Sunday, January 31, 2010
TEMUBUAL : TAN SRI AZIZ TAPA
Sumpah Setia Senjata Paling Ampuh
Jan 29th, 2010 By administrator Category: Rencana
http://umno-online.com/?p=5740
Pohon nyior di tepi laut
Dimakan kumbang pucuknya layu
Kepada UMNO kita berpaut
UMNO tumbang hilanglah Melayu
Pembuka kata sesi temubual bersama veteran UMNO Tan Sri Aziz Tapa, 88, dimulai dengan serangkap pantun yang menurut beliau memberi maksud sangat mendalam bahawa hanya dengan UMNO sahaja orang Melayu boleh selamat. Bagi beliau tidak ada satu parti di dalam dunia ini yang boleh bertahan, mengekalkan pemerintahan terus-menerus melainkan UMNO. Parti ini terus bertahan, semakin kuat dan berkembang. Ikuti pandangan, nasihat dan seloka tokoh penuh pengalaman ini.
Ada dua sebab kenapa UMNO masih mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. UMNO sebuah parti yang kuat dan berkuasa. Pemimpin-pemimpinnya adalah mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan agenda Melayu.
Bagaimanapun, ahli-ahli dan pemimpin UMNO harus ingat bahawa orang dahulu berjuang, pertama hilang, kedua terbilang, tetapi orang sekarang berjuang mula-mula cari menang dah menang cari wang, lepas itu jatuhkan orang , hidup diawang-awang , jatuh terlentang. Dah ramai yang jatuh terlentang.
Kalau UMNO kita pupuk ada satu senjata yang paling ampuh, iaitu taat setia. Itulah pesaka yang kita ada.Kalau ini tidak ada Melayu akan hilang kuasa.
Semasa Dato’ Onn hendak menubuh UMNO dan menentang Malayan Union, orang Melayu bersatu-padu. Dato’ Onn berkempen dengan berkata, Melayu tidak boleh lagi lemah, miskin dan sebagainya tetapi pada setiap penghujung pidatonya, beliau akan berkata sekiranya Malayan Union ditubuhkan, raja-raja Melayu tidak ada kuasa lagi.
Maka dengan sebab itu orang Melayu keluar beramai-ramai menyokong Dato’ Onn kerana dalam satu ungkapan Melayu ada berkata, alam beraja, luak penghulu, bersuku-sukuan, sembah kepada raja. Bagi orang Melayu, alam ini mesti ada Raja, kalau tidak ada raja tak ada alam. Ini rahsianya. Sebab itu mesti ada taat setia.
Semangat taat setia kepada individu sebab politik wang. Mereka yang ada duit sahaja boleh menjadi pemimpin. Ini bahaya dan merosakkan kredibiliti. Kalau sudah boleh beli undi, akan tiba satu ketika nanti orang banyak duit tapi bodoh, tidak boleh memimpin dan tidak tahu perjuangan.
Dari Chenor pergi ke Deli
Di pasar seberang ayam berlaga
UMNO tidak boleh dijual beli
Bukan barang untuk berniaga
Di pasar seberang ayam berlaga
Sayap terdampar patah tajinya
Bukan barang untuk berniaga
Kalau dicabar nyawa padahnya.
Kiasan pantun ini sangat dalam maksudnya kerana UMNO bukan sebuah parti barang dagangan. Tetapi kalau dicabar, nyawa padahnya,. Pertahankan parti dan taat setia pada parti.
UMNO dan Malaysia mendapat pemimpin yang banyak berjasa yang gigih dan memperkembangkan ilmu, Melayu akan lebih berilmu.
Ilmu sangat penting. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda hendak dunia dengan ilmu, hendakkan akhirat dengan ilmu kalau hendakkan kedua-duanya pun dengan ilmu.
Tahun 2020 apakah orang Melayu boleh jadi seperti ikan di laut, air laut masin, isi ikan tidak masin. Tetapi isi ikan mudah masin kalau ia bermain di muka laut, ditanggul nelayan disiang, dibubuh garam, dijemur, isi ikan lebih masin daripada air laut.
Yang mana orang Melayu mahu. Jadi ikan masin atau ikan di laut dalam. Kalau nak jadi ikan masin….senang sahaja. Tapi kalau mahu jadi ikan di laut mesti ada ilmu, banyak berfikir, istiqamah dan menjadikan Islam addin, cara hidup.
Kita tidak boleh buat cara paksa.Kerana orang Melayu kalau paksa dia melantun.Oleh itu kena buat secara berilmu.
Orang kata Melayu malas, tapi sebenarnya tidak.Lihat sahaja askar Melayu. Mereka hebat dan gagah sebab mereka dibimbing. Melayu mahu dibimbing.
Sebab itu kita mahukan Melayu ramai di universiti dan menjadi intelektual.
Saya dididik di Tanjung Malim selama tiga tahun. Semangat cintakan Melayu begitu kuat.
Oleh itu, dasar pendidikan perlu ajar sejarah tanah air sendiri secara lebih terperinci. Mereka mesti tahu akarnya.
Kontrak sosial jangan dipertikaikan. Apakah kita mahu negara kita hancur. Orang-orang Melayu yang ada rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan negaranya mesti mempertahankannya.
Imam Al Ghazali ada berkata, dalam hidup ini ada empat perkara yang hendak dicari. Keadilan, kebenaran, keindahan, kesempurnaan.
Berasaskan kepada ini, apabila tercetusnya 13 Mei, dibuat satu kajian ekonomi, Melayu hanya ada dua sen daripada satu ringgit.
Adalah menjadi tangguangjawab kerajaan untuk meletakkan keadilan dalam hal ekonomi mesti diperbaiki.
DEB dapat mengimbangkan ekonomi Melayu dalam masyarakat pelbagai kaum. Barulah adil.Adil menurut Hamka sesuatu yang tepat pada fungsinya. Kalau hendak membahagikan rezeki secara betul dan seimbang, salahkah kita?
Sekarang kita lihat masyarakat pelbagai kaum dapat makan dan duduk semaja.Tidakkah ini indah.
Ada hikmah di sebalik tragedi 13 Mei. DAP bila menang ejek Melayu di pasar-pasar. Kalau Melayu hendak beli ikan bawal dia tak bagi, dia kata Melayu tak ada duit, beli ikan kembong.
Melayu ni jangan dijatuhkan maruah dia. Sebab itu Melayu kalau air di paras lutut masih ok. PadaParas pinggang ok, dada ok, tetapi apabila sudah berada di paras hidung , batang nibong di panjat. Dia tidak kira batang nibong tu ada duri! Sebab tu jadi 13 Mei.
UMNO beruntung kerana memiliki pemimpin ada wawasan yang mencari kebenaran. Kelebihan Melayu memilih pemimpin ialah:
Pilih-pilih tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Pilih-pilih sempat menjadi
Pertama elok kedua pandai
Kalau kita tengok daripada Dato’ Onn sehingga Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, orang baik dan pandai.Baik dan elok didahulukan kerana tidak semestinya yang pandai itu baik.
Orang yang kita kasih belum tentu menyukakan hati kita, tapi orang yang sayangkan kitalah yang menyampaikan hajat kita.
Orang Melayu sekali dia kelancongan (buat salah), mereka tidak akan mendapat kepercayaan lagi.
Mesti sokong UMNO walau apa cara sekali pun. Jangan amalkan politik wang. Ingat bahawa UMNO bukan barang untuk niaga. Pertahankan perlembagaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment