Wednesday, November 10, 2010

BELAJARLAH DARI SEJARAH

13 Mei dan 21 Julai: Fakta sejarah, mengapa perlu takut?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

KETUA Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim minggu lalu digantung enam bulan daripada menghadiri sidang dewan kerana dia menggunakan perkataan '13 Mei'.

Apa yang Lim Guan Eng takut sangat apabila ada pihak yang menggunakan perkataan bersejarah 13 Mei itu? Ia adalah tarikh keramat di negara ini kerana disebabkan tarikh itulah rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat disusun semula menjadi lebih baik dan makmur. Kerana tarikh itu jugalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk.

Kerana tarikh itu jugalah rakyat hari ini hidup aman, damai dan sentosa (walaupun belum sepenuhnya lagi). Tidak pastilah kita sekiranya DAP terlalu bencikan DEB itu sehinggakan tarikh 13 Mei pun dia tidak mahu ia disebut.

DAP menuduh Azhar menghasut kerana menggunakan tarikh itu, menyebabkan satu usul untuk menggantung Azhar dibawa oleh Guan Eng dan diluluskan. Akibatnya Azhar digantung. Guan Eng menuduh Azhar 'menghasut' kerana menggunakan tarikh itu? Saudara Guan Eng, bukankah itu tarikh bersejarah di Malaysia, apa pula hasutan?

Mengapa DAP takut atau terlalu fobia dengan tarikh itu? Sepatutnya Guan Eng jangan terlalu cepat menghukum ketua pembangkangnya itu. Azhar amat diperlukan oleh pentadbiran Guan Eng sebagai elemen pengimbang dan pembetul mana-mana yang tidak betul.

Pulau Pinang kini sudah terlalu uzur. Gerakan (yang selama ini senyap) kini mula menyelar ketua menteri itu yang dikatakan gagal melakukan sesuatu untuk menarik pelancong ke negeri itu. Jika dulu Guan Eng menuduh industri pelancongan Pulau Pinang 'tidur' selama 18 tahun, dia pun sama tidur.

Rupa-rupanya DAP ini jika ditakdirkan memerintah Malaysia (nauzubillah) maka corak pemerintahannya dikhuatiri akan menjadi lebih teruk lagi. Jika sekarang ia memperjuangkan Hapus ISA, mungkin jika ditakdirkan ia berkuasa (nauzubillah), ISA akan terus diperkuatkan lagi. Itu tidak mustahil berlaku.

Cara pentadbiran DAP di pulau itu sendiri menggambarkan betapa ramai yang tidak senang dengannya. Cara Guan Eng mengambil tanah di Kampung Genting, Balik Pulau menjadi kemarahan orang kampung.

Jika dulu ada segelintir orang Melayu dengan bangganya menggelarkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Mahazalim, kelak nanti orang Melayu akan tahulah langit tinggi rendah dengan istilah Mahazalim itu jika DAP memerintah negara ini. Melayu akan terus melayu di bumi mereka sendiri.

Semua pihak harus membuka mata seluas-luasnya apabila YB Zulkifli Nordin (yang dulu bersahabat dengan DAP) mendedahkan 'perjanjian rahsia' antara DAP dan PKR. DAP ini sebenarnya ialah seekor naga yang sangat bahaya. Dalam senyap ia sedang merancang secara strategik untuk menuju ke Putrajaya. Nafsunya amat besar.

Pengantungan ketua pembangkang Azhar selama enam bulan juga menimbulkan persoalan besar. Mengapa sehingga setengah tahun? Mengapa tidak sehari sahaja seperti yang dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ke atas Gobind Singh Deo di Parlimen kelmarin. Yang pasti, Guan Eng terlalu gelisah apabila istilah '13 Mei' itu disebut oleh Azhar.

Bagi Azhar, walaupun saudara tidak boleh vokal dan mengkritik dasar Guan Eng dalam dewan itu, teruskan perjuangan saudara di luar. Tempoh enam bulan ini amat penting dalam percaturan politik DAP. Cita-cita besar DAP itu harus diheri perhatian.

Rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia keseluruhannya patut tahu siapa Guan Eng itu dan pecacai-pecacainya termasuk Anwar Ibrahim dan Pas yang syok tak tentu pasal kerana sudah ada sedikit kuasa. Orang Tanjung kini terlalu dahagakan suara seperti suara saudara bagi membela mereka.

Saudara Azhar juga patutnya mengesyorkan kerajaan Malaysia menjadikan tarikh keramat 13 Mei, yang amat ditakuti oleh DAP itu, sebagai satu tajuk khusus dalam matapelajaran wajib Sejarah Malaysia kelak. Semua orang tahu ia adalah tarikh yang cukup murni bagi negara ini. Tidak kiralah apa versi pun yang dibangkitkan ekoran peristiwa itu, namun ia mempunyai hikmah yang tersendiri dalam pembentukan Malaysia moden.

Jika tidak kerana 13 Mei mungkin rakyat di negara ini masih hidup tidak menentu. Orang putih kata 13 Mei itu ialah blessing in disguise. Jika tidak kerananya, orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum Pribumi akan terus dijurangkan oleh golongan peniaga yang kaya-raya, golongan profesional yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja. Dan golongan majoriti miskin itu hanya akan terus menjadi petani, buruh kasar, kerani, drebar dan peon.

Jika tidak kerana 13 Mei, tidaklah berlaku penghantaran beramai-ramai pelajar bumiputera dan anak-anak kampung yang kolot ke Amerika, England sekitar tahun 1970-an, 1980-an hingga kini bagi memberi peluang mereka mendapat ilmu secukup-cukup bagi membina negara bangsa ini.

Jika tidak kerana 13 Mei, tidaklah wujud peniaga-peniaga bumiputera, usahawan, kontraktor, peniaga kereta mewah dan apa lagi - bagi diseimbangkan dengan saudara kita yang kaya-raya itu.

Oleh itu jika gunung berapi 13 Mei tidak meletus pada tahun 1969 di Chow Kit Road dan Kampung Baru, ia mungkin boleh meletus pada bila-bila masa sekarang jika ia tidak ditangani dengan betul. Jika itu berlaku maka magnitutnya akan menjadi lebih menakutkan (nauzubillah). Oleh itu sekali lagi saudara Guan Eng, apa yang saudara fobia sangat dengan tarikh tersebut?

Pada kerajaan, jadikanlah tarikh itu sebagai sebahagian daripada bab dalam sejarah penting Malaysia yang perlu dianalisis oleh para pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah malah di peringkat universiti. Apa yang berlaku pada 13 Mei sama penting dengan apa yang ada dalam Perlembagaan negara. Ia ada kait-mengait dalam analisis akademik.

Masalah yang berlaku sekarang ialah kerana orang semacam Guan Eng dan konco-konconya tidak pernah atau mahu mempelajari sejarah mengenai tarikh 13 Mei itu.

Memetik tulisan Almarhum Tun Abdul Rahman dalam bukunya 13 Mei Sebelum dan Selepas; beliau berkata: ''Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana ini. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini."

Adalah amat sayang sekali, sejarah sepenting itu dipinggirkan kerana mahu menjaga hati nurani orang seperti Guan Eng, sedangkan ia adalah peristiwa yang patut diteladani, diambil iktibar oleh semua rakyat negara tercinta ini.

Ulang cetaklah banyak-banyak buku keramat: 13 Mei Sebelum dan Selepas (versi Melayu dan Inggeris) tulisan Almarhum Tunku itu untuk dibaca oleh rakyat Malaysia (kebetulan ia asalnya diterbitkan oleh Utusan Melayu Press). Para produser filem dan pengarah teater perlu wayangkan peristiwa itu ala filem Pearl Harbour dan dipentaskan kepada rakyat negara ini.

Kita harap jika ditakdirkan DAP memerintah Malaysia kelak (nauzubillah), janganlah dihapus atau diubah sejarah 13 Mei yang telah tertulis itu. Perkara itu tidak mustahil berlaku kerana ada negara lain yang (hampir dengan kita) mengubah sejarah negara itu bagi mengetepikan peranan yang dimainkan oleh kaum asal negara berkenaan.

Akhir kata, bagi YB Datuk Azhar, teruskan perjuangan saudara demi keadilan dan kesaksamaan rakyat Pulau Pinang. Suara saudara perlu dilantangkan lagi.

Dan bagi YAB Guan Eng janganlah fobia dengan tarikh 13 Mei itu. Jika dalam banyak keadaan Pulau Pinang mencontohi Singapura, mengapa tidak jadikan 13 Mei sebagai hari cuti umum bagi memperingati peristiwa yang akhirnya berjaya menyatupadukan rakyat negara ini melalui DEB.

Di Singapura, menurut buku Men in White: The Untold Story Of Singapore's Ruling Political Party, halaman 277: Murid-murid sekolah berarak meraikan Hari Harmoni Kaum (Racial Harmony Day) setiap 21 Julai bagi memperingati insiden rusuhan berdarah kaum pada 21 Julai 1964 yang mengorbankan 36 nyawa dan mencederakan 556 orang. Kira-kira 3,000 ditahan dalam insiden yang berlaku pada hari Maulidur Rasul (Maulud Nabi) itu.

Menurut Wikipedia: Rusuhan kaum 1964 itu berlaku di Singapura dalam dua waktu berbeza iaitu pada Julai dan September antara kumpulan Cina dan Melayu. Insiden pertama berlaku pada 21 Julai semasa orang Melayu berarak sempena hari Maulidur Rasul. Rusuhan itu juga dikenali sebagai Rusuhan Maulidur Rasul, Rusuhan Kaum 1964 dan Rusuhan Cina-Melayu (Sino-Malay). Semasa itu Singapura masih di bawah Persekutuan Malaysia.

Kini, pada setiap tarikh 21 Julai, Wikipedia mengulas: Ia diraikan bagi menggambarkan kejayaan Singapura membentuk masyarakat dan negara pelbagai kaum yang harmoni serta kaya dengan kepelbagaian warisan dan budaya.

Di sekolah-sekolah seluruh republik itu, murid-murid digalakkan berpakaian tradisional masing-masing, Cheongsam dan Baju Kurung. Juadah dan permainan tradisional turut memeriahkan sambutan.

Oleh itu, YAB Guan Eng apa yang saudara takut dan fobia sangat dengan 13 Mei?

1 comment:

  1. Elok juga disebut tentang tragedi berdarah di Memali.

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH