Kukuhkan UMNO
Tutup Buku Lama, Kukuhkan UMNO
Feb 22nd, 2010 By administrator Category: Berita Pilihan
http://umno-online.com/?p=6048
BANDAR JENGKA, 21 Feb – Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian, membuang segala sengketa dan kembali mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata tempoh pilihan raya akan datang yang dijangka dua tahun lebih lagi bukanlah tempoh yang panjang untuk mengembalikan semula kekuatan Umno yang mengalami “tsunami politik” pada pilihan raya umum lepas.
“Kenapa tempat yang kita menang dulu tapi kalah pada pilihan raya umum 2008. Kita kalah sebab kita tidak ada perpaduan, kita berbalah, sengketa sesama kita. Kita kena balik semula, berjuang untuk pertahankan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Umno Pahang di sini Ahad.
Muhyiddin berkata pemimpin dan anggota Umno juga perlu kembali menilai diri, kelemahan diri dan membuat perubahan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno.
“Selepas pilihan raya umum lepas, banyak ’suara-suara’ disampaikan kepada kita, (antaranya) parti kita sudah lama berkuasa; kita sudah lupa; kita sombong; tak selesaikan masalah rakyat.
“Ini adalah persepsi, (namun), dalam politik, persepsi itulah yang mempengaruhi mereka (rakyat) untuk mengundi kita atau sebaliknya,” kata Muhyiddin.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang kerana terdapat peringkat Umno bahagian yang tidak lagi melakukan apa-apa program selepas pilihan raya umum lepas.
“Sebab itulah kita lancarkan program Juara Rakyat, kita mahu Umno kembali dekat di hati rakyat,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata masalah dalaman Umno termasuk di peringkat bahagian bukanlah perkara luar biasa, namun apa yang penting semua pihak terbabit perlulah mencari jalan penyelesaian untuk mengukuhkan kembali parti.
Ditanya mengenai kemasukan pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang dan kesannya kepada Umno, Muhyiddin berkata Umno perlu memahami aspirasi golongan muda dalam usaha menarik sokongan mereka.
“Kita perlu beri perhatian kepada mereka dan saya yakin mereka akan fahami prinsip perjuangan parti Umno,” katanya.
Mengulas mengenai konvensyen Umno Pahang, Muhyiddin berharap negeri-negeri lain turut mengadakan konvensyen yang sama bagi menilai semula keberkesanan gerak kerja parti. -UMNONews/ Bernama
Salam bro,kalaulah semua kepimpinan, semua ahli, semua parti-parti komponen BN dan semua masyarakat khususnya Melayu menghayati ucapan TPM serta menghayati semua resolusi yang dibentangkan peserta bengkel dari akar umbi..... InsyaAllah UMNO akan terus diyakini rakyat sebagai peneraju kerajaan BN.............
ReplyDelete