Friday, June 4, 2010

KEARAH NEGARA PERPENDAPATAN TINGGI


Dr M minta rakyat sokong Najib
Oleh Wan Jailani Razak dan Nazura Ngah

2010/06/04

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DrMmintarakyatsokongNajib/Article

Malaysia tak boleh bergantung kepada FDI industri berasaskan tenaga buruh

TANJUNG KARANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengajak rakyat memberi ruang dan masa kepada Datuk Seri Najib Razak untuk memantapkan perpaduan sekali gus mengukuhkan pembangunan negara.

Beliau yakin Perdana Menteri sedang gigih berusaha walaupun mungkin belum berjaya dan masih ada yang kurang yakin dengan kebolehannya.

Katanya, bukan mudah untuk memulihkan keadaan tetapi ia dapat dipulihkan jika seseorang pemimpin mendapat sokongan jitu daripada rakyat.

"Kalau melakukan sesuatu yang tidak baik, tegurlah tetapi kalau dia melakukan yang baik, sokonglah pemimpin kita supaya dia akan dapat kekuatan daripada sokongan kita.

“Apabila mendapat sokongan yang kuat, dia dapat menjalankan tugas dengan lebih baik. Sudah tentu pemimpin lemah tidak dapat melindungi kita. Sama juga dengan apa-apa kumpulan, pemimpin yang lemah tidak akan memberi manfaat kepada kita.

"Untuk dia menjadi kuat, dia perlu sokongan daripada kita tetapi pada masa sama perlu mengambil berat akan tuntutan daripada kita semua sebagai pengikutnya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program `Bicara Bersama Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad' sempena program `Jom Gegar Tanjung Karang', di Padang Astaka, di sini.

Dr Mahathir berkata, orang Melayu perlu bersatu kembali untuk mengembalikan kuasa politik mereka kerana walaupun mereka kaum majoriti iaitu 60 peratus daripada rakyat Malaysia, mereka terpecah kepada tiga.


Katanya, Melayu kini terpecah kepada tiga dan secara matematik UMNO hanya mewakili 20 peratus daripada 60 peratus Melayu, begitu juga dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Dua puluh peratus bagi setiap parti orang Melayu dianggap lemah. Orang Melayu sudah hilang haluan ada yang dah masuk DAP. Ada orang Melayu pakai tudung bawa bendera roket (DAP) masa pilihan raya kecil Parlimen Sibu," katanya.

Di KUALA LUMPUR: Dr Mahathir berkata bagi menjayakan ekonomi berpendapatan tinggi sekali gus mencapai Wawasan 2020, negara perlu melakukan perubahan drastik dengan tidak lagi bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berasaskan tenaga buruh.

Beliau berkata, ekonomi berpendapatan tinggi bergantung kepada kos sara hidup yang tinggi

“Hari ini Malaysia adalah negara yang sangat murah, semuanya murah di sini tetapi kita tak mampu untuk mendapatkan semua benda murah jika kita mahukan ekonomi berpendapatan tinggi.

“Oleh itu kita perlu berubah dalam usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dengan tidak bergantung lagi kepada FDI dalam industri intensif buruh,” katanya pada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Persidangan Antarabangsa Akademi Sains Malaysia 2010, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai pada masa yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH