Sunday, March 13, 2011

FORMULA ASAS UNTUK BN MENANG PRU 13

UMNO Cawangan dan Sokongan Kaum Bantu Kemenangan PRK – Najib

http://umno-online.com/?p=33563

PEKAN, 12 Mac – Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) banyak dibantu oleh peranan yang dimainkan oleh Umno cawangan dan sokongan daripada semua kaum yang diberikan kepada parti itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekiranya sesebuah UMNO cawangan itu berada dalam keadaan kukuh dan aktif dalam memainkan peranannya, Umno dan kerajaan itu sendiri akan dilihat sebagai tunggak yang sentiasa mendekati hati rakyat.

“Peranan cawangan UMNO dalam struktur bahagian kita merupakan barisan yang paling hadapan sekali dengan interaksi dengan pengundi dan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan berkelompok Cawangan Umno Pekan di sini hari ini.

Beliau berkata selain peranan UMNOcawangan, sokongan tinggi yang diberikan oleh semua kaum kepada BN juga banyak menyumbang kepada kemenangan PRK seperti di Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau baru-baru ini.

Dengan mengambil contoh PRK Kerdau yang diadakan 6 Mac lepas, Najib berkata selain undi kaum Melayu yang semakin kukuh dan mantap, undi kaum Cina dan India juga turut meningkat jika dibandingkan dengan sokongan yang diberikan mereka pada pilihan raya umum 2008.

“Tiga tahun lalu apabila kita telah ditimpa tsunami politik, nampaknya orang Melayu adalah antara mereka yang tidak sokong kita, telah kembali ke pangkuan kita dan sokong UMNO di Kerdau, ini dapat dilihat bila keputusan kita pada 2008 di mana kita dapat majoriti 1,000 lebih, 2004 pula majoriti di Kerdau cecah 2,600 tapi PRK kali ini majoritinya melebihi 2,700.

“Di luar bandar kita lihat masyarakat kaum Cina juga telah sokong kita dan sokongan kaum India juga sudah yakin dengan BN dengan sokongan mencecah 70 peratus, begitu juga dengan masyarakat Orang Asli yang masih lagi merupakan penyokong setia dan kuat UMNO,” kata beliau.

Najib berkata UMNO bagaimanapun tidak boleh memandang ringan pada ancaman luar seperti pembangkang walaupun sokongan kuat rakyat diberikan kepada UMNO tanpa berbelah bagi. Sebaliknya strategi perlu sentiasa diatur untuk mengekalkan kedudukan UMNO dan BN, tegas beliau.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diberikan keutamaan pada setiap pilihan raya adalah pemilihan calon yang tepat untuk mewakili rakyat iaitu hanya meletakkan calon yang boleh menang.

“Sebahagian pengundi sokong pembangkang berdasarkan pada calon tapi kita berada dalam zaman berbeza dengan zaman 70-an, 80-an dan 90-an yang hanya beri tumpuan kepada calon semata-mata, tanpa melihat alternatif lain tapi kini rakyat mahu kriteria calon memenuhi pilihan mereka,” katanya.

Saturday, March 12, 2011

BN : BENTENG NEGARA



Masa untuk lawan habis- habisan

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Genap seminggu yang lalu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sarawak 2011 dengan mood yang cukup ceria.

Penampilannya juga bergaya. Jika 5,300 pemimpin dan perwakilan BN yang berkampung sehari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) memakai kemeja biru parti dengan seluar berwarna gelap, Abdul Taib pula tampil serba biru, baik kemeja, seluar mahupun tali pinggangnya.

Bahasa badan Pengerusi BN negeri itu cukup menarik untuk diamati, bendera kecil BN dikibarnya bersungguh-sungguh mengikut rentak beberapa lagu rasmi yang berkumandang sebelum majlis dimulakan.

Ucaptamanya selama 55 minit pula 'berapi-api', umpama seorang jeneral yang meniupkan semangat perjuangan kepada kepada tentera yang bakal bertempur di medan perang.

Intonasi ucapan beliau agak tinggi terutama sewaktu meneriakkan frasa "lawan habis-habisan".

Beliau mengambil peluang untuk mengingatkan jentera BN supaya tidak lagi bertahan menghadapi fitnah pembangkang yang bertujuan membakar sentimen rakyat sewaktu BN mengamalkan politik realiti.

"Kenapa kita (BN) mesti bertahan terhadap propaganda yang dilancarkan pembangkang? Sedangkan selama ini BN telah membawa banyak perubahan kepada negara khususnya Sarawak.

"Jadi saya minta semua ahli BN untuk lawan habis-habisan pihak pembangkang kali ini," tegasnya.

Ucapan beliau ditafsir banyak pihak sebagai paluan gendang perang BN telah dibunyikan dan parti itu kini berada pada tahap terbaik untuk mengharung pilihan raya negeri pada bila-bila masa.

Di atas kertas, BN negeri yang diterajui, Abdul Taib langsung tidak bermasalah untuk mempertahankan kuasa malah beliau dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini turut menyatakan keyakinan itu.

"BN tanpa ada niat untuk bercakap besar mempunyai keyakinan membentuk kerajaan negeri baru pastinya dengan majoriti dua per tiga," katanya.

Bagaimanapun dalam perutusan yang sama, beliau mengakui sedikit risau dengan sikap pengundi di kawasan bandar yang menyokong pembangkang untuk membentak dan mengkritik kerajaan.

Kerisauan itu mempunyai kaitan dengan kemerosotan prestasi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang tewas di lapan daripada 19 kerusi majoriti Cina pada pilihan raya negeri yang lalu.

Lantaran itulah, Abdul Taib dilihat cukup 'sibuk' menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di seluruh negeri, adakalanya melebihi satu majlis dalam masa sehari untuk menyatakan pandangannya mengenai sokongan orang Cina kepada BN.

Komitmen itu cukup terserlah sehingga beliau tidak menyertai lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Limbang dan Miri pada bulan lalu semata-mata untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Dalam satu majlis anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan umpamanya, beliau mengingatkan orang Cina mengenai kepentingan mempunyai perwakilan yang kuat untuk bersuara dalam kerajaan BN.

"Adalah penting untuk masyarakat Cina memikirkan apa yang dapat dilakukan bagi memastikan kaum Cina kekal bersatu padu dan perpaduan itu dipupuk oleh pemimpin yang berfikiran baik tidak kira muka baru atau lama.

"Masa depan kaum Cina di Malaysia amat baik jika dibandingkan dengan negara lain.

"Adalah amat menyedihkan bagi saya memikirkan kemungkinan yang kita tidak ada kepimpinan Cina yang bagus, kuat dan pintar dalam BN," tegasnya.

Justeru, pada pilihan raya negeri kali ini, Abdul Taib mempunyai tugas yang besar iaitu memulihkan semula maruah BN Sarawak yang tercalar dengan peralihan sokongan kaum Cina kepada pembangkang.

Kerana itulah, beliau yang ditemui pemberita selepas Konvensyen BN itu memberitahu komponen BN yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan memberikan bantuan kepada SUPP untuk mengembalikan sokongan orang Cina.

Satu lagi aspek yang menarik untuk diperhalusi ialah keyakinan Abdul Taib terhadap pemimpin muda untuk membangunkan negeri sebagaimana yang dinyatakan beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen BN yang berlangsung secara tertutup.

Menurut Naib Pengerusi BN negeri, Datuk Abang Johari Tun Openg, Abdul Taib dalam ucapannya berkata Sarawak selamat di tangan pemimpin muda kerana mereka adalah kesinambungan perjuangan membangunkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

"Pemimpin pelapis khasnya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah perlu menyiapkan diri mereka untuk meneruskan usaha yang dikatakan Ketua Menteri kita," kata Abang Johari.

Pesanan itu amat bermakna, lebih-lebih lagi Abdul Taib sendiri pernah menyatakan pilihan raya negeri kali ini mungkin yang terakhir baginya.

"Mungkin saya bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang untuk kali yang terakhir disebabkan usia semakin meningkat. Saya sangat menghargai sokongan rakyat di sini," katanya sewaktu berucap di Balingian yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya, baru-baru ini.

Sebelum itu, Abdul Taib telah membuat kenyataan bahawa beliau dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang bersedia untuk berundur sekiranya ada pemimpin yang benar-benar berkaliber, bijak dan berpendidikan.

"Jika ada mereka yang ingin menggantikan kami...kami mahu tapi kami tidak akan melepaskan kuasa jika tiada jaminan seseorang itu baik atau pintar untuk memberikan pembangunan kepada rakyat Sarawak," katanya.

Pastinya, sebagai Ketua Menteri hampir 30 tahun, Abdul Taib tidak akan membiarkan pengundurannya kelak merencatkan pembangunan negeri atau merosakkan perpaduan parti komponen BN.

Dan pilihan raya negeri kali ini adalah medan terbaik untuk beliau mengembalikan sepenuhnya kekuatan BN Sarawak sewaktu parti pembangkang masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi.

Friday, March 11, 2011

MELAYU : TAK LUPA BERKHATAN?

Melayu lupa keberkatan?

Oleh NIZAM YATIM


nizam.yatim@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

NAMPAKNYA orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka.

Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati.

Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan.

Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri.

Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka.

Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu.

Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.

Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita.

''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya.

Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya.

''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran.

''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu.

''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik.

''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim.

''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri.

''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah.

''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya.

Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi.

''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain.

''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba.

''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya.

Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

KUALA LIPIS BERSEJARAH