Monday, January 23, 2012

PRU 13 : PEPERANGAN ANTARA PERSEPSI VS RASIONALITI

Antara persepsi dan rasionaliti

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm



PERSEPSI boleh dibina hasil prasangka dan taksub mendalam terhadap sesuatu isu. Ia mendorong manusia mengambil kesimpulan tanpa bersedia untuk bersikap terbuka terhadap pandangan orang lain atau pihak lain.

Daripadanya atau kumpulannya semuanya betul. Daripada orang lain semuanya salah. Lalu persepsi dibina bukan hasil renungan dan kajian yang seimbang terhadap sesuatu isu dan perkara tetapi banyak dibauri syak wasangka.

Sedangkan rasionaliti menjadi tradisi orang yang membuat sesuatu rumusan dan andaian berasaskan maklumat yang seimbang. Sesuatu isu yang berbangkit didekati dengan adil dan saksama supaya jawapan terhadap isu yang berbangkit dikaji secara menyeluruh.

Maklumat yang diterima dikaji secara pro dan kontra dan akhirnya lahirlah sesuatu rumusan berdasarkan fakta, data dan analisis.

Bila Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim terlalu membenci UMNO umpamanya, apakah ia berasaskan persepsi yang sengaja dibina supaya kebencian itu dirasakan oleh pengikutnya yang taksub. Lalu UMNO dijadikan faktor kepada semua perkara yang berlaku di Malaysia.

Ia adalah perang psikologi kerana UMNO menjadi cabaran terhadap perjuangan peribadinya yang semakin bercelaru.

Secara rasionalnya Nik Aziz tahu bahawa UMNO adalah komponen penting dalam kerajaan yang memerintah. Banyak kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat. Banyak juga program Islam yang terbit hasil dasar UMNO dan kerajaan.

Harus dilihat bahawa UMNO adalah parti utama yang memerintah. Ada pun kerajaan melibatkan lebih ramai manusia termasuk pentadbir yang tidak semestinya UMNO. Berjaya atau tidaknya sesuatu dasar banyak bergantung kepada tenaga pentadbiran bukannya kata putus orang UMNO.

Kerajaan menyediakan sesuatu dasar. Dasar itu diolah, dirancang dan dilaksana oleh pegawai dan kakitangan kerajaan. Selalunya dasar-dasar itu adalah untuk kebaikan negara dan rakyat.

Sekiranya pengurusan dasar itu berlaku dengan telus dan tulus, akauntabilitinya adalah pada jabatan dan kementerian yang berkaitan. Berlakunya salah guna atau rasuah umpamanya bukanlah UMNO yang suruh tetapi perlakuan pegawai dan kakitangan itu sendiri yang tidak semestinya orang UMNO.

Kebencian dan dendam kesumat terhadap UMNO dan kerajaan kerana adanya persepsi negatif hasil dendam kesumat dan kebencian yang mendalam supaya pengikut-pengikut Nik Aziz dan Anwar akan turut sama membenci UMNO dan kerajaan. Ia diharapkan memberi political mileage atau pengaruh politik yang bersifat kepembangkangan.

Hal yang sama persepsi sesetengah orang terhadap Anwar. Kelicikannya berpidato, pernah menjadi Presiden ABIM suatu ketika dulu, pernah terlibat lama dengan perjuangan UMNO dan kerajaan kerana cita-cita peribadi yang tersirat, lamanya Anwar dalam arus perjuangan rakyat selama lebih 40 tahun menyebabkan kesan pengaruhnya tetap terdapat di kalangan rakyat.

Sesetengah rakyat melihat Anwar sebagai "maksum" dan tidak ada cacat cela dalam pemikiran dan perlakuannya. Lalu apa saja yang Anwar katakan adalah betul tanpa usul periksa atau berasaskan kajian yang rasional.

Bila sebahagian besar kawan-kawan Anwar meninggalkannya, persepsi yang ada ialah mereka itu dibeli oleh UMNO. Bila kes liwatnya dibawa ke mahkamah, Anwar mengatakan bahawa ia adalah suatu konspirasi dan tuduhan direka cipta untuk membunuh karier politiknya.

Bila ia terlibat dengan The Foundation For the Futures tajaan pihak asing persepsi terhadapnya masih baik di kalangan pengikutnya walaupun orang yang sama sangat lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Bila Anwar berucap di London School of Economics terhadap isu menyamakan semua agama sebagai benar (pluralisme), sebahagian orang ABIM, Pas dan seumpamanya tidak terasa apa-apa sedangkan isu itu menyentuh tentang akidah.

Apabila kalimah Allah menjadi isu, Abdul Hadi awang turut memberi justifikasi bahawa ia boleh. Bila isu gay dan lesbian didebatkan dan Anwar membuat kenyataan kontroversi mengenainya, orang dari gerakan Islam sama ada siasah atau harakah masih tidak merasakan apa-apa.

Ia bermakna Anwar dalam beberapa hal telah berjaya membina persepsi tanpa rasionaliti di kalangan pengikutnya. Banyak kes yang melibatkan kredibiliti Anwar dibawa oleh banyak pihak.

Dr. Chandra Muzaffar sering membuat kenyataan Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana masalah peribadinya. Lee Kuan Yew pernah menyatakan menerusi Wikileak bahawa "Anwar did it." Biografi Tun Mahathir terdapat suatu bab menceritakan kisah aib Anwar dan kisah video seks yang dikatakan memperlihatkan susuk Anwar tidak diberi respon mahupun disaman adalah suatu hal yang di luar rasionaliti.

Isu kredibiliti ini adalah sangat penting bagi seseorang pemimpin apalagi yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar yang sering menyebut "pemimpin mesti bersih dan kelihatan bersih" sedang menghadapi masalah kredibiliti yang serius.

Ketaksuban pengikutnya yang tidak berpegang kepada pedoman yang rasional tetap menutup mata dan telinga dan masih kekal dengan persepsi yang bercanggah dengan akal budi manusia.

Selepas keputusan kes liwat Anwar diketahui di Mahkamah Tinggi dan dia dibebaskan, secara rasionalnya tidak berlaku konspirasi dan tuduhan direka cipta untuk menghancurkan karier politiknya. Konspirasi biasanya tidak membawa kepada antiklimaks. Dan Anwar lepas bebas melakukan ceramah di mana-mana.

Rasionalnya rayuan terhadap kes itu boleh dibuat kerana peruntukan undang-undang menyatakan demikian. Tetapi mengapa Majlis Peguam dan banyak pihak semacam menafikan hak orang yang menjadi "mangsa". Di mana rasionaliti keadilan yang diperjuangkan selama ini. Kalau dalam kes liwat ini memakan masa lebih dua tahun dan terlalu banyak penangguhan, apa rasionalitinya menafikan hak Mohd. Saiful Bukhari Azlan sekiranya kita perpegang kepada prinsip.

Dalam sebuah negara yang sedang menuju ke arah maju dan rakyatnya sedang menikmati pendidikan yang berasaskan rasionaliti, amat malang emosi dan persepsi terjadi dengan cara yang salah.

Ia bakal menghasilkan faham taksub. Ketaksuban akibat kecengilan dan keengganan membuka ruang fikir dan hati untuk turut merenung dan mengkaji boleh menyebabkan kemunduran di tahap yang paling rendah.

Allah memberikan kita akal dan hati untuk membuat timbangan supaya ia berada di tempatnya yang betul. Itu dinamakan adil. Kalau kebekuan berfikir wujud, prasangka melulu dijadikan pertimbangan, peristiwa demi peristiwa tidak membawa kita merenung, bermakna hati kita sudah dihijabkan.

Jangan jadi pendatang lewat selepas nasi menjadi bubur. Gunakanlah mata hati untuk melihat dan meneliti sesuatu yang terjadi dengan rasionaliti yang tinggi supaya ada usaha melakukan pemeriksaan, bertanya di kalangan yang mengalami, dan buat pertimbangan bijak salah benarnya sesuatu supaya hidup ini terpedoman.

Persepsi atau tanggapan awal harus diikuti dengan pertanyaan seterusnya. Pendekatan berfikiran kritis dan analitis harus digunakan dengan pedoman etika yang tinggi. Rasionaliti yang dipandu oleh nilai dan etika yang betul bakal menghasilkan jawapan yang lebih baik.

Puncak kepada pencarian sesuatu dalam hidup ialah kebenaran. Ketaksuban melulu tidak memberi suluh kepada kebenaran. Minda yang terbuka, hati yang tulus bakal menemukan manusia dengan cahaya. Daripadanya ia memberi suluh terhadap kebenaran dan keadilan.

Hari ni kita sedang diuji antara menerima kebenaran dan kebatilan sebagai asas pendirian kita. Kalau pendirian itu dibina atas asas kerana seseorang itu adalah kawan lama, atau kepentingan jamaah dan siasah, ia tidak menjadi kriteria untuk kebenaran itu ditemui.

Yang haq dan benar adalah satu. Ia menuntut rasionaliti tinggi yang dipandu oleh iman untuk bertemu dengannya.
















No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH