Friday, March 26, 2010

UMNO : PERLU BERUBAH SEBELUM DIUBAH



Berubah Atau Diubah

Mar 25th, 2010 By administrator Category: Berita Lain

http://umno-online.com/?p=7273


Pada setiap pertemuan dengan pemimpin dan ahli-ahli akar umbi UMNO, dua perkataan paling kerap disebut Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ialah BERUBAH atau bersedia untuk DIUBAH.

Presiden parti selalu mengingatkan, jangan biarkan mimpi ngeri 8 Mac 2008 berulang. UMNO mesti bingkas bangun. Lakukan pembetulan, perubahan, penambah baikkan dan transformasi supaya parti teras Barisan Nasional ini tetap dominan dan menjadi pilihan rakyat.

Kata Najib bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak-tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

“Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Manakala MEB dan RMK-10 adalah merupakan komitmen dan landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya tahun 2020,’’ ujar beliau

Najib telah membuktikan kesungguhan melakukan proses transformasi . Pada parti mesti ada imej baru dan berubah untuk menyenangkan hati rakyat. UMNO ubah perlembagaan dan buat kali pertama sejak 1987, jawatan Presiden tidak ada perlindungan undi bonus.

’’Kalau hendak buat perubahan dalam parti mesti bermula daripada jawatan Presiden.. Inilah yang dikata UMNO lebih terbuka, demokratik dan inklusif,’’ kata Najib pada satu pertemuan dengan pemimpin akar umbi.

Perubahan yang hendak dilakukan juga bukan sekadar retorik, tidak mampu memberikan kesan mendalam, sebaliknya ia harus meletakkan UMNO relevan dengan masa.
Pesan Najib:“ kalau ada program dengan rakyat, turunlah. Tunjukkan kita menjuarai penyelesai masalah rakyat. Turun ke bawah bersama mereka. Kembali kepada semangat tradisi membela rakyat,’’.

Dalam soal ini, komitmen pemimpin dan ahli UMNO amat penting kerana mereka tidak boleh menganggap seruan ke arah melakukan perubahan berkenaan sekadar satu seruan sahaja.
Ahli-ahli UMNO perlu sentiasa ingat pesan Najib bahawa urusan seperti biasa bukan lagi menjadi pilihan UMNO jika tidak mahu mengulangi mimpi ngeri Mac2008.

“Kita tidak ada pilihan, ubah sikap. Utamakan kepentingan parti atau bersedia untuk diubah oleh rakyat melalui penolakan dalam pilihan raya sehingga hilang tampuk kekuasaan politik.

“Contohi serta ambil teladan empat sifat Nabi Muhammad SAW iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan..

‘’ Dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperolehi oleh Baginda dan para sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh berstrategi dan konsisten,’’ kata Najib.

Pastinya Berubah atau DiUbah menyentak minda pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Mesej Najib mesti dihayati dan diterjemahkan menerusi gerak kerja bersepadu, keikhlasan dan keberanian bertindak menyusun strategi perjuangan bagi memastikan seluruh tenaga digembleng untuk kemenangan PRU13.

UMNO perlu sentiasa dekati dan berikan khidmat bakti menjaga kebajikan rakyat. Jika hari ini UMNO berbudi, satu hari nanti rakyat akan ingat dan menyokong kepimpinan parti itu.

Jika ahli UMNO benar-benar mahu memastikan kelangsungan perjuangan parti keramat ini sebagai tulang belakang kerajaan, maka berazamlah untuk melakukan transformasi dalam semua aspek seperti yang dikatakan sebelum ini.

Bersedialah mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Jangan sekali-kali dijangkiti sindrom penafian kerana ia satu penyakit besar yang hampir menumbangkan UMNO.

Memetik kata Najib;“ Kalau hendak menang mesti kerja dengan bersungguh-sungguh. Kena bangun daripada tidur dan mimpi ngeri 2008. Rakyat sentiasa memerhati kita. Kembali kepada semangat membela dan menjuarai rakyat.’’

2 comments:

  1. Salam bro, menarik artikel tuan..... benar sangatlah UMNO perlu berubah, sejauh mana ahli-ahli peringkat akar umbi juga menerima saranan ini..... Ahli-ahli perlu lebih dulu berubah sikap daripada mengutamakan kebendaan kepada penilaian untuk memilih seseorang pemimpin.... sikap mengharap upah didahulukan perlu dihindari bermula dari sekarang, contohi cara perjuangan pengikut-pengikut PAS....

    ReplyDelete
  2. umno tak perlu berubah.. yang perlu berubah adalah sikap pemimpin umno lepeh yg gilakan jawatan itu lah perlu diubah sebelum rakyat mengubah mereka!

    ReplyDelete

KUALA LIPIS BERSEJARAH