Monday, July 20, 2009

PEMIMPIN UMNO AKAN IKUTI KURSUS BANGKIT SEMANGAT BARU


SHAH ALAM 19 Julai - Semua pemimpin UMNO di setiap peringkat akan mengikuti program latihan dan motivasi secara berperingkat bagi menyuntik semangat baru di kalangan mereka mulai bulan depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri berkata, program itu akan dimulakan dengan penyertaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang.

Beliau memberitahu, program yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Pengurusan dan MT UMNO itu akan diperluaskan ke seluruh negara dan melibatkan pemimpin UMNO bahagian dan cawangan.
Katanya, langkah itu untuk menyuntik semangat pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat dalam usaha membangkitkan semula keyakinan baru dan kepercayaan masyarakat kepada parti tersebut.

"Kita tidak mahu selepas pilihan raya umum lalu di beberapa tempat dan negeri yang kita kalah, seolah-olah ahli parti sudah tidak bersemangat lagi
"Saya percaya perlu ada suntikan baru jadi dengan pendekatan dan modul baru ini saya yakin ini dapat membangkitkan semangat baru di kalangan ahli-ahli parti," kata beliau.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ahmad Nawawi M. Zain.
Muhyiddin menjelaskan, dalam tempoh dua tahun ini latihan lebih ditumpukan untuk pemimpin-pemimpin di semua peringkat.
Katanya, ini penting kerana mereka akan menjadi penggerak utama dan membimbing ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan terhadap hala tuju perjuangan parti.
"Kita mahu supaya ada imej baru dapat ditonjolkan dan ini akan digandingkan dengan tindakan-tindakan bersama rakyat hingga peringkat bawah.
"Tindakan juga diambil bagi mengetahui apa yang ahli parti lakukan untuk menangani rintihan rakyat dan menyelesaikan isu-isu mereka," katanya.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mendekati rakyat tetapi meneruskan perjuangan membela nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia.
"Ia akan meningkatkan semula keyakinan baru bahawa UMNO mampu membawa perubahan kepada negara ini,"jelasnya.
Beliau memberitahu, latihan itu akan dilaksanakan secara berterusan kerana jumlah ahli UMNO kira-kira tiga juta orang menyebabkan tidak mungkin ia boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.
Tambahnya, parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) juga turut digalakkan menganjurkan latihan motivasi seperti itu.
Sementara itu dalam ucapannya, Muhyiddin mahu ahli-ahli UMNO di Selangor bangkit untuk menghadapi apa juga cabaran bagi mengembalikan semula pemerintahan negeri kepada BN.
Katanya, walaupun berada dalam keadaan yang kritikal tetapi itu bukan bermakna UMNO dan BN tiada harapan meraih kecemerlangan dalam pilihan raya akan datang.
"Saya percaya kita dapat kembalikan semula kepimpinan masyarakat Melayu di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

KUALA LIPIS BERSEJARAH