Wednesday, October 14, 2009
RUKUN PEMBAHARUAN UMNO
4 Rukun Pembaharuan – TPM
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu digerakkan oleh seluruh warga UMNO bagi menjayakan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.
Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah.
Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah.
“Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO relevan dengan putaran masa. UMNO perlu relevan memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru,” kata beliau dalam ucapan perasmian sulungnya itu yang dihadiri oleh 2,379 perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri.
Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu perlu bermula dengan
1. kesatuan minda (wahdatul fikr);
2. dihayati dengan kesatuan hati (wahdatul qalb);
3. bergerak dengan kesatuan amal (wahdatul amal); dan
4. menuju kesatuan matlamat (wahdatul hadaf).
“ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air.
“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.”
Sambil merujuk peringatan Allah dalam ayat al-Quran surah al-Shof, ayat 4, Muhyiddin berkata, parti perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan, perlu bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, menurut perintah dan meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri.
“Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.
“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu UMNO,” kata beliau.
Timbalan Presiden menegaskan, UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas.
“ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan.
“UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang,’’ katanya.
Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi.
“Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima rakyat,” jelasnya.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan: “UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.”
Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah.
“Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.”
Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan.
“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak."
“ Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara.”
Dalam menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama, bangsa dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
perjuangan mesti diteruskan..hidup yb rahman..
ReplyDelete