Orang UMNO kembalilah kepada fitrah
Oleh Zaini Hassan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
MINGGU depan UMNO akan bersidang. Sekitar 5,500 perwakilan akan membanjiri ibu pejabat parti Melayu terbesar itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mendengar amanat, nasihat, teguran, celoteh daripada pucuk kepemimpinan sehinggalah ke peringkat bawahan.
Perhimpunan ini juga menjadi satu pertemuan yang sangat penting, kerana selepas itu mungkin pilihan raya umum akan diadakan.
Sukar dinafikan, sesungguhnya UMNO masih lagi menjadi tulang belakang orang Melayu. Ia masih lagi menjadi tempat bergantung orang Melayu.
Ini kerana perjuangan parti-parti Melayu lain pun semakin tidak boleh diharap sangat untuk membela bangsa itu.
PKR, ialah parti yang tidak mempunyai perjuangan yang jelas. Ia hanya berjuang untuk kepentingan Anwar Ibrahim. Dulu Semangat 46 pun sama, berjuang untuk seorang individu, Tengku Razaleigh Hamzah. Parti itu hanya bertahan beberapa tahun sebelum para pemimpinnya ramai-ramai berpatah balik kepada UMNO.
Pas, sebuah parti Melayu yang konservatif juga tidak boleh diharapkan. Ia menjadi parti yang tidak tetap pendirian. Sekejap terlalu fundamental Islam, sekejap terlalu liberal Islam dan kini Pas dikatakan telah menjadi sebuah parti yang ultra-liberal.
Pas sudah menyimpang sama sekali daripada perjuangan asalnya – gara-gara terlalu terikut kepada pendirian liberal Anwar Ibrahim dan aliran ultra kiasu DAP.
Memang benar aliran ultra-liberalisme semakin berkembang di negara ini. Jika dulu ia bergerak secara senyap, kini kumpulan ini sudah berani ke hadapan. Difahamkan aliran itu ditanam oleh orientalis Barat dan disokong serta didana oleh kuasa-kuasa besar.
Menurut seorang pengkaji Islam Liberal yang merupakan profesor di Monash University, Australia, Dr. Greg Barton, kehebatan Islam Liberal bukan sekadar pada namanya ‘Liberal’ tetapi lebih hebat kerana Islam Liberal berjaya memusnahkan akar-akar Islam termasuk persoalan akidah dan syariah.
Beliau yang menghabiskan hidupnya meneliti perkembangan Islam Liberal Indonesia dan menghasilkan tesis Ph.Dnya berkaitan pembangunan Pemikiran Islam Liberal di republik itu menambah: “Islam Liberal akan meruntuhkan tembok sacral al-Quran melalui metodologi dekonstruksi (kritik teks) dan memusnahkan akar syariah dengan ijtihad (penafsiran) terbuka.” (Baca: http://www.anwaraidc.com/?p=4702)
Tujuannya ialah untuk mencairkan aliran fundamental Islam. Pas secara sedar atau tidak sudah terjebak. Oleh itu Pas juga tidak boleh diharapkan.
Setakat ini hanya UMNO yang tinggal. UMNO masih beruntung kerana ia masih mendokong kerajaan negara ini dan menerajui sebuah parti perikatan yang terdiri daripada banyak parti komponen.
Ikut atas kertas, UMNO masih mendapat sokongan ramai orang Melayu.
Namun, adakah UMNO sendiri bergerak di atas landasan yang lurus?
Wawancara Mingguan Malaysia bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad Ahad lepas menceritakan mengenai UMNO dan orangnya.
Dr. Mahathir berkata UMNO perlu ditegur dari semasa ke semasa. Sebagai parti yang besar, benar ia memang patut ditegur. Landasan yang bengkuk harus diluruskan.
Apakah ahli-ahlinya, khusus para pemimpin parti itu masih berpegang kepada falsafah asal penubuhannya? Siapa sebenarnya orang UMNO sekarang? Ikhlaskah perjuangan ahli-ahli dan para pemimpin UMNO ini?
Mengapa masih kedengaran pergeseran di sana dan sini mahu merebut menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP)?
Apa hebat sangat mahu menjadi calon? Besarkah gaji seorang ADUN dan MP? Mengapa ada yang sudah berjawatan CEO dengan gaji berganda-ganda besar daripada elaun MP atau ADUN, pun sanggup juga melobi untuk menjadi calon?
Dalam usaha kerajaan mahu mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi, tinggi sangatkah gaji seorang ADUN dan MP yang mahu direbut itu?
Saya kurang faham mengapa masih berlaku perebutan. Orang itu tikam belakang orang ini dan orang itu. Cantas sana, cantas sini. Malah yang sudah menjadi calon sejak muda sehingga kini umur mencecah 70 tahun pun masih berangan-angan mahu menjadi calon?
Hebat sangatkah mahu menjadi calon?
Ingatlah UMNO ialah parti keramat orang Melayu. Perjuangannya ikhlas. Pejuang-pejuangnya dulu juga ikhlas. Ramai pejuangnya yang berada di merata cerok kampung dan desa akhirnya mati dalam kemiskinan.
Namun mereka puas. Puas kerana dapat melihat anak cucu mereka sekarang masih boleh hidup dengan aman dan makmur, walaupun tidak sekaya bangsa lain.
Kita masih mempunyai kuasa politik. Kuasa itulah yang satu-satunya yang kita ada. Pertahankanlah. Tanpa kuasa itu, orang Melayu akan hancur. Dengan penguasaan ekonomi pun lemah, ke mana kita hendak pergi?
Tapi sedarkah orang UMNO sekarang? Berpijak di bumikah orang UMNO? Merendah dirikah orang UMNO?
Ada yang berkata ramai orang UMNO kini terlalu extravagant. Bahasa Melayu bermaksud terlalu mewah. Mewah yang kadang-kala lain macam. Benarkah, kata-kata popular mengatakan orang UMNO ini kaya-raya belaka?
Kalau nak kaya masuk UMNO? Bagi saya itu subjektif. Dalam PKR, Pas dan DAP di negeri-negeri kuasaan mereka juga sedang merebut-rebut projek. Malah, lahapnya lebih dahsyat lagi.
Tapi jika mewah sekali pun perlukah ditunjuk-tunjuk? Jika ada kereta yang mahal-mahal tidak perlu tunjuk-tunjuk. Janganlah masing-masing berlumba membeli kereta mengikut trend.
Ada sahabat bergurau, pakaian perwakilan kaya yang datang ke persidangan, jika dikira dari kepala sehingga ke kaki boleh mencecah nilai puluhan ribu ringgit. Kain samping songket sutera tenunan benang emas boleh mencecah ribuan ringgit. Itu tidak kira cincin batu zamrud, jam tangan hinggalah ke kasutnya.
Orang dulu hanya memakai kain samping UMNO. Kain samping UMNO pada masa itu sudah menjadi jenama yang dikenali.
Kini, mungkin kerana peredaran zaman, kain samping pun sudah berubah. Ia sudah menjadi barangan mewah. Ahli yang miskin pakai yang murah, yang kaya pakai yang mahal.
Jika DAP mengekalkan baju dan seluar putihnya, begitu juga Gerakan - yang masing-masing mengikut pakaian PAP Singapura, mengapa UMNO tidak boleh mengekalkan identitinya semula?
UMNO perlu kekal pada sifat asalnya. Kembalilah kepada fitrah semangat perjuangannya. Biar merendah diri dan kerja keraslah demi rakyat. Tunjukkan keikhlasan yang ikhlas, bukan yang dibuat-buat.
Selamat bersidang.