Wednesday, June 15, 2011

PAS : MERESAPNYA FAHAMAN SOSIALIS DAN KOMUNIS???

Negara berkebajikan, negara Islam dan 'Malaysian Malaysia'

Oleh Zaini Hassan


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

ISTILAH Inggeris ''negara berkebajikan'' menurut ahli sejarah tersohor British, Asa Briggs telah diperkenalkan oleh Archbishop (Ketua Paderi) bernama William Temple semasa Perang Dunia Kedua.

Semasa diperkenalkan, pendekatan itu bertentangan dengan konsep Jerman Nazi yang memperkenalkan ''negara berperang'' (warfare state). Namun konsep asal negara berkebajikan itu mula diperkenalkan oleh ahli-ahli akademik Sozialpolitiker (Ahli Politik Sosial) Jerman sekitar 1870. Ia kemudian dilaksanakan di bawah dasar pembaharuan Perdana Menteri Pertama Jerman, Otto von Bismarck dikenali sebagai Negara Sosial.

Beberapa negara Barat kemudian mengikutinya. Itali memperkenalkan Negara Sosial (Stato Sociale); pada 1936 Sweden Folkhemmet (terjemahan langsung: rumah orang-orang tua). Di Sepanyol ia dikenali sebagai estado del bienestar (negara yang sejahtera).

Negara berkebajikan menurut prinsip Barat, yang mahu dibawa oleh DAP, dipersetujui oleh PKR sehingga Pas sanggup menggugurkan konsep Negara Islam, adalah berasaskan kepada prinsip iaitu peluang yang saksama, pembahagian kekayaan yang sama-rata dan tanggungjawab semua membantu yang susah.

Namun jika dikaji secara halus ia adalah konsep Malaysian Malaysia yang pernah diangkat oleh pemimpin PAP Singapura, Lee Kuan Yew - sehinggalah ia mendapat hak kemerdekaan memerintah negara pulau itu - hasil tekanannya yang mahu melaksanakan dasar itu ke atas Tanah Melayu. Kini Malaysian Malaysia, satu konsep yang mahu mengetepikan hak keistimewaan satu bangsa lain dan hak-haknya sedang dijana secara sistematik oleh DAP, parti serpihan PAP.

Negara berkebajikan, yang tiada pun diambil daripada rukun pembinaan negara Islam, akan diperkenalkan sekiranya Malaysia ini diambil alih oleh DAP kelak.

Jika dilaksanakan nanti, ia bukan lagi merupakan dasar ekonomi yang membantu kaum-kaum yang susah dan menyeimbangkan kesejahteraan antara kaum seperti yang dilaksanakan dengan jayanya di negara ini.

Kita amat bimbang, konsep negara berkebajikan yang mahu dibawa oleh DAP ini akan mengakibatkan perpecahan sosial yang lebih hebat. Jurang kecelaruan sosial akan melebar. Sekarang pun kita sudah dapat melihat gelagat DAP dalam mengambil kesempatan atas isu-isu yang mereka anggap ''boleh memberi peluang politik'' seperti isu biasiswa dan sebagainya.

Ahli-Ahli Parlimen mereka diseru supaya terus-menerus membangkitkan isu meritokrasi - dalam usaha mengapi-apikan kaum tertentu supaya membenci kerajaan dan bangsa-bangsa tertentu.

Apakah mereka menganggap murid-murid sesuatu kaum itu tidak bijak dan lemah sehinggakan semua biasiswa harus diberi kepada satu kaum lain yang bijak? Contohnya, jika diikut secara merit: Apakah mereka sanggup melihat murid-murid yang satu itu tidak boleh memperoleh walau satu biasiswa sekali pun kerana kaum yang satu lagi itu semuanya dianggap lebih layak mengikut acuan meritokrasi?

Jika itulah caranya, maka berperanglah negara ini.

Ternyata, niat mereka tidak ke arah perpaduan rakyat, tapi memperjuangkan semata-mata untuk sesuatu bangsa - dengan akhirnya kita bimbang ia akan mengetepikan satu kaum, bangsa dan etnik yang lain.

Jika itulah yang mereka perjuangkan, maka percayalah itulah yang akan diterapkan dalam konsep negara berkebajikan tersebut kelak.

Malaysia bukan seperti Britain, Jerman, Itali, Sweden atau negara-negara Arab mahupun Brunei yang melaksanakan konsep negara berkebajikan.

Di negara itu, mereka hanya mempunyai satu kaum asas yang besar berbanding dengan kita. Kita mempunyai tiga kaum yang besar, dengan satu kaum asas yang tidak begitu besar dan sering dipertikaikan kedudukannya.

Di negara-negara Barat, kaum asas mereka ialah berkulit putih, manakala yang lain-lain merupakan kaum pendatang, atau pun imigran dari negara-negara lain atau negara yang pernah dijajah oleh kaum asas itu. Maka itu pembahagian kebajikan itu lebih mudah dilaksanakan tanpa ada rasa marah kerana kebanyakan yang menerimanya adalah kaum asas yang majoriti.

Apa yang mahu kita lihat di negara ini ialah dasar kerajaan yang pragmatik dan berkesan. Dan terbukti dasar kerajaan Malaysia yang dilaksanakan sejak kemerdekaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada kita semua.

Perkhidmatan kesihatan awam yang merupakan antara prinsip utama dalam negara berkebajikan, telah pun diamalkan di negara ini sejak dulu lagi. Rakyat kita menikmati kemudahan itu secara percuma dengan pendaftaran hanya RM1. Begitu juga pendidikan dan lain-lain.

Cubalah pergi ke negara-negara lain, malah ke negara jiran ASEAN sekali pun, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran kita adalah yang terbaik.

Apa yang diharapkan kerajaan dapat menambah baik lagi perkhidmatan dan mutunya supaya rakyat dapat menikmati faedah yang lebih besar.

Kita berharap Kementerian Kebajikan Masyarakat dapat diwujudkan semula, supaya kita semua sedar mengenai kewujudannya dan fungsinya.

Moto 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebenarnya merupakan satu tamparan kepada pakatan pembangkang, terutamanya DAP dalam soal berkebajikan. Malah konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga cukup memeritkan pihak pembangkang.

Kata-kata Najib: ''Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita'' membuktikan gagasan 1Malaysia lebih hebat dan murni daripada konsep berbaur cauvanis seperti Malaysian Malaysia.

Yang peliknya bagi pakatan pembangkang sendiri, walaupun mereka telah memerintah empat negeri - Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan - namun bayang model negeri berkebajikan itu pun tidak nampak? Apa yang ada Selangor hanya memberi beberapa baldi air percuma, yang kemudian mendatangkan pula masalah kewangan kepada negeri itu. Serta menziarahi orang mati dan memberi sedikit sumbangan.

Pulau Pinang, negeri DAP yang mahu melaksanakan konsep Negara Berkebajikan sendiri gagal melaksanakan kebajikan kepada rakyatnya.

Semakin marak kemarahan orang ramai di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan, terutamanya membabitkan penjaja-penjaja kecil yang diketepikan.

Sebaliknya dasar pecah dan perintah sedang diamalkan di negeri itu. Kondo-kondo mewah banyak dibina untuk faedah beberapa golongan masyarakat tertentu, menggantikan kampung-kampung miskin yang diroboh untuk didirikan dengan pembangunan mewah. Rumah-rumah awam juga gagal didirikan.

Kedah dan Kelantan, yang diperintah oleh kononnya sebuah Parti Islam pun tidak nampak apa-apa yang berlaku - konsep negara Islam pun sudah digugurkan, dan slogan negeri kebajikan pula hanyalah kata-kata manis dalam khutbah setiap Jumaat.

Negara berkebajikan yang dilaksana di Barat sendiri pun kini dikritik hebat kerana telah mengakibatkan rakyatnya malas dan enggan bekerja, kerana mengharapkan bantuan kebajikan daripada kerajaan.

Di Britain ia sudah dibahas hebat ekoran masalah kemalasan bekerja kerana mengharapkan elaun-elaun pengangguran dan pelbagai benefit yang disediakan kerajaan.

Golongan pekerja dan peniaga pula sebaliknya berang kerana cukai yang tinggi dikenakan ke atas mereka untuk membiayai kebajikan rakyat yang tidak bekerja itu. Malah harga minyak di sana pun tidak disubsidi oleh kerajaan, seperti yang dinikmati oleh rakyat Malaysia kini. Harga semasa petrol di UK ialah RM6.70 seliter.

Kesimpulannya, apa yang cuba diperkenalkan oleh DAP, sehingga Pas sanggup mengorbankan perjuangan Islamnya, hanyalah semata-mata satu pendekatan gimik popular.

Namun secara halus ia sebenarnya adalah konsep perjuangan lama DAP, iaitu Malaysian Malaysia.

Malangnya, PKR terpaksa mengikut bagi menyelamatkan tengkuk Anwar Ibrahim dan Pas rela dicucuk hidung kerana mengidam ke Putrajaya.







Thursday, June 9, 2011

ERDOGAN DAN ANWARINAS


PARTI ANWARINAS SEJATI!

Tuesday, June 7th, 2011 | Posted by tengkudin

http://www.mykmu.net/?p=11016




Salam 2 all.

“Over my dead body” kata Karpal Singh bila mengutuk PAS kerana mahu menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Maka bertempiklah para mujahidin dan bakal syuhada didalam PAS menghentam dan memaki hamun Karpal Singh & DAP sehingga nak terbalik si punjabi tak berturban tu! Malah ada yang sanggup mati syahid untuk menentang Pengerusi DAP ini!

Belum pun mati si Karpal Singh, tau-tau Presiden Parti Islam SeMalaysia PAS mengisytiharkan pada hari Ahad 03 Rejab/ 06 Jun lepas bahawa PAS tidak akan memperjuangkan lagi penubuhan Negara Islam dengan fatwa “negara Islam tidak ada dalam Al Quran!!!”.

Tentu tidur Karpal Singh nyenyak penuh dengkuran puas, pasti Kitsiang tersengeh meleret macam Anwar tengok China-doll melihat pendirian PAS yang terkulai kini. Tidak cukup dengan pemimpin PAS mengisytiharkan sanggup mati mempertahankan Karpal, kini PAS sudah sanggup mematikan perjuangan mendirikan sebuah Daulah Islamiyyah. Ini tidak ada bukti lain selain membuktikan bahawa cengkaman DAP sudah lengkap bukan sahaja keatas PKR, malah kini keatas PAS!!!

Apa yang menyedihkan teman ialah fatwa terbaru Ustadz Hadi ini sangat menghina para syuhada’, mujahidin dan pejuang-pejuang PAS terdahulu yang bukan sahaja berkorban harta benda dan keringat peluh, malah ada yang membayar dengan nyawa demi mencapai impian Amanat Hadi untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Ramai yang terpengaruh dengan Amanat Hadi sehingga ada yang mengkafirkan UMNO dan orang Melayu yang didakwa kononnya menolak penubuhan sebuah Negara Islam.

Akibat daripada Amanat Negara Islam Hadi ini, maka muncullah isu solat jemaah dua imam, pemboikotan kenduri walaupun dikalangan sanak-saudara, putus hubungan ahli keluarga, suami isteri ada yang bercerai berai, anak-anak kehilangan ibu bapa akibat dirasuk fahaman penubuhan Negara Islam melalui Amanat Hadi ini. Teman melihat sendiri orang kampung teman yang walaupun hidup kais pagi makan semalam, kais petang makan minggu lepas, tapi sanggup belanja duit untuk buat frame Amanat Hadi yang nak menubuhkan sebuah negara Islam. Rupanya 3o tahun pengorbanan mereka semua selama ini sia-sia, perjuangan yang mereka sokong selama ini tidak ada dalam Al Quran pun!!!

Dan persoalan besar ialah: adakah perjuangan orang saperti Ustadz Ibrahim Libya selama ini sia-sia; sedangkan beliau difatwakan mati syahid kerana memperjuangkan sebuah Negara Islam, demi memenuhi Amanat Hadi tersebut. Pada teman, fatwa terbaru bahawa “perjuangan menubuhkan Negara Islam tidak ada dalam Al Quran” adalah satu penghinaan besar terhadap Assyahid Ustadz Ibrahim Libya dan para syuhada’ yang lain!!!

Kalau ikut logik fatwa terbaru Ustadz Hadi itu, maka Negara Islam Madinah yang ditubuh oleh Rasulullah saw juga tidak ikut Al Quran lah jugak agaknya yop! Malah kalau ikut fatwa terbaru ini, PAS perlu ubah namanya kerana nama Parti Islam SeMalaysia pun tiada dalam Al Quran yop! Mungkin elok PAS tukar ke nama Parti Anwarinas Sejati aje yop!

Padanlah Rasulullah saw berpesan kepada kita, kelak kamu nanti akan diratah oleh kafir kerana walaupun kamu besar dan ramai, tetapi kamu terkena penyakit hubbud dunya wakarohiyatul maut – terlalu cintakan dunia, dan takut mati!!! Na’uzubillah min zalik!

Teman tahu dan cukup yakin ramai ahli akar umbi PAS yang terkejut dengan perubahan dasar perjuangan PAS ini. Ramai juga yang menghubungi teman melahirkan perasaan sedih dan dukacita mereka. Kepada para ahli akar umbi PAS, inilah harga yang perlu dibayar oleh PAS demi memenuhi nafsu seorang manusia yang ditabal isterinya sebagai anugerah tuhan. Teman pernah sebut perkara ini; jika PAS berterusan mahu bergayut kepada Anwar, PAS akan terpaksa membayar harga yang mahal. Cuma teman tak sangka ianya berlaku begitu cepat.

Dalam keadaan DAP bukan sahaja masih kekal dengan prinsip perjuangannya Malaysian Malaysia, perjuangan mahu menyamatarafkan semua agama dan kaum dalam negara ini, malah makin bertambah cauvinis, rasis dan biaDAP; tau-tau PAS pulak yang bukan sahaja tumPAS dan gagal mempertahankan prinsip perjuangannya untuk mendaulatkan sebuah Daulah Islamiyyah; malah menghalalkan tindakan mematikan perjuangan menubuhkan sebuah Negara Islam atas fatwa “ianya tidak ada dalam Al Quran!!!”. Na’uzubillah min zalik! Moga ALLAH mengampuni kita semua.

Mungkin selepas ini para kuffar dan muysrik akan berebut mengundi PAS. Mungkin selepas ini para kaafirun dan musyrikun akan berasak-asak memangkah calon-calon PAS menjadi Yang Berhormat. Mungkin selepas ini para penghalal khinzir ini akan menobatkan kepimpinan PAS ke Putrajaya bersama Anwar, Karpal & Kitsiang. Mungkin selepas ini para taukeh judi & arak akan turut sama memenuhi tabung jihad PAS demi membiayai perjuangan negara kebajikan PAS. Tetapi apa guna itu semua jika prinsip tergadai, aqidah berkecai, perjuangan bersepai!!! Bolehkah para kuffar, musyrik, penghalal khinzir ini membantu kita dihadapan ALLAH nanti?!

Pesan teman kepada para ahli akar umbi PAS, suara majoriti bisu selama ini, bangkitlah mempertahankan PAS. Janganlah dikorbankan perjuangan PAS semata-mata kerana kilauan palsu Putrajaya. Kalau dahulu UMNO dikafirkan kerana kononnya tidak menerima Negara Islam, bagaimana pula dengan dakwaan pemimpin PAS sendiri yang memfatwakan Negara Islam tidak ada dalam Al Quran? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing yop.

Dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali. Semoga ALLAH memberikan kita semua hidayah dan istiqamah, dan memberi petunjuk kepada kaum yang perlu diberikan petunjuk. Amin.

Adios amigos, grasias senorita.

Wallahua’lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
05 Rejab 1432

07 Jun 2011

Wednesday, June 8, 2011

PAS SUDAH TAK LAYAK GUNA PERKATAAN ISLAM

Bahana keghairahan Pas

Oleh Zulkiflee Bakar

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

MENANG sorak kampung tergadai’, ‘Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ dan bersedialah untuk melupakan kepimpinan ulama serta perjuangan negara Islam.’’

Mungkin itulah yang boleh dikatakan kepada kumpulan pro ulama apabila muktamar tahunan parti itu berakhir hari ini.

Keputusan pemilihan yang diumumkan semalam menyaksikan golongan pro ulama bakal menjadi pengikut sahaja kepada golongan profesional yang menguasai sebahagian besar jawatan yang dipertandingkan.

Ulama turut kehilangan kerusi Timbalan Presiden yang dikuasai sejak tahun 1981 dan tidak mempunyai seorang pun wakil bagi kerusi Naib Presiden manakala bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat hanya ada lapan sahaja wakil mereka di dalamnya berbanding 18 kerusi yang dipertandingkan. Walaupun ketika Muktamar Pemuda di Shah Alam pada Khamis lalu memastikan golongan ulama terus menguasai Dewan tersebut tetapi arus tersebut tidak sampai ke muktamar induk di Gombak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan seorang ulama kini harus bersedia menghadapi cabaran daripada golongan profesional yang sudah tentulah mempunyai suara majoriti bagi menentukan hala tuju politik parti itu. Biar pun ada yang mengatakan Pas mempunyai Majlis Syura yang boleh memberikan kata putus tetapi kewujudan majlis tersebut buat masa ini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sahaja.

Jika Majlis Syura benar-benar berfungsi sudah pastilah tidak wujud perebutan jawatan dalam parti tersebut. Bagaimana pula dengan keputusan majlis berkenaan yang merestui perbincangan kerajaan perpaduan diadakan tetapi akhirnya ditentang oleh sesetengah pemimpin Pas sendiri? Sebenarnya, arus perubahan yang berlaku di dalam Pas juga didorong oleh ucapan dasar Abdul Hadi yang begitu bersemangat menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta begitu teruja menguasai Putrajaya bersama-sama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Akibat keghairahan tersebut Abdul Hadi terlepas pandang bahawa ucapannya boleh menimbulkan semangat kepada kelompok pro profesional untuk menguasai parti itu. Tindakan Abdul Hadi yang bercakap soal membangunkan negara berkebajikan dilihat meletakkan pemimpin daripada golongan ulama tidak diperlukan lagi kerana Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam.

Malahan keterujaan Abdul Hadi mahu Pas menjadi sebuah parti yang cukup kuat bagi menghadapi pilihan raya umum turut mempengaruhi perwakilan untuk memastikan golongan profesional memikul tanggungjawab itu.

Lemah

Sebelum ini ulama-ulama di dalam Pas telah digambarkan sebagai kelompok yang lemah dan tidak bermaya untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu bagi memastikan impian Abdul Hadi tercapai maka beliau diberikan satu barisan kepimpinan yang kononnya paling sesuai untuk melaksanakan perjuangan tersebut. Ia bermakna selepas ini golongan ulama tidak akan mempunyai apa-apa kuasa atau peranan lagi selain hanya menurut sahaja apa juga strategi yang disusun oleh golongan profesional.

Jika dalam ucapannya Abdul Hadi menganggap ulama yang menyebelahi UMNO tidak mampu menterjemah kefahaman Islam mengenai politik semasa, bagaimana pula dengan ulama Pas? Apakah mereka benar-benar memahami politik sehingga tidak mampu berkompromi sesama mereka bagi memastikan undi tidak pecah dan orang lain mengaut keuntungan? Sebenarnya Pas yang gagal mendidik ulamanya untuk memahami politik semasa sehinggakan kesempatan itu diambil oleh golongan profesional mengatur strategi bagi memperluaskan penguasaan mereka.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden kerana gagal memainkan peranan menasihatkan anak saudaranya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menarik diri bagi mengelak undi ulama berpecah. Semua orang tahu bagaimana hubungannya dengan penyandang jawatan tersebut, Nasharudin Mat Isa.

Nik Abdul Aziz tidak menyukai Nasharudin yang dikaitkan dengan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO biarpun ia demi perpaduan Melayu dan umat Islam. Sebab itulah pada 20 Mei lalu, Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau sudah mempunyai calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden. Walaupun enggan menyebut nama calon itu tetapi semua orang pasti bahawa calon tersebut bukannya Nasharudin.

Beliau juga sudah tentu tidak merujuk kepada Mohamad Sabu yang dipertahannya habis-habisan apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah tersebut didakwa atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu suatu ketika dulu. Ia kerana Nik Abdul Aziz berpesan kepada perwakilan supaya ‘‘mengambil kira orang yang dipilih layak memimpin umat Islam dengan tingkah laku dan kata-kata.’’

Sebagai seorang yang pernah berkata bahawa seseorang pemimpin itu hanya boleh ditukar atau digantikan jika melanggar hukum syarak dan melakukan dosa besar, Nik Abdul Aziz boleh memainkan peranan menasihatkan Tuan Ibrahim menarik diri. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak mahu berbuat demikian kerana yakin perwakilan akan memahami isyarat yang beliau berikan, kesudahannya golongan ulama berputih mata berikutan kekalahan Nasharudin dan Tuan Ibrahim.

Sandiwara

Seperkara lagi walaupun ada pemimpin Pas menafikan dakwaan bahawa calon-calon yang menang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kenyataan itu boleh dianggap sandiwara sahaja. Ini kerana ada antara mereka yang dipilih mempunyai cara dan corak berpolitik seperti Anwar dan boleh dikategorikan sebagai ‘political animal’. Malah mereka juga sanggup membela Anwar bermati-matian dan turun naik ke mahkamah demi menyokong Anwar. Dan berdasarkan kepada barisan yang terpilih jelaslah harapan untuk melihat Pas tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP sudah berkubur. Apatah lagi, Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya begitu mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dan menganggap seolah-olah Malaysia akan menjadi negara terbaik di muka bumi Allah ini kalau pembangkang memerintah.

Jika dikaji seorang demi seorang pemimpin-pemimpin yang terpilih mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar mereka bukan sahaja rapat dengan Anwar malah sentiasa sahaja bersama-sama menyokong agenda politik PKR dan DAP. Lebih daripada itu, ada antaranya tidak membawa akhlak sebagai pemimpin dari sebuah parti Islam tetapi tetap dipilih oleh perwakilan atau sebelum ini dicalonkan di peringkat akar umbi.

Semua itu berlaku kerana Pas semakin terhakis jati dirinya dan ini diakui sendiri oleh beberapa penyokong Pas yang menghubungi penulis sebaik sahaja keputusan pemilihan diketahui. ‘‘Inilah akibat jika pemimpin dan ahli Pas berkawan rapat dengan Anwar, PKR dan DAP. Sebahagian mereka sudah ‘mewarisi’ corak politik pemimpin dan kelompok tersebut serta meninggalkan jati diri Pas,’’ kata seorang pemimpin muda kepada penulis.

Justeru kita tidak perlu mengharapkan bahawa Pas selepas ini akan bertindak sebagai sebuah parti yang berpolitik secara berhemah seperti mana diamalkan oleh golongan ulama sebelum ini. Sebaliknya akan berhadapan dengan sekumpulan pemimpin yang akan ‘memusuhi’ BN dan UMNO habis-habisan serta mengalakkan rakyat turun ke jalanan kononnya bagi memperjuangkan demokrasi.

Apa yang mengecewakan pemimpin dan ahli Pas sengaja menolak peringatan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr.Harun Taib supaya kepimpinan Pas tidak menghilangkan identiti serta jati diri Islam yang dijunjung sekian lama hanya kerana terlalu ingin merai kehendak pihak tertentu terutamanya rakan komponen dalam pakatan pembangkang. Tetapi peringatan itu bagai menjirus air ke daun keladi, impian ke Putrajaya yang diuar-uarkan oleh Anwar sudah mempengaruhi nafsu politik sebahagian ahli-ahli Pas sehingga mereka melihat kalau Pas tidak mengukuhkan kerjasama dengan PKR dan DAP maka impian mereka tidak akan tercapai.

Kesudahannya mereka memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat benar-benar komited untuk mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan, biar pun selama ini Pas dilihat hanya menjadi ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ sahaja. Malahan Abdul Hadi sendiri sudah diramalkan selepas ini tidak akan mempunyai ‘kekuatan lagi’ bagi menghalang ombak penguasaan politik oleh puak-puak yang ‘berkiblatkan’ Anwar di dalam Pas. Segalanya kerana kesilapan Presiden Pas itu sendiri yang sudah seolah-olah sudah memberi restu kepada ‘kehadiran ombak’ itu melalui ucapan dasarnya.

KUALA LIPIS BERSEJARAH