaing kita iaitu pihak pembangkang akan memutarbelitkan niat baik kita kerana pada mereka politik itu hanya untuk kuasa semata-mata”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Jelasnya lagi parti pembangkang akan mencari jalan untuk mencipta apa jua isu untuk menarik masyarakat kepada mereka kerana mereka adalah parti pembangkang.
Justeru terang beliau tugas parti pembangkang adalah untuk mengurangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara.
“Kita tak harapkan sokongan 100 peratus kerana dalam sistem demokrasi yang penting terbanyak itu bersama kita”, ujarnya.
Mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) di Sabah, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata kunci kekuatan BN di negeri itu adalah berkisar kepada pengalaman berada di bawah pemerintahan parti pembangkang
“Kita kena lihat latar belakang politik di negeri ini, kita satu ketika dulu diperintah oleh parti pembangkang dan rakyat dapat melihat di bawah pemerintahan pembangkang hasilnya tidak kita perolehi.
“.. dan sudah pasti bila kita dapat kesempatan untuk jadi parti pemerintah sudah pasti penekanan kita adalah kerjasama antara kita kerana ini kunci segala-galanya kerana semua pemimpin mesti korbankan kepentingan peribadi untuk keutamaan parti”, katanya.
Bagi menjelaskan lagi perkara tersebut beliau berkata apabila seseorang itu menyertai parti maka individu itu tidak boleh letak sebelah kaki saja.
“Kita kena sertai parti dengan kedua-dua belah kaki kita..ertinya kita kena ikhlas… seperti tak jadi calon parti, tak dapat tempat, jawatan itu bukan satu perkara pokok kerana yang paling utama adalah parti itu mendapat tempat kerana partilah yang akan menjamin masa depan kita.
“Kalau ini pemahamannya maka kita boleh tentukan kerjasama antara kita dapat diwujudkan kerana kita tidak lagi berbincang soal-soal peribadi sebab kita lihat pada keutamaan parti kita”, ujarnya.
Justeru tegas beliau penekanan tersebut mesti diamalkan di kesemua peringkat.
“Apabila ini berlaku kita akan mempunyai satu budaya yang sihat.. mungkin persaingan berlaku peringkat cawangan, bahagian, pertandingan berlaku untuk jawatan itu perkara biasa dalam sistem demokrasi tapi persaingan itu bukan dianggap pukul mati.. ia satu persaingan yang sihat untuk memberi ruang kepada ahli melihat siapa yang layak untuk mendapatkan tempat”, katanya.
Tetapi bagi beliau tidak semestinya yang kalah itu tidak berpengaruh justeru yang kalah pun mesti dipastikan dilibatkan dalam parti.
“Yang kalah jangan disisihkan kerana mereka mempunyai peranan dan beri kepentingan kepada parti.. inilah formulanya di Sabah dan umumnnya kita lihat bahagian di Sabah stabil sekali.
“Apabila stabil maka UMNO itu kuat dan bila UMNO kuat maka kita dihormati pihak lawan begitu juga dengan parti-parti komponen.. maka kerjasama itu akan dapat kita jalinkan”, ujar beliau.
Mengenai cita-cita parti pembangkang untuk menembusi Sabah yang dikatakan negeri “fixed deposit” bagi BN, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata parti pembangkang bersungguh-sungguh untuk menembusi Sabah tetapi mereka tidak akan mampu memenangi hati pengundi di negeri itu.
“Ini kerana kita (rakyat) faham niat dan tujuan mereka iaitu hanya untuk mendapat kuasa semata-mata, mereka tidak ada program untuk membangunkan kita di Sabah ini”, katanya dengan penuh keyakinan.
Berhubung isu-isu yang cuba dimainkan parti pembangkang di negeri itu pula beliau berkata terdapat dua isu iaitu satu isu untuk menarik minat semata-mata dan satu lagi adalah isu besar yang boleh menggugat BN.
“Saya lihat di Sabah ini tidak ada isu-isu yang besar yang boleh menggugat kedudukan Barisan Nasional .. apa yang ada adalah isu-isu biasa seperti isu pembangunan dan pelaksanaannya, isu anak-anak Sabah untuk menduduki jawatan-jawatan penting dan ada juga dipersoalkan tentang royalti minyak dan sebagainya.
“Tetapi alhamdullilah kerajaan pusat memahami keadaan ini dan kalau kita tengok sekarang ini sebahagian besar jawatan ketua-ketua jabatan di Sabah ini adalah terdiri daripada orang-orang Sabah, kedua Petronas sekarang ini sudah melabur banyak di negeri ini untuk menentukan bukan saja kita temui banyak minyak di Sabah tetapi industri hiliran itu juga diberi keutamaan.
“Jadi pada saya kepimpinan kerajaan sekarang memahami kehendak orang Sabah dan jika ini dipenuhi pada saya tidak ada masalah yang besar”, ujarnya.
Bagi isu yang besar pula beliau berpendapat ketika ini parti pembangkang cuba memainkan isu pendatang haram.
“Tapi bagi saya ini adalah isu poltiik.. secara prinsipnya kita tak setuju dengan pendatang tanpa izin tetapi mereka sengaja melihat satu dua kes yang berlaku tentang penipuan dan kad pengenalan palsu.
“Mereka cuba menjadikan isu tapi umumnya itu bukan masalah besar kerana kerajaan pusat telah banyak membentuk jawatankuasa-jawatankuasanya untuk menangani isu ini. Kita faham isu-isu yang dibangkitkan tetapi kita lihat isu-isu ini tidak menggugatkan kedudukan kita”, katanya.
-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment