Menilai sikap
berpolitik pembangkang
Oleh Zulkiflee Bakar
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
SEMEMANGNYA tidak dapat
dinafikan bahawa suhu politik negara semakin meningkat berikutan bahang Pilihan
Raya Umum Ke-13 yang semakin terasa, biar pun tidak diketahui bila ia akan
diadakan.
Tetapi apa yang pasti
kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak semakin rancak melaksanakan program bagi meningkat taraf hidup
rakyat dan sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu.
Dalam masa yang sama,
pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan
Pas terus berada bagaikan 'cacing kepanasan.'
Satu demi satu
pelaksanaan program oleh BN diburuk-burukkan kerana pembangkang memahami ia
adalah ancaman yang boleh menghakis usaha mempengaruhi rakyat menyebelahi
mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun persoalan
yang harus difikirkan oleh rakyat apakah pakatan pembangkang ini kelompok yang
layak diberi peluang memerintah negara? Berikut penulis paparkan beberapa fakta
mengenai telatah pembangkang yang dari semasa ke semasa berdasarkan pandangan
beberapa penganalisis politik tanah air semakin jelas menunjukkan mereka hanya
mahu berpolitik sahaja.
Menanam politik
kebencian
Pendedahan mengenai
gelagat beberapa pemimpin pembangkang ketika menghadiri istiadat pertabalan
Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara telah menjadi bukti bahawa pembangkang
semakin tidak matang berpolitik.
Mempersenda dan mengejek
pemimpin-pemimpin kerajaan sememangnya sudah menjadi makanan politik
pembangkang.
Sebelum ini,
pemimpin-pemimpin juga telah menanam politik kebencian di kalangan rakyat
dengan memburuk-burukkan apa juga usaha kerajaan dan memfitnah
pemimpin-pemimpin BN termasuk ahli keluarga mereka.
Pembangkang semakin tidak
matang berpolitik, sebab itulah di mana-mana sahaja sama ada di atas pentas
ceramah, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri mahupun dalam Istana Negara -
perangai mereka tidak ubah seperti berada di kedai kopi, bercakap ikut sedap
mulut dan memperlekeh pemimpin negara sesuka hati.
Soalnya, apakah pemimpin
seumpama ini layak dipilih menerajui negeri atau negara?
Membuat janji kosong
Pembangkang hakikatnya
semakin rimas dan tertekan apabila kepimpinan Najib terus melaksanakan satu
demi satu janji yang telah dibuat kepada rakyat. Bukan sahaja daripada segi
membantu taraf hidup rakyat, malahan dalam pentadbiran negara pun, kerajaan BN
melakukan transformasi dengan menunaikan janji-janji yang dibuat termasuklah
yang terbaharu pembentangan rang-rang undang-undang bagi menggantikan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Semua itu membimbangkan
pembangkang kerana dalam masa yang sama mereka menyedari terlalu banyak janji
yang masih belum mereka tunaikan di negeri-negeri di bawah penguasaan mereka
sama ada di Selangor, Kedah mahupun Pulau Pinang.
Sebagai contoh, di
Selangor kita perlu bertanya kerajaan PKR yang mentadbir bersama DAP dan Pas,
apakah mereka sudah menunaikan antara janji-janji berikut yang dibuat dalam
pilihan raya umum lalu.
n Membuka tabung
permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
n Memberi bantuan RM75
sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
n Memberi bantuan RM50
sebulan seorang bagi pendidikan anak prasekolah.
n Memberi hadiah RM1,000
kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti.
Ini belum lagi mengambil
kira janji-janji manis yang berlambak-lambak tidak ditunaikan oleh pakatan
pembangkang di Kedah dan Pulau Pinang dan sekarang kita melihat menjelang
pilihan raya umum, pembangkang berjanji lagi.
Pada masa ini sasaran
mereka ialah golongan muda, justeru mereka berjanji akan menghapuskan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kalau diberikan peluang
memerintah. Mereka juga berjanji untuk menurunkan harga minyak dan sudah pasti
mereka juga berjanji menghapuskan tol.
Semua ini adalah
nyanyian lagu lama oleh pembangkang bagi meraih undi.
Menolak kebenaran
Satu lagi gelagat
pembangkang yang turut memualkan kita ialah sikap menolak kebenaran dan tidak
mahu mengakui kelemahan serta kepincangan yang mereka miliki. Apabila sesuatu
isu melibatkan pemimpin-pemimpin BN mereka akan menjajanya ke seluruh negara,
soal benar atau salah itu perkara kedua yang penting ialah memburuk-burukkan
pemimpin BN sebanyak mungkin.
Tetapi apa yang anehnya,
apabila sesuatu isu melibatkan pemimpin-pemimpin mereka mulalah pembangkang
mengeluarkan pelbagai hujah untuk menunjukkan mereka berada di pihak yang
benar.
Biar pun ada sesetengah
isu sudah diketengahkan dengan bukti namun pemimpin pembangkang tetap tidak
mahu menerimanya, mereka akan mempertahankan antara satu sama lain, sedangkan
ada antara mereka adalah terdiri alim ulama yang seharusnya amat memahami
bahawa kebenaran perlu ditegakkan dalam keadaan apa sekali pun.
Namun oleh kerana
kepentingan politik lebih diutamakan maka kepincangan dan salah laku oleh
pemimpin mereka akan cuba dilindungi dan dipertahankan. Mereka lebih gemar
menuding jari menyalahkan BN dan media arus perdana serta menganggap semua itu
hanyalah fitnah dan konspirasi politik.
Oleh kerana mereka
berkawan dan bersekutu dengan alim ulama yang ada dalam Pas maka
pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tidak pernah khuatir kerana pasti ada di kalangan
alim ulama itu akan tampil membela mereka.
Kufur nikmat
Allah SWT telah mentakdirkan
pembangkang meraih kemenangan agak besar dalam pilihan raya umum 2008. Mereka
berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menawan Kedah, Perak
(selama 11 bulan), Selangor dan Pulau Pinang, manakala Kelantan pula terus
berada dalam genggaman Pas.
Semua itu berlaku kerana
perjalanan pilihan raya yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
telah berjalan secara telus, bersih dan adil. Tetapi pembangkang seolah-olah
tidak mensyukuri nikmat ini. Berikutan kebimbangan mereka terhadap sokongan
rakyat yang semakin kembali kepada BN maka isu proses pengundian dalam pilihan
raya kembali dibangkitkan.
Walaupun Jawatankuasa
Pilihan Khas Parlimen (PSC) telah menerima kesemua cadangan pembangkang namun
mereka masih belum berpuas hati. Keadaan itu berlaku bukan kerana tuntutan
mereka tidak dipenuhi tetapi mereka bimbang tidak mempunyai alasan jika tewas
dalam pilihan raya.
Menimbulkan keraguan
terhadap kewibawaan SPR adalah taktik politik paling jijik kerana selama ini
sudah terbukti suruhanjaya itu telah mengendalikan pilihan raya dengan telus
dan adil.
Kalau SPR tidak bersikap
sedemikian sudah pasti pakatan pembangkang tidak akan mampu meraih sebarang
kerusi dalam pilihan raya, apatah lagi mencatatkan kemenangan seperti 2008.
Kesimpulannya, berdasarkan
apa yang dibentangkan adalah jelas, Malaysia boleh dianggap bernasib malang
kerana memiliki sekelompok pakatan pembangkang yang hanya mahu berpolitik
sepanjang masa dan hanya bijak memutar belit fakta, menabur janji kosong,
menolak kebenaran dan kufur nikmat.
No comments:
Post a Comment