Saturday, August 27, 2011

BERSATU ADALAH TUNTUTAN AGAMA


Merdeka Raya masa terbaik kita bersatu

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my

2011/08/27

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MerdekaRayamasaterbaikkitabersatu/Article

Kekuatan perpaduan kaum kunci keamanan negara mesti dipertahan

MINGGU depan rakyat Malaysia menyambut Merdeka Raya, iaitu ulang tahun kemerdekaan ke-54 dan Aidilfitri. Memandangkan sambutan hari kebangsaan ditunda ke 16 September sempena dengan ulang tahun Hari Malaysia, rata-rata kita lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada hari raya. Namun sambutan kemerdekaan yang menjelang tiba itu juga memeriahkan lagi suasana hari raya kali ini.


Hari raya adalah hari di mana ahli keluarga dari jauh dan dekat berkumpul dan berjumpa setahun sekali bagi mengimbau kembali zaman silam serta bermaaf-maafan. Semuanya ini boleh dilakukan kerana negara ini aman, stabil dan bebas daripada sebarang ancaman dan huru-hara. Ia hasil daripada kemerdekaan negara yang kini mencapai usia 54 tahun. Bukannya senang untuk sampai ke usia itu.

Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu.

Justeru, adalah wajar kita pelihara kestabilan itu seperti kita menjaga kesihatan tubuh kita sendiri. Elakkan daripada diancam pelbagai penyakit yang boleh mengganggu kehidupan kita. Lihatlah huru-hara yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya atau negara jiran kita Thailand.

Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu.

Beberapa tetamu pada satu majlis berbuka puasa baru-baru ini mengimbas kembali zaman muda mereka pada 1960-an dan 1970-an lalu. Ketika itu, hubungan antara orang Melayu, Cina dan India begitu akrab sekali.

Mereka tinggal di sebuah kampung yang wujud persefahaman dan kerjasama erat. Hubungan antara kaum begitu ikhlas tanpa ada prejudis. Anak orang Melayu, Cina dan India boleh bebas keluar masuk rumah rakan mereka.

Malah menurut penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar, pada satu setengah dekad pertama selepas merdeka, agama tidak dilihat sebagai halangan kepada perpaduan nasional.

Pada peringkat awal selepas kemerdekaan, masyarakat bukan Islam tidak menunjukkan sebarang bantahan terhadap status dan amalan agama Islam. Identiti Islam itu tidak menyebabkan hak mereka ditekan. Perlembagaan negara melindungi hak mereka untuk bebas menganuti apa juga kepercayaan agama, menguruskan sendiri hal-ehwal amalan keagamaan, menubuhkan dan mengekalkan institusi keagamaan bagi tujuan beribadat dan kebajikan.

Walaupun lebih 60 peratus penduduk di negara ini beragama Islam, namun kewujudan bihara Buddha, kuil dan gereja diterima sebagai sebahagian daripada landskap di negara ini. Orang Islam tiada masalah dengan itu.

Pada hari raya, jiran Cina dan India berkunjung ke rumah orang Melayu. Hidangan ketupat, lemang serta rendang bukan lagi makanan asing bagi mereka. Ia sudah menjadi juadah rakyat Malaysia. Pada Tahun Baru Cina, orang Melayu dan India turut mengunjungi rumah rakan karib mereka. Tuan rumah tahu apa yang boleh dimakan Melayu dan apa yang menjadi larangan. Sebelum balik, anak muda dihadiahkan ‘ang pau’ oleh ibu bapa kawan mereka. Buah limau dan kacang menjadi ikon juadah Tahun Baru Cina.

Sambutan sama diraikan ketika Deepavali dan muruku menjadi satu lagi simbol makanan rakyat Malaysia. Kini muruku turut dihidangkan pada majlis rumah terbuka hari raya. Begitulah keadaan rakyat Malaysia yang seronok hidup secara bersama, walaupun berlainan agama dan adat.

Namun menurut Dr Chandra, suasana tenang itu mula menampakkan sedikit ketegangan mulai 1980-an. Penambahan penduduk Melayu di kawasan bandar sejak 1970-an menyebabkan orang Islam berkongsi ruang fizikal dan budaya dengan penganut agama lain.

Hasil interaksi itu, maka berlakulah perkahwinan dan perceraian antara agama. Kemudian timbul pula masalah pertukaran agama, hak penjagaan kanak-kanak dan status kepercayaan agama orang yang sudah meninggal.

Keadaan sedemikian menimbulkan keluh kesah antara kaum, menyebabkan pihak terbabit cuba melindungi hak agama masing-masing. Sebarang tindakan yang melampaui garisan sempadan yang ditentukan sendiri oleh mereka boleh menimbulkan ketegangan. Antara contohnya adalah cubaan bukan Islam untuk menggunakan istilah ‘Allah’.

Selain itu, tambah Dr Chandra, tindakan golongan tertentu cuba menyebarkan ajaran Kristian juga semakin diperhebatkan. Sasaran mereka adalah masyarakat bukan Islam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Tetapi ada cubaan mendekati masyarakat Melayu, walaupun peruntukan Perlembagaan melarang mereka menyebarkan sebarang doktrin agama di kalangan orang Islam. Secara umumnya, kebanyakan rakyat lebih suka nilai universal yang dikongsi bersama oleh penganut pelbagai agama.

Prinsip ini penting dalam masyarakat pelbagai agama kerana ia menekankan nilai bersama kemanusiaan. Andainya agama mampu menjelmakan nilai kemanusiaan ini, pastinya ia dapat memperkukuhkan perpaduan di bumi ini.

Alangkah seronoknya sekiranya kita dapat mengembalikan semula keakraban antara kaum seperti yang pernah kita lalui dulu. Gunakan sambutan Merdeka Raya ini bagi merapatkan semula perhubungan antara kaum.





Sunday, August 21, 2011

SELAMAT DATANG SYAWAL 1432H


Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm


HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.


Sunday, August 7, 2011

INGATLAH : ULANG TAHUN KEJATUHAN MELAKA


15 Ogos 2011 ini genap 500 tahun jatuhnya Melaka

Untung Sabut Timbul

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

PADA tahun-tahun 40-an dahulu, lama sebelum negara mencapai kemerdekaan, ada segelintir guru-guru Melayu yang setiap 15 Ogos akan memakai baju kemeja hitam dan bertali leher merah ketika mengajar di sekolah.

Hitam sebagai tanda berkabung sementara merah bermakna kesanggupan berjuang.

Mereka yang menjadi penyokong Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini berpakat memakai baju itu sebagai mengenang kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis yang berlaku pada 15 Ogos 1511.

Memang sukar bagi mereka mencari baju kemeja hitam dan tali leher merah yang perlu dibuat khas, dan tentunya memerlukan wang. Pada masa itu, pakaian guru ialah baju putih dan seluar putih bertali leher hitam dan bersongkok hitam.

Maka pada 15 Ogos 2011 ini, genaplah 500 tahun kota Melaka tumbang. Kota Melaka hanya merdeka pada 31 Ogos 1957 sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Ini bermakna kota Melaka dijajah 446 tahun 16 hari. Tun Ghafar Baba yang menjadi bapa kemerdekaan bagi Melaka mencadangkan bendera merah putih sebagai latar belakang kepada bendera negeri tetapi dengan bintang bulan di bucunya selaras dengan jati diri Melaka sebagai negeri Melayu seperti negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu ketika itu.

Beliau mencadangkan supaya petak empat segi yang menempatkan bulan bintang itu supaya berwarna hijau sebagai kaitannya dengan agama Islam. Tetapi cadangannya ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang mahukan warna petak itu sebagai biru, selaras dengan warna petak empat segi di bucu bendera persekutuan.

Dengan kemerdekaan itu, Melaka yang sudah tidak mempunyai raja sendiri sejak tahun 1511 mendapat pula kedaulatan diraja melalui Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi negeri itu.

Maka pada masa giliran Sultan Perak menjadi Yang di-Pertuan Agong, Melaka memperoleh semula seorang raja yang susur galurnya sampai kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika kota itu belum jatuh ke tangan Portugis.

Tetapi pada tarikh 31 Ogos 1957, buat pertama kalinya kota Melaka menjadi negeri yang berdaulat. Ini kerana sebelum itu, ia hanya menjadi kota jajahan bagi Inggeris, Belanda dan Portugis. Dengan beberapa tahun pernah berada di bawah Jepun.

Sementara semasa pemerintahan Kesultanan Melayu, kota Melaka adalah tempat bersemayam sultan yang memerintah satu kerajaan yang wilayah pemerintahannya adalah luas meliputi sebahagian besar kepulauan Nusantara yang meliputi semenanjung Tanah Melayu, pulau Sumatera hinggalah ke Brunei.

Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu, orang tidaklah menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melaka dan negaranya sebagai Melaka.

Mereka menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melayu dengan kerajaannya sebagai kerajaan Melayu yang memerintah negeri-negeri di kepulauan Melayu.

Melaka hanyalah kota di mana bersemayam raja Melayu. Maka oleh kerana pusat kerajaan terletak di kota Melaka, maka selat itu juga kemudian dikenali sebagai Selat Melaka.

Tetapi negara yang diperintah oleh sultan yang bersemayam di Melaka itu adalah luas dan disebut sebagai negeri-negeri Melayu saja.

Sementara Kesultanan Melayu di Melaka itu pula merupakan kesinambungan kepada Raja-raja Melayu terdahulu yang bersemayam di Palembang, Sumatera di bawah nama kerajaan Sri Wijaya.

Tetapi apa yang disebut sebagai Melayu meliputi semenanjung, dan semua pulau di sekitarnya iaitu Sumatera dan Brunei. Sudah tentu Singapura juga termasuk di dalamnya.

Malah sebelum Melaka, kerajaan Melayu ini cuba menjadikan Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik sebagai kota kerajaan Melayu sebagai lanjutan kepada Palembang sebelum itu.

Sejarah mungkin berbeza jika kerajaan Melayu dapat bertapak di Singapura untuk memerintah kepulauan Melayu.

Tetapi Siam menganggap keseluruhan semenanjung, termasuk Temasik adalah miliknya.

Maka bala tentera dihantar Siam untuk mengajar raja Melayu itu. Askar Melayu yang ada tidak akan mampu berlawan dengan tentera Siam itu.

Maka berpindahlah raja Melayu itu ke Melaka untuk ditubuhkan sebuah kerajaan yang kuat. Siam tetap mahu memusnahkan Melaka. Tetapi kemenangan Melaka di Batu Pahat di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Melayu.

Tetapi pada keseluruhannya yang memantapkan kedudukan kerajaan Melayu adalah hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming China melalui laksamana Cheng Ho dan pemelukan Islam oleh raja dan rakyat Melaka.

Islam adalah trend pada masa itu. India menjadi Islam di bawah Moghul. Dinasti Ming hampir penuh menjadi Islam. Di Jawa pula, Islam juga sedang mara menguasai keseluruhan pulau itu.

Tetapi pada waktu yang sama di sebelah Barat, kerajaan Andalusia sudah lama tumbang dan munculnya kuasa baru yang akan mengubah dunia, Sepanyol dan Portugis.

Dengan semboyan Glory, Gold dan Gospel atau Kegemilangan, Emas dan Injil, dalam erti kata lain, kekuasaan, kekayaan dan penyebaran agama, bala tentera Portugis sampai ke Nusantara.

Di sebalik semboyan itu, apa yang mereka cari ialah rempah. Rempah ratus! Makanan dan dorongan tekak dan perut yang mendorong mereka sampai ke sini. Begitulah besar motivasi makanan.

Maka dengan dorongan inilah, Melaka tumbang. Tetapi walaupun ia memusnahkan istana dan bandarnya, kerajaan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah tempat istana semayamnya iaitu ke Kota Tinggi di Johor.

Walaupun tempat itu tidaklah sehebat Melaka, tetapi ia cukup untuk meneruskan kesultanan Melayu. Hakikatnya kerajaan Melayu di Melaka dan Johor-Riau adalah serupa dan sambung-menyambung saja.

Oleh kerana ia terletak di Johor dan Riau, maka ia disebut sebagai kesultanan Johor-Riau, tetapi hakikatnya ia adalah kesultanan Melayu yang sama dengan di Melaka.

Walaupun kemudiannya kerajaan ini tidak lagi diperintah oleh waris-waris Sultan Melaka, ia tetap merupakan pewaris kepada kesultanan terdahulu. Bendaharanya menjadi Sultan Pahang. Sementara Maharaja Abu Bakar menjadi Sultan Johor yang menyambung kesultanan Melayu.

Kerajaan ini terus berdaulat walaupun British kemudiannya menguasai pertahanan dan hal ehwal luar Johor.

Justeru apabila Malayan Union diperkenalkan, Datuk Onn mampu bangkit dan membantah. Ini kerana negeri-negeri Melayu masih berdaulat dengan raja-rajanya tidak boleh menyerahkan kedaulatannya ke pada British begitu saja.

Kedaulatan sesebuah negara bukan milik raja seseorang tetapi adalah persetujuan dengan rakyatnya. Ketika itu, rakyat Raja-raja Melayu adalah orang Melayu. Maka untuk berdepan dengan British, orang Melayu telah mewakilkan UMNO untuknya. Negeri Melaka pula lain. Ia memang tanah jajahan British. Rakyatnya adalah anak jajahan British.

Tetapi UMNO meliputi semua negeri dalam Tanah Melayu. Ini membolehkan Melaka turut merdeka. Begitu juga dengan wilayah dalam kesultanan Melaka dahulu yang kini juga merdeka dalam Indonesia.







Friday, August 5, 2011

MELAYU JANGAN MUDAH LUPA!

Jangan Biarkan Orang Melayu Terima Nasib Seperti Di Singapura

Oleh : Mohd Nasri Zakariah

http://umno-online.com/?p=42947



KUALA LUMPUR 4 Ogos – Orang Melayu di negara ini perlu sedar bahawa mereka juga akan menerima nasib sama seperti saudara mereka di Singapura jika membiarkan negara ini diperintah oleh pembangkang.

Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman berkata untuk memastikan orang Melayu di negara ini mengalami nasib serupa, mereka harus memastikan tampuk pemerintahan negara ini tidak terlepas kepada pakatan pembangkang.

“Mungkin apa yang saya katakan ini ada yang akan menganggap sebagai rasis atau berbaur perkauman, tetapi ini adalah kebenaran, lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, tempat kediaman orang Melayu diambil atas dasar pembangunan.

“Walaupun di Pulau Pinang ada pemimpin Melayu dalam pentadbiran negeri, tapi mereka sebenarnya tidak mempunyai kuasa, mereka ini terpaksa itu telunjuk DAP.

“Malah apa yang berlaku di Kedah baru-baru ini jelas menunjukkan, bagaimana DAP mampu membuatkan Pas mengikut telunjuknya membabitkan isu yang mempunyai kepentingan orang bukan Melayu dan Islam di negeri itu,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurutnya, dari apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa Pas dan PKR tidak mampu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini malah terpaksa tunduk kepada desakan DAP setiap kali berhadapan dengan isu membabitkan bukan Islam dan bukan Melayu.

Hafizah berkata, bagaimana Pas dan PKR untuk mempertahankan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini jika pakatan pembangkang memerintah, sedangkan walaupun mereka mempunyai kuasa namun tidak mampu melaksanakannya.

“Pemimpin pakatan pembangkang pernah menyatakan bahawa jika mereka memerintah negara ini, jawatan Perdana Menteri tetap menjadi milik orang Melayu, tetapi apa guna menjawat jawatan berkenaan tetapi tidak mempunyai kuasa, hanya mengikut perintah sahaja seperti boneka.

“Kita lihat apa yang berlaku ketika pakatan pembangkang memerintah Perak seketika dahulu, walaupun Menteri Besarnya orang Melayu (Mohamad Nizar Jamaluddin) tetapi dia ikut arahan wakil rakyat DAP.

“Nama sahaja Melayu dan Islam tetapi tidak mampu mempertahankan hak bangsa dan agama sendiri, sanggup menjadi alat kepada orang lain asalkan politiknya terus hidup, dan perkara ini juga mungkin berlaku apabila pembangkang perintah negara kita,” katanya.

Beliau berkata, bagi DAP apa yang penting adalah kuasa bukannya jawatan, contoh terbaik adalah di Kedah, walaupun Pas memerintah dan DAP hanya mempunyai satu kerusi DUN, namun mereka berjaya mentadbir negeri itu dari jauh.

“Orang Melayu perlu ingat, DAP lahir daripada PAP, parti yang memerintah Singapura, ramai orang muda tidak mengetahui perkara itu, apabila PAP memerintah Singapura, kuasa orang Melayu hilang beransur-ansur sehingga Istana Melayu pun tergadai dan kini menjadi muzium mempamerkan sejarah orang Melayu.

“Apakah kita ingin mengalami nasib yang serupa seperti mana dialami oleh saudara-saudara kita di sana, pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang bukanlah pejuang bangsa tetapi berjungan untuk kepentingan peribadi.

“Lihat apa yang berlaku kepada Pas, kerana untuk mendapatkan sokongan dari bukan Melayu, sanggup membuang perjuangan negara Islam dan menganti dengan perjuangan negara berkebajikan kerana ingin duduk semeja dengan DAP dan PKR,” katanya.

Menurutnya, kesedaran perlu ada terutamanya di kalangan generasi muda dan memahami senario politik supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pembangkang yang sememangnya bercita-cita untuk merampas negara ini.

Katanya, dalam soal pemilihan tampuk pemerintahan, sebarang kesilapan membawa kesan yang amat buruk dan tidak boleh diganti dengan sekelip mata, apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah harus dijadikan iktibar. Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya.

-MediaUMNO

KUALA LIPIS BERSEJARAH