Dana Asing Tumbangkan Kerajaan PRU 13
Published by AIDC on February 28, 2012 | 1 Comment
http://www.anwaraidc.com/?p=22205
Datuk Ruhanie Ahmad – “MALAYSIA tidak terkecuali daripada proses pertukaran pemerintahan negara menerusi aktiviti segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tertentu ‘yang menerima bantuan kewangan dari Amerika Syarikat (AS),” (Mahathir, 18 Februari 2012).
Amaran bekas Perdana Menteri ini berasas. Dakwaan AS melakukan pembunuhan pemimpin tertinggi dan pertukaran rejim di sesebuah negara asing, sama ada secara langsung atau menerusi bantuan proksinya di negara sasarannya memang berlaku sejak era Perang Dingin. Tindakan ini dilakukan atas alasan ideologi, ekonomi atau geopolitik. Anehnya, sesiapa yang mendedahkan tindakan ini dilabelkan sebagai pengamal teori konspirasi, pemfitnah atau penyebar kepalsuan terhadap AS.
Ini dihuraikan oleh penulis Barat – Kahin & Kahin dalam Subversion as foreign policy: the secret Eishehower and Dulles debacle in Indonesia (1995); Johnson, Blowback (2000); Blum, Rogue Nation (2001); Chomsky, The Culture of Terrorism (1988) serta Profit over people: neoliberalism and global order (1998); dan Rogue Nation: the rule of force in world affairs (2000).
Coleman mendedahkannya dalam Rogue Nation: why America is the most dangerous state on earth (2003); Bodansky, The secret history of the Iraq war (2004); Mearsheimer & Walt, The Israel Lobby and US foreign policy (2006); Chomsky & Archer, Perilous Power: the middle east and US foreign policy (2007).
Seluruh karya ini mendedahkan liciknya AS melaksanakan operasi hitam yang diselindungkan di sebalik dasar luar, dasar ekonomi atau dasar geopolitiknya di sepanjang era Perang Dingin, pasca-Perang Dingin dan pasca-911. Tindakan ini lazimnya dilaksanakan menerusi alasan yang saha seperti menumpaskan pengaruh komunis, memusnahkan elemen anti-demokrasi, memerangi teroris Muslim sejagat, mencegah perebakan senjata pemusnah (WMD), atau menegakkan demokrasi liberal.
Majoriti tindakan ini ditumpukan ke Asia Barat, Asia Tengah, Asia Tenggara dan Asia Timur. Mutakhir ini, ia difokuskan ke Afrika Utara. Di era Perang Dingin, negara-negara Amerika Latin dan Carribean tidak terkecuali. Ini membuktikan amaran Tun Dr. Mahathir Mohamad bukannya fitnah. Beliau sering mengungkapkan perkara ini sewaktu menerajui negara menerusi kritikan terhadap penjajahan baru pihak Barat.
Dr. Mahathir mengkritik perkara ini sebab sesiapa yang enggan akan diganggu, dikenakan sekatan, diancam dan ditekan. Ini kerana pengamalan demokrasi liberal adalah strategi halus kuasa-kuasa Barat melaksanakan neo-imperialismenya di era pasca Perang Dingin (Mahathir 2003:57).
Atas kesedaran inilah Dr. Mahathir mengasaskan penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) pada awal 1990-an untuk mencegah keleluasaan AS di era globalisasi. Namun kerana inilah juga “AS mula memulas tangan” (Mahathir 25 April 2011).
Lantas “AS memberitahu Jepun untuk membantah. AS meminta Korea Selatan supaya menentang. Lebih serius lagi, AS juga berjaya mempengaruhi dua negara anggota ASEAN, Singapura dan Indonesia, untuk menolak EAEG” (ibid). Selepas EAEC ditolak oleh ASEAN, Dr. Mahathir menyetujui cadangan Indonesia mewujudkan EAEG. Bila EAEC dan EAEG tidak jadi kenyataan, semangat EAEC dijelmakan ke dalam ASEAN+3 dukungan Korea Selatan selepas kegawatan krisis mata wang Asia 1997. Berikutan penubuhan ASEAN+3, sekumpulan pengkaji dilantik oleh pertubuhan ini mencadangkan kewujudan East Asia Summit (EAS) atau Sidang Kemuncak Asia Timur (Kim 2004: 123).
Barat tidak senang dengan kejayaan Malaysia ini. Akibatnya, Malaysia diserang “oleh sekurang-kurang 300 NGO asing yang berpangkalan di AS, Britain, Australia dan Jepun (Ruhanie 2011:66). NGO asing ini menggugat ekonomi dan politik Malaysia menerusi ‘isu alam sekitar yang dikaitkan dengan pembalakan hutan tropika; hak asasi manusia yang dikaitkan dengan ISA; [dan] kebebasan akhbar yang dikaitkan dengan amalan demokrasi liberal’ (ibid).
Malaysia juga difitnahkan oleh filem The last blockade terbitan Britain kononnya menindas kaum Penan menerusi kerja pembalakan di Sarawak; filem The turtle beach terbitan Australia (1992) kononnya rakyat Malaysia membunuh pelarian Vietnam; dan filem terbitan BBC kononnya kerajaan Malaysia menindas keturunan India.
Barat menggunakan pendekatan rencam ini untuk menghuru-harakan Malaysia. Ini kerana mereka tidak dapat mengharu-biru Malaysia seperti di Indonesia pada akhir 1950-an – termasuk percubaan membunuh Presiden Sukarno seperti dihuraikan oleh Kahin & Kahin (1995).
Barat mutakhir ini tidak lagi menggunakan strategi di atas. AS sudah mempunyai tali barutnya yang terdiri daripada segelintir NGO dan parti-parti politik tertentu di Malaysia, terutama sekali yang dipercayai menerima dana bantuan darinya secara langsung atau sebaliknya.
Barat kini berusaha melakukan pertukaran pemerintahan Malaysia menerusi prinsip peribahasa Melayu ‘hanya kayu yang dapat menumbangkan pokok kayu.’ Tanda-tanda ke arah ini sudah kita saksikan sejak gerakan jalanan di negara ini mulai 2011. ‘Kayu’ dalam konteks ini adalah ‘hulu kapak’ sementara ‘pohon kayu’ adalah Barisan Nasional (BN), dulunya Perikatan, yang memerintah Malaysia sejak 1957.
Oleh kerana dasar luar kerajaan BN adalah berkecuali, inilah sebabnya BN perlu ditukar dengan kerajaan baru yang boleh dijadikan kuda tunggangan dalam konteks geopolitik AS di Asia Tenggara di abad ke-21. Ini kerana abad ke-21 adalah abad Asia – benua yang kaya dengan sumber petroleum, mempunyai perairan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan, dan China selaku kuasa ekonomi sejagat.
Inilah maksud amaran Dr. Mahathir di Melaka baru-baru ini. Jika ‘hulu kapak’ ini diredhakan menukar pemerintahan di Malaysia, kedaulatan negara kita akan tergadai, dan kita semualah yang menggadaikannya!