Friday, February 26, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL 1431

Maulidur Rasul mengukuhkan perpaduan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

TERSENTAK hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi berjalan sekian lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid'ah maka bid'ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid'ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.
Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.
Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH