Thursday, November 18, 2010

RAKYAT MALAYSIA KENA KENAL ASAL USUL

Hargai pengorbanan nenek moyang

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

UMAT Islam negara ini sekali lagi dapat merayakan Hari Raya Aidiladha ataupun lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban dalam suasana yang sederhana tetapi meriah, tenang dan aman berbanding kebanyakan umat Islam di negara luar yang menghadapi pelbagai masalah, penindasan dan pergolakan.

Apa yang lebih unik ialah kita dapat merayakan setiap musim perayaan seperti ini bersama-sama dengan rakyat dari pelbagai keturunan, agama dan warna kulit dalam keadaan yang bersatu padu, majmuk dan muhibah. Buktinya, Melayu, Cina, India dan kaum minoriti lain dapat meraikan semua jenis perayaan dalam citra gagasan 1Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

Untuk itu setiap seorang daripada kita wajib bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk menikmati keamanan dan kemajmukan ini.

Bagi umat Islam, Hari Raya Korban mempunyai nilai signifikan yang cukup tinggi yang memperlihatkan nilai-nilai pengorbanan, keikhlasan dan kesanggupan terpuji yang perlu dimiliki oleh setiap individu Muslim.

Namun demikian konsep pengorbanan ini sebenarnya juga amat signifikan dan perlu dihayati dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa.

Hal ini penting kerana elemen pengorbanan telah menjadi asas kepada pencapaian kemerdekaan dan pembentukan negara kita. Di samping pengorbanan wira-wira kemerdekaan kita dalam mempertahankan negara serta memperjuangkan kemerdekaan dari penjajah, pengorbanan dari segi keterbukaan dan perpaduan kaum telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah kemerdekaan negara ini.

Antara pengorbanan yang telah menjadi batu asas kepada pembentukan negara kita ialah pengorbanan orang Melayu yang sanggup menerima orang India dan Cina sebagai warganegara ini dengan pemberian pelbagai bentuk keistimewaan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan kita.

Dalam pada itu, pengorbanan semua kaum yang ada pada zaman pra kemerdekaan yang sanggup mengetepikan kepentingan peribadi dan kaum masing-masing demi untuk bersatu ke arah memperjuangkan kemerdekaan juga tercatat kemas dan tersimpan erat dalam lipatan sejarah negara kita.

Pengorbanan generasi terdahulu tiada tolok bandingnya. Buktinya, generasi pada hari ini sedang menikmati hasil tanaman yang telah ditanam dan dibaja oleh generasi terdahulu dalam bentuk perpaduan nasional yang utuh melalui perjanjian keramat kontrak sosial yang kemudiannya menjadi asas pembentukan Perlembagaan.

Justeru apa yang diharapkan ialah generasi yang ada pada hari ini akan insaf dan segera mengambil iktibar daripada peristiwa pengorbanan generasi terdahulu agar kita terus kekal aman dan makmur sepanjang masa.

Mutakhir ini pelbagai isu sensitif yang menyentuh sensitiviti dan hak sesuatu kaum mula kedengaran. Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, keistimewaan raja-raja Melayu ataupun institusi kesultanan, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mula dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka di khalayak tanpa sedikit pun rasa gusar, malu, segan mahupun takut.

Sepatutnya golongan yang mencanangkan isu ini serta meniup api kemarahan dalam kalangan rakyat negara ini perlu insaf, sedar dan berhati-hati dalam membicarakan isu-isu sensitif seperti ini yang terpelihara kemas dalam perlembagaan kita.

Golongan ini sewajarnya rasa malu dan segan kepada nenek moyang kita yang begitu memelihara keharmonian dan perpaduan di antara kaum dengan nilai-nilai pengorbanan yang sangat terpuji dan ikhlas.

Kenapa kita masih perlu mempersoalkan apa yang telah termaktub dengan jelas dan terperinci dalam Perlembagaan kita? Bukankah kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh setiap pemimpin yang mewakili kaum masing-masing semasa kemerdekaan sudah cukup adil, telus dan saksama?

Kedegilan kita dalam terus memperdebatkan isu seperti ini mencerminkan seolah-olah kita tidak menghormati keputusan yang telah dicapai dan dimeterai oleh nenek moyang kita.

Perlembagaan yang sedia ada cukup jelas di mana ia memelihara hak semua kaum yang ada di negara ini, jadi apa lagi yang tak kena ataupun di mana silapnya? Kenapa perlu mentafsir Perlembagaan mengikut kehendak dan kepentingan masing-masing?

Kita perlu sedar bahawa tindakan-tindakan seperti ini boleh meruntuhkan keharmonian kaum, perpaduan nasional serta kesepakatan yang sedia terjalin di antara semau kaum di negara kita. Usahlah kita bermain api dan berusaha untuk kembalikan peristiwa berdarah 13 Mei. Cukuplah sekali peristiwa hitam itu menghantui kita.

Justeru apa yang diharapkan bersempena dengan Hari Raya Korban ini ialah agar semua kaum, setiap individu rakyat Malaysia perlu bermuhasabah diri dan melihat kembali sejarah pembentukan negara ini. Hormati dan hargailah segala pengorbanan nenek moyang kita.

Untuk itu kita perlu menyuburkan kembali budaya pengorbanan dan tolak ansur dalam kalangan masyarakat kita terutamanya generasi muda yang dilihat tidak begitu peka kepada isu-isu nasional seperti ini. Generasi hari ini juga dilihat buta sejarah dan tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah pembentukan negara ini.

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH