Friday, July 9, 2010

MELAYU : MINORITI DALAM MAJORITI


Melayu akan kehilangan kuasa?

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7918742.asp

Kecenderungan generasi muda Melayu yang tidak mahu mendaftar sebagai pengundi sangat berbahaya untuk masa hadapan politik Melayu. Mereka mesti mengubah sikap. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula perlu mengambil tindakan yang lebih drastik dari segi pendaftaran pengundi. Situasi sekarang boleh mengubah pola pengundian antara kawasan pilihan raya. Kita bimbang nanti akan terbentuk sifat pengundian kerana kaumnya. Perjuangan perkauman yang menjadi-jadi sekarang akan tergambar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU- 13). Bagi mereka yang berdaftar pula, ada anggapan apakah tidak kena kalau mereka mengubah selera, menolak Kerajaan. Mana-mana parti pun boleh membentuk Kerajaan asalkan parti atau gabungan pakatan parti itu memenangi majoriti undi sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Kerajaan boleh dengan teraju pemerintahan yang baharu, tetapi risikonya amat besar. Implikasi kepada Perlembagaan, struktur negara, sistem pemerintahan, dasar dan konsep bernegara akan berubah dengan mudah.

Rakyat berhak memilih mempertahankan Barisan Nasional (BN) atau memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR). Banyak alasan yang diberikan, termasuknya kononnya BN sudah lama memerintah, kenapa rakyat harus takut mencuba yang baru. BN bersifat perkongsian dan PR menggunakan konsep yang sama. Apakah itu yang rakyat mahu? Banyak pihak terkejut apabila kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru sejak PRU Ke-12, tahun 2008, jurangnya 1:40 (1 Melayu dan 40 bukan Melayu). Kajian tersebut merangkumi seluruh aspek dari segi umur dan jantina membabitkan golongan tua dan muda. PR mendakwa dan menyelar kajian berkenaan yang dikatakan bermotifkan politik. Bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itulah tandanya kelemahan SPR kerana tidak menggunakan mekanisme daftar pemilih secara automatik. Katanya SPR lebih menjaga kepentingan politik UMNO dan BN kerana melihat kecenderungan pengundi muda menyokong PR.

Isu di hadapan kita ialah kenapakah terjadi lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas PRU 2008? Rakan penulis, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR menyebut DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru dengan tumpuan khusus di kalangan belia Cina. Malahan DAP jauh lebih aktif menjalankan kerja mendaftar itu di bandar, PKR menumpukan perhatian untuk semua kaum dan Pas mensasarkan belia Melayu. Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Melaka Hari Ini, 30 Jun 2010), mengatakan pembangkang terutama DAP di Melaka kini meniru cara atau kaedah yang pernah dilakukan BN dengan membuka kaunter pendaftaran pengundi di kawasan pasar malam. Bagi beliau DAP kerja kuat tetapi BN bekerja lebih kuat. Soalnya bukan siapa dulu, tetapi Melayu jangan ketinggalan. Pengundi Melayu memberi signifikan besar terhadap BN yang diterajui Melayu atau UMNO. Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal, UMNO kini dianggotai 3,159,484 ahli di seluruh negara (Utusan Malaysia, 28 Jun 2010). Apakah semua ahli UMNO, terutama golongan mudanya sudah berdaftar? Sepatutnya UMNO di peringkat bahagian tanpa henti mempergiatkan usaha mendaftarkan para pengundi baru. Sebenarnya demi Melayu dan Islam, UMNO dan Pas sama-sama bertanggungjawab, jangan kira lagi siapa undi siapa, sebab siapa undi siapa tidak siapa yang tahu. Usahakan pendaftaran.

Kalau sehingga kini masih ada kira-kira 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, maka kepada siapa mahu dipersalahkan. Kerja-kerja pendaftaran bukan kerja parti, tetapi parti boleh membantu. Tidak bolehkah SPR turun padang, termasuk membuka pusat pendaftaran, meskipun bermusim, selain di pejabat-pejabat SPR sendiri, buka sahaja di taman-taman perumahan, ke institusi pengajian tinggi, di kompleks beli belah, pasar raya, di dewan orang ramai di kampung dan sebagainya. Itu kaedah alternatif selain secara internet dan selagi pendaftaran automatik belum boleh dilaksanakan. Orang Melayu dan bumiputera mesti disedarkan bahawa undi itu kuasa, bahkan satu undi pun adalah kuasa. Gerakan dan kempen mesti diperhebatkan. Parti-parti Melayu dan bumiputera jangan berdiam diri, kaji coraknya dan proaktif.

Ada banyak kemungkinan kenapa Melayu tidak mahu mendaftar. Pertama, mungkin mereka merasakan bukan suatu keperluan dan tidak mendesak pun. Kedua, generasi muda Melayu agak santai, selesa, memadai dengan memperoleh kerja, hidup menyara diri dan berhiburan. Mereka tidak minat dengan politik dan masa depan bangsa. Ketiga, SPR belum cukup agresif. Ketiga, gerakan parti Cina seperti DAP jauh lebih berpengaruh dengan mendampingi orang Cina, sedangkan MCA dan Gerakan, komponen BN kurang bertindak, tidak seagresif pembangkang. Keempat, faktor geografi dan tempat tinggal yang jauh. SPR mesti mencari jalan terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman. Kelima, orang muda tidak mahu bersusah payah menukar alamat untuk mendaftarkan diri di tempat tinggal masing-masing. Ada sikap ‘tidak apa’ dan menganggap remeh.

Situasi politik mutakhir sudah menjadi lebih kacau dengan kebangkitan semangat kekauman dan perkauman. BN berjaya memerintah Malaysia dengan kemajuan dalam semua bidang serta kesepakatan dalam erti perkongsian kuasa atau pembahagiannya secara bijak sentiasa dicemburui. Parti seperti DAP tidak senang dengan MCA dan Gerakan kerana akur dengan kontrak sosial, manakala Pas tidak akan sekata dengan UMNO kononnya tidak menjulang konsep negara Islam sebenar. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, bagi Pas belum cukup memberi makna. Lalu Pas lebih senang bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam dan kepentingan Melayu dan bumiputera. Pas dikatakan gadai gagasan negara Islam demi kepentingan politik, menerima kesamarataan bukannya keadilan. PKR yang agak cacamerba, bercampur baur dalam matlamat perjuangan, tetapi menaruh cita-cita untuk berkuasa penuh di atas landasan PR. Dengan sifat dan citra pembangkang sekarang, mana mungkin aspirasi Perlembagaan akan mereka pertahan dan tegakkan. Tinggal lagi sebelum ini, BN lemah kerana kepemimpinan UMNO dan komponen BN itu lemah. Melayu mesti sedar, jika salah langkah Melayu akan hilang kuasa. Kuasa politik mereka boleh terhapus. Mahukah Pas bermuzakarah dengan UMNO?

Dalam fenomena pertarungan politik di negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini, apa pun boleh jadi. Penulis terkilan kerana Pas, masih menaruh harap kepada DAP. Karpal Singh terang-terangan menolak konsep negara Islam dan sudah timbul percanggahan dengan Nik Abdul Aziz. Status Malaysia yang sudah diterima dunia sebagai sebuah negara Islam pun dipertikaikan mereka. Kenapa Pas memilih DAP dan PKR yang tidak stabil itu? Apakah rakyat tidak berfikir bahawa gagasan negara Islam tergadai demi kepentingan politik. Pas sepatutnya kaji semula kedudukannya dalam PR. Sesungguhnya rakyat benar-benar belum ada pilihan. Jadi untuk PRU 13, lihatlah jauh ke hadapan jangan emosional tetapi rasional. Buruk baik Kerajaan yang ada, itulah yang terbaik buat semua. Kerajaan pun kena bermuhasabah dan para pemimpin perlu memperbaiki dan membuat penambahbaikan. Buangkan kesombongan politik sebelum tahun 2008 itu dan jangan memperkecilkan kebolehan sesama sendiri.

Program baru kerajaan dengan gagasan 1Malaysia, transformasi kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan RMK10 sudah disediakan sebagai penawar ‘kedukacitaan rakyat’. Kerajaan juga mahu dilihat tidak mudah bermain dengan dasar-dasar yang sudah mantap dan terbukti. Misalnya Dasar Pendidikan Kebangsaan atau dasar-dasar tonggak yang lain, jika tidak perlu berubah maka jangan diubah. Kita sudah ada pengalaman dengan penolakan PPSMI. Jadi kenapa perlu dimansuhkan UPSR, PMR dan mungkin SPM. Itulah tahap kita mengukur keupayaan pelajar dan kualiti pendidikan kita. Jika rancangan ini diteruskan, dibimbangi sekolah-sekolah dan institusi pendidikan swasta akan melaksanakan sistem peperiksaan mereka sendiri dan pastinya akan meminggirkan bahasa kebangsaan. Matlamat perpaduan dan kesatuan bangsa seperti mana gagasan 1Malaysia sukar tercapai.

Kuasa politik itu berada di tangan pengundi. Rakyat melihat bagaimana kerajaan menangani isu dan dasar-dasar negara. Kuasa boleh kekal atau tidak terletak di bahu kerajaan dan di tangan rakyat. Maknanya Kerajaan boleh kekal dengan keyakinan rakyat. Untuk kuasa Melayu dalam Kerajaan, Melayu dan bumiputera mesti sedar. Kini lebih dari 60 peratus belia Melayu masih di atas pagar. Mereka dengan penuh insaf mesti mendaftarkan diri beramai-ramai sebagai pengundi, bangkit dari alpa dan keluar mengundi bagi menyelamatkan Malaysia sebelum dijadikan Malaysian-Malaysia dengan konsep kesamarataan dan menolak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera. Orang Melayu jangan tersesat jalan tetapi tahu akan hakikat kuasa politik dan pemerintahan demi masa depan anak cucu, bangsa, agama dan tanah air.

(Nota: Situasi semasa di Dewan Rakyat, GERAKAN 2, LDP 1, MCA 15, MIC 4, PBB 14, PBRS 1, PBS 3, PRS 6, SPDP 4, SUPP 5, UMNO 78, UPKO 4, DAP 29, PAS 23, PKR 24, PSM 1 dan BEBAS 8)



3 comments:

  1. Salam

    Kawan merasakan bahawa penglibatan kesemua AJK UMNO Lipis diperlukan di dalam blog ini.Individu pertama yang perlu terlibat adalah Rahman, kedua Sharom , ketiga Mustapa Long dan yang lain ikut dema punya kelapangan. Ketiga-tiga mereka ini perlu menzahirkan pandangan mereka tentang status pembangunan Daerah Lipis khususnya isu utama yakni tanah serta lain-lain isu semasa merangkumi sosial dan ekonomi warga Lipis.

    ReplyDelete
  2. Salam

    Kawan rasa administrator blog ini kena hantar notis 14 jam kepada sahabat-sahabat di dalam AJK UMNO Lipis khususnya penama di bawah untuk menulis di blog ini.

    1. Rahman
    2. Dr. Sharom
    3. Mustapha Long
    4. Suhaimi
    5. Ustaz Dr. Halim Mansor
    6. Taha

    ReplyDelete
  3. ini blog UMNO yg paling bodoh dlm sejarah negara dan UMNO sendiri, gambar pemimpin d peringkt tertinggi ada...tapi gmbr Ahli Parlimen yg ternyata dr UMNo tidak d pamerkan.., ni mesti puak2 umno nepoleon admin kpd blog ini, bodoh sungguh..tidak rasional

    UMNO VETERAN MALAYSIA

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH