Monday, November 23, 2009

1MALAYSIA : PIAGAM MADINAH

1MALAYSIA:
SEJARAH PIAGAM MADINAH DAN PENYATUAN MASYARAKAT MAJMUK


KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia", -- bangsa yang bersatu, itu yang dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan konsep 1Malaysia.Apa yang ketara konsep bersatu yang ditekankan 1Malaysia, menuntut warga Malaysia mengambil tindakan berdasarkan semua kumpulan etnik di negara ini dan melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum masing-masing.

Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Muhammad Hisyam Mohamad berkata usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan kesatuan dan perpaduan."Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika mereka bergabung atas dasar saling mempercayai dengan kumpulan masyarakat yang lain. Kesatuan menghasilkan semangat untuk bekerjasama dan seterusnya membantu mempercepat usaha pentadbir menyalurkan kebaikan dan kemakmuran kepada masyarakat," katanya.

Dalam tulisannya mengenai 1Malaysia yang dihantar kepada Bernama, Muhammad Hisyam mengambil contoh sejarah awal tamadun Islam yang menjadikan kesatuan asas kukuh kepada sesebuah negara yang didiami masyarakat majmuk.Bukti paling jelas ialah dengan melihat Piagam Madinah yang didraf oleh Rasulullah s.a.w selaku pengasas dan ketua kerajaan Islam Madinah yang mengandungi 47 fasal."Baginda s.a.w meletakkan unsur kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan yang sama oleh semua penduduk Madinah," katanya.

Menurut beliau, kandungan Fasal 2 piagam itu dapat diterjemah sebagai penekanan oleh Nabi Muhammad s.a.w terhadap unsur kesatuan dan kesepaduan bagi memastikan masyarakat majmuk dapat menikmati kehidupan yang harmoni dan bermutu di dalam negara.


PIAGAM MADINAH

Selain itu, bagi mengelak sebarang prasangka yang boleh menghakis keutuhan perpaduan kaum, piagam Madinah Fasal 15 dan 16 turut menyenaraikan jaminan perlindungan keselamatan yang sama rata kepada setiap penduduk Madinah, termasuk kaum Yahudi selagi mereka mematuhi isi kandungan piagam.Beliau menarik perhatian kepada Fasal 47 piagam itu, yang menyebut mana-mana pihak yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan, tidak diberi sebarang keistimewaan atau perlindungan di bawah piagam berkenaan.

Muhammad Hisyam turut menyentuh Fasal 25 piagam yang memberi kebebasan kepada penduduk Madinah untuk mengamalkan anutan masing-masing."Ini satu penghormatan yang diberikan oleh agama Islam kepada penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang gangguan atau sekatan daripada pihak pemerintah Muslim," jelas beliau.
Bagaimanapun, sebagai imbalan kepada pelbagai hak yang diberikan oleh pemerintah, penduduk dikehendaki bertanggungjawab berganding bahu menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran dalam bidang kewangan, ekonomi dan kemasyarakatan di dalam negara.
Fasal 47 itu menggambarkan bahawa satu bangsa yang bersatu bukan sahaja berkongsi negara malah mereka juga perlu berkongsi usaha untuk memajukan negara berkenaan dalam pelbagai bidang kehidupan.

PENDEKATAN YANG ADIL

Justeru itu, bagi Muhammad Hisyam, pendekatan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", dilihat tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan piagam yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan Baginda s.a.w ke kota Madinah.

Menurut beliau pendekatan itu turut memperlihat unsur-unsur keadilan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak menerusi satu jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada rakyat -- iaitu tiada anggota masyarakat akan terpinggir kerana semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, sosio-ekonomi dan budaya dijanjikan satu pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan."Saya tidak nampak kewarasannya kenapa kita menolak pendekatan ini. Ia satu dasar yang amat baik yang patut diberi sokongan padu oleh semua. Tujuannya bagi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat."Cuma yang perlu difikirkan ialah apakah alat-alat yang sesuai yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk kita bersatu. Cukupkah dengan hanya janji-janji pemerintah bahawa tiada ahli masyarakat yang akan dipinggirkan di dalam arus pembangunan negara dapat menjadikan rakyat Malaysia bersatu?Atau apakah pelaksanaan yang boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan 28 juta penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam ini?" soal beliau.

PERLU PERUBAHAN

Bagi ahli akademik di Fakulti Pendidikan UKM, Puan Sri Prof Dr Rohaty Mohd Majzub, Malaysia ialah negara contoh untuk seluruh dunia tentang konsep perpaduan yang dibina oleh pemimpin negara.Ia boleh dilihat melalui sistem pendidikan dengan melaksanakan program pendidikan dan satu kurikulum kebangsaan untuk menjana perpaduan.Menurut beliau, Malaysia secara relatifnya aman damai kecuali ada titik hitam 13 Mei 1969 dan kisah pertentangan dan konflik perkauman beberapa tahun lalu."Dalam usaha membina perpaduan bangsa, ia meliputi konteks input proses dan produk."Konteksnya sekarang berbeza dengan sebelum merdeka dahulu. Ini lumrah hidup tidak ada sesuatu yang kekal melainkan perubahan. Sudah tentu konteks telah berubah bersama perubahan sosial, pendidikan, ekonomi dan politik, " katanya.

Prof Rohaty berkata masyarakat negara ini turut dipengaruhi pelbagai rangsangan seperti internet dan blog dan input seperti ini mempengaruhi proses dan produk.Menurut beliau, dahulu proses integrasi dan pembinaan negara memfokus kepada sistem persekolahan dan kurikulum kebangsaan iaitu "satu bahasa, satu bangsa dan satu iklim persekolahan".

Bagaimanapun, Prof Rohaty tidak bersetuju bahawa 1Malaysia diperkenal ekoran perpaduan masyarakat yang semakin lemah atau disebabkan masyarakat yang buta sejarah.Menurutnya pandangan itu memerlukan kajian terperinci untuk dibuktikan."Dahulu kita ukur sejauh mana seseorang itu bersikap perpaduan seperti adakah orang akan berdiri jika Negaraku dimainkan? Tetapi sekarang pengukuran perpaduan lebih kompleks daripada itu kerana kita perlu mendalami pemikiran dan dasar hati manusia."Saya tidak berani hendak kata perpaduan kurang kecuali telah ada data kuantitatif dan kualitatif untuk menyokongnya. Jika ukuran telah berubah tentu apa yang kita ingin lihat juga telah berubah," tegas beliau.

PENGISIAN DI BIDANG PENDIDIKAN

Sebagai ahli akademik, Prof Rohaty melihat pendidikan ialah ejen perubahan yang amat penting kerana kanak-kanak belajar bersosial di sekolah.Beliau berpendapat falsafah dan dasar perlulah jelas kerana ia akan mempengaruhi pelaksanaannya.Menurut beliau, 1Malaysia perlu dilihat bersama-sama dengan falsafah yang sedia ada seperti Rukunegara, Falsafah Pendidikan Negara, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan lain-lain.

(1Malaysia memberi penekanan kepada lapan nilai -- budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti)"Pada saya, nilai-nilai ini perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum.

Walaupun bukan baru, ia perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh. Ia perlu dijadikan teras kurikulum serta diukur dari segi hasil pembelajaran baik di sekolah atau di universiti.

Bagaimanakah nilai ini boleh dijayakan?, Prof Rohaty mencadangkan pakar -pakar pendidikan mengubah pendekatan pendidikan supaya nilai-nilai ini terserlah dan diakui penting."Contohnya tugasan akademik di universiti perlu ada elemen kesungguhan dari segi teori, cara menulis dan membincangkan sesuatu isu. Selain itu, integriti diukur melalui tingkah laku individu yang terlibat.

MENGUBAH PANDANGAN SKEPTIKAL

Kejayaan sesuatu perubahan terletak kepada penerimaannya.Dalam psikologi perubahan, akan ada individu yang berfikiran pesimis dan hanya melihat kepada rintangan sahaja. Ia boleh mempengaruhi individu lain."Perpaduan bukan cerita baru yang tidak diketahui. Berbekalkan sejarah dan teras ini saya rasa pandangan skeptikal boleh dikurangkan.

Caranya ialah mewujudkan penerimaan ke atas 1Malaysia (nilai yang dikongsi)," ulas Prof Rohaty."(Ini bermakna) Perlulah nilai itu diterima dan difahami manfaatnya kepada kualiti hidup, organisasi dan diri sendiri.Saya rasa nilai-nilai ini cukup universal dan relevan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama."Prof Rohaty menolak pendapat yang mengatakan 1Malaysia hanya gimik politik. kerana politik dan kehidupan baginya merupakan dua elemen yang tidak boleh diasingkan. Maka kewujudan 1Malaysia akan mempengaruhi sosio-pendidikan dan politik.

Baginya 1Malaysia bertujuan melanjutkan proses membina negara yang terlaksana 50 tahun lalu."Politik dan pendidikan saling berkaitan maka masyarakat patut berfikiran terbuka menerima nilai-nilai dan pembelajaran baru yang lebih kreatif."Saya fikir banyak yang perlu diperjelas dalam 1Malaysia khususnya melaksana dan menilai kejayaannya."Kita perlu meneliti perbezaan dan fikiran setiap warga Malaysia tentang 1Malaysia dengan hati terbuka dan mencari permuafakatan. Saya berpendapat setiap warga perlu memberikan pandangan mereka dan lebih ramai cerdik pandai dapat berbuat demikian," ulasnya.Beliau turut melihat golongan pelajar sekolah sebagai sasaran: "Kanak kanak adalah golongan yang paling terbuka fikiran mereka. Individu dewasalah yang boleh meracun fikiran mereka. Oleh itu nilai tersebut perlu diterapkan sejak tadika lagi."

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH