Impian Perdana Menteri, impian rakyat
Oleh MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan
Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
KETIKA berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat
dan Majlis Pecah Tanah Kadazandusun Murut di Tambunan, Sabah baru-baru ini,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan empat impiannya untuk
Malaysia.
Pertama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, selamat dan harmoni
bagi membolehkan segala program dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Kedua,
untuk melakukan transformasi bandar dan luar bandar agar rakyat mendapat
pendapatan tinggi dan negara dimartabatkan sebagai negara maju.
Yang ketiga, bagaimana Kerajaan Pusat dan negeri dapat mewujudkan peluang
yang lebih supaya di bawah langit 1Malaysia semua rakyat mendapat peluang
sebaik-baiknya untuk mencapai potensi maksimum sebagai individu manakala yang
keempat adalah mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan kuat bagi memastikan masa
hadapan generasi muda akan terjamin.
Empat impian ini sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk menjadi kenyataan
jika rakyat bersatu memainkan peranan bersama dan memahami erti yang tersurat
dan tersirat di sebaliknya. Itu jugalah yang sepatutnya menjadi hasrat dan
impian kita semua iaitu ingin melihat negara berdaulat ini menjadi kebanggaan
dan tempat tumpah darah yang tiada tolok bandingnya.
Apabila ada pihak yang mengisytihar dan mengiktiraf bahawa Malaysia adalah
sebuah negara yang aman dan selamat, maka ia sepatutnya bukan hanya untuk
dibanggakan tetapi dipertahankan serta sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua
yang dilakukan.
Ini juga bermakna rakyat harus menolak apa jua tindakan yang dilakukan untuk
mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian yang ada. Apa juga percubaan oleh
mana-mana pihak, termasuk melakukan provokasi untuk bergaduh sesama sendiri
harus ditentang. Begitu juga demonstrasi jalanan yang mengganggu ketenteraman
dan pembangunan ekonomi negara serta menimbulkan persepsi buruk terhadap
kita.
Mereka yang cintakan kedamaian dan ingin menjulang kesejahteraan bersama,
tidak akan berkompromi dengan usaha-usaha sedemikian, Tidak pedulilah ia
dilakukan oleh sesiapa pun, atas landasan apa jua pun yang dianggap akan
memulakan masalah yang menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam.
Mereka seperti ini harus merasa malu apatah lagi jika memburuk-burukkan nama
baik negara sendiri di negara asing dan hanya mencari segala yang buruk untuk
diketengahkan.
Isu-isu perkauman, usaha untuk memusnahkan dan menghancurkan nilai-nilai
moral yang dipersetujui bersama terutamanya yang telah sedia ditentukan oleh
agama, kebebasan seks, jenayah dan apa jua yang seangkatan dengannya menjadi
musuh untuk dihadapi bersama.
Kain-kain rentang yang mengandungi persoalan seperti mempertikaikan nasib
sesuatu kaum tanpa fakta yang sah dan rasional tidak wajar dipaparkan secara
terbuka. Menghasut
kebencian, menggunakan isu seperti azan yang dianggap
mengganggu ketenteraman awam dan menyekat aktiviti ekonomi yang dilakukan tanpa
penyelesaian yang rasional seperti yang pernah berlaku tentunya antara perbuatan
yang sangat tidak wajar.
Begitu juga menggunakan blog dan kebebasan dalam media sosial untuk melakukan
kritikan terbuka sehingga menyinggung perasaan orang lain, tentunya amat tidak
rasional dan boleh mengancam impian yang dibina.
Justeru kita harus lebih matang dalam menilai dan membuat pertimbangan dalam
melihat kepada fakta yang dibentangkan oleh pihak yang sentiasa mencari
kesalahan. Rakyat yang matang dan berilmu pengetahuan harus lebih realistik,
melakukan pertimbangan yang melihat dari semua aspek hidup dan tidak mudah
terpengaruh dengan kepentingan peribadi dan politik sesetengah pihak, walau pun
atas nama agama apatah lagi apabila api kebencian ditanam dan kilang
khabar-khabar angin menjadi sumber maklumat yang diterjemahkan sebagai
fakta.
Dengan ilmu pengetahuan dan peluang belajar setinggi-tingginya sepatutnya
membuka mata untuk kita berusaha secara bersama membantu dalam impian ini
sebagai kenyataan. Kita harus menggembleng kekuatan ilmu dan pengalaman yang ada
untuk mengatasi masalah yang banyak terdapat dalam masyarakat kita, daripada
masalah jenayah yang kronik sehingga sanggup membakar mangsa sehinggalah kepada
isu-isu penderaan, seksual, penyalahgunaan dadah, penyakit berbahaya dan
sebagainya yang harus diselesaikan bersama oleh institusi-institusi sosial yang
ada termasuk institusi agama.
Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan lebih kefahaman budaya dan
toleransi sesama kita untuk saling menghormati dan mempertahankannya dalam apa
keadaan jua pun perlu dibuat secara berterusan.
Jika keamanan, keharmonian, keselamatan masyarakat dan kedamaian dapat
diwujudkan, yang lain-lainnya akan ikut serta dengan sendiri di samping semua
pihak memainkan peranan masing-masing. Ini termasuklah gerak kerja pelbagai
agensi dan pihak swasta dalam membangunkan peluang-peluang yang ada.
Bukan sahaja keseimbangan kaum dalam sektor awam, tetapi juga sektor swasta
yang harus dilakukan dengan ikhlas dan peluang sama tanpa cuba meletakkan
syarat-syarat yang awal-awal lagi sudah menyebabkan orang lain tersingkir.
Bagi generasi muda, pelbagai peluang telah diberi. Anak-anak muda yang
kebanyakannya lahir dari generasi yang lebih senang berbanding dengan generasi
lama yang hidup dalam kesukaran, sewajarnya tidak lagi merungut yang mereka
diketepikan atau suara mereka tidak didengar. Terlalu banyak ruang dan kebebasan
yang diberi untuk mereka bereksperimen dan mengambil kesempatan yang sewajarnya
dalam membangunkan diri dan masa hadapan yang bermakna.
Mengkritik dan berbeza pendapat tidak salah dalam tertib dan budaya tinggi
keilmuan malah amat penting untuk dilakukan penambahbaikan. Mereka yang dikritik
perlu menerima secara terbuka dan bersedia untuk berubah apabila terbukti
kesilapannya.
Namun terpengaruh dengan ajakan dan tohmahan tertentu, cepat terpaku dengan
idealisme yang menjanjikan bulan dan bintang apatah lagi sukar berpijak di bumi
nyata tentunya akan mengundang padah dan akan menyebabkan kita terus
bertelingkah.
Budi bahasa, budi bicara dan akal budi menjadi teras dalam melakukan tindakan
dalam menunaikan impian bersama. Rukun Negara menjadi landasan untuk memastikan
keharmonian yang ada tidak diremehkan.
Impian Perdana Menteri perlu dihayati bersama oleh seluruh rakyat yang
cintakan negara. Impian itu juga adalah hasrat bersama rakyat marhaen dan mereka
yang berjuang sekian lama untuk menegakkan maruah satu bangsa, satu negara.
Tugas kita adalah terus berusaha gigih menunaikan amanah yang ada, bukan
hanya mencari kesilapan dan menuding jari. Siapa pun kita, impian ini harus
terus dipegang bersama demi negara yang dicintai ini. Biar payah, biar sesekali
terluka, kita harus bangun bersama untuk menunai dan mempertahankan impian yang
ada.