Tampilkan
UMNO pilihan utama orang Melayu
Barisan Kepimpinan Negara |
CUKUP satu jam, janji
ditepati," kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak secara
berseloroh sebaik sahaja selesai wawancara khas yang dijadualkan selama satu
jam di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen, Khamis lalu.
Janji
ditepati" dengan Najib dan kerajaan serta parti yang beliau pimpin memang
sangat dekat. Bukan sekadar menepati setiap janji, Najib juga melakukan
perubahan dan pembaharuan dengan mencetuskan pelbagai idea kreatif yang tidak
terfikir pun sebelum ini.
Bagi
beliau, dalam abad ke-21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh oleh mana-mana
pihak yang dapat memenangi idea. Najib juga telah membuktikan beliau mampu
membawa kebangkitan kepada UMNO dan BN walaupun di peringkat awal ada yang
menggeleng kepala tidak yakin. Dari tahun ke tahun, kepimpinan beliau semakin
menyerlah dan mantap.
Dalam
mood perhimpunan agung UMNO yang berlangsung minggu depan dan bahang pilihan
raya umum yang semakin dirasai, Najib dalam wawancara itu menegaskan bahawa
hanya BN yang boleh menjanjikan masa depan lebih baik untuk rakyat termasuk
generasi muda.
Kepada
orang Melayu yang sekian lama mengharapkan perpaduan, Najib memberi dua pilihan
- penyatuan parti-parti politik mewakili orang Melayu atau tampilkan UMNO
sebagai parti terkuat orang Melayu.
Dan saya
yakin dan percaya pilihan utama pada orang Melayu ialah UMNO," tegasnya
kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang
Kumpulan, Othman Mohamad dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli
Hamzah. Turut serta dalam wawancara itu ialah Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo
Heong, Timbalan Ketua Pengarang, Zulkefli Salleh dan Editor 1, Mokhtar Hussein.
PERSIDANGAN
AGUNG UMNO
MINGGUAN: Apa mesej dan harapan Datuk Seri
kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2012 memandangkan ia merupakan
perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).
NAJIB:
Bukan rahsia lagi ini merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU 13. Oleh itu,
perhimpunan agung pada kali ini seharusnya menggambarkan kita sebuah parti yang
sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dalam erti kata sebenar. Sama ada
dari segi imej parti, hala tuju, perpaduan dalaman, organisasi sampailah ke peringkat
akar umbi seharusnya menampilkan sebuah parti yang sudahpun mantap, mempunyai
daya juang dan motivasi yang tinggi untuk memastikan kemenangan besar untuk
UMNO dan BN.
Dibandingkan dengan perhimpunan yang lepas,
bagaimana Datuk Seri menilai pencapaian UMNO setahun kebelakangan ini termasuk
dari segi kekuatan, juga kelemahan?
NAJIB:
UMNO sebagai sebuah parti telah dapat meningkatkan persiapan dan kesediaannya
untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kerja-kerja yang telah diarahkan
kepada parti telah dapat disempurnakan. Ini sama ada persediaan sampailah
peringkat kepada pusat daerah mengundi dan kerja-kerja lain yang patut kita
lakukan sebagai sebuah parti. Ia meliputi kursus, penambahan pengundi,
memastikan khidmat bakti kita kepada masyarakat terus ditingkatkan lagi dan
mengelak daripada permasalahan dalaman yang boleh menggugat imej parti. Saya
akui memang bukan semuanya boleh dikatakan ideal atau tidak ada masalah dalaman
sama sekali. Tetapi umumnya memang lebih baik hari ini berbanding setahun yang
lalu.
Dan,
tentu jauh lebih baik daripada gambaran yang kita lihat dalam pakatan
pembangkang yang hari ini menampilkan parti yang tidak sehaluan, ikatan yang
rapuh dan banyak yang cuba diselindungi mereka selama ini. Hal ini sudahpun
terbongkar dan sudah tidak dapat dibendung lagi. Apa yang dilihat sebagai
permasalahan dalaman sama ada dari segi perbezaan hala tuju ataupun dari segi
perkara pokok seperti siapa patut jadi Perdana Menteri. Mahupun dari segi
amalan-amalan dalam parti yang hebat dipertikaikan, pendapat tentang kebebasan
menukar agama, pendapat tentang amalan yang tidak selari dengan Islam dan
sebagainya. Jadi kalau kita lihat antara dua itu, UMNO dan BN lebih menambah
keyakinan manakala parti pembangkang lebih menimbulkan banyak tanda tanya dan
kontroversi yang boleh dipertikaikan oleh pengundi.
Adakah perkembangan ini boleh memberi perangsang
kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO?
NAJIB:
Sama ada ia memberi keuntungan kepada kita ialah sejauh mana kita dapat
menyampaikan mesej dan komunikasi kita kepada rakyat. Itu yang perlu. Bila saya
sebut komunikasi bukan secara konvensional tetapi juga melalui media alternatif
dan sebagainya perlu kita lakukan supaya rakyat benar-benar tahu bahawa pilihan
yang terbaik adalah BN.
Datuk Seri tentu akan menggunakan ucapan dasar
untuk memberi mesej yang jelas kepada seluruh jentera parti dan rakyat. Boleh
Datuk Seri jelaskan?
NAJIB:
Ya, ucapan dasar biasanya boleh dianggap sebagai penentu kepada perbahasan yang
berlaku dalam perhimpunan sebab jurucakap akan ambil panduan daripada ucapan
Presiden. Jadi kandungan dan penegasan yang saya akan buat dalam ucapan itu
adalah bagi meletakkan parti kepada satu keadaan yang dapat menggambarkan
perkara-perkara yang positif kepada UMNO sama ada dari segi pencapaian selama ini,
hala tuju dan keyakinan terhadap kepimpinan UMNO. Di samping itu boleh memberi
jawapan dan menyanggah tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pembangkang kepada
kepimpinan UMNO dan BN.
Selesai perhimpunan nanti, para perwakilan akan
pulang ke kawasan masing-masing setelah berkampung di PWTC. Kepada mereka ini
apakah nasihat yang Datuk Seri mahu berikan?
NAJIB:
Saya berharap mereka akan dapat menghayati mesej yang diterapkan dalam
perhimpunan tersebut dan dapat menterjemahkan dalam bentuk tindakan serta sikap
masing-masing.
Umpamanya,
banyak penegasan akan dibuat tentang bagaimana mereka harus mendepani cabaran
PRU13 dan bagaimana kita harus meletakkan persediaan kita secara mantap. Bukan
sahaja dari segi persiapan secara fizikal seperti bilik gerakan, bantuan material
dan sebagainya, tetapi persedian dari segi semangat dan sikap kita untuk
meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai keutamaan. Tidak ada apa-apa
perhitungan yang lain meski pun sesuatu itu memang sangat dihajati oleh kita.
Kita
mahu pastikan parti menang, sebab tujuan utama ialah untuk membentuk kerajaan.
Dan kerajaan adalah tempat sandaran kita pada masa ini dan masa akan datang.
Saya juga berharap mereka lebih masak dan lebih berkemampuan untuk menjawab
isu-isu nasional dan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada kita. Ahli-ahli
parti mesti mampu untuk mengupas dan menjawab serta menangkis sebarang isu
nasional.
DISIPLIN DAN PENGKHIANAT
Sejauh mana disiplin dalam UMNO/BN sejak Datuk
Seri ambil alih kepimpinan?
NAJIB:
Mereka dan beri ikrar dan buat pengakuan. Tun Dr. Mahathir pun bantu jumpa
mereka. Sudah angkat tangan sumpah pengakuan. Dalam perhimpunan agung pun dah
berikrar. Saya tak upaya lebih daripada itu. Saya dah buat apa yang boleh saya
buat. Jadi terserah kepada tubuh badan sendirilah. Kalau mereka langgar sumpah,
saya tak tahulah. Itu terserah kepada mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan.
Jadi penubuhan jawatankuasa disiplin diharap
sedikit sebanyak boleh membantu?
NAJIB:
Sepatutnya kita tidak perlu disiplinkan sesiapa. Yang saya nak tekankan adalah
mendisiplinkan diri sendiri sehingga kita tidak perlu kepada jawatankuasa. Bila
kita tahu tempat itu ada had laju, kita tidak perlu kepada Kamera Sistem
Penguatkuasaan (AES) sebenarnya. Tetapi kita terpaksa buat di sesetengah tempat
sebab kita mahu didik orang kita. Kalau kita disiplin, kita dapat selamatkan
nyawa dan diri kita. Dalam kes ini, maknanya kalau kita ada disiplin diri,
parti kita pasti capai kejayaan. Itulah yang patut kita utamakan sebab kalau
kita menang kerusi tetapi gagal bentuk kerajaan, apalah gunanya. Maknanya kita
jadi pembangkang. Kalau kita terkontang-kanting sebagai pembangkang, apa
maknanya. Soal pilihan raya ini yang paling utama kerana kita hendak bentuk
kerajaan.
Mengenai tindakan sabotaj, mungkinkah cara
menamakan calon lebih awal membantu mengatasi masalah sabotaj ini?
NAJIB:
Saya rasa tidak boleh terlalu awal, tidak boleh terlalu lama. Jadi kita akan
cari masa yang mungkin kita rasakan paling sesuai. Tetapi kalau kita umum awal
pun tidak ada jaminan (sabotaj) tidak akan berlaku. Kalau nawaitu begitu,
sampai bila pun dia tak terima juga. Kalau terlalu lewat kita mungkin sukar
hendak buat sesuatu memulihkan keadaan. Kalau kita ada masa masih tidak dapat
jaminan seratus peratus tak berlaku sabotaj, gunting dalam lipatan, duri dalam
daging dan sebagainya. Ini semua kemungkinan yang boleh berlaku dalam pilihan
raya. Kalau berlaku pun bukan kali pertama. Dulu-dulu pun berlaku tetapi tak
nampak sangat. Bila kita kuat dia tak berapa nampak. Tetapi bila keadaan kita
menghadapi tsunami sebelum ini dan hendak pulih daripada tsunami, kita hendak
menang dan rampas balik negeri yang kita sudah kalah, itu lebih sukar. Sebab
mempertahankan negeri yang kita telah menang itu tidak sesukar mendapatkan
balik negeri yang kita telah kalah. Bererti dalam kerangka minda kita itu, kita
mesti letakkan kemenangan sebagai satu objektif mutlak yang tidak boleh
dipesongkan dengan mana-mana pertimbangan yang lain. Baru kita boleh jamin
kemenangan kita.
Kepada pengkhianat parti, apa hukuman paling layak?
NAJIB:
Yalah kita hukum macam mana pun, kita pecat daripada parti, dia lari kepada
parti lain. Itu dah kita tengok beberapa orang. Tak payah kita pecat pun ada
satu dua yang tidak setia pada kita sudah terjun parti lain. Tetapi mujur dalam
kalangan parti pakatan pembangkang, lagi ramai masuk sebelah kita. Ada juga
beberapa ahli UMNO yang tidak setia kepada kita.
Ada yang berpendapat UMNO sukar uruskan
sebahagian ketua bahagian kerana dianggap sebagai warlord. Bagaimana hal ini
hendak ditangani?
NAJIB:
Itu termasuklah disiplin berorganisasi melibatkan kita semua. Kalau kita tidak
terima arahan mengikut chain of command, maknanya kita dah melanggar disiplin
dan akibatnya kita boleh kalah dalam perang. Sudah terbukti dalam banyak
sejarah. Saya sebut tadi perang Badar, Uhud dan perang lain. Juga peristiwa
pilihan raya sebelum ini. Ada kawasan kita patut menang tetapi kita kalah
kerana tidak ada disiplin organisasi.
KEBANGKITAN UMNO DAN BN
Keputusan pilihan raya umum 2008 dianggap
kejutan. Banyak pihak meramalkan bermula era kejatuhan UMNO. Tetapi dengan
kepimpinan Datuk Seri, ada peningkatan pada tahun pertama, kemudian ada
peningkatan lebih besar pada tahun kedua dan berikutnya. Seperti ada satu
kebangkitan ?
NAJIB:
Saya berpegang kepada prinsip bahawa kalau kita telah jatuh kita mesti bangun
semula dan kalau kita sudah berjaya kita mesti teruskan kejayaan kita. Jadi
apabila saya ambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, saya beriltizam untuk
membuat apa saja yang termampu supaya kita dapat memulakan proses kebangkitan
semula kepada UMNO dan BN. Antaranya, ialah bermula dengan Gagasan 1Malaysia.
Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Itu sebagai falsafah induk yang saya
praktikkan dalam semua dasar kerajaan. Sebab itu, kalau kita lihat dasar-dasar
kita lebih berbentuk inklusif, menegakkan prinsip keadilan sosial dan di
samping itu menentukan bahawa kita dapat mengetengahkan idea-idea baharu dan
lebih kreatif. Saya amat faham pada abad ke 21 ini, keunggulan akan dapat
diperoleh oleh mana-mana pihak yang dapat menenangi pertandingan idea. Orang
putih kata contestation of ideas. Sebab itulah banyak program yang kita
laksanakan hari ini, tidak terfikir pun sebelum ini. Daripada Kedai Rakyat
1Malaysia, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC, kepada TR1MA, BR1M dan sebagainya. Di
samping itu, soal pokok dalam pentadbiran negara yakni kita mesti ada kecekapan
dalam pentadbiran negara, tidak boleh kita ketepikan. Maknanya, pengurusan
negara kita mesti menjurus kepada ekonomi yang lebih kukuh, merangsang
pertumbuhan walaupun Eropah dalam kegawatan dan pemulihan ekonomi di Amerika
Syarikat (AS) masih tidak menentu lagi. Tetapi kita dapat menentukan
pertumbuhan yang agak kukuh.
Lebih
5.2 peratus pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini dan kita dapat menyediakan
lebih 300,000 peluang pekerjaan. Penambahan FDI (pelaburan asing langsung )
meningkat dari RM29.3 bilion pada 2009 kepada RM36.6 bilion pada 2011. Ramai
berpendapat pencapaian yang kita perolehi ini bertentangan dengan arus ekonomi
dunia. Dengan ini, kita dapat memastikan bahawa kemampuan kerajaan itu dapat
diteruskan pada tahap yang tinggi dan keyakinan yang tinggi. Dan, ini berbeza
dengan apa yang telah dikemukakan oleh pakatan pembangkang seperti dalam buku
jingga dan bajet mereka. Nampaknya pakar-pakar ekonomi tidak memberi penilaian
yang tinggi kepada dasar dan program alternatif mereka. Sehingga kalau kita
tanya pengurus dana, kewangan dan bank, mereka tidak memberikan respons yang
positif . Maknanya mereka sebagai pakar dalam bidang ekonomi melihat Barisan
Nasional merupakan kerajaan yang berdaya maju (berbanding pembangkang). Di
samping itu kita mesti pastikan kejayaan ekonomi negara dapat mengalir kepada
rakyat. Sebab itu, program kita di peringkat makro pun berjaya. Di samping itu
kita hendak pastikan bahawa mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan
dapat terus dibela.
Dari segi parti, di peringkat awal orang geleng
kepala, "Bolehkah Najib bawa kebangkitan kepada BN" tetapi sekarang
terbukti BN dan UMNO bertambah mantap. Apa rahsia Datuk Seri?
NAJIB:
Saya letakkan ini sebagai satu cabaran kepada saya. Maknanya cabaran dari segi
jawatan saya dan secara peribadi. Dalam keadaan krisis, kalau kita boleh anggap
ini sebagai satu krisis, kita mesti gunakan segala kekuatan dan kemampuan yang
ada pada kita. Hadapi cabaran itu dengan menambahkan lagi usaha, fikiran,
kemampuan serta akal hatta kemampuan fizikal supaya kita dapat atasi cabaran
tersebut. Itu yang telah saya nyatakan pada diri saya. Saya telah janji pada
diri saya untuk melakukan yang terbaik.
Rekod UMNO dan BN serta kerajaan termasuk di
bawah kepimpinan Datuk Seri adalah aset penting selain program transformasi
untuk rakyat memilih dan memberi mandat yang lebih besar.
NAJIB:
Ya, rekod boleh dilihat kita telah lakukan banyak perkara yang memberi manfaat
kepada rakyat dan manfaat itu kita beri secara langsung kepada rakyat. Walhal
pembangkang tidak ada rekod. Bila kita buat tema, Janji Ditepati", mereka
pertikaikan seolah-oleh mereka terasa pula. Mungkin mereka rasa banyak janji
mereka itu tinggal janji saja. Kita tahu, tak payah kita sebut. Tanya orang
ramai di Selangor, di negeri-negeri yang sedang mereka perintah, bagaimana
pendirian mereka terhadap janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya. Ramai
akan kata mereka kecewa dengan janji-janji yang tak ditepati dan ditunaikan
parti pembangkang.
AGENDA MELAYU DAN POLITIK BARU
Menyentuh soal menangani politik baharu. Pada
satu tahap, Datuk Seri kena memenuhi, mengurus dan menangani tuntutan bukan
Melayu. Pada satu tahap, UMNO sebagai parti Melayu juga kena melihat tuntutan
dan agenda Melayu. Bagaimana Datuk Seri mengolah cabaran ini?
NAJIB:
Saya berpegang prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai
pemimpin dan Tuhan tak kata kepada orang Islam sahaja. Tuhan sebut secara umum.
Sebab itu kalau kita berlaku adil, orang bukan Islam akan tertarik kepada
kepimpinan orang Melayu, Islam. Saya lihat keindahan Islam itu di situ
letaknya. Sebab itulah Islam berkembang dari kota Madinah ke seluruh pelosok
dunia. Apabila kepimpinan Islam berlaku adil, jadi ramai orang tertarik kepada
Islam sebagai satu agama yang begitu indah, begitu mulia. Sebab itulah kita
tidak boleh bolot semua sebab orang lain pun menyumbang kepada negara kita.
Orang India dengan estetnya, dengan jalan raya yang dibina. Orang Cina dengan
keusahawanannya, sumbangan dalam bidang perniagaan untuk negara kita. Mereka
juga bayar cukai. Jadi, asalkan kita faham perkara ini dan apa yang kita hendak
tolong orang Melayu kita tolong, apa yang kita hendak tolong orang Cina dan
India kita tolong secara adil dan saksama. Misalnya kita masih teruskan agenda
bumiputera. Sebab kalau negara membangun dan berjaya hatta jadi negara maju
tetapi penduduk majoriti terpinggir, tentu ini tidak menyumbang kepada
kesejahteraan dan kestabilan kepada negara. Kedua, kalau tidak berlaku adil
pada yang lain ini pun tidak dapat tentukan negara terus aman dan stabil. Kena
terima hakikat dan realiti. Kena ingat kepada bumiputera bukan Islam di Sabah
dan Sarawak. Orang Asli juga ada hak. Kita sebagai kepimpinan teras juga
merupakan sebuah kerajaan yang dapat membela semua kaum, komuniti, besar dan
kecil secara adil dan saksama.
Kalau dibandingkan dengan 2008, adakah Datuk
Seri nampak angin perubahan dari segi respons positif kaum bukan Melayu?
NAJIB:
Ya, mereka suka dengan hala tuju kita tetapi sebarang perubahan akan makan
masa. Sebab sebarang usaha untuk mengubah sikap manusia, makan masa. Hatta Tun
Dr. Mahathir Mohamad pun lepas 22 tahun mengakui kalau ada pun yang beliau
masih belum dapat capai sepenuhnya ialah mengubah sikap orang seperti yang
beliau kehendaki. Presiden Obama pun tuntut satu penggal lagi sebagai Presiden.
Ini menurut beliau, mustahil untuk melakukan pembetulan apa yang dilakukan
semasa zaman George Bush dalam masa empat tahun. Jadi apa yang kita buat ini
dari segi transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi, tidak mungkin
dapat kita lakukan dalam masa 3-4 tahun ini. Ia tentu menjangkau masa yang
lebih lama lagi.
Datuk Seri, tanpa menafikan kejayaan setakat
ini, ada penganalisis percaya bahawa kerajaan masih menghadapi cabaran untuk
mendapatkan sokongan besar kaum Cina. Apakah ini satu realiti atau persepsi?
NAJIB:
Kita dalam sistem demokrasi terbuka, dalam keadaan di mana persekitaran hari
ini sudah berubah dan perubahan ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya,
akses kepada pendidikan yang semakin meluas, taraf pendidikan yang semakin
meningkat dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar tidak perlu lagi kepada
kemudahan asas. Jadi, politik pembangunan tidak lagi menjadi perhitungan
mereka. Ketiga, kemunculan media sosial yang begitu berpengaruh, yang tidak
pernah kita hadapi pada masa-masa lalu. Pada tahun 2008, media sosial baru saja
muncul sebagai satu media alternatif. Tetapi hari ini sudah jadi kebiasaan
kepada banyak pihak untuk memperoleh maklumat dan apa-apa berita daripada media
baharu ini. Dalam keadaan persekitaran yang sudah berubah, inilah dikatakan
politik baharu. Kita telah lakukan anjakan dari segi pendekatan kerajaan. Kalau
kita tak lakukan anjakan paradigma, kerajaan akan dilihat sebagai kerajaan yang
kaku, kerajaan yang cuma boleh berjaya dalam persekitaran yang lama. Tetapi
sekarang, kita sudah lakukan perubahan supaya dalam keadaan sekarang ini kita
boleh jadi kerajaan yang mendapat sambutan rakyat termasuk daripada kalangan
generasi muda. Sebab kita telah mulakan pendekatan kepada generasi baharu.
Buktinya dalam pilihan raya kampus baru-baru ini, kita telah menang 18 daripada
20 institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Ini
satu kejayaan yang besar. Kalau orang muda tidak sokong kerajaan tak mungkin
kita menang. Walaupun saya akui kita mempunyai masalah dengan pengundi Cina,
tetapi jangan rasa kita patut ketepikan mereka. Harus tambah dekat untuk
mengetahui apakah kehendak dan tuntutan mereka dan bagaimana kita boleh respons
kepada kehendak mereka. Saya lihat mereka hari ini pun sedar. Walaupun mereka
tidak perlu sangat kepada kerajaan sebab tinggal di kawasan bandar dan
segala-galanya sudah ada tetapi mereka juga harus sedar kejayaan mereka sebagai
individu dan komuniti disebabkan dasar-dasar kerajaan yang mewujudkan
persekitaran memberangsangkan, yang mana mereka boleh mencari peluang
perniagaan dan peluang memajukan diri. Kalau lihat masa depan, mereka juga
perlukan negara yang ditadbir dan diurus dengan baik. Jadi BN boleh uruskan perkara
ini di samping kita buat ubahsuai kepada dasar-dasar kita yang mereka tak puas
hati, dan kelemahan-kelemahan yang mereka kata perlu kita perbaiki. Umpamanya
kalau mereka bimbang kadar jenayah di bandar. jadi kita sedang respons dengan
langkah-langkah yang telah dan akan kita buat. Kita tidak kata kadar jenayah
sudah menurun jadi kita tidak perlu buat apa-apa. Tak akan saya terima. Selagi
rakyat rasa mereka tidak puas hati, usaha perlu diperhebatkan lagi untuk
melenyapkan segala kebimbangan dan kekhuatiran mereka.
Banyak dengar kenyataan dari orang Cina, mereka
suka Najib tetapi tidak berapa suka parti. Seolah-oleh perubahan yang berlaku
dalam parti masih belum memenuhi apa yang masyarakat Cina mahu.
NAJIB:
Dalam sistem sekarang ini, kalau mereka suka saya sebagai Perdana Menteri, mahu
tidak mahu mereka perlu beri sokongan kepada parti. Kalau tidak, pihak lain
yang akan jadi Perdana Menteri dan bukan saya. Maknanya orang lain yang mereka
tak nak jadi Perdana Menteri akan jadi Perdana Menteri. Tonggak dalam sistem
kita ialah siapa yang jadi Perdana Menteri. Jadi kalau mahu saya sebagai
Perdana Menteri yang boleh bawa transformasi kepada negara sebagaimana yang
mereka sudah yakin selama ini maka mereka perlu beri sokongan kepada saya.
Sebab Perdana Menteri yang kuat adalah Perdana Menteri yang dapat sokongan
rakyat secara menyeluruh.
Perdana
Menteri yang boleh bawa lebih banyak kejayaan kepada negara ini daripada
Perdana Menteri yang lemah atau tidak dapat mandat sepenuhnya dan boleh
dipertikaikan apa jua pembaharuan yang mahu di bawa. Sebab sebarang perubahan
itu akan menghadapi banyak cabaran. Kepimpinan tanpa sokongan politik adalah
kepimpinan yang tidak ada kekuatan moral. Kalau tidak ada kekuatan moral, dia
sukar hendak hadapi cabaran-cabaran untuk bawa perubahan yang besar kepada
negara. Jadi kalau mereka tidak suka UMNO atau BN, sekurang-kurangnya kita ini
padu, sehaluan, cakap senada. Berbanding pembangkang yang dari segi asasnya,
ideologi pun dah bercanggah. Siapa jadi PM pun tak ada seia sekata.
PILIHAN RAYA UMUM KE-13
Ada kritikan yang berpendapat UMNO/BN tidak
cukup agresif walaupun berdepan ibu segala pilihan raya terutama dalam melawan
pembangkang.
NAJIB:
Kita dalam kerajaan, apa pun kita buat ada batasnya. Pembangkang lain, mereka
tak ada sempadan termasuk hendak lempar fitnah, beri fakta palsu dan
sebagainya. Boleh buat sahaja. Sedangkan kita dalam kerajaan kena ada rasa
tanggungjawab dalam apa-apa yang kita mahu lakukan. Itu mungkin menggambarkan
seolah-olah kita tak agresif.
Apa yang Datuk Seri mahu ahli UMNO dan BN buat
dari sekarang hingga pilihan raya terutama bagi menjamin kemenangan besar?
NAJIB:
Pertama sekali, mesti ada disiplin organisasi. Kalau kita nak pergi perang,
bala tentera kita mesti tersusun dalam satu ikatan kepimpinan yang mantap dan
berdisiplin. Dia tahu apa arahan, pematuhan arahan, lakukan kerja dan
sebagainya. ini semua patut kita lakukan.
Pengajaran
kemenangan umat Islam dalam perang Badar umpamanya, kekalahan dalam perang
Uhud, ini semua pengajaran dalam sejarah yang harus ada pada kita semua. Kalau
kita ada disiplin berorganisasi saya percaya itu akan memberi kekuatan untuk
kita. Kekuatan yang amat besar, sebab kita ada bilangan tetapi kita mesti
sulami dengan kekuatan disiplin organisasi. Kalau kita tidak berdisiplin
termasuk tak dapat terima apa-apa keputusan parti dan keputusan calon dan
sebagainya yang patut diterima atas kepentingan parti, itu bahaya. Maka itu
semua terangkum dalam disiplin berorganisasi yang mesti dijaga.
Semakin banyak usaha dilakukan hendak tunjuk
pilihan raya di Malaysia tak adil dan tak telus. Malah ada usaha untuk membawa
campur tangan luar. Bagaimana hal ini boleh diurus dan selepas pilihan raya
Malaysia boleh terus bergerak ke depan?
NAJIB:
Kita pun mahu kemenangan berasaskan pilihan raya yang adil. Kita tak mahu
menang kerana penipuan. Selama ini pun apabila (pembangkang) menang di lima
negeri bukan main seronok. Tak ada pun pertikai keputusan Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR). Anwar Ibrahim dalam UMNO/BN pun tak pernah pertikai SPR. Sekarang
timbul seolah-olah mereka mahu sediakan minda rakyat bahawa kalau BN menang, ia
menang kerana penipuan. Ini menafikan amalan demokrasi negara kita yang selama
ini berjalan dengan baik. Kita pun kali ini bersedia dengan membawa beberapa
pemerhati ASEAN untuk pantau pilihan raya ini supaya mereka akan lihat ia
berjalan ikut perlembagaan dan undang-undang negara. Kesahihan keputusan rakyat
tak boleh dipertikaikan.
Atau mereka tak yakin boleh menang?
NAJIB:
Sebab tu saya kata dia menyediakan minda, pre-emptive. Ada juga orang kata
bahwa kalau dia tak memang, dia nak tunjuk perasaan. Juga nak tunjuk pilihan
raya kita tak telus dan tak adil. Segala-galanya boleh berlaku sebab mereka
sangat obses, mabuk nak menguasai Putrajaya. Kerajaan Australia pun tolak permintaan
mereka.
Kerajaan telah melakukan langkah-langkah
afirmatif untuk membantu bumiputera, mungkinkah ini akan dilakukan oleh pakatan
pembangkang jika ditakdirkan mereka memerintah nanti?
NAJIB:
Kita tak tahu apa dasar yang akan mereka amalkan sebenarnya. Dalam pakatan ada
yang mahu asas perlembagaan kita dipinda. DAP dengan Malaysian Malaysia,
ideologi yang tak terima prinsip dan semangat perlembagaan. Ada Pas yang mahu
wujudkan negara Islam ikut tafsiran mereka. Itu pun jadi tanda tanya kerana
definisi negara Islam masih kabur lagi. Ada PKR yang perjuangkan pendirian yang
boleh disangsikan termasuk kefahaman terlalu liberal, pluralisme yang juga
boleh menimbulkan banyak kontroversi. Jadi bentuk dan hala tuju pakatan
pembangkang masih samar-samar dan tidak menentu. Siapa yang akan jadi kuasa
dominan pun belum tentu. Dalam BN kita boleh jamin dasar kita konsisten. Apa
pun akan berlaku, kita ada jaminan bahawa hala tuju dan dasar yang telah
dibentang kepada rakyat dapat kita teruskan. Tetapi pembangkang penuh risiko,
tanda tanya dan kesangsian. Sama ada kita sanggup memperjudikan masa depan
kita, itu persoalan pokok.
Pilihan raya tahun depan atau biar Parlimen
bubar sendiri?
NAJIB:
Kalau bulan Disember tak ada pilihan raya, tahun depanlah. Melainkan kita buat Disember
ini, Tetapi (mungkin musim) hujan... boleh naik sampan, bot, kalau banjir.
SOKONGAN ORANG MUDA
Apa lagi cara untuk menarik orang muda menyertai
atau terlibat dengan UMNO kerana masih ada rungutan tentang birokrasi dalam
parti?
NAJIB:
Kita dah buat banyak program dan agenda yang boleh memikat orang Melayu dan
orang muda untuk menyokong UMNO dan BN. Kalau orang muda bersikap
anti-establishment, meskikah kita boleh menangi 18 daripada 20 perwakilan
pilihan raya kampus baru-baru ini. Kita juga telah buat Himpunan Hari Belia
Putrajaya secara besar-besaran dan kita sedang buat banyak perkara termasuk
perhubungan melalui media sosial. Saya seorang yang sangat aktif dalam media
sosial dan followers Twitter saya telah melebihi 1 juta dan di Facebook telah melebihi
1.3 juta. Ini menunjukkan orang muda bersama-sama dan memang boleh tertarik
untuk menyokong kita, dengan syarat kita guna wahana dan cara berkomunikasi dan
engagement yang sesuai dengan selera orang muda.
Saya
tak dapat nafikan kadang-kadang kemasukan mereka dalam UMNO dan kemaraan mereka
mencari tempat dalam UMNO boleh menghadapi banyak rintangan. Tetapi kita sedang
memperbaiki keadaan ini seperti memberi peluang kepada mereka memohon secara
langsung kepada ibu pejabat sekiranya permohonan mereka tidak dilayan oleh
peringkat cawangan atau bahagian. Dalam Bajet 2013, saya telah beri banyak
tumpuan dan fokus kepada orang muda. Umpamanya bantuan-bantuan kita sekarang
ini lebih inklusif seperti bantuan untuk orang-orang bujang di bawah BR1M dan
rebat telefon bimbit (pintar) dan banyak lagi yang diberikan untuk orang-orang
muda di bawah bajet kita.
Sokongan golongan muda. Adakah dapat dilihat
juga penglibatan dalam UMNO melalui sayap Pemuda dan Puteri?
NAJIB:
Kita gambarkan parti kita sebagai parti yang bersedia untuk membawa perubahan
kepada negara. Bukan parti yang kaku, terlalu konservatif sebab orang muda nak
perubahan dan suka pembaharuan. Jadi kita mesti tampilkan parti yang mampu
membawa pembaharuan kepada negara. Sebab itu orang muda hari ini tak anggap
mereka patut tolak UMNO dan BN walaupun kita dah berkuasa secara berterusan.
Sekurang-kurangnya mereka lihat kita ini parti yang boleh bawa perubahan dan
kemajuan dalam negara. Paling penting masa depan mereka lebih terjamin di bawah
kepimpinan UMNO dan BN. Itu yang paling besar perhitungannya, masa depan kita.
Kita tahu sebagai sebuah parti kita tak boleh bergantung kepada
kejayaan-kejayaan kita selama ini. Sebagai orang muda kebanyakan mereka lahir
pasca merdeka. Dia tak tahu cerita lama, dia baca dalam buku sejarah saja. Jadi
sehebat mana kejayaan kita dulu, kepada orang muda ini tak termasuk dalam buku
mereka. Yang mereka mahu tengok masa ini dan akan datang. Sebab tu saya sebut
kita mesti tampilkan UMNO dan BN sebagai parti yang boleh jamin masa depan
negara kita.
Apa rancangan masa depan?
NAJIB:
Kita dah tahu apa kita buat selama ni. Dalam masa empat tahun ini kita lihat
apa kejayaan kita. Dengan izin Allah kalau dapat mandat kuat tentu kita akan
buat dengan lebih hebat lagi, lebih gah. Insya-Allah, sebab kita ada kekuatan
moral. Sebab kalau kita kaji teori prinsip kepimpinan, ia berpunca dari dua.
Satu formal, jawatan kita. Satu lagi kekuatan moral. Jadi kalau kita gabungkan
kedua-duanya tentu kepimpinan kita akan lebih berkesan lagi.
PERPADUAN MELAYU DAN ISLAM
Datuk Seri masih percaya bahawa orang Melayu
boleh disatukan? Dalam suasana global dengan pemikiran orang yang semakin
terbuka seperti sekarang, apakah caranya?
NAJIB:
Kita ada dua pilihan. Satu ialah penyatuan parti-parti politik yang mewakili
orang Melayu atau kita boleh tampilkan UMNO sebagai pilihan majoriti besar
orang Melayu. Sebab dalam sistem kita, kemenangan terletak pada pihak yang
dapat suara yang lebih. Jadi bagaimana kita mencapai suara yang lebih? Tidak
lain dan tidak bukan ialah melalui keyakinan rakyat terhadap kemampuan kita
membela agenda yang dekat di hati orang Melayu. Dan saya yakin dan percaya
pilihan utama pada orang Melayu ialah parti UMNO.
Orang lain menggunakan kaum dan agama sebagai
asas penyatuan. Tetapi orang Melayu bersikap sebaliknya, mengapa?
NAJIB:
Orang Melayu telah dikelirukan dengan hasutan dan fitnah yang bertalu-talu
terhadap pemimpin UMNO dan UMNO itu sendiri, walaupun dakyah-dakyah tersebut
merupakan serangan politik dan tidak ada asasnya. Kerana juga terpedaya dengan
imej luaran seperti label parti yang dikatakan parti Islam dan rupa pemimpin
yang mereka anggap lebih Islamik. Sepatutnya kita nilailah dari segi pengisian
dan agenda yang boleh meninggikan perjuangan dan syiar Islam dan UMNO telah
membuktikan parti ini dapat memperjuangkan tuntutan Islam berdasarkan Maqasid
Syariah. Sejak dulu lagi kita perjuangkan Islam, bermula dengan Perlembagaan,
pembentukan institusi-institusi Islam serta program-program Islam yang kita
telah wujudkan dan martabatkan, seperti perbankan Islam.
Sejak beberapa tahun ini Raja-raja Melayu telah
bertitah melahirkan kebimbangan mengenai perpaduan orang Melayu dan perpecahan
dalam kalangan umat Islam. Datuk Seri berkongsi kebimbangan ini?
NAJIB:
Memang kita semua bimbang atas perpecahan dalam kalangan umat Islam dan orang
Melayu. Kita harap orang Melayu akan memberi sokongan kepada UMNO dalam pilihan
raya sebagai parti utama. Kalau kita dapat memperlihatkan UMNO sebagai pilihan
utama, UMNO akan muncul sebagai parti yang terkuat dan dengan sendirinya
(terbentuk) perpaduan Melayu Islam. Bererti perpaduan di bawah naungan UMNO
sebagai parti utama. Tetapi kita tidaklah sampai mendoakan kehancuran Pas.
Perpaduan Melayu selalu dikaitkan dengan ancaman
kepada kaum lain. Bagaimana untuk menjelaskan hal ini?
NAJIB:
Perpaduan Melayu bukan bererti kita menentang kaum lain sebab saya telah kata
tadi kita mesti bawa kaum lain bersama kita. Semangat ini kita telah semaikan
sejak dulu lagi dari zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Kenapa kita mahu
ketepikan apa yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin dan pengasas kita?
Kalau kita tidak komited kepada kerjasama kaum lain Tunku takkan buat
Perikatan, Tun Razak takkan buat BN tetapi mereka buat sebab kita tahu kekuatan
negara kita mesti berpaksi kepada kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang.
Pembangkang kata UMNO rasis bila cakap pasal
perpaduan Melayu.
NAJIB:
Itu dia tuduh. Kita tak rasis daripada dulu lagi. Cuma ada beberapa tindakan
yang boleh timbulkan persepsi sedemikian. Patut kita betulkan dan kita akan
lakukan. Saya lihat bila kita buat Gagasan 1Malaysia orang lebih faham bahawa
negara kita ini negara di mana semua kaum mesti dapat manfaat daripada
kepimpinan negara.
Pada muktamar Pas ada doa mahu hancurkan BN dan
UMNO. Bagaimana parti harus memberi reaksi terhadap sikap Pas ini?
NAJIB:
Pas kena cuba menggambarkan ia sebagai sebuah parti Islam. Tetapi sama ada
perbuatan itu adalah benar-benar menepati prinsip dan syariah Islam atau sebaliknya
ia merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu
yang harus dibincang oleh UMNO dan kalau dapat kita ketengahkan hujah-hujah
yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama dalam kalangan
orang Melayu.
Datuk Seri berasa kecil hati dengan doa itu?
NAJIB:
Tak, buat apa nak kecil hati. Kita dah jangka macam-macam. Dulu dia panggil Dr.
Mahathir, Firaun. Itu biasa, saya tidur malam jendera (lena).
Pas dalam kempen dan ceramah kebelakangan ini
sebut bahawa Pas sebagai alternatif kepada UMNO.
NAJIB:
Itu dia punya politiklah. Dia bukan soal agama, yang dia pentingkan dia nak
sangat kuasa. Itu dalam kepala dia. Politik nombor satu. Sepatutnya dia letak
ketinggian agama lebih daripada segala-galanya. Kalau kata dia parti Islam
maknanya tak ada yang lebih penting sebaliknya kita tengok perhimpunan politik
dia lebih dari agama. Sebab tu dia berkawan dengan DAP.
No comments:
Post a Comment