Monday, September 27, 2010

KETUANAN MELAYU AKA KUASA MELAYU


Apa itu ‘kuasa Melayu’?

Oleh Dr. Hassan Ahmad

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

ORANG Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.

Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang. BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.

Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.

Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.

Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu. Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.

Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya. Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.

Kemerdekaan

Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.

Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’. Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?

Masalah

Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah. Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat. Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.

Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.

Jadi, soalnya, apakah dan siapkah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi. Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.

Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.

Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri. Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.

Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi. Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.


Saturday, September 25, 2010

KETUANAN MELAYU : SEDAR & BERSATULAH


PRU-13 semakin hampir, Melayu masih belum sedar

Oleh Azman Anuar

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

CUKUP menarik kalau kita ‘membaca’ pemikiran dua tokoh – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang Melayu pada masa kini.

Terbaharu Dr. Mahathir melontarkan pandangan mengenai Melayu bakal hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.

Sebagai anak jati Kelantan, Datuk Nik Aziz pula berkata, beliau tidak berbangga pun jadi Melayu!

Kenyataan Dr. Mahathir mengenai Melayu hilang kuasa itu diselar oleh beberapa pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas. Mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu terus menerus meniupkan api perkauman.

Sebenarnya sebagai orang yang dianggap ultra Melayu, nasihat Dr. Mahathir tidak sepatutnya dikaitkan dengan unsur perkauman kerana kenyataan itu ditujukan kepada orang Melayu berdasarkan situasi sebenar apabila kuasa politik dipegang oleh DAP seperti di Pulau Pinang dan Perak.

Malahan kebimbangan beliau itu pun bukan lagi setakat pada perasaannya sahaja tetapi ia benar-benar telah berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

Contoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir sudah terjadi di depan mata kita. Beberapa pemimpin Melayu dijadikan boneka untuk menampakkan seolah-olah bangsa kita yang berkuasa. Hakikatnya, situasi itu cukup menyedihkan dan menyakitkan hati.

Jika ditakdirkan pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat, mungkin jawatan Perdana Menteri diberi kepada kalangan pemimpin Pas atau PKR.

Pun begitu, mereka hanya sebagai boneka sahaja kerana kuasa sebenar adalah di tangan DAP. Malah kita tidak terkejut jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan dipegang oleh DAP.

Berdasarkan pengamatan pemerhati politik, peluang Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sukar dijangkakan jika dilihat suasana yang belum menggalakkan dalam komponen BN.

Ada parti komponen BN sudah tidak menampakkan semangat berjuang dan ada pula yang asyik mementingkan kaum sendiri daripada berjuang membantu kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Situasi bertambah sukar jika perpaduan Melayu masih gagal disatukan. Dr. Mahathir sudah banyak menyuarakan tentang pentingnya perpaduan antara orang Melayu.

Tetapi sesetengah pihak Melayu sendiri memandang remeh hinggakan kaum lain hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan agama Islam.

Sebab itu, orang Melayu yang insaf akan pentingnya maruah bangsa Melayu mengharapkan Nik Aziz dapat memandu orang Melayu ke arah perpaduan. Tetapi, harapan itu semakin pudar apabila Nik Aziz sendiri tidak berbangga menjadi Melayu.

Jika Tok Guru mendakwa tidak berbangga dengan ‘Melayunya’, apa lagi yang ada pada beliau? Tak mungkin beliau tak tahu bahawa para Nabi dan Rasul pun dipilih di kalangan bangsa tertentu. Takkan beliau minta dilahirkan sebagai orang Arab? Ini takkan berlaku kerana Tuhan sudah takdirkan beliau sebagai orang Melayu. Beliau patut bersyukur.

Sebagai insan Melayu, Nik Aziz juga ada peranannya yang tersendiri kepada orang Melayu selain perjuangan untuk agama Islam.

Tetapi, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas pula dihat sudah ‘melencong’ daripada perjuangan asal.

Banyak yang sudah kita baca, perjuangan Pas yang asalnya untuk menegakkan hukum Islam kini beralih kepada membela bangsa lain selari dengan perjuangan rakan kongsinya, DAP.

Perjuangan hukum hudud sudah tidak kedengaran lagi. Pas kini bagaikan menyokong tanpa berbelah bahagi apa yang dilakukan oleh DAP dalam menentang Melayu dan negara Islam yang ingin diperjuangankan Pas sendiri.

Kalau tindak-tanduk DAP itu disokong oleh Nik Aziz, maka bukan peliklah apabila beliau mengatakan tidak berbangga menjadi orang Melayu.

Malahan jika Nik Aziz benar-benar mengikut perintah Allah, pasti larangan Allah diketepikannya. Tetapi kenapa beliau sendiri yang mengkafirkan orang Islam yang lain?

Kenapa beliau mencarut? Kenapa menghalalkan wanita bukan Muslim masuk ke rumah Allah, sedangkan wanita Islam yang berhadas besar pun diharamkan berada di perkarangan surau atau masjid?

Kita berdoa agar Nik Aziz kembali sedar akan ‘keterlanjurannya’ demi menyatukan umat Melayu dan Islam negara ini.

Usaha menyatukan Melayu masih disuarakan oleh orang Melayu yang sedar hakikat perpaduan. Tetapi, sayangnya ia masih lagi di tahap bertatih, sedangkan masa semakin hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kepada pemimpin parti dan ahli politik Melayu, ingat-ingatlah nasib dan masa depan anak bangsa yang tidak memihak pada mana-mana parti politik dan belum layak untuk menjadi pengundi.

Jangan korbankan masa depan mereka kerana tamakkan kuasa. Jika bangsa bukan Melayu mementingkan survival bangsa mereka di negara ini tanpa mengira parti politik, kenapa tidak orang Melayu?

Bersatulah!

Thursday, September 23, 2010

JAMUAN HARI RAYA 1431

Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1431
Anjuran Bersama UMNO Bahagian Lipis dan ADUN Padang Tengku

Tarikh : 30 September 2010 (Khamis)
21 Shawal 1431

Masa : 2.00 - 6.00 petang

Tempat : Perkarangan Dewan Residen Lipis


Semua Saff kepimpinan UMNO Bahagian dengan suka citanya menjemput dan mempersilakan;

YB./YH./T.Bhg/Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik hadir dan memeriahkan majlis tersebut.

Kehadiran YB./YH./T.Bhg/Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.


Monday, September 20, 2010

PENJAJAHAN BENTUK BARU


Penjajahan budaya cara baru


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm


KEMERDEKAAN bukanlah tiket untuk kita bebas daripada penjajahan. Malah tamatnya Perang Dunia Kedua juga bukan bererti berakhir penjajahan kuasa politik dan budaya besar dunia ke atas negara-negara bekas jajahan. Kerana itu sekalipun kita telah mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu, bukan bererti kita tidak terus dijajah terutama kebudayaan dalam bentuk yang baru.

Penjajahan bukan lagi datang bersama bala tentera. Sebaliknya penjajahan datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melekakan kita. Akibatnya kita tidak terasa dijajah kerana penjajahan mengula-gulakan kita dengan keseronokan hingga terlupa akar budaya dan jati diri bangsa. Penjajahan budaya datang bersama isi kandungan hiburan yang berteknologi tinggi.

Ketika Melaka menjadi pusat perdagangan penting lebih lima abad lalu, kedatangan pedagang luar bukan sahaja semata-mata kerana urusan perdagangan. Kedatangan pedagang terutama dari Barat ada agenda lain selain mencari rempah yang terdapat di negara sebelah sini. Mereka membawa agenda 3G (gold, glory, gospel) melalui urusan perdagangan yang berpusat di Melaka.

Ini satu proses pembudayaan dan Barat telah menggunakan perdagangan sebagai ejen membudayakan negara yang dikunjungi. Kita tentunya tidak menyalahkan Melaka tetapi perlu belajar dari Melaka. Sejarah akan berulang kalau kita tidak mahu belajar dari sejarah. Biarpun sejarah sentiasa berlaku adil kepada sesiapa tetapi tanpa sensiviti, kita pasti akan mengulangi sejarah yang sama.

Liberalisasi dalam komunikasi terutama kelonggaran mengawasi isi kandungan dalam media elektronik menyumbang kepada penjajahan budaya dalam bentuk baru. Isi kandungan program televisyen berbayar misalnya seolah-olah dunia sudah tidak ada sempadan apabila nilai-nilai liberal menjadi kayu sukatan hiburan yang menjurus kepada hedonisme. Ini belum lagi lesen besar kepada pengguna Internet untuk meneroka dunia dan menggunakannya untuk memusnahkan nilai-nilai yang dipertahankan sebelum ini.

Laman-laman sosial telah dibudayakan sedemikian rupa dan penjajahan budaya telah berjaya apabila penyebaran maklumat palsu, caci maki serta penentangan terhadap pemerintah berlaku secara membuta tuli. Jangan tanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka hanya pantas menangkap bilis tetapi membiarkan jerung bermaharajalela.

Masih ingatkah lagi pada keghairahan menjengah alaf baru sedekad lalu. Pesta sosial yang spektakular ini dibawa oleh sebuah jenama produk dari Amerika Syarikat. Ia sebenarnya tidak mengharapkan keuntungan material daripada jualan tiket. Amerika mengusulkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan harapan membolehkan mereka memasuki pasaran negara-negara dunia ketiga.

Tanpa disedari liberalisasi dalam isi kandungan program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Amerika. Selain memasuki pasaran negara ini untuk menjual jenama berkenaan, Amerika mengambil kesempatan menjual ideologi dan budaya di stesen-stesen televisyen kita. Adakah kita sedikit pun tidak ada rasa curiga tentang kemasukan nilai-nilai hiburan yang melampau di ruang tamu rumah kita?

KUALA LIPIS BERSEJARAH