Wednesday, September 16, 2009

MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN

Melayu dalam Perlembagaan

Siaran: August 30, 2009

MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?

MOHD NOOR: Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut undang-undang. Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.

Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?

MOHD NOOR: Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks Perlembagaan?

MOHD NOOR: Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan sebagainya.

Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain.

Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.

Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?

MOHD NOOR: Semasa empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri? Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu dunia Melayu. Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.

Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu seperti mereka, itu tidak benar. Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu beragama Hindu namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.
Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang dipisah-pisahkan?
MOHD NOOR: Orang Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-undang imigresen dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah- belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.
Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?
MOHD NOOR: Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi jika semua pihak bersetuju. Perkara ini tidak patut timbul sama sekali malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan tidak langsung menyebut tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American. Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese diletakkan di depan bukan Malaysian.
Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?
MOHD NOOR: Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun mereka. Maka kita harus memberitahu mereka ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.
Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?
MOHD NOOR: Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.
Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?

MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia satu perjanjian antara kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu. Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua segi.

Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?

MOHD NOOR: Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.

Seterusnya rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu.
Nota: Ps/– Wawancara Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID.

MERDEKA

Tuesday, September 8, 2009

UMNO YANG BERMARUAH

PM: UMNO tidak akan gadai maruah

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA KRAI 7 Sept. – UMNO tidak akan menggadai maruahnya walaupun ia bersedia untuk bersama-sama dengan Pas bagi membincangkan perkara yang menyentuh kepentingan ummah dan Islam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi kesanggupannya berunding dengan Pas berkata, ia dilakukan semata-mata untuk melihat nasib umat Islam negara ini terus dibela dan dipertingkatkan.

Namun tegasnya, dalam usaha ke arah itu beliau tidak rela UMNO dan mereka yang menyokong parti itu dihina, dipersoal dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

“Saya sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Kalau nak buat, buat cara baik, jangan perkecil dan pertikai akidah kita, jangan kata kita luaran saja dalam tidak, sebab ini akan menimbulkan kekalutan dalam masyarakat, yang penting kita buat dengan baik.

“Penilaian sama ada yang kita buat diterima atau tidak, itu bukan kerja kita, kerja Allah. Jadi yang penting kita beri tumpuan pada cara UMNO untuk membangunkan umat Islam dan pada masa sama kita tidak lupa untuk berlaku adil kepada bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin UMNO negeri. Ia turut disertai kira-kira 4,000 rakyat dari kawasan ini.

Pada majlis tersebut, beliau bersama Rosmah turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan yang memerlukan.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan UMNO dan mendakwa parti itu bukan Islam yang tulen kerana memisahkan agama dan politik malah penyokong UMNO tidak akan masuk syurga.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana perjuangan parti itu sejak dahulu lagi selaras dengan tuntutan agama.

“Memang benar sejak dahulu lagi apa yang kita lakukan ini selaras dengan tuntutan agama sebab peristiwa yang amat besar apabila mencapai kemerdekaan ialah menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Cuba bayangkan kalau kita tidak merdeka, kita tidak mungkin dapat jadikan Islam sebagai agama Persekutuan, jika Islam tidak menjadi agama Persekutuan tidak mungkin kita mendapat peruntukan yang besar.

“Setiap institusi Islam yang besar, jasa siapa, jasa UMNO. Lihat sistem persekolahan Islam, Tabung Haji, sistem mahkamah syariah, undang-undang keluarga, jasa siapa. Inilah jasa UMNO untuk membangunkan umat Islam negara ini,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata, hala tuju UMNO adalah untuk memperjuangkan Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan hadis serta berusaha mengukuhkan akidah umat Islam.
“Kita mahu jadikan negara kita terdiri daripada umat Islam yang progresif dan berjaya, semuanya ini kita berpandu pada slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Konsep dan gagasan ini merupakan pelengkap kepada perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, sama ada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga pemimpin sebelum itu. Semuanya ingin kepada pembentukan satu negara yang bersatu padu,” jelasnya.

MENTAATI PEMIMPIN TUNTUTAN ISLAM



" Mentaati pemimpin tuntutan Islam "

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Kepemimpinan tidak berwibawa punca kerajaan lemah, rakyat porak-peranda perebutan kuasa, huru hara, perang saudara dan kemusnahan harta benda

APABILA menyebut soal ketaatan, ia membayangkan sikap mulia yang dilakukan oleh seseorang terhadap Allah, Rasulullah SAW atau orang lain, sama ada anak kepada ibu bapa, murid kepada guru, isteri kepada suami, adik kepada kakak atau abang dan rakyat kepada pemimpin.

Tidak semudah menyebutnya, ramai anak yang tidak suka lagi mendengar kata ibu bapa kerana beranggapan mereka tidak adil, tidak mengikut peredaran zaman, mungkin kekampungan.

Segelintir pelajar juga sudah berani menampar guru, penderaan siber kepada guru melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan jenayah lainnya yang bagaikan bukan keaiban lagi, bahkan sesuatu wajar berlaku setanding kemajuan dan kemodenan hari ini.

Pelbagai keluhan dan rintihan suami pula rata-ratanya kerana sikap isteri mementingkan diri sendiri, tidak mahu lagi menjadi isteri dan ibu yang solehah, sebaliknya mengimpikan kehidupan lepas bebas, selagi masih berpeluang hidup di dunia.

Adik yang tidak tahu mengenang masa depan serta menghargai saudara yang lebih tua, kononnya mereka boleh berdikari, tanpa mengambil kira soal qada dan qadar Allah.

Tidak sukar mengajar mereka semua itu menjadi santun jika kena caranya, tetapi yang paling sukar ialah apabila rakyat tidak taat kepada pemimpin, kerana jumlahnya berkali ganda daripada institusi lainnya. Ketaatan terhadap pemimpin yang melindungi dan mempertahankan hak adalah satu kewajipan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa, apatah lagi jika pemimpin itu memelihara kesucian agama Islam yang dijunjung Rasulullah SAW, pemimpin utama umat Islam di dunia.

Setiap rakyat yang berada di bawah kepemimpinan yang mengejar akhirat tanpa mengkesampingkan dunia untuk mendapat keredaan Ilahi haruslah melahirkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada 'Ulil Amri' (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah an-Nisaa', ayat 59)

Kewajipan mentaati Ulil Amri ialah mentaati ketua negara selagi mana ia bukan perintah untuk melakukan maksiat dan dosa. Akur dengan perintah pemimpin adalah termasuk patuh kepada undang-undang serta menjunjung perlembagaan negara yang melambangkan sesuatu bangsa itu berada di bawah daulat pemimpin yang memayungi seluruh pimpinannya. Islam menolak sikap tidak tunduk dan patuh kepada pemimpin, hatta kepada seorang suami yang juga memimpin rumah tangga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mati sedangkan ia tidak memberi perakuan taat setia kepada pemimpin adalah ia mati dalam keadaan jahiliah." (Hadis riwayat Muslim)

Kebimbangan umat Islam hari ini adalah kerana dunia tanpa sempadan mengizinkan sekecil-kecil anak menerobos ruang yang tidak sepatutnya untuk mereka demi meneroka dunia yang tidak mampu digapai tangan. Mereka melihat keangkuhan manusia yang menolak kuasa Allah, memerhati perilaku manusia yang zalim menceroboh dan menyembelih umat Islam tanpa simpati, walaupun bayi dalam kandungan, melihat kerosakan serta kebinasaan dunia kerana umat Islam berbalah sesama sendiri merebut kuasa dan harta.

Mereka juga melihat kehidupan yang asing iaitu manusia yang tidak tahu menghormati dan taat kepada ibu bapa, guru, orang yang lebih tua dan pemimpin kerana keangkuhan lahir sebagai manusia. Anak kecil juga sedia maklum bagi sesetengah negara yang menghadapi krisis kepemimpinan, di mana mereka tidak mempunyai pemimpin berwibawa atau kerajaan yang lemah, berlaku pelbagai masalah dalaman seperti perebutan kuasa, huru hara, perang saudara dan kemusnahan harta benda.

Semuanya berlaku kerana mereka bukan saja tidak taat kepada pemimpin, malah juga ingkar terhadap perintah Allah dan Rasulullah SAW. Sebab itulah umat Islam mengajar anaknya taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya serta orang yang lebih dewasa seawal usia setahun jagung, solat tepat waktunya, berpuasa di bulan Ramadan, menutup aurat, salam bercium tangan serta tunduk membongkok melintasi orang. Umat Islam juga dididik supaya bercakap lemah lembut, senyum, memberi salam serta mendengar kata ibu bapa serta guru sebelum mereka terikut-ikut dengan budaya lainnya yang bertentangan dengan agama dan norma.

Tambahan pula hari ini ibu bapa tidak terdaya mengawal anak sepanjang masa sehingga ada kalanya tidak bertentang mata berhari-hari lamanya. Oleh kerana Allah tidak meletakkan semua peraturan kehidupan dunia dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, maka pemerintah yang dilantik diberi kuasa untuk mentadbir atau mengurus negara. Ia termasuklah membuat perancangan, melaksanakan dan mengenakan peraturan demi keadilan, kesejahteraan serta kebaikan yang tidak lari daripada prinsip hukum agama.

Sebab itulah Allah mewajibkan setiap umat Islam mentaati pemerintah yang adil, menjunjung agama dan mengurus kehidupan berasaskan wahyu. Mentaati pemimpin bermula dengan pendidikan awal yang dibiasakan dari rumah. Akibat tidak taat, ada pekerja yang tidak betah berkerja dalam sistem yang berhieraki dan berorganisasi kerana tidak ingin menunaikan perintah.

Allah mengingatkan kita supaya sentiasa mentaati pemimpin dan tidak sekali-kali memuliakan yang fasik, yang mempunyai agenda untuk menghancurkan umat Islam di dunia dengan pertolongan umat Islam sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

MELAYUKAH MELAYU?


MELAYU

PUISI - DR. USMAN AWANG

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabaumemang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

~ Usman Awang

KUALA LIPIS BERSEJARAH