Friday, April 29, 2011

PM DS NAJIB : WALK ABOUT

Tinjauan mesra dekati rakyat

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

SETIAP kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan mesra, ia pasti menghimbau kembali kenangan ketika ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyusuri jalan-jalan kampung, sawah dan tanah-tanah rancangan untuk menemui rakyat, 40 tahun lalu.

Selain mencontohi apa yang telah dibuat ayahandanya, budaya turun padang yang dimulakan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009, adalah bagi merealisasikan prinsip yang sentiasa dipegangnya iaitu untuk menjadi 'Perdana Menteri Rakyat'.

Tinjauan mesra pertama diadakan pada 4 April 2009, iaitu tidak sampai 24 jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Pada hari tersebut, Najib yang memakai baju khaki lengan pendek berwarna hijau cair dan seluar khaki berwarna coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di tiga kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang setiap penempatan itu mempunyai penduduk majoriti kaum Cina, Melayu dan India.

Ia melibatkan kawasan perniagaan di Petaling Street, perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfield.

Reaksi yang diberikan oleh rakyat pada hari tersebut memang cukup positif. Ada yang bertepuk tangan, ada yang melambai tangan, ada yang mengambil gambar dan ada juga yang menceritakan terus kepada Najib mengenai masalah mereka.

''Saya lakukan lawatan tidak rasmi dan mengejut untuk berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah mereka," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Vista Angkasa.

Pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali yang diminta mengulas pendekatan yang digunakan Najib itu mengakui ia adalah sama seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri kedua.

''Walaupun Tun Abdul Razak menjawat jawatan itu dalam tempoh singkat dari 22 September 1970 hingga 1976, beliau amat dikenali sebagai Perdana Menteri yang paling banyak berjalan untuk bertemu rakyat.

''Pendekatan seperti ini memang wajar diteruskan kerana ia boleh mewujudkan persepsi positif di kalangan rakyat bahawa Perdana Menteri mengambil berat tentang masalah mereka," ujarnya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu.

Beliau menjelaskan, pada zaman pentadbiran Najib, boleh dikatakan semua bentuk pembangunan yang dikehendaki rakyat telah tersedia, jadi tumpuan utama kerajaan adalah untuk memastikan segala kemudahan itu dinikmati rakyat di peringkat bawahan.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengambil pendekatan seperti Najib kerana tumpuan mereka adalah untuk membangunkan negara dan meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, setelah lebih dua tahun dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib tidak pernah jemu untuk turun padang dalam keadaan cuaca panas terik dan kadangkala basah ditimpa hujan semata-mata untuk bertemu dengan rakyat.

Apa yang dibuat itu adalah selaras dengan pendiriannya bahawa melihat keadaan sebenar adalah lebih baik berbanding sekadar mendengar laporan pegawai yang dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

''Saya bukan sahaja dapat tengok dengan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ.

''Banyak bezanya, macam bumi dan langit dengan taklimat yang diberikan oleh Datuk Bandar," kata Perdana Menteri ketika melakukan tinjauan mesra ke Stesen Bas Puduraya sebelum ini.

"Anda boleh meyakini," tambahnya, "sebaik sahaja saya balik ke pejabat, semua masalah ini akan mendapat perhatian, malahan saya sering mengumumkan beberapa kelulusan penting berdasarkan tinjauan mesra yang saya buat."

Sementara itu, tinjauan mesra terbaru Najib adalah di Pekan Song di pedalaman Sarawak pada 15 April lalu. Najib menjadi Perdana Menteri pertama yang mengunjungi pekan kecil itu.

Mengulas sikap Najib yang gemar turun padang, penganalisis politik terkenal di negeri itu, Dr. Jeniri Amir berkata, pemimpin politik Barisan Nasional (BN) lain dan kakitangan kerajaan perlu mencontohi gaya kepimpinan beliau.

''Sarawak adalah negeri pertama yang beliau lawati selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan tindakan beliau mengulangi kunjungan ke kawasan pedalaman negeri ini jarang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin tertinggi negara sebelum beliau.

''Keikhlasan Najib dalam menangani isu serta menyelesaikan masalah orang ramai amat disanjung tinggi oleh rakyat dan kaji selidik yang dibuat menunjukkan populariti beliau di kalangan penduduk Sarawak mencapai 80 peratus," katanya yang juga Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Ujar beliau, hakikat itu amat digeruni oleh pihak pembangkang sendiri, sebab itulah, dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, mereka hanya mengkritik dasar Najib, tapi tidak berani memperkecilkan kepimpinan beliau.

Apa yang disyor oleh Jeniri itu selaras dengan nasihat yang sering diulangi Najib yang mahukan anggota pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh-kesah dan gundah-gulana sebenar kehidupan seharian masyarakat.

Jika nasihat ini diikuti tanpa menyerah segala-galanya untuk dibuat oleh Perdana Menteri, impian untuk melihat rakyat kembali menyokong BN sudah tentu bukan lagi mimpi di siang hari.

Thursday, April 28, 2011

MELAYU AKAN JADI MINORITI???

Bencana sosio-politik akibat imigran

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

SEJARAHNYA ada. Benar berlaku. Bukan sengaja direka-reka. Akibat kebanjiran imigran ke tanah air kita, bencananya jelas dan nyata. Bumi kita dikuasai, kekayaan kita dinikmati.

Bidang kuasa mereka bertambah, kita pribumi terimaa padah Tetapi kita tak ambil tindakan yang serius, berterusan dan bersungguh-sungguh, seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain di dunia.

Pada zaman keagungan Melaka mereka datang sebagai pedagang. Kerana persamaan agama, ramai yang jadi Melayu. Yang berlainan agama, bahasa dan budaya kekal dengan ciri-ciri bangsa mereka.

Pada akhir tahun 1920-an dan awal tahun 1930-an Melayu sudah boleh dikatakan bangsa minoriti di Tanah Melayu. Di Singapura sekarang Melayu tinggal 15 peratus. Berapa peratus di Pulau Pinang, Ipoh, Seremban dan di Kuala Lumpur? Kita tidak sedar dan tak ada yang peduli.

Kaum pekerja dan peniaga yang mulanya datang dari negeri yang dulu kita kenal sebagai Benua China dan Benua India, sekarang datang dari segala benua - tanpa apa-apa sekatan. Hinggakan yang tak ada visa pun boleh masuk. Yang tak ada permit kerja, boleh bekerja. Visa pelajar boleh masuk ‘universiti’ di Bukit Bintang.

Kalau dulu kita salahkan kolonial Inggeris kerana membawa masuk pekerja dari China dan India, sekarang kita sendiri yang bawa masuk macam- macam bangsa, dari macam-macam negara. Malah kemasukan mereka sering dipermudah. Imigresen dan kastam kita dimarahi jika lambat melayan pendatang dengan hormat dan senyum mesra. Tak ada pegawai yang sambut kita dengan mesra di lapangan terbang London, Los Angeles dan Paris.

Kita terus jadi penerima tamu yang sangat baik hati. Ramai pula pegawai dan rakyat kita yang utamakan kesenangan diri dan boleh dibeli. Dasar dan amalan kerajaan mengenai pendatang nampak sering berubah.

Kemasukan warga dari China dan Taiwan dipermudah. Memang ada undang-undang dan tindakan mengawal, tetapi yang datang “melencung” semakin ramai dan kegiatan mereka menambahkan macam-macam jenayah. Yang sudah datang lama, jadi warganegara, tak habis-habis, menuntut berbagai “hak” dan menimbulkan masalah politik.

Akhirnya sekarang, kita jadi takut untuk mengambil tindakan yang wajar meskipun untuk keutuhan negara. Akibatnya kuasa politik, malah agama kita, adat budaya kita, dihina dan digugat. Wakil rakyat DAP di Perak, dengan sengaja tidak memakai pakaian istiadat dan songkok ketika Raja Muda Perak membuka Sidang Dewan Undangan Negeri. Mereka bangga melakukan penghinaan seperti ini. Dan kita tak boleh berbuat apa-apa! Takut!

Kita tidak dihormati lagi, malah dikata nista. Kita semakin takut dan sentiasa cuba ‘membersihkan’ diri. Lalu kita teruskan dasar akomodasi, berbudi dan berkompromi, yang menyebabkan kita lemah dan takut. Di seluruh dunia maju mahupun mundur, bangsa lain mengukuhkan kuasa. Di sini - di tanah air sendiri - bangsa pribumi makin tak terdaya.

Utusan Malaysia 14 dan 15 Mac 2011 menyiarkan tulisan Ibrahim Ali yang kritikal membahas “kebanjiran warga asing”. Beliau menyebut dua kejadian baru yang sangat mengejutkan, iaitu “industri bikin anak” dan “beratus-ratus bekas tentera India berkhidmat di Pelabuhan Klang”.

Menurut Ibrahim, kedua-dua kejadian ini dan sindiket transmigrasi termasuk jenayah rentas sempadan, adalah antara sumber yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara kita.

Ibrahim tidak pasti sama ada “industri bikin anak” dan pekerja bekas tentera India itu benar atau tidak. Maka diminta kerajaan membuat siasatan, kerana industri aneh ini “memang wujud di sebuah negara ASEAN.”

Adakah benar 300,000 warga asing tinggal di negara kita secara menipu? Adakah benar 24,000 daripada 49,000 penghuni penjara kita adalah warga asing? Kos menghantar pulang pendatang haram paling kurang RM3.5 juta setahun? Berapa ramai dan berapa belanja untuk memelihara pendatang haram di pusat-pusat tahanan?

Ibrahim tidak menyatakan maksudnya dengan jelas, tetapi berkali-kali menyebut aspek “keselamatan” dan “kedaulatan negara”. Ada mesej tersirat yang perlu kita fikirkan. Sesungguhnya kebanjiran imigran ratusan tahun lampau telah menggugat keselamatan dan keutuhan politik negara kita - 1948-1960 melalui gerakan komunis dan sekarang melalui gerakan politik.

Maka beliau menyarankan kerajaan “membekukan seluruh pengambilan buruh asing buat masa ini.” Ditegaskan, “Selagi pihak penguat kuasa undang-undang belum berjaya membanteras kehadiran seluruh warga asing di Malaysia secara haram, maka selagi itulah pembekuan ini perlu dikuatkuasakan.” Kehadiran yang mulanya ‘halal’ pun kemudian jadi haram juga.

Sebenaranya dalam beberapa tahun terakhir ini sudah banyak benar berita dan tulisan golongan prihatin mengenai masalah pendatang. Semuanya bagai angin lalu. Saya sendiri mula menulis tentang ini bertajuk “KitaYang Selalu Baik Hati” (1978), “Mengapa Pendatang Menguasai Kita” (2001), “Kumpulan ‘Kuda Liar’ dari Indonesia” (2002) dan “Undang-Undang Kita Terus Jadi Mainan” (2002), dan yang terakhir “Kita Dikelilingi Pendatang” (2011).

Saya menjangkakan dua pendedahan Ibrahim itu pasti mendapat reaksi yang banyak. Saya salah. Sikap Melayu tak berubah, termasuk Tan Sri dan Datuk-Datuk. Lebih tertarik kepada kisah-kisah sensasi politik Melayu dan lupa pada masalah hidup-mati kita yang sebenarnya. Maka saya tulis isu ini sekali lagi, menyokong amaran Ibrahim Ali.

Menyedarkan rakyat dan mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih serius. Jangan biarkan kebanjiran warga asing tambah meruncingkan masalah sosio-politik di negara kita. Ada yang sudah dapat taraf pemastautin tetap dan warga negara, tetapi kesetiaan mereka tidak pada bumi ini.

Menurut Ibrahim, “Daripada jumlah pelancong yang tinggal lebih masa ini, rakyat India 26,252, Pakistan 9,719, China 3,866, Bangladesh 5,663 dan Sri Lanka 3,379 orang.” Angka ini menurut statistik rasmi 2007. Saya kira statistik ini tidak betul. Sekarang, termasuk yang tiada dalam statistik Imigresen, sudah berjuta jumlahnya. Makin ramai pula pendatang dari Vietnam, Myanmar, Asia Barat dan Benua Afrika. Dulu mereka ini tak datang. Sekarang negara ini jadi syurga mereka, neraka kita.


DATUK NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Wednesday, April 27, 2011

AKHBAR CINA BUKAN RASIS/PERKAUMAN???

Utusan bukan akhbar perkauman

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

UCAPAN penuh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga penasihat Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KVUM di Taman Melawati, Selangor pada 24 April 2011.

SAYA tidak berhasrat untuk berucap pada hari ini kerana bimbang, apakah ucapan saya nanti mempunyai nilai berita atau tidak terutamanya berada di atas pentas hari ini adalah bekas ketua saya sendiri, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga tokoh wartawan.

Tetapi sebagai salah seorang yang lahir daripada Utusan Malaysia, saya fikir saya perlu bercakap.

Bagi saya, KVUM ini telah memainkan peranan yang cukup berkesan kepada veteran-veteran Utusan yang selama ini berjuang untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu. Setiap tahun, badan ini berjaya memberi dividen kepada semua ahlinya walaupun jumlah tersebut mungkin tidak besar tetapi ia cukup bermakna. Ia membuktikan jasa veteran Utusan ini tidak dilupakan.

Saya berharap selepas ini, KVUM lebih kreatif untuk menjana kewangan badan ini terutamanya dengan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dan jika boleh badan ini harus memiliki bangunan sendiri untuk memudahkan segala aktiviti berkait dengan urusan kelab.

Mutakhir ini Utusan Malaysia diserang dari segenap sudut, dari kiri ke kanan, dari atas ke bawah oleh pelbagai pihak. Namun, Kumpulan Utusan bukan hanya sebuah kumpulan persuratkhabaran. Kumpulan Utusan adalah institusi yang menjadi pemangkin kepada kesinambungan nasionalisme Melayu, tanpa mengetepikan kepentingan lain- lain bangsa dan kaum di negara ini.

Kumpulan Utusan diserang mutakhir ini kerana keberanian akhbar ini mendedahkan beberapa perkara dan pada masa yang sama merelevankan isu-isu nasional. Namun pihak yang tidak senang dengan Utusan seolah-olah menganggap isu-isu mengenai agenda Melayu tidak lagi relevan, seolah-olah isu Melayu ini adalah isu yang cauvinis bagi golongan bukan Melayu.

Pada hal, apa yang dibangkitkan oleh Utusan ini cukup relevan dengan masalah nasional. Adakah membangkitkan isu Melayu itu dianggap sebagai perkauman. Bagi saya, Utusan harus menjadi suara kepada keseluruhan orang Melayu dengan tidak sedikit pun berhajat untuk mengetepikan kepentingan lain-lain kaum. Ada media, ada akhbar yang memaparkan isu kaum tertentu tetapi mengapa mereka tidak pula dianggap sebagai cauvinis.

Apa yang diperjuangkan oleh Utusan ini adalah soal bagaimana ‘keindukan’ negara kita ini harus dipertahankan supaya generasi Y (generasi muda) sedar bahawa apa yang dinikmati oleh mereka sekarang adalah hasil perjuangan nasionalis dalam Utusan serta pemimpin politik terdahulu.

Kita mungkin generasi X (generasi tua) tetapi generasi Y sekarang yang tidak membaca Utusan dan media arus perdana lain merasakan, apa yang dinikmati sekarang adalah kerana meritokrasi mereka sendiri, bukan disebabkan perjuangan terdahulu dan di sinilah peranan yang harus dimainkan oleh Utusan.

Oleh yang demikian, walaupun Perdana Menteri mengatakan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan Utusan adalah pandangan pengarang dan bukannya pendirian kerajaan tetapi suara Utusan adalah suara kita, suara orang Melayu keseluruhannya, suara denyut nadi dan pemikiran orang Melayu.

Ya...Sekarang orang Melayu berpecah tetapi, salahkah Utusan yang menjadi darah daging orang Melayu menyuarakan rasa sebenar orang Melayu tanpa disaluti rasa dendam terhadap kaum lain, tanpa mengenepikan teras negara kita sebagai sebuah negara majmuk. Kemajmukkan ini diterima oleh semua tetapi soalnya sekarang adalah usaha pihak tertentu untuk melakukan peminggiran secara sistematik terhadap Utusan yang menjadi suara orang melayu.

Oleh kerana banyak agenda nasional yang diteraskan oleh kerajaan untuk membangunkan orang Melayu masih belum mencapai sasaran, Utusan tidak seharusnya berada di persimpangan hanya kerana serangan daripada pihak yang tidak senang dengan suara- suara orang Melayu. Bagi saya secara peribadi, Utusan kena terus menyuarakan denyut nadi dan pemikiran orang Melayu.

Dahulu, mungkin antara kita mengharapkan sebuah pergerakan politik tetapi pergerakan parti politik itu tidak lagi menyuarakan pemikiran orang Melayu. Mereka yang dulunya cukup lantang kini sudah bertukar menjadi liberal. Jadi, untuk mengharapkan mereka terus bersuara bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu, saya tidak fikir mereka akan berani lagi bertindak demikian.

Malah ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dianggap sebagai terlalu perkauman dan ada pihak tertentu memberi cadangan serta pandangan kepada kerajaan supaya meminggirkan ahli politik yang menerajui NGO tersebut, sedangkan dia bersuara atas platformnya sebagai ahli politik bebas dan sebagai peneraju kepada sebuah NGO demi kepentingan orang Melayu.

Mengapakah ini saya bangkitkan? Saya bangkitkan kerana apakah tidak relevan lagi bagi orang Melayu membangkitkan isu Melayu. Sekali lagi saya tegaskan, tanpa mengetepikan hak dan kepentingan bangsa lain. Kalau orang lain membangkitkan isu mengenai kaum mereka, kita tidak marah tetapi kenapa bila kita bangkitkan mengenai kaum kita, mereka menuduh kita perkauman.

Sebabnya kerana antara kita orang Melayu sudah tidak ada lagi kesatuan pemikiran, tidak ada lagi penyatuan di kalangan orang Melayu. Bila kesatuan itu tidak ada, maka senanglah kita diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu tetapi jangan dalam keadaan ini menyebabkan kita seolah-olah berada di satu persimpangan. Kita tidak boleh berhenti di persimpangan, jalan kita mesti lurus.

Kepada pihak yang gemar melabelkan kaum Melayu sebagai perkauman, mereka ini sepatutnya melihat bagaimana toleransinya kaum Melayu. Lihat sahaja kejayaan orang Cina yang tinggal di kampung Melayu, urusan hidup dan perniagaan mereka berjaya kerana dibantu oleh orang Melayu tetapi berapa ramaikah orang Melayu di kawasan kampung baru yang majoritinya masyarakat Cina mampu berjaya?

Apakah mereka dibantu? Saya tidak membangkitkan rasa perkauman tetapi ia sesuatu yang harus kita fikirkan. Adakah hakikat toleransi ini menyebabkan kita terus mahu dipinggirkan.

Pengamal-pengamal media adalah pemikir dan pemikiran yang dicetuskan oleh Utusan bukan hanya untuk generasi terdahulu, hari ini dan generasi Y tetapi orang juga melihat kelak bagaimana relevansi ini harus ada kesinambungan dan bukan hanya sekadar kita mahu menyedarkan orang Melayu tetapi apa yang lebih penting untuk kesinambungan generasi akan datang.

Meskipun kita berhasrat untuk menjadi bangsa yang bertaraf antarabangsa tetapi ia tidak bermaksud kita harus korbankan identiti bangsa kita. Lihat sahaja sebuah negara jiran yang kononnya atas semangat mahu memupuk integrasi dengan memansuhkan sekolah aliran kebangsaan dan sebagainya tetapi akhirnya di mana identiti mereka? Benarlah dari segi wajah kita mampu mengenal pasti siapa mereka tetapi identiti yang menjadi cerminan bangsa itu sudah hilang.

Akhir sekali, saya sekali lagi menyeru Utusan supaya terus menjadi pemangkin kepada denyut nadi orang Melayu, pemangkin kepada pemikiran orang Melayu dan juga pemangkin kepada suara orang Melayu keseluruhannya.

Tuesday, April 26, 2011

UMNO JANGAN JADI PENGEMIS/PENCACAI

BN Perlu Kaji Kedudukan MCA


Monday, April 25th, 2011 | Posted by Adamyan


http://www.mykmu.net/?p=9962

Melihat reaksi berlebihan MCA terhadap cadangan 1Melayu 1Bumi oleh Penolong Pengarang Akhbar Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hasan, penulis mengeleng sendirian melihat betapa parti perkauman Cina yang satu ini masih tidak lagi berubah sejak tewas besar dalam kempen pilihanraya umum 2008.

Baru-baru ini MCA dah mencipta heboh di dalam BN bila meminta Ketua Menteri Sarawak untuk meletakkan jawatan atas kekalahan calon SUPP di Sarawak.

Barisan kepimpinan SUPP (cina semuanya) yang gagal sama sekali itu tidak pula diminta meletakkan jawatan, Ketua Menteri yang pimpin BN menang 2/3 majoriti dan PBB yang menang SEMUA kerusi pula, diminta letak jawatan.

Ini modus operandi sama bila MCA kalah besar dalam PRU 12 dimana ketika itu UMNO yang dituding jari sebagai punca.

Tapi selepas 3 tahun, nampaknya sokongan pengundi cina kepada BN masih tidak berubah, terutama di Semenanjung. Buktinya, dimana-mana Pakatan Rakyat bertanding, DAP berjaya menarik sokongan di peti-peti undi majoriti orang cina. Ceramah yang diadakan DAP juga mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun ada harga yang perlu dibayar. Ceramah MCA yang free pun takde orang nak datang.

Maksudnya. dalam hal hilang undi cina, bukanlah UMNO atau sesiapa yang salah sebaliknya MCA sendiri yang gagal.

Komponen BN yang lain, termasuk UMNO dan MIC semakin diterima majoriti rakyat hasil perubahan kepimpinan tertinggi parti masing-masing, MCA yang 2 kali bertukar presiden sepanjang tempoh 3 tahun ini masih ditakuk itu juga.

Jauh dari berubah, MCA menjadi semakin bongkak. Sudahlah dipimpin presiden yang rendah moral (tapi masih baik dari Anwar Ibrahim), MCA juga semakin skeptikal dengan UMNO dan orang melayu. Ada beberapa keadaan bila MCA cuba menekan UMNO seperti dalam isu ekuiti bumiputra.

Yang lemah tekan yang kuat.

MCA lupa, MCA ditolak sepenuhnya oleh pengundi cina, menang 14 kerusi parlimen pun kesemunya (kecuali Betong) dalam kawasan majoriti melayu terutama di Johor yang majoriti pengundinya orang melayu dan kubu kuat UMNO. Tanpa sokongan orang melayu yang dinaungi UMNO, MCA hanyalah umpama hampas yang tiada berguna langsung.

Dengan pengundi cina semakin bulat kepada DAP, peranan MCA dalam BN dan kerajaan semakin tidak relavan. Silap-silap pengundi Melayu dan India yang memberi sokongan kepada BN juga akan berubah arah dek sikap bongkak dan sombong MCA.

Gerakan yang lebih moderate boleh ambil alih fungsi yang ditinggalkan MCA tapi peranan bukan nak perjuang nasib tapi sebagai pemecah undi.

Hakikatnya, buat apa pun pengundi cina tetap akan sokong DAP, tambah lagi bila MCA gagal sama sekali menarik undi kepada BN dan lebih banyak bertelagah sesama sendiri, sudah sampai masanya ‘penyakit’ dalam BN ini dibuang selama-lamanya.

Oh ya, sokongan cina kepada BN pada 1999 bukanlah disebabkan MCA tapi kerana ketakutan yang PAS akan melaksanakan hudud jika berjaya memerintah negara ini. Tapi dengan PAS sudah seperti lembu dicucuk hidung oleh DAP sekarang, ketakutan itu sudah tiada lagi.

Harap dapat perhatian dan tindakan lanjut kepimpinan BN.

KUALA LIPIS BERSEJARAH