Siapa
Perdana Menteri ?
Tan Sri
Sanusi Junid – Dalam muktamar PAS
yang baru lalu kita mendengar cadangan pihak ulama supaya Haji Hadi Awang,
Presiden PAS, menjadi Perdana Menteri seandainya Barisan Nasional kecundang
dalam Pilihanraya Umum ke 13.
2. Sebenarnya, inilah masanya yang paling sesuai untuk sesiapa
saja yang ingin menjadi Perdana Menteri berangan-angan atau menghayalkan diri
untuk syok sendiri.
DAP DAN PKR MAHU ANWAR
3. Melentinglah DAP yang mahukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana
mereka merasakan belum sampai masanya untuk Karpal Singh atau Lim Kit Siang
menjadi Perdana Menteri.
4. Karpal mungkin lebih berhasrat kerana melihat walaupun
golongan Punjabi di India adalah dari kalangan minoriti tetapi yang menjadi
Perdana Menteri di India ialah Manmohan Singh. Bezanya hanyalah serban.
5. Parti Pakatan Rakyat tentulah memilih penasihatnya. Si
penasihat pula dikatakan tersenyum dan tidak mahu membuat komennya apabila
ditanya oleh pemberita. Kawan-kawan penasihat di dalam barisan pimpinan PAS
pula menyatakan Tuan Haji Hadi Awang tidak berminat menjadi Perdana Menteri.
Bukan Haji Hadi yang kata tetapi tokoh PAS yang tidak mahu ketuanya jadi
Perdana Menteri.
DATO’ NIK AZIZ BIN NIK
MAT BAGAIMANA?
6. Sudah tentu apabila penasihat PR tersenyum dan tidak mahu
membuat komen bukanlah bermakna dia tak mahukan jawatan Perdana Menteri. Sudah
lama dia mimpikan jawatan itu. Kawan-kawan yang membuat komen dalam blog ini
juga begitu ghairah supaya Pak Sheikh jadi Perdana Menteri. Budak Kolej
lagi-lagi la. Tetapi, Haji Hadi Awang juga belum tentu menolak apabila beliau
betul-betul ditawarkan. Bagaimana dengan Mursyidul Am PAS? Mungkin dia pun mahu
juga jawatan itu, walaupun, mengikut kata Mursyidul Am TIBAI, untuk sekejap
masa sahaja.
DATO’ ONN BIN JAAFAR
7. Orang yang pertama dalam sejarah Melayu yang ingin jadi
Perdana Menteri ialah Dato’ Onn Jaafar. Itulah sebabnya beliau menubuhkan UMNO,
menentang Malayan Union dan berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Tetapi beliau
tak jadi.
TUNKU ABDUL RAHMAN
PUTRA
8. Tunku Abdul Rahman telah ditawarkan untuk memimpin UMNO oleh
Tun Abdul Razak yang bertemu dengannya waktu di London. Tengku tidak merancang
untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi apabila beliau menang untuk jawatan
Presiden UMNO, dan Malaya mencapai kemerdekaan Tengku telah menjadi Perdana
Menteri.
9. Jelaslah yang hendak jadi Perdana Menteri tidak jadi dan yang
tidak terfikir untuk menjadi Perdana Menteri telah jadi. Allah s.w.t. adalah
yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui dan Menentukan.
10. Malahan, dalam sejarah terdekat, yang sudah menjadi Timbalan
Perdana Menteri pun telah tidak menjadi Perdana Menteri atas sebab-sebab yang
berbeza.
11. Apabila sudah jadi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman berasa
gembira sehingga beliau menyatakan, di akhir-akhir pemerintahannya, bahawa
beliau adalah Perdana Menteri yang paling bahagia atau gembira di dunia
sebagaimana katanya ‘ I am the happiest Prime Minister in the world’.
TUN ABDUL RAZAK BIN
DATO’ HUSSEIN
12. Timbalan Perdana Menteri di waktu Tunku Abdul Rahman menjadi
Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak tidak akan menjadi
Perdana Menteri jika Tunku Abdul Rahman tidak mengundurkan diri. Tun Abdul
Razak telah meninggal dunia lebih dahulu daripada Tunku dan jika terpaksa
menunggu Tunku kembali ke rahmatullah untuk Tun Razak mengambil tempatnya sudah
tentu Tun Abdul Razak tidak dapat merasakan jadi Perdana Menteri.
13. Tetapi dalam perancangan Allah s.w.t. Tun Abdul Razak telah
ditetapkanNYA akan menjadi Perdana Menteri.
14. Maka berlakulah peristiwa 13 Mei, 1969 diikuti dengan
sampainya giliran DYMM Tuanku Abdul Halim menaiki takhta Yang Di Pertuan Agung
sebagai Yang Di Pertuan Agung Malaysia yang ke 5. Tidak manislah jika Tunku
Abdul Rahman, sebagai Perdana Menteri dan bapa saudara kepada KDYMM Tuanku
Sultan Abdul Halim akan mengadap dan mencium tangan anak saudaranya, waktu
merafak sembah menerima jawatan.
15. Kewujudan tokoh-tokoh muda cauvinis China, seperti Lim Kit
Siang dari DAP, hanyalah untuk mempergolakkan lagi peritiwa 13 Mei.
16. Oleh kerana populariti Tunku Abdul Rahman juga sudah
menurun, berikutan peristiwa 13 Mei dan kerana beberapa keputusan yang dibuat
olehnya selepas itu, maka beliau meletak jawatan untuk diganti oleh Tun Abdul
Razak. Memang begitu perencanaan Allah s.w.t..
TUN DR. ISMAIL BIN
DATO’ ABDUL RAHMAN
17. Tun Dr. Ismail telah dipilih oleh Tun Abdul Razak untuk
menjadi Timbalannya. Walaupun Tun Dr. Ismail pernah menentang Tun Abdul Razak
dalam satu pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden tetapi Tun Abdul Razak
tidak berdendam dan telah melantik Tun Dr. Ismail sebagai Timbalan dengan
harapan supaya Tun Dr. Ismail dapat menggantinya untuk menjadi Perdana Menteri
kerana pada waktu itu Tun Abdul Razak telahpun mengetahui mengenai penyakitnya.
18. Tun Dr. Ismail juga dikatakan sakit sehingga telah terpaksa
berhenti dari menjadi Menteri apabila Tunku Abdul Rahman memecat keluar
Singapura dari berada dalam Malaysia.
19. Tun Abdul Razak pasti tahu bahawa Tun Dr. Ismail berhenti,
dari berkhidmat dalam kabinet Tunku Abdul Rahman, bukan kerana sakit tetapi
‘sakit hati’ kerana tidak setuju dengan pemecatan Singapura dari Malaysia dan,
katanya, Tun Dr. Ismail lebih cenderung untuk menangkap Lee Kuan Yew jika
beliau didapati menjadi ancaman kepada kestabilan dan keamanan politik negara.
20. Tun Dr. Ismail telah menerima lantikan Tun Abdul Razak untuk
menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau cukup sihat.
21. Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang diberi tugas seperti
Menteri Dalam Negeri Tun Dr. Ismail, walaupun pernah menentang Tun Abdul Razak
di satu masa dahulu, tidak mungkin dapat mencabar Presiden UMNO, dan merampas
jawatannya kerana jawatan Menteri Dalam Negeri, sebagaimana Tun Ghazali Shafie,
walau bagaimana bijak sekalipun tidak mungkin menjadi popular di dalam parti
kerana jawatan itu tidak berkaitan dengan pembahagian sebarang rezeki untuk
pemimpin-pemimpin atau perwakilan parti yang hadir dalam mesyuarat agung.
22. Walau bagaimanapun, takdir Allah s.w.t. Tun Abdul Razak,
yang sakit, telah tidak sempat menyerah kuasa Perdana Menteri kepada Tun Dr.
Ismail kerana Tun Dr. Ismail, walaupun sihat waktu dilantik menjadi Timbalan
Perdana Menteri, telah kembali ke rahmatullah terlebih dahulu dari Tun Abdul
Razak.
TUN HUSSEIN BIN DATO’
ONN
23. Di luar dugaan ahli-ahli UMNO Tun Abdul Razak telah memilih
Tun Hussein Onn untuk menjadi Timbalannya menggantikan Tun Dr. Ismail yang
telah meninggal dunia.
24. Tun Hussein Onn, kalau tak salah saya adalah lebih tua dari
Tun Abdul Razak, dan beliau pernah memberitahu kepada saya bahawa beliau tidak
pernah bercita-cita untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tun Hussein telah
menikah dengan Tun Suhaila iaitu kakak kepada Tun Hajah Rahah isteri Tun Abdul
Razak. Pada adatnya yang tualah pergi dahulu. Jika Tun Hussein kembali ke
rahmatullah lebih awal dari Tun Abdul Razak yang lebih muda darinya maka beliau
tidak akan jadi Perdana Menteri.
25. Kuasa Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui dan Menentukan,
lantaran kembalinya ke rahmatullah Tun Abdul Razak, maka Tun Hussein Onn
menjadi Perdana Menteri.
PILIH SATU DARI TIGA
NAIB PRESIDEN
26. Siapakah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah
Tun Hussein Onn. Sudah tentu pilihannya ialah dari kalangan tiga Naib Presiden.
Katanya, ada rancangan oleh Tun Hussein Onn untuk memilih Tun Ghazali Shafie,
yang pintar fikirannya, tetapi tidak popular, untuk menjadi Timbalannya; apatahlagi
apabila tiga orang Naib Presiden UMNO telah memberi ultimatum meminta, demi
kestabilan dan menghormati parti maka pilihan untuk jawatan Timbalan Perdana
Menteri perlulah dibuat dari siapa saja dari kalangan mereka bertiga.
27. Yang paling popular dari antara tiga orang Naib Presiden
ialah Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah yang mendapat undi tertinggi dalam
pilihan untuk jawatan Naib Presiden UMNO, dan beliau dianggap Naib Presiden
yang paling senior. Tetapi Tun Hussein, yang agak konservatif dan bapa kepada
anak-anak gadis yang jelita dan berpendidikan, tidak berminat melantik Tengku
Razaleigh. Mungkin Tun Hussein tidak mahu seorang anak teruna yang belum
berkeluarga untuk menjadi Timbalannya.
28. Tun Hussein juga tidak tertarik kepada Tun Ghafar Baba sebagai
Naib Presiden yang kedua paling senior dan popular di dalam UMNO. Mungkin Tun
Hussein terkenang kisah Tun Ghafar yang telah menyokong Tunku Abdul Rahman di
waktu Tunku menentang bapanya Dato’ Onn Jaafar, dalam pertandingan untuk
jawatan Presiden UMNO.
TUN DR. MAHATHIR
MOHAMAD
29. Jadi Tun Mahathirlah yang menjadi pilihan yang ditentukan
oleh Allah s.w.t.. Menteri saya di Kementerian Pembangunan Tanah dan
Pembangunan Wilayah, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf, seorang sahabat Tun Hussein
Onn, sejak sama-sama mempelajari undang-undang telah membantu Tun Hussein Onn
dalam membuat keputusan memilih Tun Dr. Mahathir. Tan Sri Abdul Kadir Yusuf
telah berkhidmat di Kedah sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri sementara
isterinya, juga dari Johor, cergas dalam pergerakan wanita UMNO dan mengenali
Tun Dr. Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah.
30. Apabila Tun Hussein Onn mengidap penyakit jantung beliau
telah menjalani satu pembedahan. Saya difahamkan, oleh kerana saya sendiri
mempunyai masalah sakit jantung, bahawa setelah selesai pembedahan seseorang
pesakit itu agak ‘moody’ dan ‘temperamental’ untuk beberapa bulan. Dalam waktu
itu seseorang pesakit jantung tidak boleh membuat keputusan tanpa menyesal
kemudiannya. Entah kenapa, waktu cuti sakit, Tun Hussein Onn telah meletak
jawatan dari menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya tindakan Tun Hussein ini telah
ditentukan oleh Allah s.w.t. untuk Tun Dr. Mahathir menggantinya.
PRESIDEN PAS MENINGGAL
DUNIA SETELAH MENJADI AHLI UMNO
31. Adalah ironik jika difikirkan bahawa dari 3 orang Perdana
Menteri Malaysia, dari UMNO, yang telah meninggal waktu masih menjadi ahli UMNO
hanyalah Tun Abdul Razak sementara yang dua lagi tidak menjadi ahli UMNO di
waktu meninggal dunia. Sedangkan pemimpin tertinggi parti PAS, Datuk Asri Hj.
Muda, yang di waktu beliau menjadi Presiden PAS telah membenarkan partinya
mengkafirkan UMNO telah menjadi ahli UMNO dan seterusnya kekal sebagai ahli
UMNO sehingga beliau meninggal dunia. Ini adalah bukti yang jelas bahawa
pengkafiran UMNO adalah satu permainan politik. Adalah tidak mungkin bagi Dato’
Asri mahu menjadi ahli UMNO dan meninggal sebagai ahli, jika menjadi ahli UMNO
diyakininya sebagai menjadi kafir. Allah s.w.t. jualah yang Maha Mengetahui dan
Menentukan.
32. Memandang kepada kejadian ini adalah tidak mustahil bagi
Mursyidul Am PAS memilih untuk menjadi ahli UMNO supaya ‘sama-sama murtad’
dengan ahli-ahli UMNO yang lain, sebelum beliau kembali ke rahmatullah.
33. Bila Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri ramai
ahli-ahli UMNO menjangkakan beliau akan melantik Tengku Tan Sri Razaleigh
Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menterinya.
TUN MUSA HITAM
34. Sebaliknya Tun Dr. Mahathir telah tidak membuat pilihan
sendiri dan membenarkan UMNO menentukan siapa pilihan mereka untuk Timbalan
Presiden UMNO yang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau. Oleh
kerana para perwakilan UMNO mengetahui bahawa Tun Dr. Mahathir lebih meminati
Tun Musa Hitam untuk menjadi Timbalannya maka Tun Musa telah mengalahkan Tengku
Tan Sri Razaleigh dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam
pemilihan pada 16 Julai, 1981.
35. Kata orang yang mengetahui, kononnya Tun Dr. Mahathir
condong kepada Tun Musa Hitam kerana beliau menjangka Tun Musa boleh menjadi
Timbalan yang lebih setia dan tidak akan mengancam kedudukannya dan beliau
dapat menjalankan tugas Perdana Menteri dengan aman. Tan Sri Tengku Razaleigh
kelihatan tersangat ‘ambitious’. Ternyata anggapan ini tidak tepat.
36. Walaupun kalah, oleh kerana Tengku Razaleigh mendapat 517
undi, iaitu satu jumlah yang lumayan jika dibandingkan dengan Tun Musa yang
mendapat 722 undi, maka demi perpaduan UMNO Tengku Razaleigh telah terus diberi
tempat di dalam kabinet Tun Dr. Mahathir.
37. Semua pihak menjangkakan Tun Musa akan dipersiapkan untuk
mengganti Tun Dr. Mahathir apabila Tun Dr. Mahathir mengundur diri dari jawatan
Perdana Menteri. Tetapi Tun Musa tidak sabar dan beliau merasakan tidak dapat
bertugas dengan selesa dan berkesan selagi kemenangannya untuk jawatan Timbalan
Presiden UMNO, pada tahun 1981, adalah dengan sokongan Tun Dr. Mahathir dan
bukan kerana beliau dianggap lebih kuat dan berkemampuan jika dibandingkan
dengan saingannya Tengku Razaleigh Hamzah.
38. Tun Musa merasa resah dan gelisah apabila Tun Dr. Mahathir
mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan setelah dikalahkan
dalam pertandingan dengan Tun Musa. Tun Dr. Mahathir merasakan kemampuan Tengku
Razaleigh dalam menjalankan tugasnya perlu dihormati. Tun Musa sebaliknya
bimbang akan bertambahnya populariti Tengku Razaleigh dalam melaksanakan tugas
kementeriannya. Tun Musa menjangkakan Tengku Razaleigh akan bertanding lagi
dengannya dalam perhimpunan agung yang ada pemilihan berikutnya.
39. Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1984 Tun Musa telah
sekali lagi mengalahkan Tengku Razaleigh dalam pertandingan untuk jawatan
Timbalan Presiden UMNO. Tun Dr. Mahathir memindahkan Tengku Razaleigh ke
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dari Kementerian Kewangan. Tun Musa Hitam
kecewa lagi.
40. Atas nasihat beberapa orang kawannya Tun Musa telah
merancang untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sebagai
Timbalan Presiden UMNO.
41. Mengikut analisa, cara Tun Musa Hitam meletak jawatan adalah
terancang sekali. Beliau tidak menulis surat perletakan jawatan yang
berkuat-kuasa dengan serta merta. Sebaliknya beliau memberi notis selama 1
tahun dari 28 Februari, 1985. Perletakan jawatan Tun Musa Hitam berkuatkuasa
pada 28 Februari, 1986. Tun Dr. Mahathir telah merahsiakan kewujudan surat ini
sepanjang satu tahun.
42. Mengikut maklumat dari kalangan sahabat Tun Musa, setelah
surat perletakan jawatan itu disampaikan, Tun Dr. Mahathir sudah pasti tidak
lagi memihak kepada Tun Musa dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden
dalam pemilihan berikutnya pada 24 April, 1987, dan kemenangan Tun Musa, yang
dijangkakannnya, dalam Perhimpunan Agung berikutnya itu tidak boleh lagi
dikatakan kerana sokongan Tun Dr. Mahathir.
RANCANGAN MENGADAKAN
MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN UMNO KHAS
43. Antara 28 Februari, 1986 iaitu tarikh berkuat-kuasa surat
perletakan jawatan Tun Musa dan tarikh Perhimpunan Agung UMNO pada 24 April,
1987 kawan-kawan Tun Musa telah bekerja kuat untuk mendapatkan keputusan
mesyuarat Majlis Tertinggi untuk mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas
untuk mendesak Tun Musa menarik balik surat perletakan jawatannya sebagai
Timbalan Perdana dan Timbalan Presiden UMNO dan meminta Tun Dr. Mahathir
menerima penarikan perletakan jawatan itu.
44. Setelah mengetahui bahawa Tun Dr. Mahathir tidak mungkin
akan terus memegang jawatan Perdana Menteri jika Perhimpunan Agung Perwakilan
UMNO Khas diadakan. Perhimpunan sedemikian tidak memperhitungkan kemudahan
untuk Perdana Menteri menjalankan tugas tanpa sokongan Timbalan Perdana Menteri
yang sehaluan dengannya; apatahlagi jika Timbalan Perdana Menteri dikembalikan
ke dalam jawatannya tanpa rasa terima kasih kepada Perdana Menterinya, kerana
diletak kembali ke jawatan sebagai menyetujui protes yang membawa kepada
perletakan jawatan itu.
45. Staf ibu-pejabat UMNO telah bekerja kuat untuk
mempertahankan Tun Dr. Mahathir.
46. Kawan-kawan Tun Musa gagal mempengaruhi Majlis Tertinggi
untuk membuat keputusan sedemikian. Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi pada
28 Februari, 1986 telah menolak cadangan mengadakan Perhimpunan Agung
Perwakilan UMNO Khas dan hanya bersetuju supaya satu rombongan UMNO Johor
bertolak ke London untuk memujuk Tun Musa Hitam supaya menarik balik perletakan
jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO tetapi penerimaan perletakan jawatan
atau penerimaan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah hak mutlak
Perdana Menteri dan Tun Dr. Mahathir tidak berhasrat untuk memujuk Tun Musa
untuk menarik balik surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
TUN GHAFAR BABA
47. Tun Dr. Mahathir pada mulanya ingin menunggu sehingga
Mesyuarat Agung UMNO berikutnya, sekitar hanya 1 tahun 2 bulan lagi, pada 24
April, 1987, untuk menentukan siapa yang akan menjadi Timbalan Presiden untuk
menggantikan Tun Musa. Tun Mahathir tidak berhasrat untuk melantik pengganti
Tun Musa dengan serta-merta. Tun Dr. Mahathir yakin Tun Musa, yang didapati
tidak sebulu dengan Tun Dr. Mahathir akan ditewaskan oleh Tan Sri Tengku
Razaleigh Hamzah.
48. Tetapi, oleh kerana adanya rancangan usaha yang berterusan untuk
mengembalikan Tun Musa melalui paksaan dari keputusan Perhimpunan Agung
Perwakilan UMNO Khas, maka Tun Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk
melantik Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei, 1986.
49. Pada waktu itulah ide Team A dan Team B telah diketengahkan
oleh media. Tun Musa yang dulunya bersaing sengit dengan Tan Sri Tengku
Razaleigh dalam dua pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dan
seterusnya kecewa apabila Tengku Razaleigh, selepas dua kali dikalahkan oleh
Tun Musa, tetapi terus dilantik menjadi Menteri, telah sanggup bertanding untuk
jawatan Timbalan Presiden UMNO dan menyokong Tengku Razaleigh untuk bertanding
dengan Tun Dr. Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO.
50. Adalah tidak lojik bagi penganalisa politik untuk menganggap
bahawa kebencian Tun Musa terhadap Tun Dr. Mahathir telah membuat beliau
sanggup menyokong Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan untuk
jawatan Presiden UMNO untuk Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, jika menang,
menjadi Perdana Menteri dan Tun Musa pula, jika menang dalam pertandingan untuk
jawatan Timbalan Presiden UMNO akan menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada
Perdana Menteri Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Jika Tun Musa sanggup menjadi
timbalan kepada Tan Sri Tengku Razaleigh sudah tentu dia tidak akan menolak
perlantikan Tan Sri Tengku Razaleigh menjadi Menteri setelah beliau kalahkan
dalam dua pertandingan uuntuk jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981
dan 1984.
51. Penyokong Tun Musa berpendapat bahawa pertandingan dalam
Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1987 akan berakhir dengan kekalahan Tan Sri
Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden dan kekalahan Tun Ghafar Baba
untuk jawatan Timbalan Presiden. Yang menang ialah Tun Dr. Mahathir sebagai
Presiden UMNO dan Tun Musa sebagai Timbalan Presiden.
52. Keadaan sedemikian sudah pasti akan berakhir dengan
perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Tun Musa Hitam
mengambil tempatnya.
53. Dengan kuasa Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui dan Menentukan
Tun Ghafar telah mengalahkan Tun Musa dan Tengku Razaleigh telah dikalahkan
oleh Tun Dr. Mahathir.
DATO’ SERI ANWAR
IBRAHIM
54. Mengikut Tan Sri Isa Samad bapa saudaranya, Tun Ghafar Baba,
telah bersetuju dengan usaha supaya beliau tidak ditandingi oleh Dato’ Seri
Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan membuat satu surat perjanjian
untuk melantik Dato’ Seri Anwar, dan tidak orang lain, menjadi Timbalannya jika
beliau menjadi Perdana Menteri.
55. Tawaran ini dibuat kerana ada berita angin yang menyatakan
Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk bertanding dengan Tun Ghafar Baba
kerana Dato’ Seri Anwar takut jika Tun Ghafar Baba jadi Perdana Menteri beliau
tidak akan melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalannya.
56. Mengikut sumber yang boleh dipercayai Dato’ Seri Anwar tidak
melayani tawaran ini. Kononnya beliau takut kawan-kawannya akan memarahi beliau
jika beliau menarik diri.
57. Jawapan Dato’ Seri Anwar ini juga adalah sama seperti
jawapannya apabila penyokong Dato’ Haji Shuhaimi Kamaruddin, selaku Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM), meminta beliau menarik diri dari dicalonkan untuk
jawatan MBM itu. Dato’ Seri Anwar juga berkata dia takut kawan-kawannya akan
marah jika dia tarik diri.
58. Melihat kepada keadaan semasa, dan memandang kepada amalan
politik wang yang berjalan rancak, Tun Ghafar kemudiannya telah meletak jawatan
sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 15 Oktober, 1993. Beliau, walaupun
seorang pejuang kemerdekaan, telah kelihatan berjalan dengan beg kertas tanpa
sebarang escort setelah hilang jawatan.
59. Oleh kerana tidak cukup pencalonan untuk menjadi calon
Timbalan Presiden UMNO Tun Ghafar Baba, pada 4 November 1993, telah
meninggalkan jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk dimenangi oleh Dato’ Seri
Anwar Ibrahim tanpa bertanding.
60. Jika dipandang dari sudut takdir maka Dato’ Seri Anwar tidak
dapat disalahkan kerana bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Jelaslah dalam perencanaan Allah s.w.t. tidak ada nama-nama Tun Musa dan Tun
Ghafar dalam senarai untuk menjadi Perdana Menteri.
61. Dato’ Seri Anwar adalah anak emas Tun Dr. Mahathir yang
ditatang olehnya sehingga sampai ke tahap Timbalan Perdana Menteri.
62. Tidak lama setelah menjadi ahli UMNO Dato’ Seri Anwar telah
mengalahkan Dato’ Haji Shuhaimi dalam pertandingan untuk jawatan Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, itu pun kerana Dato’ Seri Anwar takut
kawan-kawannya akan marah jika dia manarik diri dari menentang orang tua, kawan
bapanya, Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Akhirnya Dato’
Seri Anwar mengganti Tun Ghafar untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.
63. Walaupun agak sedih jika difikirkan, kerana amalan politik
wang, dan yang dikalahkan oleh Dato’ Seri Anwar ialah seorang tokoh lama dan
berjasa, yang tidak mungkin dapat lama berkhidmat sebelum ianya berundur diri
dari politik, semua kawan-kawan Dato’ Seri Anwar yang menjadi ahli dan bekas
ahli ABIM merasa gembira kerana barisan kepimpinan negara sudah dipersiapkan
dari tokoh yang pintar bercakap dan berlandaskan ugama.
CAKAP TAK SERUPA BIKIN
64. Kerana imej agamanya, dan kepetahannya dalam berbicara,
Dato’ Seri Anwar telah cepat meningkat hingga ke peringkat Menteri. Beliau
telah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin untuk menggantinya sebagai Menteri
Kewangan apabila Tun Daim meletak jawatan. Tujuan Tun Daim, yang dipersetujui
oleh Tun Dr. Mahathir, ialah untuk mendedahkan Dato’ Seri Anwar kepada dunia ekonomi
dan kewangan kerana beliau tidak berpengalaman dan berpendidikan dalam bidang
itu.
65. Malangnya dalam masa yang singkat Dato’ Seri Anwar terbukti
lebih pandai bercakap dari bekerja dan lebih banyak menggunakan ugama untuk
politik dan bukan mempengaruhi politik dengan ugamanya. Dari sebuah pergerakan
politik yang bersifat nasionalis Pergerakan Pemuda UMNO telah berubah cenderung
untuk berwajah agama. Agama kemudiannya dikalahkan oleh wang ringgit dan
kekayaan.
66. Jika dalam perencanaan Allah s.w.t. nama Dato’ Seri Anwar
Ibrahim tidak ada sebagai Perdana Menteri maka berlakulah berbagai angkara dan
perkara yang menutup peluang naiknya.
67. Dato’ Seri Anwar telah dipecat dari Jawatan Timbalan
Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, oleh Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir yang paling menyayanginya, pada 2 September, 1998 atas sebab-sebab
yang sudah diketahui umum.
68. Waktu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Presiden Majlis Belia
Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi hanyalah seorang Pengarah Belia di Kementerian
Belia dan Sukan. Apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pergerakan
Pemua UMNO Malaysia timbalannya ialah Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.
TUN ABDULLAH BIN HJ.
AHMAD BADAWI
69. Dalam ketentuan Allah s.w.t. Tun Abdullah Ahmad Badawi
adalah tokoh yang dipilih untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau anak ulama,
berkelulusan ugama, baik wataknya dan bersih dalam rekod pentadbirannya.
Walaupun beliau pernah menyertai Team B, bersama Tengku Razaleigh dan Tun Musa
di waktu percubaan untuk menjatuhkan Tun Mahathir, beliau telah dipilih oleh
Tun Dr. Mahathir untuk mengganti tempat Dato’ Seri Anwar sebagai Timbalan
Perdana Menteri.
70. Harapan rakyat terhadap kepimpinan Tun Abdullah begitu
tinggi sehingga pencapaian Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke 11 pada
tahun 2004 adalah antara yang paling cemerlang sejak merdeka.
71. Waktu melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti
Dato’ Seri Anwar Ibrahim Tun Dr. Mahathir sedar dan mengetahui bahawa ilmu yang
ada pada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dalam bidang ekonomi, dan pendedahan
politik yang telah dilaluinya, adalah lebih relevan daripada Tun Abdullah.
72. Tun Dr. Mahathir telah memilih Tun Abdullah kerana beliau
lebih tua dan berlatarbelakang ugama. Apabila ditanya ternyata Tun Dr. Mahathir
mengetahui mengenai kemampuan Tun Abdullah untuk memimpin negara beliau yakin
atas cadangannya supaya Dato’ Seri Najib dilantik sebagai Timbalan maka
sebarang kekurangan dapat dipenuhi; lebih-lebih lagi Tun Dr. Mahathir
berkesanggupan untuk membantu Tun Abdullah sebagai penasihat.
73. Malangnya Tun Abdullah mempunyai penasihatnya sendiri yang
terdiri dari anak-anak muda yang tidak berpengalaman dan tokoh-tokoh yang tidak
sehaluan dengan Tun Dr. Mahathir.
74. Akibatnya ialah prestasi Tsunami politik bagi Barisan
Nasional dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008.
75. Tun Dr. Mahathir ternyata menyesal atas kesilapannya. Ada
pihak yang berfikir bahawa usaha Tun Dr. Mahathir supaya Tun Abdullah lebih
cepat mengundurkan diri adalah satu tindakan untuk membetulkan kesilapannya
sendiri dan Dato’ Seri Najib, yang sepatutnya dilantik mengganti Dato’ Seri
Anwar, telah menerima sesuatu yang menjadi miliknya.
76. Walau apapun alasannya yang nyata ialah sementara Allah
s.w.t. telah menentukan Tun Abdullah akan menjadi Perdana Menteri tetapi tempoh
Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri telah ditentukan singkat oleh Allah
s.w.t..
DATO’ SERI NAJIB TUN
ABDUL RAZAK
77. Dengan berhentinya Tun Abdullah maka giliran Dato’ Seri
Najib untuk menjadi Perdana Menteri telah tiba.
78. Kini yang berminat, dengan jelas, untuk menduduki tempat
Dato’ Seri Najib ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
79. Rakyat tidak perlu berfikir panjang mengenai sikap dan cara
Dato’ Seri Anwar. Beliau memang mempunyai jiwa pembangkang yang kental. Dia
menentang Tunku Abdul Rahman Putra Perdana Menteri yang Pertama sehingga
diganti oleh Tun Abdul Razak; lepas itu beliau menentang Tun Abdul Razak
sehingga Tun Abdul Razak meninggal dunia dan diganti oleh Tun Hussein Onn.
Giliran Tun Hussein pula untuk ditentang oleh Dato’ Seri Anwar sehinggalah Tun
Dr. Mahathir mengganti Tun Hussein Onn. Tun Dr. Mahathir yang cuba mendidiknya
sebagai pengganti juga ditentang olehnya.
80. Parti Dato’ Seri Anwar hampir lenyap dalam Pilihanraya Umum
ke 11.
81. Lepas itu Dato’ Seri Anwar menentang Tun Abdullah dan kerana
salah-langkah Tun Abdullah sendiri Barisan Nasional telah hampir punah dalam
Pilihanraya Umum ke 12. Kini giliran Dato’ Seri Najib, bekas Timbalan Ketua
Pemuda UMNO di waktu Dato’ Seri Anwar menjadi ketuanya pula yang akan ditentang
oleh Dato’ Seri Anwar.
82. Yang susah difahami ialah bagaimana Dato’ Seri Anwar juga
melatih anaknya untuk menjadi pembangkang sebagaimana beliau menjadi
pembangkang sepanjang hayatnya.
83. Nampaknya, apabila ternyata nanti Dato’ Seri Anwar, yang
pernah menentang Tun Abdul Razak, bapa Dato’ Seri Najib, dikalahkan oleh
Barisan Nasional yang dipimpin oleh anak Tun Abdul Razak, maka anak Dato’ Seri
Anwar pulalah yang akan meneruskan perjuangan menentang anak Tun Abdul Razak
pula. Barulah bapa lawan bapa anak juga lawan anak apabila anak bapa
mengalahkan bapa anak.
84. Pilihanraya Umum ke 13 adalah pilihanraya umum yang pertama
yang akan dihadapi oleh Barisan Nasional di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun
Abdul Razak.
85. Strategi Barisan Nasional ialah mengingatkan jasanya yang
mengekalkan keamanan negara dan merancang dan membangun ekonomi negara.
Prestasi Malaysia yang dikagumkan, dan ingin dicontohi oleh dunia Islam, dunia
ketiga dan negara-negara membangun adalah satu pencapaian yang tidak dapat
dinafikan. Barisan Nasional boleh membuat janji kerana janji yang lalu telahpun
didapati.
86. Banyak negara yang sudah lama atau lebih lama Merdeka tetapi
tidak mencapai prestasi seperti Malaysia.
87. Setelah memerintah selama 55 tahun, dan sebagai sebuah
negara yang dipimpin oleh manusia yang tidak maksum, dengan berbagai kelemahan,
sudah tentu ada kesilapan yang belaku di sana-sini. Jika ada satu atau dua
kesilapan dalam setahun maka berertilah akan ada antara 55 hingga 110 kesilapan
yang dapat disenaraikan. Adalah menjadi tugas pembangkang untuk mengingat dan
membesarkan kesalahan-kesalahan ini dengan harapan pengundi dapat melupakan
berbagai jasa yang ditaburkan setiap tahun oleh pihak kerajaan Perikatan dan
Barisan Nasional.
88. Sepasang suami isteri yang pernah bercinta yang penuh gelora
di waktu muda pun boleh berpisah jika kesalahan yang kecil dibesarkan dan semua
budi antara mereka dilupakan.
89. Ada yang mengharapkan pangkat dalam jabatan kerajaan tetapi
gagal memperolehinya; ada yang mengharapkan kontrak dari kerajaan tetapi tidak
mendapatinya, mengharapkan pengiktarafan atas jasa peribadinya yang dilupakan
dan lain-lain lagi adalah penyebab wujudnya banyak tokoh atau cerdik pandai
yang menamakan diri sebagai ‘anonymous’ untuk menghentam keromo siapa saja yang
ada di atas.
90. Cina dan India dapat lesen dan peluang untuk jadi jutawan
boleh menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu; jika Melayu dapat pun mereka
ini akan marah juga, kerana yang dapat bukan mereka.
91. Semoga kita tidak semuanya lupa bahawa rezeki itu di tangan
Allah s.w.t.. Segala kekuatan, kekuasaan dan kekayaan yang diberi kepada kita
hanyalah sebagai pemegang amanah kerana semua itu datangnya dari Allah s.w.t..
92. Sementara manusia berusaha dengan bermacam-macam cara untuk
berharta dan berkuasa hanya Allah sahajalah yang menentukan.