Friday, September 30, 2011

MELAYU BERSATU : KUASA POLITIK UNTUK KUASAI EKONOMI

MTEM: Suara hati NGO ekonomi

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


MALAM tadi bertempat di Serdang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu atau singkatannya MTEM.

MTEM yang dicetuskan dalam perancangan setahun itu adalah 'buah tangan' badan bukan kerajaan (NGO). Sama ada kita mahu mengakui ketika ini adalah era NGO, terpulanglah kepada pertimbangan masing-masing.

Ternyata selepas fasa NGO yang ternampak penglibatan aktif dalam memperjuangkan isu-isu semasa bersifat politik dalam setahun dua ini, mahu tidak mahu harus diakui kemunculan satu lagi kumpulan NGO - tetapi kali ini mencerminkan sikap ambil berat mereka untuk terlibat sama memodenkan ekonomi orang Melayu.

"Kita NGOs ekonomi ini hanya mahu satu lagu (suara) dan bukannya 10 lagu. Sebatang lidi berbeza dengan segumpal lidi yang lebih kuat dan susah untuk dipatahkan," kata koordinator MTEM yang juga pengerusi program untuk pelancaran MTEM, Rizal Faris kepada Utusan Malaysia semalam.

Menolak tanggapan ia mirip Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Rizal, 40, menyimpulkan dalam nada ringkas: "Teraju ialah institusi kerajaan manakala MTEM yang bertekad disertai 100 organisasi dengan sejuta ahli dikepalai oleh NGO."

(Objektif utama Teraju adalah untuk menyelaraskan transformasi serta memperkukuhkan penyertaan golongan Bumiputera agar jurang ekonomi yang wujud di antara Bumiputera dengan kaum lain, dapat dirapatkan.

Contohnya di bawah program Keusahawanan Bumiputera yang diumumkan akhir Julai lalu, Teraju memilih 1,000 syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan 100 syarikat sederhana untuk menerima bantuan kerajaan. Bantuan itu adalah melalui kontrak-kontrak kerajaan dan syarikat-syarikat bumiputera yang besar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu ), Datuk Seri Idris Jala, syarikat-syarikat PKS diberikan had tempoh untuk menerima bantuan kerajaan dan syarikat-syarikat besar bumiputera antara dua hingga tiga tahun.)

Rizal memberitahu, pelancaran MTEM bertujuan menggabungkan semua NGO berteraskan ekonomi Melayu supaya wujud agenda yang jelas serta pelan strategik untuk membangunkan ekonomi Melayu. Komitmen ini dituntut menjelang sembilan tahun negara menuju Wawasan 2020.

"Untuk mencapai status negara maju, adalah penting untuk membawa orang Melayu dalam arus pembangunan dengan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain. Dengan satu pelan tindakan, maka kita (MTEM) menjadi jambatan antara polisi dan masyarakat.

"Hari ini Perdana Menteri telah membawa perubahan dalam bentuk transformasi namun persoalannya adakah rakyat faham bagaimana hendak melibatkan diri dalam program ini.

''Daripada tinjauan yang dibuat oleh kami, masih ramai yang tidak faham dan tidak kurang yang kritik apa itu GTP dan yang lain sama. Maka adalah penting untuk bawa polisi ini ke akar umbi, biar mereka faham dahulu," katanya.

Daripada dapatan tinjauan yang diperoleh MTEM dari makmal Pemandu dan Teraju di akar umbi menunjukkan mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 adalah sekitar 40 peratus. Daripada 40 peratus tadi, 80 peratus adalah Melayu. Dengan pendapatan RM3,000 sebulan di kota kosmopolitan Kuala Lumpur pada masa ini, berapa sangatlah nilai wang tersebut berbanding kadar tol yang perlu dibayar setiap hari.

Jika diimbas pada 1950, masalah orang Melayu semasa itu adalah kemiskinan di luar bandar. Sekarang, trendnya berubah - kemiskinan dalam bandar. Itu adalah cabaran baru buat MTEM kerana dari hasil kemiskinan menyumbang pula kepada kewujudan gejala sosial. Dan ubatnya satu sahaja - tingkatkan pendapatan orang Melayu.

"Kalau kita boleh gandakan pendapatan Melayu untuk akhirnya mereka boleh mendapat pendidikan yang baik, makan minum yang cukup, maka ia akan membangunkan ekonomi Melayu," katanya

Rizal menarik perhatian tentang cerita lara di Pulau Pinang hari ini. Orang Melayu di negeri itu sudah tidak mampu membeli rumah teres biasa yang mencanak harganya sehingga mencecah RM750,000. Kalau pun yang tinggal di rumah murah, majoritinya adalah orang Melayu. Ini bermakna konsep Rumahku Syurgaku tidak tercapai.

Jika difokuskan kepada keusahawanan pula, keadaan bidang itu harus diperbetulkan dengan matlamat tidak sekadar untuk mencapai negara maju tetapi bagaimana hendak kurangkan kadar kemiskinan," katanya.

Penglibatan kumpulan pencetus MTEM ini bukanlah sesuatu yang baru. Taringnya muncul pada 18 November tahun lepas apabila membentangkan kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera mengenai keperluan mewujudkan Makmal Melayu. Ia kemudian direalisasikan oleh Pemandu pada Februari tahun ini.

Di samping itu, Rizal turut mendesak kerajaan mewujudkan platform di mana agenda bumiputera boleh digerakkan ke dalam agensi-agensi. Hasilnya menyaksikan penubuhan Teraju.

Dalam hal ini, beliau nampak keikhlasan dan kesungguhan Perdana Menteri merencanakan agenda pembangunan negara. Namun dalam menjayakan program MTEM, individu atau pihak tertentu diperlukan untuk menggalas tanggungjawab berat itu.

'Tapi tidak semestinya kita bersikap yes man, apatah lagi saya ini dari generasi 'x', tidak lama lagi akan muncul generasi 'Y' yang baru dalam perjuangan ini. Saya ini dari generasi Internet, lebih vokal tetapi tidak membenarkan latihan secara melulu," kata Rizal.

Mengenai keanggotaan MTEM, ia terbuka kepada NGO bertaraf kebangsaan antaranya Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia dan Koperasi UKHWAH.

Namun penyertaan turut digalakkan daripada kalangan NGO berteraskan ekonomi di peringkat daerah dan negeri dengan polisi MTEM ditetapkan hanya boleh diputuskan oleh NGO kebangsaan.

Mengenai tanggapan pewujudan MTEM menggambarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan PERDASAMA tidak berfungsi dengan baik, kata Rizal: "Mereka tetap berfungsi seperti biasa, cuma bezanya kita semua dapat duduk bersama untuk menggerakkan isu-isu ekonomi membabitkan orang Melayu."

Kata beliau: "Sekali lagi jangan lihat NGO sebagai entiti kerana Perdana Menteri sendiri (dalam ucapan penutup Khazanah Megatrends Forum 2011' di ibu negara Selasa lalu) telah menekankan kepada pembangunan modal insan dan bakat di mana kerajaan memerlukan lebih ramai modal insan yang berkaliber."

Rizal turut berkongsi mengenai formula MTEM yang buat sementara beribu pejabat di Damansara Heights itu dalam membawa perubahan mendadak meningkatkan pembangunan ekonomi orang Melayu khususnya di akar umbi iaitu memerlukan tiga tiang - kerajaan, swasta dan NGO.

"NGO hari ini bukan seperti NGO dulu. Ia bukan NGO yang sekadar menguar-uarkan suatu penindasan di peringkat usahawan tetapi sebaliknya terlibat dalam implementasi seperti mana di Haiti dan beberapa negara Timur Tengah.''

Tegas Rizal: "MTEM dengan kunci keberhasilannya adalah Melayu Abad ke-21 bersifat inklusif walaupun ia inisiatif daripada NGOs yang beragenda Melayu.

"MTEM juga adalah kajian Malaysia. Kalau selesai masalah Melayu (ekonomi), maka kita sebenarnya telah selesaikan banyak masalah dalam negara."

Thursday, September 22, 2011

TANAH MELAYU MILIK MELAYU

Tanah Melayu tak pernah jadi koloni

PROFESOR DATUK ZAINAL KLING ialah Ahli Majlis Profesor Negara

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Berikutan sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) melalui Kluster Sejarah Warisan dan Sosio-budaya di Kementerian Pengajian Tinggi pada 9 September 2010, pelbagai reaksi telah muncul daripada ucapan saya yang disiarkan oleh TV sebagai petikan berita.

Dalam petikan itu diperkatakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah menjadi tanah jajahan atau koloni pada sebarang masa sejak kejatuhan Melaka pada 1511. Adalah salah bagi banyak orang termasuk para ahli politik untuk sentiasa menyebut bahawa Malaysia khusus Tanah Melayu telah terjajah lebih 400 tahun.

Ucapan itu dituturkan sebagai membentang 'kenyataan akhbar' yang telah diedarkan oleh Urusetia Majlis Profesor Negara kepada semua wakil media, baik media cetak mahupun media elektronik yang hadir.

Ucapan kepada media itu adalah intisari amat ringkas kepada "kenyataan akhbar' MPN yang memilih untuk mengulas dua 'persoalan sejarah' yang penting daripada kontroversi yang timbul terhadap petikan ucapan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) di Tasik Gelugor pada 21 Ogos 2011. Tumpuan Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya dalam kenyataan akhbar itu ialah 'penjajahan' dan 'perjuangan'.

Berkaitan isu penjajahan itu, yang dikutip ialah kenyataan berikut: "Tanah Melayu adalah negara naungan (protectorate) yang diiktiraf kedaulatan dalamannya. Kerana itu pemerintahan Tanah Melayu adalah termasuk Institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR)… Negeri-negeri Melayu (Bersekutu - FMS - atau Tidak Bersekutu - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British". (petikan asal)

Yang ditegaskan di situ ialah kedudukan Tanah Melayu dalam sejarah yang panjang dan khusus di zaman British tidak pernah menjadi koloni (colony) atau tanah jajahan. Kedudukan yang diiktiraf ialah sebagai 'negeri-negeri naungan' atau protectorate. Daripada ulasan sejarahwan dan pengkaji sejarah, kenyataan itu dianggap benar walaupun ada ulasan bahawa kedudukan itu hanyalah sebagai legal fiction (Chandra Muzaffar, New Straits Times (NST), 15.11.2011), Tun Dr. Mahathir Mohamad menambah, 'The Advisor became the Ruler' (NST) dan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim bersetuju secara am.

Malangnya apa yang tidak dikutip oleh pemberita daripada kenyataan akhbar itu ialah ayat yang menjelaskan kedudukan tanah jajahan di Tanah Melayu: "Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)… . Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai breach of trust (R. Braddell) atau indirect rule (R. Emerson). Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (legitimate), walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara." (tulisan bold adalah daripada teks asal).

Dengan demikian, kenyataan akhbar itu mengakui berlakunya 'penjajahan' oleh British di Tanah Melayu meskipun Tanah Melayu adalah sebuah protectorate. Justeru percanggahan antara sifat naungan secara de jure sifat penjajahan secara de facto maka dijelaskan dua ulasan pengkaji sejarah: Roland S. J. Braddell, seorang peguam penasihat Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu yang menganggap penjajahan itu sebagai 'pecah amanah' terhadap kedudukan perundangan negeri-negeri Melayu; atau Rupert Emerson, sejarawan Harvard, sebagai 'pemerintahan tak langsung'.

Kenapa ditegaskan kedudukan negeri-negeri Melayu sebagai 'naungan' (protectorate) dan bukan 'tanah jajahan' (colony) walaupun berlaku penjajahan pada realitinya? Kenapa penilaian R. Braddell itu dan R. Emerson itu juga ditegaskan?

Pertama, adalah wajar penulisan sejarah dilakukan dengan lebih kritis berasaskan fakta dan tafsiran yang wajar. Para sejarawan Malaysia telah banyak melaksanakan penilaian kembali sejarah nasional Malaysia terutama di dalam teks sekolah dengan melihat para penentang penjajahan British sebagai 'pejuang' dan menerima perjuangan awal golongan kiri sebagai perjuangan dan penentangan. Sejak persoalan historiografi Asia Tenggara hebat didebatkan terutama oleh sejarawan Belanda, J.C. van Leur, sebagaimana ditulis oleh para sejarawan Eropah, "from the deck of the ship, the ramparts of the fortress, the high gallery of the trading house," maka perubahan penilaian itu berlaku terus menerus sebagai proses pensejarahan yang biasa.

Kedua, gagasan kritis yang melihat penjajahan British sebagai 'pecah amanah' seperti saranan Braddell adalah amat bermakna kerana sikap sejarah seperti itu dapat membenarkan tuduhan bahawa meskipun Tanah Melayu seharus sebuah negara naungan tetapi segala perbuatan, tindakan dan kesan daripada pentadbiran British telah menyebabkan psikologi masyarakat Melayu menjadi 'involusi' (involuted), kemiskinan dan keterpinggiran dalam ekonomi, penindasan dalam pendidikan setakat darjah tiga dan kemudian ditambah kepada darjah enam rendah sahaja, ketiadaan sekolah menengah, kehancuran sistem perundangan Islam dan lebih utama lagi pewarisan masalah perkauman yang amat hebat.

Ketiga, penilaian sejarah sedemikian akan membolehkan kita untuk memahami dengan betul kenapa tindakan para pejuang kemerdekaan Tanah Melayu memilih 'perjuangan aman' dan tidak 'perjuangan bersenjata'. Para pejuang masyarakat Melayu yang menentang pentadbiran British memang mempunyai dua pilihan: penentangan dengan kekerasan dan dengan keamanan.

Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta. Kedua-dua pejuang Indonesia itu perlu tindakan menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah juga golongan radikal, sosialis dan kiri, suatu fahaman yang amat berpengaruh pada zaman itu. Lebih penting lagi ialah Indonesia itu adalah 'tanah jajahan' (colony) Belanda sejak kurun ke-17. Maka perjuangan kemerdekaan adalah penentangan dengan kekerasan. Bilangan mereka juga amatlah ramai, dan cendekiawan Indonesia amat terdidik tinggi di Eropah.

Golongan komunis bangun menentang dengan senjata, yang juga dibekalkan oleh British di zaman pemerintahan Jepun, untuk membina republik Komunis di Tanah Melayu.

Dengan menggembleng sebahagian tenaga ketenteraan daripada empayarnya, Britain dan Tanah Melayu mengalahkan perjuangan militan komunis itu. Pasukan tentera dan Polis Tanah Melayu menyambung penyerangan itu hingga menang sepenuhnya pada tahun 1989.

Keempat, kerana kedudukan Tanah Melayu dan raja-raja Melayu adalah di bawah naungan British melalui perjanjian sejak 1874 maka seluruh rakyat Melayu menentang usaha British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai 'koloni' melalui rancangan 'Malayan Union'. Serentak dengan itu pada 1948, berlaku penentangan bersenjata Komunis yang dilawan dengan kekuatan senjata yang lebih besar oleh British.

Daripada pengalaman menentang 'Malayan Union' dan 'Darurat' itu pejuang seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman memahami kekuatan dan kewajaran penentangan secara aman melalui perundingan terhadap British, seperti di India, dan bukan melawan secara bersenjata seperti di Zulu, Afrika. Tanggapan terhadap 'penjajahan' British itu sebagai naungan melalui perjanjian, menyebabkan berlaku 'perundingan' untuk membincang kembali penjanjian baru dengan British supaya dapat mencapai self-government (pemerintahan sendiri). Ini yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman apakala menuntut 'kemerdekaan'.

Kelima, bahawa negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu itu merupakan protectorate menyebabkan sistem kerajaan Melayu terpelihara dan kekal hingga kini. British sebagai kuasa kolonial boleh dengan mudah menghapuskan kedaulatan kerajaan Melayu seperti berlaku di Singapura pada 1824 terhadap Sultan Husin Syah. Kerana kedudukan perundangan negeri-negeri Melayu adalah naungan maka British terpaksa menghapuskan fakta 'kedaulatan raja Melayu' itu ketika menubuhkan Malayan Union.

Meskipun kedaulatan (sovereignty) itu dikatakan hanya legal fiction tetapi di hati orang Melayu hal itu adalah benar. Penghapusannya menyebabkan seluruh bangsa Melayu menentang Malayan Union dan British tunduk kepada tuntutan aman itu.

Keenam, rundingan kemerdekaan telah memulangkan kembali kedaulatan itu kepada raja Melayu di samping rakyat Tanah Melayu. Rundingan Perlembagaan telah melibatkan wakil Raja-Raja Melayu. Hal itu bermakna, kedaulatan raja Melayu itu dihormati meskipun ia telah dipinggir dan diketepikan pada praktiknya di zaman pentadbiran British. Demikianlah juga semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang keistimewaan Melayu adalah natijah daripada kewujudan kedaulatan Melayu yang diwakili oleh raja-rajanya.

Semua orang Melayu, terutama parti politiknya, dan rakyat Malaysia mesti memahami persoalan sejarah itu dengan lebih baik dan benar untuk dapat menilai dengan patut, betul dan bermakna.

Wednesday, September 7, 2011

PAS ITU KOMUNIS ITU PAS???

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas

DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.

KUALA LIPIS BERSEJARAH