Friday, September 30, 2011

MELAYU BERSATU : KUASA POLITIK UNTUK KUASAI EKONOMI

MTEM: Suara hati NGO ekonomi

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


MALAM tadi bertempat di Serdang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu atau singkatannya MTEM.

MTEM yang dicetuskan dalam perancangan setahun itu adalah 'buah tangan' badan bukan kerajaan (NGO). Sama ada kita mahu mengakui ketika ini adalah era NGO, terpulanglah kepada pertimbangan masing-masing.

Ternyata selepas fasa NGO yang ternampak penglibatan aktif dalam memperjuangkan isu-isu semasa bersifat politik dalam setahun dua ini, mahu tidak mahu harus diakui kemunculan satu lagi kumpulan NGO - tetapi kali ini mencerminkan sikap ambil berat mereka untuk terlibat sama memodenkan ekonomi orang Melayu.

"Kita NGOs ekonomi ini hanya mahu satu lagu (suara) dan bukannya 10 lagu. Sebatang lidi berbeza dengan segumpal lidi yang lebih kuat dan susah untuk dipatahkan," kata koordinator MTEM yang juga pengerusi program untuk pelancaran MTEM, Rizal Faris kepada Utusan Malaysia semalam.

Menolak tanggapan ia mirip Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Rizal, 40, menyimpulkan dalam nada ringkas: "Teraju ialah institusi kerajaan manakala MTEM yang bertekad disertai 100 organisasi dengan sejuta ahli dikepalai oleh NGO."

(Objektif utama Teraju adalah untuk menyelaraskan transformasi serta memperkukuhkan penyertaan golongan Bumiputera agar jurang ekonomi yang wujud di antara Bumiputera dengan kaum lain, dapat dirapatkan.

Contohnya di bawah program Keusahawanan Bumiputera yang diumumkan akhir Julai lalu, Teraju memilih 1,000 syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan 100 syarikat sederhana untuk menerima bantuan kerajaan. Bantuan itu adalah melalui kontrak-kontrak kerajaan dan syarikat-syarikat bumiputera yang besar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu ), Datuk Seri Idris Jala, syarikat-syarikat PKS diberikan had tempoh untuk menerima bantuan kerajaan dan syarikat-syarikat besar bumiputera antara dua hingga tiga tahun.)

Rizal memberitahu, pelancaran MTEM bertujuan menggabungkan semua NGO berteraskan ekonomi Melayu supaya wujud agenda yang jelas serta pelan strategik untuk membangunkan ekonomi Melayu. Komitmen ini dituntut menjelang sembilan tahun negara menuju Wawasan 2020.

"Untuk mencapai status negara maju, adalah penting untuk membawa orang Melayu dalam arus pembangunan dengan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain. Dengan satu pelan tindakan, maka kita (MTEM) menjadi jambatan antara polisi dan masyarakat.

"Hari ini Perdana Menteri telah membawa perubahan dalam bentuk transformasi namun persoalannya adakah rakyat faham bagaimana hendak melibatkan diri dalam program ini.

''Daripada tinjauan yang dibuat oleh kami, masih ramai yang tidak faham dan tidak kurang yang kritik apa itu GTP dan yang lain sama. Maka adalah penting untuk bawa polisi ini ke akar umbi, biar mereka faham dahulu," katanya.

Daripada dapatan tinjauan yang diperoleh MTEM dari makmal Pemandu dan Teraju di akar umbi menunjukkan mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 adalah sekitar 40 peratus. Daripada 40 peratus tadi, 80 peratus adalah Melayu. Dengan pendapatan RM3,000 sebulan di kota kosmopolitan Kuala Lumpur pada masa ini, berapa sangatlah nilai wang tersebut berbanding kadar tol yang perlu dibayar setiap hari.

Jika diimbas pada 1950, masalah orang Melayu semasa itu adalah kemiskinan di luar bandar. Sekarang, trendnya berubah - kemiskinan dalam bandar. Itu adalah cabaran baru buat MTEM kerana dari hasil kemiskinan menyumbang pula kepada kewujudan gejala sosial. Dan ubatnya satu sahaja - tingkatkan pendapatan orang Melayu.

"Kalau kita boleh gandakan pendapatan Melayu untuk akhirnya mereka boleh mendapat pendidikan yang baik, makan minum yang cukup, maka ia akan membangunkan ekonomi Melayu," katanya

Rizal menarik perhatian tentang cerita lara di Pulau Pinang hari ini. Orang Melayu di negeri itu sudah tidak mampu membeli rumah teres biasa yang mencanak harganya sehingga mencecah RM750,000. Kalau pun yang tinggal di rumah murah, majoritinya adalah orang Melayu. Ini bermakna konsep Rumahku Syurgaku tidak tercapai.

Jika difokuskan kepada keusahawanan pula, keadaan bidang itu harus diperbetulkan dengan matlamat tidak sekadar untuk mencapai negara maju tetapi bagaimana hendak kurangkan kadar kemiskinan," katanya.

Penglibatan kumpulan pencetus MTEM ini bukanlah sesuatu yang baru. Taringnya muncul pada 18 November tahun lepas apabila membentangkan kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera mengenai keperluan mewujudkan Makmal Melayu. Ia kemudian direalisasikan oleh Pemandu pada Februari tahun ini.

Di samping itu, Rizal turut mendesak kerajaan mewujudkan platform di mana agenda bumiputera boleh digerakkan ke dalam agensi-agensi. Hasilnya menyaksikan penubuhan Teraju.

Dalam hal ini, beliau nampak keikhlasan dan kesungguhan Perdana Menteri merencanakan agenda pembangunan negara. Namun dalam menjayakan program MTEM, individu atau pihak tertentu diperlukan untuk menggalas tanggungjawab berat itu.

'Tapi tidak semestinya kita bersikap yes man, apatah lagi saya ini dari generasi 'x', tidak lama lagi akan muncul generasi 'Y' yang baru dalam perjuangan ini. Saya ini dari generasi Internet, lebih vokal tetapi tidak membenarkan latihan secara melulu," kata Rizal.

Mengenai keanggotaan MTEM, ia terbuka kepada NGO bertaraf kebangsaan antaranya Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia dan Koperasi UKHWAH.

Namun penyertaan turut digalakkan daripada kalangan NGO berteraskan ekonomi di peringkat daerah dan negeri dengan polisi MTEM ditetapkan hanya boleh diputuskan oleh NGO kebangsaan.

Mengenai tanggapan pewujudan MTEM menggambarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan PERDASAMA tidak berfungsi dengan baik, kata Rizal: "Mereka tetap berfungsi seperti biasa, cuma bezanya kita semua dapat duduk bersama untuk menggerakkan isu-isu ekonomi membabitkan orang Melayu."

Kata beliau: "Sekali lagi jangan lihat NGO sebagai entiti kerana Perdana Menteri sendiri (dalam ucapan penutup Khazanah Megatrends Forum 2011' di ibu negara Selasa lalu) telah menekankan kepada pembangunan modal insan dan bakat di mana kerajaan memerlukan lebih ramai modal insan yang berkaliber."

Rizal turut berkongsi mengenai formula MTEM yang buat sementara beribu pejabat di Damansara Heights itu dalam membawa perubahan mendadak meningkatkan pembangunan ekonomi orang Melayu khususnya di akar umbi iaitu memerlukan tiga tiang - kerajaan, swasta dan NGO.

"NGO hari ini bukan seperti NGO dulu. Ia bukan NGO yang sekadar menguar-uarkan suatu penindasan di peringkat usahawan tetapi sebaliknya terlibat dalam implementasi seperti mana di Haiti dan beberapa negara Timur Tengah.''

Tegas Rizal: "MTEM dengan kunci keberhasilannya adalah Melayu Abad ke-21 bersifat inklusif walaupun ia inisiatif daripada NGOs yang beragenda Melayu.

"MTEM juga adalah kajian Malaysia. Kalau selesai masalah Melayu (ekonomi), maka kita sebenarnya telah selesaikan banyak masalah dalam negara."

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH