Tuesday, April 3, 2012

PRU 13 : "TRACK RECORD" VS POPULIS SEMBERONO



Kerajaan BN bukan kerajaan populis semberono - Najib


Isnin, 02 April 2012 22:18

Administrator

http://agendadaily.com/Muka-Hadapan/kerajaan-bn-bukan-kerajaan-populis-semberono-najib.htmlhttp://agendadaily.com/Muka-Hadapan/kerajaan-bn-bukan-kerajaan-populis-semberono-najib.html

Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini bukan "kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab", malah merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa berhemah dalam membuat dasar dan membelanjakan wang negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dalam membuat dasar dan berbelanja, kerajaan tidak sesekali berniat untuk meranap mahupun membankrapkan negara.

"Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan. Sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2011 di Angkasapuri, malam Isnin.

Ia turut disiarkan secara langsung di saluran RTM1.

Najib berkata kerajaan BN juga tidak gentar untuk bersaing dalam pasaran idea yang bebas dan kompetitif kerana dipilih secara demokratik di dalam pilihan raya umum yang bebas dan adil.

"Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca.

"Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai "track record" yang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya," katanya.

Bernama melaporkan malah, katanya kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah untuk menjadikan negara lebih demokratik termasuk dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, selain membatalkan tiga perisytiharan darurat.

Selain itu, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, dan meminda Akta Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan lesen tahunan penerbitan.

Najib berkata bagi memastikan negara dapat mencapai status negara maju dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara memerlukan "pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat."

"Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar "jangan sesekali salah membuat pilihan dan berhati-hati dengan tukang karut yang melipur lara."

"Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan.

"Makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya," katanya.-2/4/2012

Berikut adalah ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2011.

Rakyat Malaysia sekalian,

1. Ceritera kejayaan Malaysia merupakan ceritera yang telah di tinta emas. Ia telah dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Negeri Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut Cina Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.

2. Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan para guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang merupakan roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.

3. Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia. Kita berdiri di atas bahu para patriot negara, bahu-bahu gergasi para bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6.

5. Di dalam ucapan sulung tersebut, saya telah menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

6. Falsafah asas yang telah saya dan rakan-rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan Masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.

7. Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia dari perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang telah melanda banyak negara-negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.
Rakyat Malaysia yang dihormati

8. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung kepada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki merupakan sumber kekuatan bukannya kelemahan.

9. Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang tersebut. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warganegara yang mampu menyumbang. Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia telah menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.

10. Menjadi keyakinan yang telah saya nyatakan secara terbuka bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Menginsafi hakikat ini, dalam menggubal komponen pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Program Transformasi Kerajaan atau GTP, kita telah mewujudkan makmal-makmal khusus bagi mendapat maklum balas daripada rakyat, tentang apakah yang sebenarnya menjadi urutan keutamaan mereka.

11. Hasil daripada merundingi rakyat, sebanyak 7 bidang keberhasilan utama atau NKRA telah dikenal pasti untuk dilaksanakan. Bagi memastikan pencapaian KPI di bawah NKRA ini akan mampu dicapai mengikut jadual atau lebih pantas, maka kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggunakan strategi lautan biru kebangsaan atau “national blue ocean strategy” di dalam beberapa NKRA.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

12. Pada malam ini, genaplah 3 tahun pentadbiran saya. Saya berdiri pada malam ini bagi melaporkan pada tuan-tuan dan puan-puan apa yang telah kita capai setelah perencanaan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategi.

13. NKRA yang diberi keutamaan, adalah untuk menangani kos sara hidup. Kerajaan prihatin bahawa rakyat terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Ia melanda bukan sahaja penduduk bandar, tetapi juga penduduk luar bandar. Hakikatnya, semua segmen warganegara terkesan olehnya. Bagi meringankan bebanan ini, kerajaan telah merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menanganinya.

14. Antara langkah jangka pendek bersifat “one off” yang telah dilaksanakan bagi tahun 2012 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, sebanyak RM 500 yang memanfaatkan hampir 4 juta isi rumah negara yang berpendapatan di bawah RM3 000.

15. Tidak cukup dengan bantuan BR1M, kerajaan juga memberikan bantuan persekolahan RM 100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini telah memanfaatkan 5.3 juta orang pelajar sekolah seluruh negara. Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Tingkatan 6 pula, mereka tidak dilupakan. Baucar buku bernilai RM200 telah disediakan yang telah memanfaatkan 1.3 juta orang pelajar. Semua bantuan ini melibatkan peruntukan hampir RM 3 bilion.

16. Kerajaan juga baru-baru ini telah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus bagi 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang telah memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Manakala bagi sektor swasta, saya akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada akhir bulan ini.

17. Untuk langkah jangka sederhana, kerajaan telah memperkenalkan beberapa prakarsa bagi mengurangkan tekanan kos hidup antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia serta pembekuan kenaikan untuk tempoh 5 tahun harga tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur serta penghapusan tol di beberapa laluan seperti di Lebuh Raya Cheras- Kajang dan Lebuh Raya Connaught.

18. Untuk tempoh jangka panjang, menyedari bahawa perumahan merupakan komponen terbesar kos sara hidup, maka kerajaan telah memperkenalkan Skim Perumahan 1Malaysia atau PR1MA untuk membina perumahan mampu milik di kawasan Bandar bagi golongan pertengahan, manakala untuk golongan berpendapatan rendah skim seperti Projek Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan di tingkat giatkan lagi. Bagi perumahan kawasan luar bandar, pembinaan rumah yang mencukupi akan diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kerajaan juga tidak melupakan perumahan bagi golongan nelayan. Bagi tahun 2012 sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina dan membaik pulih rumah.

19. Selain daripada semua inisiatif di atas, Kerajaan juga komited untuk meneruskan dasar subsidi yang terpilih melibatkan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum, hasil petroleum termasuk minyak kereta, diesel dan gas memasak. Kerajaan juga memberikan subsidi bil elektrik bagi 1 juta isi rumah yang melibatkan bil bernilai RM20 ke bawah. Segala subsidi ini membabitkan peruntukkan sebanyak lebih RM30 bilion setahun.

20. Kerajaan yang sedia ada ialah kerajaan yang berkebajikan dan bertanggungjawab. Pengurusan ekonomi serta hasil secara berhemah telah memungkinkan lebih RM 30 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi secara langsung bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat serta hampir RM 3 bilion untuk berian terus bagi tahun 2012.

Rakyat Malaysia sekalian,

Keduanya, NKRA yang bermatlamat mengurangkan kadar jenayah.

21. Kerajaan telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru (national blue ocean strategy) untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan di mana kadar jenayah jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 39%, manakala jenayah keseluruhan telah berkurang sebanyak 11% semenjak tahun 2009.

22. Usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan telah menyaksikan era baru kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia, di mana pusat-pusat latihan tentera sedia ada telah dimanfaatkan untuk melatih juga anggota-anggota polis. Kesannya, dengan kos yang minimum lebih banyak anggota polis boleh dilatih dengan kadar lebih pantas, seterusnya diatur gerak ke kawasan-kawasan yang memerlukannya. Di bawah strategi lautan biru ini juga rondaan bersama anggota polis dan tentera serta anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang dilatih khusus serta dikawal selia oleh pihak PDRM di laksanakan bagi tujuan pencegahan jenayah. Sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kadar jenayah ini juga, teknologi inovatif dan moden seperti pemasangan CCTV akan di tingkat luaskan.

Ketiga, NKRA yang bermatlamat meningkatkan pencapaian pelajar.

23. Buat pertama kalinya dalam sejarah Negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77% daripada anak-anak kita telah mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat pra-sekolah berbanding 67%, 2 tahun yang lalu. Kerajaan menyedari anak-anak ialah permata Negara. Pendidikan seawal mungkin akan menjamin mereka mendapat kelebihan persaingan dalam kehidupan masa depan.

24. Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti. Menyedari hakikat itu, saya telah pun mengumumkan laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat “time based” dalam Bajet 2012 dan mengumumkan jaminan penerusan komitmen tersebut dalam ucapan saya kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini.

Keempat, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.

25. Kerajaan tidak pernah melupakan penduduk luar Bandar. Keprihatinan kerajaan ini terbukti apabila pada Tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan. Semenjak 3 tahun yang lalu, usaha untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar telah diberikan nafas baru dengan penekanan ke Negeri Sabah dan Sarawak.

26. Setakat ini, hampir 1000 kilometer jalan luar Bandar telah dibina. Dalam sejarah negara, ini merupakan jumlah kilometer jalan terpanjang yang pernah dibina dalam tempoh 2 tahun. Sebagai perbandingan, panjangnya melebihi Lebuh Raya Utara-Selatan sedia ada. Menggunakan strategi lautan biru, Angkatan Tentera Malaysia melalui Projek Jiwa Murni telah membantu dalam pembinaan jalan-jalan luar Bandar ini. Contohnya, Long Lopeng ke Ba’kelalan, Kuala Medalam ke Medamit, Limbang dan Kampung Saeh, Bekenu, Miri.

27. Semenjak pelaksanaan NKRA ini tiga tahun yang lalu, sebanyak 27 ribu lagi isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik dan lebih 70 ribu lagi isi rumah pula mendapat bekalan air yang bersih. Hasil langkah-langkah ini telah meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada air bersih. Bagi negeri Sabah peningkatan melibatkan 8% membabitkan lebih 150 ribu penduduk. Bagi negeri Sarawak, peningkatan ialah sebanyak 5.3% yang membabitkan lebih 100 ribu penduduk. Manakala bagi negeri-negeri di Semenanjung, peningkatan ialah sebanyak 3.6% yang membabitkan lebih 250 ribu penduduk. Bagi bekalan elektrik pula, negeri Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8% dan 6.2%, yang memanfaatkan lebih daripada 230 ribu penduduk.

28. Bagi merancakkan lagi pembangunan luar Bandar, Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar sebagai sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional. Di bawah program ini, Pusat- Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) telah dan bakal didirikan. Pusat RTC pertama telah dilancarkan di Gopeng, Perak. Manakala RTC yang berikutnya akan dilancarkan di Kota Bharu dan beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti.

Rakyat Malaysia yang dihormati,

Kelima, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

29. Bagi meningkat kualiti kehidupan rakyat terutama di kawasan bandar, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek besar pengangkutan awam. Projek paling utama ialah projek MRT yang merupakan projek pengangkutan awam bandar jangka panjang yang paling komprehensif dalam sejarah pengangkutan awam negara. Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam tempoh 5 tahun akan datang.

30. Sementara itu, kerajaan telah pun mengambil tindakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan LRT dengan penambahan dari gerabak 2 koc kepada gerabak 4 koc, dan pemanjangan kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang Jaya. Pemanjangan kedua-dua laluan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 500 ribu pengguna sehari semasa waktu puncak.

31. Bagi perkhidmatan komuter KTM pula, koc-koc baru telah pun dibeli dan akan diperoleh secara berperingkat. Ini akan meningkatkan mutu dan keselesaan perkhidmatan komuter. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan keselesaan kepada hampir 100 ribu pengguna harian. KTM juga kini dalam proses mempersiapkan laluan berkembar dan proses elektrifikasi laluan Ipoh-Padang Besar.

32. Di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah memperkenalkan Bas Ekspresway Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370 ribu orang pengguna setiap hari.

Keenam, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

33. Perang terhadap kemiskinan telah dilancarkan secara sistematik dan berterusan semenjak kemerdekaan lagi. Ia dilaksanakan secara lebih saintifik bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Matlamat kedua DEB adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita telah berjaya membasmi kemiskinan tegar apabila kita telah mengeluarkan lebih 44 ribu isi rumah daripada kategori tersebut. Namun, kita tetap waspada terhadap kes-kes baru yang mungkin berlaku.

34. Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif, seumpama akhiri zaman miskin atau 1AZAM yang telah memberi nikmat kepada lebih 47 ribu isi rumah yang melibatkan perbelanjaan lebih RM 500 juta. Manakala di bawah program Kebajikan Rakyat 1 Malaysia atau KAR1SMA pula sebanyak RM 1.4 Bilion diperuntukkan setiap tahun kepada 500 ribu penerima bantuan kebajikan masyarakat seluruh negara.

Ketujuh, NKRA yang bermatlamat membanteras rasuah.

35. Kerajaan komited bagi membanteras gejala rasuah. Jenayah rasuah adalah ibarat barah kepada kelangsungan dan pembangunan negara. Ia mampu memusnahkan keharmonian rakyat. Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam usaha memerangi rasuah. Tidak timbul soal bahawa tindakan hanya akan diambil terhadap “ikan bilis” manakala “ikan jerung” akan dibiarkan terlepas bebas. Sehingga akhir 2011, sebanyak 900 pesalah rasuah telah disabitkan kesalahan. Kerajaan telah pun menubuhkan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah. Manakala badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditingkat upaya dengan secukupnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

36. Selain GTP yang telah diperkenalkan pada Tahun 2009, kerajaan juga pada Tahun 2010 telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama-sama 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) serta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP). Melengkapinya ialah Model Baru Ekonomi (NEM) serta 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

37. Matlamat utama ETP dan NEM adalah untuk mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan yang betul, bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

38. Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.

39. Perubahan dan pembaharuan yang kita lakukan melalui inisiatif ETP dan NEM sepanjang 2 tahun yang lalu telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Contohnya, laporan World Economic Forum bagi Tahun 2012 telah menyaksikan Malaysia naik 5 anak tangga dalam senarai daya saing ekonomi dunia berbanding tahun sebelumnya. Malaysia hari ini adalah antara 21 buah negara paling kompetitif ekonominya di dunia. Manakala, Bank Dunia di dalam laporannya “Doing Business 2012” pula telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-18 paling mudah memulakan atau menjalankan urus niaga. Kita telah memintas negara-negara yang maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan Perancis. Syarikat perunding A.T Kearney juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi Tahun 2012.

40. Semasa ETP dilancarkan 2 tahun lalu, pendapatan perkapita negara adalah USD 6 700. Hari ini, ia telah meningkat kepada USD 9 700. Manakala data 2011 menunjukkan pencapaian tertinggi KDNK atau GDP serta PNK atau GNI negara semenjak merdeka. Angka KDNK telah mencecah RM 852. 7 bilion manakala PNK pula RM830.7 bilion. Pencapaian ini telah membolehkan kerajaan mengutip jumlah hasil tertinggi dalam sejarah pasca merdeka iaitu RM 185.54 bilion membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping langkah-langkah di ambil bagi membaiki kedudukan fiskal kerajaan. Terbukti apa yang telah dicapai dalam kerangka waktu ini, menunjukkan kita berada di trajektori yang betul untuk mencapai pendapatan perkapita USD 15 000 pada tahun 2020.

41. Sejak pelancaran ETP pada 2010, sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing telah meningkat sebanyak 12.3% kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19% kepada RM94 bilion. Sebanyak 313 ribu peluang pekerjaan baru dijangka dapat dicipta daripada keseluruhan RM179 bilion nilai pelaburan yang telah diumumkan di bawah ETP. Sebanyak RM129 bilion pendapatan negara kasar pula dijangka dapat dijana menjelang Tahun 2020.

42. Bagi menambah kukuh kewibawaan dan keutuhan perancangan hasil pelaksanaan program-program transformasi kerajaan khususnya GTP dan ETP, satu prosedur dijalankan oleh firma antarabangsa Price Waterhouse Coopers, dengan disemak oleh sebuah Panel Antarabangsa yang dianggotai oleh pakar-pakar berwibawa antaranya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, serta Korea Selatan.

Rakyat Malaysia Sekalian,

43. Segala yang saya telah bentangkan sebentar tadi adalah bukti jelas sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan yang ada. Kerajaan ini telah berterus terang dengan rakyat Malaysia tentang apakah masalah dan cabaran yang sedang di hadapi negara, dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenalpasti.

44. Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional telah dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, Kerajaan hari ini jelas tentang ke arah mana hala tuju yang ingin di bawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

45. Kita dambakan sebuah negara yang memiliki prasarana asas yang moden yang dapat dinikmati semua warga Malaysia sama ada di pedalaman, luar bandar, pinggir bandar mahupun di bandar. Kita impikan sebuah negara di mana persekitarannya sejahtera dari jenayah, alam sekitarnya bersih dan sistem pengangkutan awamnya cekap. Kita menginginkan sebuah negara di mana jalan rayanya selamat, bekalan airnya bersih, bekalan elektrik, akses kepada internet jalur lebar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikannya adalah yang terbaik. Kita mahukan sebuah negara di mana pekerjanya terutamanya generasi muda mendapat peluang pekerjaan yang upahnya setimpal, di mana gaji minimum akan berada di atas paras kemiskinan, serta semakin tinggi kemahiran yang dimiliki maka semakin tinggi pula ganjarannya.

46. Kerajaan hari ini tidak takut untuk bersaing dalam gelanggang yang demokratik. Bukankah kerajaan ini yang memansuhkan I.S.A., Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, serta meminda Akta Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan lesen tahunan penerbitan.

47. Hakikatnya, kerajaan hari ini dipilih secara demokratik di dalam pilihanraya umum yang bebas dan adil. Oleh itu, kita tidak sekali-kali takut mahupun gentar bersaing dalam pasaran idea yang bebas dan kompetitif. Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca. Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai “track record” yang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.

48. Kerajaan yang saya pimpin bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan ini di dalam merangka sebarang dasar, di dalam membelanjakan wang negara tidak akan sekali-kali meranap mahu membangkrapkan negara. Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya.

49. Perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan sebuah negara maju hanya tinggal 8 tahun lagi untuk dicapai. Seperti yang saya analogikan sebentar tadi, untuk menuju matlamat nasional kita memerlukan kenderaan yang berprestasi tinggi, komponen enjin yang berkualiti, bahan api mencukupi, destinasi yang jelas dan lebuh raya terbaik. Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan kepada pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat. Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.

50. Oleh yang demikian, jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan tukang karut yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan. Makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya.

Rakyat yang dikasihi

51. Sesungguhnya, masa depan kita dan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji.












Thursday, March 22, 2012

PRU13 : FEEL GOOD FACTOR



Najib sanggup 'hilang kawan' yang kecil hati kepentingan politik dan peribadi tak dipenuhi...

Khamis, 22 Mac 2012 11:54

ROSLI ISMAIL

http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/najib-sanggup-hilang-kawan-yang-kecil-hati-kepentingan-politik-dan-peribadi-tak-dipenuhi.html

Bila pilihanraya? Sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak ditanya mengenainya soalan popular itu.Ini semasa sesi temuramah beliau dengan stesen radio berbahasa Cina 988 FM pagi Khamis.

Pengacara radio itu ingin tahu apakah ia ada kemungkinan pada bulan Mei atau Jun ini.

Dari jawapan yang Perdana Menteri berikan berbagai andaian boleh dibuat darinya.

Ada pemerhati yang tidak nampak kemungkinan bulan Jun ini seperti yang hangat diramalkan kebelakangan ini.

Dalam jawapannya Perdana Menteri jelas berkata penentu tarikh PRU13 bergantung kepada banyak faktor.

Kataya beliau masih lagi menilai situasi.

Beliau secara spesifik menekankan waktu yang paling sesuai ialah bila tahap keyakinan rakyat pada kerajaan dan 'feel good factor' tinggi.

Katanya ia juga bergantung kepada kemampuan kerajaan menyelesaikan beberapa isu yang belum beres.

Sebelum ini Najib pernah berkata beliau ingin melihat dulu pelbagai program pentabirannya menampakan kesan dan dirasai rakyat.

Apakah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia,Kedai Rakyat 1Malaysia,Klinik 1 Malaysia dan sebagainya sudah cukup menzahirkan ' feel good factor' dikalangan rakyat yang dimaksudkan Najib itu?

Selain membuat pelbagai pengumuman program dan dasar baru kerajaan,Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bergerak hand in hand ' pusing keliling' satu Malaysia kebelakangan ini.

Banyak spekulasi menjurus kepada pergerakan mereka bertemu rakyat secara langsung khususnya pada setiap hujung minggu sekarang.

Namun ada pemerhati yang menjangka banyak lagi ' bom' yang akan dilontar oleh Najib dan Muhyiddin dalam menyegarkan angin ' feel good factor' yang dihajatkan.

Secara umumnya kerajaan tidak banyak berdepan dengan isu kecuali NFC yang masih hangat diperbualkan.

Datuk Seri Shahrizat Jalil,isteri kepada Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail sudah mengumumkan akan letak jawatan bila tempoh Senator beliau tamat pada 8 April ini.

Perdebatan politik ini bertumpu kepada soal samaada Shahrizat perlu letak jawatan Ketua Wanita UMNO atau tidak sekalipun secara prinsipnya beliau tidak ada kaitan langsung dengan isu NFC.

Terbaru ia dihangatkan dengan kenyataan Naib Ketua Wanita Datuk Kamalia Ibrahim dalam interbiu dengan akhbar The Star yang mahu beliau letak jawatan untuk ' memudahkan' pergerakan itu turun ke bawah berkempen.

Kalau pembangkang masih hendak terus main isu kilang proses nadir bumi ,Lynas di Gebeng,Kuantan,Najib telah memberi jawapan yang tegas dalam interbiu dengan 988 FM itu.

Katanya apa yang dimainkan oleh pembangkang kebelakangan ini cuma sentimen politik.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan hanya akan batalkan projek gergasi itu jika ada bukti kukuh dari segi saintifik ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat.

Katanya kerajaan tidak akan berkompromi jika ia didapati terbukti dati segi santifik boleh membawa mudarat.

Dewan Rakyat Selasa telah meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Lynas.

Pembangkang sekali lagi main sandiwara menolak dan memboikot penyertaan dalam jawatankuasa berkenaan.

"Bagi mereka yang menentang Lynas, kita perlu berdialog. Kita ingin tahu apakah alasan saintifik dan teknikal bagi membantah operasi Lynas."Perlu ada bukti kukuh bahawa kesihatan dan keselamatan penduduk sekitar khususnya akan terjejas. Dan jika ada bukti serius, kita pasti tidak akan benarkan Lynas beroperasi," kata Najib.

Menurut beliau dialog seperti itu tidak boleh berdasarkan emosi atau hujah politik kerana ada kemungkinan isu Lynas ini digunakan untuk tujuan politik.

"Apa yang bermula hanya sebagai satu isu alam sekitar telah menjadi isu politik. Ini amat mengecewakan.Kita perlu adakan dialog ini dan melibatkan orang ramai sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad. Tapi saya boleh memberi jaminan kepada rakyat bahawa keselamatan mereka tidak sekali-kali akan dipertaruhkan," katanya.

Perdana Menteri berkata pembentukan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Lynas bertujuan melihat langkah-langkah yang kerajaan boleh ambil bagi menangani sebarang kebimbangan rakyat.

Ketika ditanya sama ada perakuan-perakuan jawatankuasa itu akan dilaksanakan, beliau berkata : "Kita mahukan bukti saintifik, dan jawatankuasa ini adalah satu daripada kaedahnya. Adalah diharapkan satu penilaian objektif mengenai projek ini dapat dibuat.

"Yang pasti ialah terdapat satu tanggungjawab moral yang kuat, namun kita tidak terikat dengannya daripada segi undang-undang, tetapi akan dijadikan asas kukuh untuk kita membuat keputusan," katanya.

Bagaimana tentang soal calon BN untuk PRU13?

Menjawab soalan pengacara 988 FM Najib berkata beliau sedia mengambil risiko tidak akan calonkan semula wakil rakyat BN yang tidak perform dan tidak winnable.

Perdana Menteri sedar ada nanti yang merasa kecil hati namun beliau tidak ada pilihan dalam memastikan calon-calon yang selari dengan kehendak pengundi sahaja yang akan turun padang mewakili BN dalam pilihanraya mencabar ini.

Kepada satu soalan lain samaada beliau mempunyai 'kawan sejati',Najib berkata beliau tidak kisah 'hilang kawan' mereka yang merasa kecil hati semata-mata kerana kehendak politik dan kepentingan peribadi mereka tidak dapat dipenuhi.

Katanya beliau mempunyai sebilangan kawan baik yang bersedia untuk mengetepikan agenda politik dan peribadi.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada juga yang mempunyai kepentingan dan matlamat dalam politik.

“Katakanlah,seorang wakil rakyat itu tidak diingini, saya perlu mendengar rakyat.Tetapi apa yang diamati, saya akan dipersalahkan sedangkan rakyat yang tidak mahu mereka,"ujarnya.

Katanya hajat pentabiranya ialah membawa Malaysia melangkah ke depan.

Apapun Perdana Menteri berkata untuk membolehkan matlamat itu tercapai BN harus memenangi pilihanraya umum akan datang.

-22/3/2012










Wednesday, March 14, 2012

PRU 13 : BN vs KAF + NDI???

KAF dan NDI bantu PKR dalam rampasan kuasa

13/03/2012 | Filed under: Nasional,Selangor Sana Sini | Posted by: David Hasnan

http://sel13.com/archives/1831/comment-page-1#comment-1363



Sejak Tun Dr Mahathir menimbulkan isu “regime change” yang dirancang oleh negara asing. satu demi satu pendedahan telah dibuat berkenaan campurtangan asing dalam negara ini, termasuk surat-surat dari Ketua Pembangkang, Dato Seri Dato Anwar Ibrahim kepada Pengerusi National Endowment of Democracy (NED), Carl Gershman dan George Soros.

Hingga terkini, pihak Anwar dan PKR hanya mengambil sikap tidak mempeduli atau memperlecehkan isu ini supaya ianya tidak membesarkan. Mereka mahu rakyat anggap enteng saja seolah-olah ianya hanya propaganda murah UMNO dengan alasan NGO-NGO ini hanyalah aktivis berniat untuk mengembangkan amalan demokrasi.

Sidang akhbar Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Dato Ir Zin tengahhari tadi mendedahkan dengan bukti sekali bahawa pihak-pihak ini bukan hanya memperjuangkan demokrasi tapi mempunyai agenda tertentu untuk campurtangan dalam pilihanraya negara dengan memberi sokongan kewangan, latihan dan manual kepada parti-parti pembangkang khususnya PKR.

Penglibatan asing turut mahu menentukan keputusan pilihanraya memihak kumpulan tertentu dan cara proses politik sedemikian boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara pada jangkasama terdekat.

Bagaimana pula respons Anwar dan PKR dengan pendedahan berbukti yang akan didedahkan dan disebarkan keseluruh negara ini? Adakah masih beliau anggap ianya hanya UMNO mahu sengaja menakut-nakutkan rakyat jelata dan menjatuhkan kredibiliti Anwar Ibrahim? Sejauh mana Anwar akan terus menjual nama baik tokoh-tokoh ugama seperti Sheikh Yusoff Qardawi dan pemimpin Hamas untuk membersihkan namanya?

Konrad Adenaeur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute (NDI)

Dalam sidang akhbar tengahhari tadi, Dato Zin telah mendedahkan penglibatan terus dua agensi asing Konrad Adenaeur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute for International Affair (NDI) dalam proses pilihanraya Negara.

KAF merupakan think tank (badan pemikir) terbesar kepada parti pemerintah Jerman iaitu parti Christian Democratic Union of Germany (CDU).

Ia ditubuhkan di Jerman pada tahun 1955 dengan nama asal, ‘Society for Christian Democratic Education Work’, kemudiannya ditukar nama kepada Konrad Adenaeur Foundation pada tahun 1963 sempena nama Chancellor Pertama Jerman selepas era perang dunia kedua.

CDU turut bergabung dengan parti-parti politik Konservatif & Demokratik Kristian di peringkat antarabangsa melalui International Democrat Union (IDU). IDU, yang merupakan sebahagian dari rangkaian global KAF, beribu pejabat di London, United Kingdom dan mempunyai keanggotaan 45 parti konservatif yang diketuai oleh John Howard (bekas PM Australia)

KAF juga mempunyai sejarah membantu golongan neo-konservatif Yahudi Zionis melalui American Jewish Committee (AJC). Hubungan KAF & AJC bermula seawall tahun 1950-an di antara Konrad Adenauer (Chancellor Jerman), David Ben Gurion (Perdana Menteri Israel) dan Nahum Goldman (Pengerusi Jewish Claims Conference) pada tahun 1952 yang menghasilkan “Perjanjian Luxembourg”.

Antara lainnya, Jerman telah menyatakan persetujuannya untuk membayar pampas an kepada mangsa “Holocaust” (orang-orang Yahudi yang dibunuh secara beramai-ramai semasa pemerintahan Nazi di Jerman).

Sejak itu, hubungan KAF-AJC semakin intim hingga kehari ini. Malah, menurut laman rasmi AJC di http://www.ajc.org, KAF merupakan salah satu badan terbesar yang mendapat tajaannya.


Operasi KAF dan NDI

Menurut Dato Zin, operasi KAF di Malaysia lebih tertumpu kepada dua bidang iaitu dialog politik dan pembangunan media. Ianya digerakkan melalui cabang KAF Asia dengan kerjasama dan Kerjasama Antarabangsa, KAF Jerman.

Misi dialog politik adalah untuk menyerap masuk melalui think tank (badan pemikir) dan individu yang berpengaruh di Malaysia. Badan pemikir yang sudah dikenalpasti termasuklah Institut Kajian Dasar (IKD), Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) dan Institute for Development Studies Sabah (IDS).

Pada tahun 1990-an, penajaan KAF dalam membantu IKD dan Anwar Ibrahim dapat menonjolkan imejnya sebagai pro-Amerika Syarikat.

Bermula dengan Dialog Pasifik di Pulau Pinang (1994), Dialog Pasifik II di Kuala Lumpur (1996) dan Dialog Pasifik III & IV di Kuala Lumpur (1996 & 1998) telah melonjakkan nama Anwar Ibrahim sebagai ‘seorang tokoh penting Malaysia’ di kacamata Amerika Syarikat.

KAF dipercayai menerima dana daripada National Endownment For Democracy (NED), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim, untuk sumbangan dana dan latihan modal insan.

Salah satu cabang NED yang juga terlibat secara langsung dalam membantu Anwar Ibrahim dari segi dana dan buah fikiran selain KAF ialah NDI.

Modus Operandi dan Bukti

Dato Zin turut mendedahkan manual pilihanraya untuk PKR yang disediakan oleh KAF dan NDI yang disebarkan dalam bentuk CD kepada pemimpin-pemimpin cabang dan ranting PKR.

Manual tersebut bukan sahaja merupakan manual bagi menghadapi pilihanraya PRU13 nanti kepada petugas-petugas PKR tetapi juga rancangan seterusnya untuk menggulingkan kerajaan dengan cara tidak demokratik. Manual tersebut telah diterjemahkan dalam lebih dari 4 bahasa antaranya, Melayu, Tagalog, Bahasa Indonesia dan Thailand.

Selain itu, Dato Zin turut menunjukkan bukti-bukti berupa CD, manual, borang, checklist, senarai-senarai contact dan lain-lain yang diperolehi daripada beberapa sumber dalaman PKR dan sumber risikan dari pihak UMNO sendiri.

Usaha ini sebenarnya telah bermula selepas PRU 2004 lagi bagi menghadapi PRU 2008. Untuk menghadapi PRU ke 13, pihak KAF dan NDI telah memulakan gerakkerja mereka sejurus sebelum PRU 2008 lagi.

Kata Dato Zin, perkara ini tidak perlu lagi diselindung dan cuba dinafikan lagi oleh PKR kerana pihak KAF pernah mengaku secara terbuka menaja kursus–kursus kepimpinan untuk PKR dalam satu temuramah antara akhbar The Sun bersama wakil KAF di Malaysia, Peter Schier, beberapa tahun lepas.

Beliau yakin pihak PKR tidak akan termampu untuk terus menafi dan tidak mempedulikan pendedahan-pendedahan yang dibuat sekarang dan sebelum ini dengan bukti-bukti ini.

Yang ketara sekali, agensi asing ini telah memperkenalkan kaedah kempen membenci (‘hate campaign’) yang digunakan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemimpin negara dengan membangkitkan isu-isu yang tidak releven. Mereka juga tidak teragak-agak menggunakan sentimen agama bagi membangkitkan rasa kebencian rakyat antara satu sama lain.

Menurut Dato Zin, contoh permainan halus yang paling nyata adalah dalam menggunakan isu Hindraf bagi membangkitkan kebencian dikalangan rakyat. Ketika PRN Sarawak, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tanpa jemu menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan dikalangan penduduk berbilang bangsa di Sarawak.

Kempen membenci yang lahir dari idea dan buah fikiran KAF dan NDI begitu bahaya dan berunsur subversif atau halus.

Anwar Ibrahim sendiri sering mengucapkan mengenai ‘Arab Spring’ bagi memberi idea kepada rakyat bahawa ‘Malaysia Spring’ bakal berlaku. Beliau menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan beberapa regim di negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat Malaysia membenci pemimpin mereka.

Katanya lagi, SOP atau Standard Operating Procedure PR terutamanya PKR adalah sama sejak dari dahulu. Ini kerana agen-agen mereka ini diberi latihan khusus oleh pihak asing ini dari dahulu lagi.

Sebagai contoh, KAF dengan secara terbuka sering menaja PR untuk menghantar ahli–ahlinya yang terpilih untuk menjalani latihan kepimpinan di Jerman, yang ditanggung sepenuhnya. Individu–individu ini secara halus dilatih untuk menjadi kader asing yang berkhidmat di bawah PKR, tanpa disedari oleh mereka sendiri.

Daripada maklumat yang diperolehi sebelum ini, KAF memainkan peranan penting dalam memberikan dana, pembangunan teknologi dan latihan kepada PR.

Ini termasuklah pembabitan beberapa individu asing di sekretariat operasi yang berperanan memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam penyusunan propaganda, Gerakerja Unit Khas DUN dan PasukanKhas, perisian Sis Map untuk sistem pangkalan data PR dan keupyaan ‘hacking email’ (membuka e-mel secara haram) yang kepunyaan individu yang disasarkan, terutamanya agensi kerajaan).

Gerakkerja ini semua adalah dibawah pengawasan dan pengurusan saudara Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR dan dahulunya jawatan itu dipegang YB Nik Nazmi dan YB Saifuddin Nasution.


Saranan

Selaku Setiausaha Perhubungan Selangor UMNO, Dato Zin memberitahu BN tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyaingi PR jika ianya berasaskan meritokrasi dan corak perjuangan yang dapat membantu rakyat dan negara.

Namun nampaknya, PR menggunakan saluran asing malahan dengan cara yang paling tidak demokratik. Persoalan yang pastinya timbul adalah: Mahukah kita menggadai kedaulatan negara kita ini kepada pihak asing?

Menggunakan sentimen agama dan mewujudkan kebencian di kalangan rakyat bagi merampas kerajaan adalah salah satu kaedah paling primitif dan tidak bertamadun.

BN dan seluruh rakyat Malaysia yang berfikiran matang pastinya tidak dapat menerima penjajahan kuasa asing melalui kaedah kebencian ini. Ditambah lagi dengan kewujudan kaedah subversif untuk meniup api kebencian oleh pemimpin PR terutamanya Anwar Ibrahim, ia boleh merebak hingga menjadisatu kemusnahan besar kepada negara.

Dato Zin menyeru kepada ahli UMNO disemua peringkat, supaya lebih berhati-hati dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Jika tidak, segala usaha kita selama ini membina negara akan menjadi sia-sia. Penjajahan era baru ini bukan sahaja akan menyebabkan kedaulatan negara tergadai malah masa depan anak cucu kita akan turut terhapus.

Beliau turut berharap dari pendedahan ini dapat membuka mata seluruh rakyat Malaysia terutamanya ahli UMNO untuk menyedarkan bahawa sesungguhnya perjuangan UMNO bukan sekadar untuk memperolehi kuasa, tetapi lebih dari itu, malah perjuangan UMNO adalah lebih murni untuk mempertahankan agama, bangsa dan Negara dari anasir-anasir luar yang sentiasa tanpa jemu cuba merobek kedaulatan negara Malaysia tercintaini.

Pengakhir kata, Dato Zin bersedia untuk mendedahkan lagi lain-lain gerakkerja asing dalam mahu campurtangan untuk menguasai negara ini melalui proksi-proksi mereka, khususnya melalui pemimpin-pemimpin pembangkang.

KUALA LIPIS BERSEJARAH