Thursday, December 15, 2011

PRU 13 : MEDAN TEMPUR MAYA YANG SENGIT???

iStrategi dan Perang Alam Maya

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


(Bahagian Akhir)


PENDEKATAN holistik iStrategi adalah untuk proses peremajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Maka, media sosialnya perlu mengenali tujuan blog dilancar; siapa pelayar; apakah isu yang dekat kepada pelayar; bagaimana membawa keyakinan hati, minda dan emosi; dan di manakah lokasi strategik untuk memastikan kemenangan.

Ini bermakna, blog pro-BN perlu mengambil kira beberapa perkara termasuklah arif faktor mengapa terlibat dalam 'perang alam maya'; apa tujuan/matlamat; motivasi'; siapa pelayar (pelanggan); menjunjung ketinggian sebagai army of cyber troopers; kenal siapa 'lawan' sebenar; ada yang menjadi kritikal dari dalam dan apa yang seolah-olah pro-BN tetapi merupakan mole lawan.

Faktor lain ialah bandingkan konteks maklumat dengan pro-pakatan pembangkang agar blog pro-BN jauh ke hadapan dalam penampilan isu; blog pro-BN juga perlu kenal pasti atau identifikasi siapakah yang berpengaruh dan mempunyai kuasa untuk mempengaruhi. Misalnya identifikasi siapakah golongan yang setia; atas pagar; dan lawan agar tumpuan diberikan kepada bukan yang sudah selama ini bersama BN tetapi kumpulan baru yang mungkin muncul selepas melihat ranking.

Hebahan ranking perlu supaya disebar dan dilayari kelompok yang lain; bandingkan 'prestasi kelompok yang lain; cuba mencari kelainan; kenalpasti bagaimana untuk memenangi kumpulan atas pagar; keadah paling berkesan berhadapan dengan isu lawan; bagaimana untuk melahirkan 'pengaruh' dan 'kepercayaan' ke atas blog; penjenamaan; apakah pendekatan 'Engagement Analytics' www.socialbakers.com diguna pakai.

Aktivis blog perlu juga mempunyai strategi berbeza dengan calon dan parti dalam menangani isu media sosial. Calon dan parti mesti boleh menjawab sendiri dan bukan orang ketiga. Pengundi hari ini suka pemimpin yang berinteraksi dengan mereka secara langsung di alam maya.

Media sosial harus dilihat sebagai 'budaya' dan bukan 'teknologi'; media sosial sebagai medan 'interaksi' dan bukan populariti dan pelaburan; perlu ada informasi yang sahih, kredibiliti supaya dihormati dan diiktiraf melangkaui elemen perang psikologi dengan mereka secara langsung di alam maya.

Media sosial juga perlu sentiasa membangunkan strategi untuk kumpulan sasar yang berbeza-beza dan berani melakukan eksperimen untuk berjaya dan mengharungi cabaran kritikan; kreatif dan inovatif dengan sumber maklumat yang ada kerana politik hari ini adalah politik angka yang memerlukan manipulasi ke atas informasi; tindakan kolektif dalam kalangan bloggers/facebookers yang sepadu dalam sesuatu isu.

Kepelbagaian sumber maklumat dan bagaimana meyakinkan dan lahirkan kepercayaan kepada informasi tersebut; bukan sekadar bilangan follower/ranking; perlu ada team yang analisis; susun strategi dan mempunyai motivasi; bandingkan twitter/blog pembangkang dan BN; faktor luaran; dimaksimumkan dan diperluaskan skop capaian umum.

Bilangan blogger wanita yang jauh rendah dan isu emansipasi wanita kerana bilangan pengundi wanita cukup besar; isu mampu meresapi minda, hati dan emosi pelayar; sebagai 'Jeneral' blog, kita menguasai blog, bagaimana pula tentera yang perlu sentiasa memberi maklum balas di bahagian komen yang ketara kelemahan kerana bala tentera lawan dengan cepat mempengaruhi minda pembaca dengan menangkis sebarang dakwaan /isu yang dibawa; serang lawan bukan kawan dalam pasukan.

Apa akan berlaku jika blogger pro-BN bertukar wajah menjadi pro-pembangkang, berpaling tadah perlu menjawab isu dan mencipta isu lawan bukan isu sendiri; latihan perang siber secara berterusan; fikir sebagai lawan.

Media sosial telah memain peranan yang signifikan dalam PRU 12 dan dijangka akan memain peranan lebih besar dari sudut penyaluran maklumat, informasi dan kempen di alam maya. Kajian menunjukkan hampir 60 peratus akan menggunakan informasi yang wujud di internet sebagai bahan sokongan keputusan undian.

Tidak dapat dinafikan media sosial akan menjadi senjata yang jauh lebih dominan tetapi sejauh manakah ia mampu 'mendekati' kumpulan pengundi berbeza masih belum dilihat dan media arus perdana akan terus turut menjadi tumpuan dan mengikut kedudukan semasa, TheStar (2); Utusan Malaysia (3); Berita Harian (4); Sinar Harian (10) masih terus diterima.

Namun, potensi media sosial jelas. Ia membolehkan ada platform kepada calon untuk berkomunikasi secara langsung dari segi kandungan maklumat. Satu lagi yang lebih mudah dan meningkat penggunaan adalah teknologi telefon bimbit dan Smartphone untuk menjadi komunikasi utama kepada kerajaan dan parti politik.

Kita boleh menjangkakan golongan dalam lingkungan umur 18-24 tahun dan 25-34 tahun akan menggunakan saluran ini dengan menyeluruh. Bermakna, calon dan parti harus merancang dari sekarang untuk mengetahui pengundi dan mengenali mereka dengan lebih intim lagi. 6 dari 10 responden bertanggapan mereka perlu mempunyai facebook, twitter dan blog yang dimuat turun dan memberikan maklum balas sendiri.

Yang penting, walaupun ranking dan kedudukan blog pro-BN jauh meningkat; apakah ia diimbangi oleh perubahan sikap dan budaya pembesar politik BN sendiri? Dalam kerancakan mengejar undi di alam maya, calon dan pemimpin sendiri masih jauh dalam aplikasi internet.

Apakah mereka sedar 85 peratus kempen anti-BN ketika PRU Ke-12 di alam maya terutama yang mempengaruhi pola pengundian generasi muda adalah pengundi bandar? Yang penting kordinasi antara cybertroopers BN dan kerajaan kerana yang menentukan kejayaan adalah siapakah yang mempunyai maklumat.

Jika blog pro-pembangkang boleh berkecenderungan memperolehi bahan maklumat dari agensi kerajaan; mengapakah blog pro-BN dilihat perlahan? Setiap kawasan Parlimen mesti mempunyai unit media sosial sendiri sebagai yang dilancar ketika PRK Merlimau, Melaka. Ia boleh dilakukan oleh jentera negeri dan tidak perlu menunggu sehingga pembubaran Parlimen/DUN. Walaupun ada sebilangan yang mendaftar di ruang alam maya barangkali tidak akan mengundi tetapi strategi yang perlu digunakan adalah untuk mendekati kesemua kelompok.

Pilihan Raya di Thailand dan Singapura sudah memberi petunjuk bagaimana media sosial memain peranan besar dalam konteks PRU akan datang. Walaupun persoalan sama ada Facebook, Twitter dan YouTube serta aplikasi lain telah mempengaruhi pola pengundian boleh dipersoal tetapi media sosial telah memain peranan meningkatkan kesedaran untuk menggunakan kuasa mereka; meningkatkan isu kebangsaan dan lokal secara terbuka, mengkritik kerajaan, mempromosi 'undi protes' ke atas kerajaan, meyakinkan golongan muda untuk berminat dalam politik.

Penguasaan media bukan lagi satu kelebihan kerana media alternatif menjadi salah satu tumpuan umum hari ini dengan kehadiran wartawan sesama rakyat. Komunikasi langsung dengan kelompok muda akan membantu. Walaupun media sosial bukan satu-satunya saluran untuk berkempen sebarang swing melebihi 6 peratus boleh memberi impak kepada mana-mana parti politik di kawasan yang dirasakan selamat.

Media sosial membuka ruang pendemokrasian baru dan ia wajar digunakan secara rasional dan praktikal. Media sosial boleh digunakan sebagai asas untuk memahami sentimen di peringkat akar umbi dan melakukan sesuatu agar meredakan kekecewaan, kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.

Maka, media sosial merupakan saluran penting untuk ahli politik dan parti politik. Ia bukan sahaja bertanggungjawab dalam penambahan bajet kempen, tetapi lebih daripada itu mampu melahirkan saluran interaksi dan perbincangan ke atas isu dalam kempen PRU.

Twitter, facebook dan blog membolehkan calon, aktivis parti dan parti politik sendiri mempengaruhi kumpulan yang berada dalam mahupun luar lingkaran jentera parti untuk menyebar dan membuat hebahan menyeluruh tetapi lebih penting adalah melahirkan 'keyakinan' dan 'kepercayaan' yang boleh mengubah dinamisme komunikasi dan pemasaran politik hari ini.

iStrategi dalam perang di alam maya sudah jauh berubah tetapi sama ada ia meresapi minda, hati dan emosi pengundi masih belum mencapai sasaran sepenuhnya sehingga isu dalaman diminimumkan, jentera sepadu sesama parti komponen dilahirkan dan lebih daripada itu perlunya semangat 'pasukan' di bawah hanya seorang Jeneral termasuk urusan kordinasi dalam media sosial bersama gurkhanya di setiap 222 kawasan Parlimen.

Wednesday, November 23, 2011

PERHIMPUNAN UMNO TERAKHIR???

Orang UMNO kembalilah kepada fitrah

Oleh Zaini Hassan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

MINGGU depan UMNO akan bersidang. Sekitar 5,500 perwakilan akan membanjiri ibu pejabat parti Melayu terbesar itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mendengar amanat, nasihat, teguran, celoteh daripada pucuk kepemimpinan sehinggalah ke peringkat bawahan.

Perhimpunan ini juga menjadi satu pertemuan yang sangat penting, kerana selepas itu mungkin pilihan raya umum akan diadakan.

Sukar dinafikan, sesungguhnya UMNO masih lagi menjadi tulang belakang orang Melayu. Ia masih lagi menjadi tempat bergantung orang Melayu.

Ini kerana perjuangan parti-parti Melayu lain pun semakin tidak boleh diharap sangat untuk membela bangsa itu.

PKR, ialah parti yang tidak mempunyai perjuangan yang jelas. Ia hanya berjuang untuk kepentingan Anwar Ibrahim. Dulu Semangat 46 pun sama, berjuang untuk seorang individu, Tengku Razaleigh Hamzah. Parti itu hanya bertahan beberapa tahun sebelum para pemimpinnya ramai-ramai berpatah balik kepada UMNO.

Pas, sebuah parti Melayu yang konservatif juga tidak boleh diharapkan. Ia menjadi parti yang tidak tetap pendirian. Sekejap terlalu fundamental Islam, sekejap terlalu liberal Islam dan kini Pas dikatakan telah menjadi sebuah parti yang ultra-liberal.

Pas sudah menyimpang sama sekali daripada perjuangan asalnya – gara-gara terlalu terikut kepada pendirian liberal Anwar Ibrahim dan aliran ultra kiasu DAP.

Memang benar aliran ultra-liberalisme semakin berkembang di negara ini. Jika dulu ia bergerak secara senyap, kini kumpulan ini sudah berani ke hadapan. Difahamkan aliran itu ditanam oleh orientalis Barat dan disokong serta didana oleh kuasa-kuasa besar.

Menurut seorang pengkaji Islam Liberal yang merupakan profesor di Monash University, Australia, Dr. Greg Barton, kehebatan Islam Liberal bukan sekadar pada namanya ‘Liberal’ tetapi lebih hebat kerana Islam Liberal berjaya memusnahkan akar-akar Islam termasuk persoalan akidah dan syariah.

Beliau yang menghabiskan hidupnya meneliti perkembangan Islam Liberal Indonesia dan menghasilkan tesis Ph.Dnya berkaitan pembangunan Pemikiran Islam Liberal di republik itu menambah: “Islam Liberal akan meruntuhkan tembok sacral al-Quran melalui metodologi dekonstruksi (kritik teks) dan memusnahkan akar syariah dengan ijtihad (penafsiran) terbuka.” (Baca: http://www.anwaraidc.com/?p=4702)

Tujuannya ialah untuk mencairkan aliran fundamental Islam. Pas secara sedar atau tidak sudah terjebak. Oleh itu Pas juga tidak boleh diharapkan.

Setakat ini hanya UMNO yang tinggal. UMNO masih beruntung kerana ia masih mendokong kerajaan negara ini dan menerajui sebuah parti perikatan yang terdiri daripada banyak parti komponen.

Ikut atas kertas, UMNO masih mendapat sokongan ramai orang Melayu.

Namun, adakah UMNO sendiri bergerak di atas landasan yang lurus?

Wawancara Mingguan Malaysia bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad Ahad lepas menceritakan mengenai UMNO dan orangnya.

Dr. Mahathir berkata UMNO perlu ditegur dari semasa ke semasa. Sebagai parti yang besar, benar ia memang patut ditegur. Landasan yang bengkuk harus diluruskan.

Apakah ahli-ahlinya, khusus para pemimpin parti itu masih berpegang kepada falsafah asal penubuhannya? Siapa sebenarnya orang UMNO sekarang? Ikhlaskah perjuangan ahli-ahli dan para pemimpin UMNO ini?

Mengapa masih kedengaran pergeseran di sana dan sini mahu merebut menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP)?

Apa hebat sangat mahu menjadi calon? Besarkah gaji seorang ADUN dan MP? Mengapa ada yang sudah berjawatan CEO dengan gaji berganda-ganda besar daripada elaun MP atau ADUN, pun sanggup juga melobi untuk menjadi calon?

Dalam usaha kerajaan mahu mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi, tinggi sangatkah gaji seorang ADUN dan MP yang mahu direbut itu?

Saya kurang faham mengapa masih berlaku perebutan. Orang itu tikam belakang orang ini dan orang itu. Cantas sana, cantas sini. Malah yang sudah menjadi calon sejak muda sehingga kini umur mencecah 70 tahun pun masih berangan-angan mahu menjadi calon?

Hebat sangatkah mahu menjadi calon?

Ingatlah UMNO ialah parti keramat orang Melayu. Perjuangannya ikhlas. Pejuang-pejuangnya dulu juga ikhlas. Ramai pejuangnya yang berada di merata cerok kampung dan desa akhirnya mati dalam kemiskinan.

Namun mereka puas. Puas kerana dapat melihat anak cucu mereka sekarang masih boleh hidup dengan aman dan makmur, walaupun tidak sekaya bangsa lain.

Kita masih mempunyai kuasa politik. Kuasa itulah yang satu-satunya yang kita ada. Pertahankanlah. Tanpa kuasa itu, orang Melayu akan hancur. Dengan penguasaan ekonomi pun lemah, ke mana kita hendak pergi?

Tapi sedarkah orang UMNO sekarang? Berpijak di bumikah orang UMNO? Merendah dirikah orang UMNO?

Ada yang berkata ramai orang UMNO kini terlalu extravagant. Bahasa Melayu bermaksud terlalu mewah. Mewah yang kadang-kala lain macam. Benarkah, kata-kata popular mengatakan orang UMNO ini kaya-raya belaka?

Kalau nak kaya masuk UMNO? Bagi saya itu subjektif. Dalam PKR, Pas dan DAP di negeri-negeri kuasaan mereka juga sedang merebut-rebut projek. Malah, lahapnya lebih dahsyat lagi.

Tapi jika mewah sekali pun perlukah ditunjuk-tunjuk? Jika ada kereta yang mahal-mahal tidak perlu tunjuk-tunjuk. Janganlah masing-masing berlumba membeli kereta mengikut trend.

Ada sahabat bergurau, pakaian perwakilan kaya yang datang ke persidangan, jika dikira dari kepala sehingga ke kaki boleh mencecah nilai puluhan ribu ringgit. Kain samping songket sutera tenunan benang emas boleh mencecah ribuan ringgit. Itu tidak kira cincin batu zamrud, jam tangan hinggalah ke kasutnya.

Orang dulu hanya memakai kain samping UMNO. Kain samping UMNO pada masa itu sudah menjadi jenama yang dikenali.

Kini, mungkin kerana peredaran zaman, kain samping pun sudah berubah. Ia sudah menjadi barangan mewah. Ahli yang miskin pakai yang murah, yang kaya pakai yang mahal.

Jika DAP mengekalkan baju dan seluar putihnya, begitu juga Gerakan - yang masing-masing mengikut pakaian PAP Singapura, mengapa UMNO tidak boleh mengekalkan identitinya semula?

UMNO perlu kekal pada sifat asalnya. Kembalilah kepada fitrah semangat perjuangannya. Biar merendah diri dan kerja keraslah demi rakyat. Tunjukkan keikhlasan yang ikhlas, bukan yang dibuat-buat.

Selamat bersidang.










Tuesday, November 15, 2011

DOMINASIKAH ISLAM/MELAYU SELEPAS PRU 13???

Kukuhkan kuasa umat Islam

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

APA akan terjadi kepada kuasa politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah orang Islam akan terus menjadi tunjang utama kepimpinan negara atau kita hanya sekadar menjadi pak turut kepada pihak lain?

Persoalan itu wujud kerana kekuatan politik yang ada di dalam genggaman orang Melayu kini semakin longgar, perpecahan dan perbezaan ideologi politik serta ditambah pula dengan keghairahan untuk merebut kuasa telah menyebabkan orang Melayu berpecah belah.

Kita tidak boleh duduk semeja hatta untuk membincangkan kepentingan umat Islam itu sendiri.

Justeru penganjuran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang bertemakan Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia pada Sabtu lalu di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tepat pada masanya.

Wacana anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadiri oleh ramai pemimpin yang mewakili beberapa organisasi Islam.

Walaupun mungkin akan ada pihak yang memandang serong wacana berkenaan seperti mana mereka melihat Perhimpun Sejuta Umat (Himpun) namun Pengarah Wacana, Ismail Mina Ahmad mempunyai alasan tersendiri.

Menurut beliau, kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar’iyyah secara aktif diadakan atas dua faktor: Pertama, faktor terdesak yang tercetus oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan.

Sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental yang mahu memelihara maruah umat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik umat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik umat.

Berdasarkan kepada hujah berkenaan jelaslah dalam pilihan raya umum akan datang, umat Islam akan berhadapan dengan dua kelompok yang mahu merebut kekuasaan politik.

Satu kelompok dilihat bersedia mempertaruhkan segala-galanya demi mendapat kuasa manakala satu lagi kelompok harus bertarung mempertahankan kuasa yang dimiliki bagi memastikan umat Islam dan orang Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan atau menjadi pak turut kepada mana-mana pihak.

Kita boleh saksikan dari semasa ke semasa, kesabaran umat Islam sentiasa sahaja diduga dan dicabar malah lebih malang sudah ada keberanian luar biasa di kalangan sesetengah pemimpin Islam sendiri menyokong apa yang diperjuangkan oleh bukan Islam.

Sebab itulah Ismail Mina secara tegas menyebut soal memelihara agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan syariah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan umat Islam.

Justeru Ismail Mina merumuskan bahawa memperkukuhkan kuasa politik umat Islam merupakan salah satu instrumen terpenting pada masa ini.

Namun begitu usaha untuk memperkukuhkan kuasa politik tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika kita sebagai umat Islam terus berpecah-belah dan lebih mementingkan usaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Kesudahannya umat Islam akan menjadi lemah dan ini akan memberikan kesempatan kepada golongan tertentu untuk menunjukkan taring yang selama ini mereka simpan sekian lama.

Sebab itulah dalam kertas kerja bertajuk ‘Siyasah Syar’iyyah dan kepentingannya dalam mengurus kepentingan Muslimin di Malaysia, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad mengulas kepentingan umat Islam memperkukuhkan perpaduan sesama mereka.

Menurut beliau, perpaduan di kalangan umat Islam dan persaudaraan di kalangan mereka merupakan halangan terbesar kepada kemusnahan dan kehancuran mereka.

‘‘Ia menjadi benteng kepada kekalahan mereka, oleh itu jika mereka ingin mengelak bencana besar dan azab pedih menimpa mereka, maka kekalkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka. Politik perpecahan adalah politik yang membawa kehancuran dan kekalahan umat Islam,’’ kata beliau.

Tetapi persoalannya sejauh manakah umat Islam yang terlibat dalam politik memahami bahaya yang sedang menanti mereka? Seruan untuk mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah serta bahaya yang menanti sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Namun malangnya majoriti antara kita masih lagi mengamalkan pekakkan telinga, butakan mata dan menutup hati untuk menerima kebenaran berkenaan.

Ada antara kita masih berhujah dengan hujah politik masing-masing, apabila ada usaha hendak dilakukan bagi menyatukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik ia seolah-olah ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Malahan ada pula yang berfikiran dangkal apabila menyatakan bahawa seruan perpaduan Islam itu dilontarkan kerana kononnya satu lagi puak Islam itu sudah lemah pengaruh politiknya.

Malang sekali apabila percaturan dan perhitungan politik mengatasi segala-galanya, biar pun umat Islam secara keseluruhan amat memahami bahaya yang menanti mereka.

Dalam soal ini Mohd. Nakhaie berhujah, tindakan politik yang membelakangkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah atau yang memanipulasikan ajaran al-Quran dan al-sunnah untuk kepentingan politik diri, puak atau kaum, menjadi punca utama berlaku krisis di kalangan umat Islam .

‘‘Naluri ingin berkuasa yang tidak diurus secara bijaksana menjadi pendorong ke arah tindakan politik yang membelakang petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang menghasilkan krisis politik berpanjangan di kalangan umat Islam sehingga melemahkannya dan berakhir dengan kekalahan di tangan musuh-musuh Islam,’’ tegas Mohd. Nakhaie.

Soalnya, apakah mereka yang terlibat memahami situasi ini? Apakah kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya telah memungkinkan segala-galanya mahu dipertaruhkan? Apakah kerana mahu meraih undi pihak lain, maka perpaduan dan kerjasama antara Islam mahu diketepikan begitu sahaja?

Oleh itu mahu tidak mahu kepentingan siyasah syar’iyyah perlu difahami oleh semua parti politik yang dianggotai dan kuasai oleh orang Islam.

Ini kerana seperti mana kata, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.Yusri Mohamad, siyasah syar’iyyah menawarkan fahaman politik Islam yang sepatutnya mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti-parti politik beragama Islam dan ahli-ahlinya.

‘‘Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan secara asasnya bukanlah berada di tahap perselisihan akidah.

‘‘Maka fahamam siyasah syar’iyyah akan membolehkan parti-parti yang berbeza tetap bekerjasama di atas isu-isu yang disepakati bersama demi maslahah Islam, kalaupun tidak sampai ke tahap bergabung,’’ katanya.

Kini terserahkan kepada kepimpinan parti-parti Islam untuk menilai dan menentukan apa yang diusahakan melalui wacana siyasah syar’iyyah tersebut.

Apa yang pasti, penganjur dan mereka yang menyertai wacana berkenaan berniat suci dan ikhlas demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.









KUALA LIPIS BERSEJARAH