Friday, March 9, 2012

PRU 13 : MELAYU VS MELAYU..... AGENDA SIAPA?

Undi Melayu berpecah... siapa yang untung?

Rabu, 07 Mac 2012 11:19

MIOR KAMARUL SHAHID

http://www.agendadaily.com/Analisa/undi-melayu-berpecah-siapa-yang-untung.html


Dalam realiti kehidupan seharian, sememangnya tidak nampak tanda-tanda perpecahan di kalangan orang Melayu. Orang Melayu hidup sekampung, di satu taman perumahan, di rumah pangsa yang berselerakan, anak-anak bersekolah dan bermain bersama, sesama ibu bapa mereka bekerja di bawah satu bumbung, bersembahyang di masjid yang sama, berbual mesra di kedai kopi, malah saling bantu-membantu ketika ada kematian atau kenduri kendara dan majlis keraian, apatah lagi pada hari kebesaran.

Jika peniaga, orang Melayu akan membeli di kedai sebangsa dengan mereka dengan hasrat untuk membantu semoga perniagaan bertambah maju. Bila anak-anak bangsa mencapai kejayaan pelajaran yang cemerlang, bukan ibu bapa mereka saja gembira, malah bangsa mereka turut berasa megah.

Begitulah mesranya persefahaman di kalangan orang Melayu. Namun, kemesraan di kalangan orang Melayu ini menyebabkan sukar untuk membuktikan wujudnya perselisihan sesama mereka. Ia berbeza sewaktu perselisihan orang Melayu berikutan Amanat Haji Hadi Awang pada 1981 yang mencetuskan fenomena sembahyang dua imam, tidak sah makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya.

Hari ini, sudah tidak kedengaran fenomena orang Melayu tidak bertegur sesama sendiri akibat selisih faham politik melainkan sekali-sekala sewaktu berlaku perhimpunan politik atau pilihan raya. Bagaimana pun, beberapa peristiwa yang berlaku setakat ini belum sampai ke tahap yang mencemaskan.

Sebenarnya, perpecahan orang Melayu yang nyata ialah daripada konteks undi dalam pilihan raya. Kesan perpecahan undi ini boleh menyebabkan mereka tersembam di bumi sendiri. Inilah kesan buruk yang sangat ditakuti oleh orang Melayu kerana sekali terlepas kuasa, amat sukar untuk mendapatkannya semula.

Orang Melayu boleh membakar kelambu kerana marahkan seekor nyamuk tetapi, jangan lupa mereka juga sebenarnya membakar sebuah mahligai bangsa yang selama ini memberi keselesaan hidup kepada orang Melayu.

Apabila undi Melayu pecah, siapakah yang akan untung? Tepuk dada, tanya selera, semua orang tahu jawapannya. Jangan nanti orang Melayu alpa kerana ketika mereka berpecah, orang lain membina kekuatan dan strategi. Orang Melayu tidak berfikiran strategik berbanding kaum lain yang menguasai kekayaan negara ini.

Sebenarnya, mereka yang berkepentingan mengharapkan perpecahan undi orang Melayu kerana itu adalah cara paling mudah untuk mereka mendapat kuasa. Disebabkan undi adalah penentu kepada kuasa dalam negara demokrasi, mereka mengharapkan orang Melayu terus bertelagah sehinggalah akhirnya mereka berjaya memegang tampuk kuasa.

Punca utama perpecahan undi di kalangan orang Melayu ialah perbezaan ideologi politik. Semua tahu, perpecahan undi Melayu mempunyai kaitan rapat antara orang UMNO dan PAS. Antara UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) dan PAS, amat sukar untuk duduk semeja dan mencari titik pertemuan.

Kedua-dua parti itu dengan pengikut masing-masing tidak bersetuju antara satu dengan lain dalam apa isu juga hanya disebabkan perbezaan pegangan hidup. Mereka bukan tidak sedar bahawa perpecahan undi boleh menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Walaupun ia menghantui pemikiran ramai orang Melayu, tidak ada usaha ke arah penyatuan dilakukan secara serius.

Ketika ada risik-risik bahawa ada pimpinan PAS cuba mengadakan hubungan awal dengan UMNO untuk merintis jalan mengadakan semula pemuafakatan, kumpulan ini awal-awal lagi ‘dipancung’ supaya tidak meneruskan pertemuan. Keadaan ini berlaku kerana kumpulan ini tidak mahukan orang Melayu bersatu.Tujuan pemimpin mereka berbuat demikian ialah untuk membiarkan perpecahan orang Melayu ini berterusan. Cara ini lebih mudah untuk mereka membuat tuntutan politik dan sebagainya.

-7/3/2012

Tuesday, February 28, 2012

PRU13 : BN VS NGOs


Dana Asing Tumbangkan Kerajaan PRU 13

Published by AIDC on February 28, 2012 | 1 Comment

http://www.anwaraidc.com/?p=22205


Datuk Ruhanie Ahmad – “MALAYSIA tidak terkecuali daripada proses pertukaran pemerintahan negara menerusi aktiviti segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tertentu ‘yang menerima bantuan kewangan dari Amerika Syarikat (AS),” (Mahathir, 18 Februari 2012).

Amaran bekas Perdana Menteri ini berasas. Dakwaan AS melakukan pembunuhan pemimpin tertinggi dan pertukaran rejim di sesebuah negara asing, sama ada secara langsung atau menerusi bantuan proksinya di negara sasarannya memang berlaku sejak era Perang Dingin. Tindakan ini dilakukan atas alasan ideologi, ekonomi atau geopolitik. Anehnya, sesiapa yang mendedahkan tindakan ini dilabelkan sebagai pengamal teori konspirasi, pemfitnah atau penyebar kepalsuan terhadap AS.

Ini dihuraikan oleh penulis Barat – Kahin & Kahin dalam Subversion as foreign policy: the secret Eishehower and Dulles debacle in Indonesia (1995); Johnson, Blowback (2000); Blum, Rogue Nation (2001); Chomsky, The Culture of Terrorism (1988) serta Profit over people: neoliberalism and global order (1998); dan Rogue Nation: the rule of force in world affairs (2000).

Coleman mendedahkannya dalam Rogue Nation: why America is the most dangerous state on earth (2003); Bodansky, The secret history of the Iraq war (2004); Mearsheimer & Walt, The Israel Lobby and US foreign policy (2006); Chomsky & Archer, Perilous Power: the middle east and US foreign policy (2007).

Seluruh karya ini mendedahkan liciknya AS melaksanakan operasi hitam yang diselindungkan di sebalik dasar luar, dasar ekonomi atau dasar geopolitiknya di sepanjang era Perang Dingin, pasca-Perang Dingin dan pasca-911. Tindakan ini lazimnya dilaksanakan menerusi alasan yang saha seperti menumpaskan pengaruh komunis, memusnahkan elemen anti-demokrasi, memerangi teroris Muslim sejagat, mencegah perebakan senjata pemusnah (WMD), atau menegakkan demokrasi liberal.

Majoriti tindakan ini ditumpukan ke Asia Barat, Asia Tengah, Asia Tenggara dan Asia Timur. Mutakhir ini, ia difokuskan ke Afrika Utara. Di era Perang Dingin, negara-negara Amerika Latin dan Carribean tidak terkecuali. Ini membuktikan amaran Tun Dr. Mahathir Mohamad bukannya fitnah. Beliau sering mengungkapkan perkara ini sewaktu menerajui negara menerusi kritikan terhadap penjajahan baru pihak Barat.

Dr. Mahathir mengkritik perkara ini sebab sesiapa yang enggan akan diganggu, dikenakan sekatan, diancam dan ditekan. Ini kerana pengamalan demokrasi liberal adalah strategi halus kuasa-kuasa Barat melaksanakan neo-imperialismenya di era pasca Perang Dingin (Mahathir 2003:57).

Atas kesedaran inilah Dr. Mahathir mengasaskan penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) pada awal 1990-an untuk mencegah keleluasaan AS di era globalisasi. Namun kerana inilah juga “AS mula memulas tangan” (Mahathir 25 April 2011).

Lantas “AS memberitahu Jepun untuk membantah. AS meminta Korea Selatan supaya menentang. Lebih serius lagi, AS juga berjaya mempengaruhi dua negara anggota ASEAN, Singapura dan Indonesia, untuk menolak EAEG” (ibid). Selepas EAEC ditolak oleh ASEAN, Dr. Mahathir menyetujui cadangan Indonesia mewujudkan EAEG. Bila EAEC dan EAEG tidak jadi kenyataan, semangat EAEC dijelmakan ke dalam ASEAN+3 dukungan Korea Selatan selepas kegawatan krisis mata wang Asia 1997. Berikutan penubuhan ASEAN+3, sekumpulan pengkaji dilantik oleh pertubuhan ini mencadangkan kewujudan East Asia Summit (EAS) atau Sidang Kemuncak Asia Timur (Kim 2004: 123).

Barat tidak senang dengan kejayaan Malaysia ini. Akibatnya, Malaysia diserang “oleh sekurang-kurang 300 NGO asing yang berpangkalan di AS, Britain, Australia dan Jepun (Ruhanie 2011:66). NGO asing ini menggugat ekonomi dan politik Malaysia menerusi ‘isu alam sekitar yang dikaitkan dengan pembalakan hutan tropika; hak asasi manusia yang dikaitkan dengan ISA; [dan] kebebasan akhbar yang dikaitkan dengan amalan demokrasi liberal’ (ibid).

Malaysia juga difitnahkan oleh filem The last blockade terbitan Britain kononnya menindas kaum Penan menerusi kerja pembalakan di Sarawak; filem The turtle beach terbitan Australia (1992) kononnya rakyat Malaysia membunuh pelarian Vietnam; dan filem terbitan BBC kononnya kerajaan Malaysia menindas keturunan India.

Barat menggunakan pendekatan rencam ini untuk menghuru-harakan Malaysia. Ini kerana mereka tidak dapat mengharu-biru Malaysia seperti di Indonesia pada akhir 1950-an – termasuk percubaan membunuh Presiden Sukarno seperti dihuraikan oleh Kahin & Kahin (1995).

Barat mutakhir ini tidak lagi menggunakan strategi di atas. AS sudah mempunyai tali barutnya yang terdiri daripada segelintir NGO dan parti-parti politik tertentu di Malaysia, terutama sekali yang dipercayai menerima dana bantuan darinya secara langsung atau sebaliknya.

Barat kini berusaha melakukan pertukaran pemerintahan Malaysia menerusi prinsip peribahasa Melayu ‘hanya kayu yang dapat menumbangkan pokok kayu.’ Tanda-tanda ke arah ini sudah kita saksikan sejak gerakan jalanan di negara ini mulai 2011. ‘Kayu’ dalam konteks ini adalah ‘hulu kapak’ sementara ‘pohon kayu’ adalah Barisan Nasional (BN), dulunya Perikatan, yang memerintah Malaysia sejak 1957.

Oleh kerana dasar luar kerajaan BN adalah berkecuali, inilah sebabnya BN perlu ditukar dengan kerajaan baru yang boleh dijadikan kuda tunggangan dalam konteks geopolitik AS di Asia Tenggara di abad ke-21. Ini kerana abad ke-21 adalah abad Asia – benua yang kaya dengan sumber petroleum, mempunyai perairan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan, dan China selaku kuasa ekonomi sejagat.

Inilah maksud amaran Dr. Mahathir di Melaka baru-baru ini. Jika ‘hulu kapak’ ini diredhakan menukar pemerintahan di Malaysia, kedaulatan negara kita akan tergadai, dan kita semualah yang menggadaikannya!











Thursday, February 23, 2012

UMNO : DULU, KINI DAN SELAMANYA MENENTANG KOMUNIS

Mengenang tragedi Bukit Kepong

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm


PADA tarikh hari ini, 62 tahun yang lalu berlaku tragedi yang terpahat dalam sejarah pahit negara yang tidak mungkin dilupakan rakyat negara ini. Ia melibatkan kekejaman pengganas komunis yang menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar, Johor.

Tanpa belas kasihan, pengganas menembak anggota polis yang cuba keluar dari balai yang terbakar dan melontar mereka yang tercedera serta mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Serangan itu dibuat sebagai peringatan kepada rakyat mengenai apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan komunis.

Kejadian itu bermula kira-kira pukul 4.30 pagi, 23 Februari 1950 apabila anggota Pasukan Kompeni Bebas Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) meniup trompet buat kali pertama dan kemudian mula melepaskan tembakan ke arah balai polis yang diperbuat daripada kayu itu.

Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil Mohd. Shah dan semua 25 anggota bawahannya mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk membalas tembakan.

Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. Seramai 180 pengganas yang melakukan serangan itu dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding anggota polis yang hanya dilengkapi dua pucuk senjata automatik. Jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, komunis adalah tujuh kali ganda lebih banyak berbanding polis. Separuh daripada pengganas mengepung di bahagian hadapan balai dan bakinya mengelilingi balai polis tersebut.

Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki kawasan balai walaupun melakukan serangan dari segenap sudut selama dua jam. Mereka berharap serangan itu mengejutkan pihak polis, sebaliknya apa yang mereka hadapi adalah tentangan hebat terutamanya daripada dua kedudukan mesingan ringan jenis Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.

Sekitar pukul lima pagi, sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan dari Kampung Jawa bagi memberi bantuan tetapi malangnya mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta-merta. Kemudian salah seorang anggota komunis bernama Muhammad Indera dengan menggunakan pembesar suara, sebanyak tiga hingga empat kali, meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat.

Jamil kemudiannya menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Katanya, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu ramai di kalangan anggotanya telah meninggal dunia dan ada yang cedera parah. Sebaik sahaja Jamil berkata demikian, pihak komunis meniup trompet buat kali ketiga dan berlaku serangan bertali arus daripada kumpulan pengganas itu.

Bagaimanapun, pengganas terbabit gagal memasuki kawasan balai sehinggalah mereka melakukan serangan dengan molotov cocktail (bom botol) hingga menyebabkan balai polis dan berek kelamin terbakar. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin.

Pada ketika itu hanya tiga anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis tetapi ditembak pengganas terbabit. Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis itu.

Seramai 14 anggota polis termasuk Jamil dan Timbalan Ketua Balai, Koperal Mohd. Yassin Wahab; lima polis bantuan; tiga pengawal kampung; tiga isteri polis dan dua anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Hanya empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka terselamat.

Peristiwa itu jelas memperlihatkan semangat keperwiraan anggota keselamatan yang berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur.

Seramai 40 musuh juga berjaya dibunuh walaupun pihak pengganas pada mulanya beranggapan mampu menawan balai polis dengan mudah. Tanggapan itu adalah berikutan mereka mempunyai kelebihan dari segi bilangan senjata dan anggota serta kedudukan balai polis itu yang terpencil dengan bot menjadi pengangkutan utama.

Tragedi itu turut memperlihatkan semangat juang dua isteri anggota polis yang mengangkat senjata apabila melihat suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Oleh itu, diharapkan tiada lagi pemimpin parti politik tertentu yang cuba mempertikaikan pengorbanan luar biasa anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi tersebut sehingga sanggup mengisytiharkan golongan pengganas sebagai hero.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang mengulas perkara itu, menyifatkan pihak-pihak yang cuba mengiktiraf komunis yang menyerang balai polis terbabit adalah mereka yang buta sejarah.

Katanya, mana-mana individu yang tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian sebenarnya telah menghina anggota keselamatan yang mempertahankan negara.

"Janganlah kita sekali-kali menuduh mereka menjadi alat kepada British kerana anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong sebenarnya berjuang menentang golongan yang melakukan kekejaman," katanya.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tragedi Bukit Kepong adalah peristiwa yang menyedihkan dan ia merupakan antara enam balai polis yang diserang komunis.

"PKM telah menyerang balai polis itu setelah membuat pemantauan selama beberapa hari dan mereka melakukan serangan mengejut tanpa belas kasihan," katanya.

Sebenarnya, peristiwa Bukit Kepong yang menyaksikan sekumpulan kecil anggota polis dan keluarga mereka gigih berjuang menentang pengganas komunis yang jauh lebih besar boleh menjadi pengajaran kepada kita. Kalau wira dan wirawati terbabit boleh berbuat demikian, sudah tentu kerajaan dan rakyat yang bilangannya lebih ramai boleh memerangi apa sahaja anasir yang cuba merosakkan negara.

Friday, February 17, 2012

HARGA SEORANG MP BN RM10 JUTA SAHAJA???

John Soh punca cita-cita 16 Sept. 2008 kempunan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Keengganan seorang ahli perniagaan, John Soh Chee Wen, 50, menyumbangkan RM300 juta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim empat tahun lalu dikatakan menjadi punca Ketua Pembangkang itu kempunan untuk menduduki Putrajaya seperti diimpikan beliau pada 16 September 2008.

Pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang pernah rapat dengan Anwar mendakwa, wang RM300 juta itu sangat diperlukan Anwar ketika itu untuk digunakan sebagai bayaran 'pendorong' RM10 juta seorang bagi 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti dan seterusnya membantu beliau merampas Putrajaya.

"John Soh tidak bersetuju membiayai RM300 juta untuk tujuan tersebut melainkan Anwar mampu menjanjikan kejayaan. Tetapi bagaimana Anwar boleh memastikan kejayaan?

"Terdapat 30 Ahli Parlimen BN pada waktu itu. Jika mereka boleh menjual diri kepada satu pihak, maksudnya mereka boleh berbuat demikian ke pihak lain juga.

"John Soh enggan mengeluarkan RM300 juta dan ia mengakhiri impian (Anwar) memasuki Putrajaya. Itu juga bermakna Anwar perlu menghadapi perbicaraan liwat kedua. Hanya satu cara beliau boleh mengelakkan (perbicaraan) liwat itu iaitu dengan menjadi Perdana Menteri, yang tidak akan terjadi sekarang," katanya.

Raja Petra dipetik berkata demikian dalam Malaysia Today melalui entri bertajuk EPISOD 8: Lelaki di Sebalik PKR (Siri 2) hari ini.

Tambahnya, hubungan Anwar dengan John Soh mulai renggang selepas keengganan ahli perniagaan itu membiayai wang tersebut walaupun kedua-dua pemimpin sebelum itu pernah bertelagah mengenai keperluan menyingkirkan Exco Selangor, Elizabeth Wong ekoran kontroversi gambar bogelnya.

"Apabila keadaan bertambah parah dan mustahil untuk berbaik-baik, John Soh dan Anwar 'berpisah.' Kemuncaknya ialah pada Pilihan Raya Negeri Sarawak hampir setahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Raja Petra mendakwa, bangunan yang menempatkan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dimiliki oleh John Soh.

Dengan jumlah hutang sewa bangunan PKR sehingga Jun 2010 adalah sebanyak RM600,000, katanya, hutang sewa bangunan terkumpul parti itu dianggarkan bernilai RM1 juta.

Selain itu, menurutnya, John Soh telah membelanjakan sekitar RM30 juta untuk menaja Anwar dan PKR sejak 1998.

"Apa yang ramai orang tidak tahu, kecuali individu dalam lingkaran Anwar ialah John Soh bukan hanya pembiaya PKR. Dia adalah seorang strategis utama yang menumpukan kepada cara-cara memenangi Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

KUALA LIPIS BERSEJARAH